Home Novel Cinta Lelaki Langit Bumi
Bab32-1


Resepi Kerepek Bayam


Bahan-bahan:

  • 20-25 helai daun bayam bersaiz besar
  • 1 biji kuning telur
  • 2 biji putih telur
  • 1/4  cawan air soda
  • 4 sudu besar tepung serba guna
  • Minyak masak untuk menggoreng (deep fry)
  • Garam secukup rasa


Cara-cara penyediaan:

  1. Pisahkan daun bayam dari tangkai. Bersihkan, cuci dan keringkan daun bayam di atas tisu atau tuala dapur.
  2. Pukul telur sehingga menjadi ringan dan gebu. 
  3. Masukkan tepung serba guna diikuti air soda. Kacau, kaup balik bater adunan sampai semua bahan tergaul sebati. Pastikan tepung tidak berketul atau berbintil.
  4. Panaskan minyak masak di dalam kuali.
  5. Celup daun bayam ke dalam bater. Biar seluruh bahagian daun bersalut sempurna. Kemudian, goreng di dalam kuali. 
  6. Setelah daun bayam bertukar warna keperangan, angkat gorengan. Tuskan lebihan minyak.
  7. Tabur secubit garam sebelum dihidangkan supaya kerepek lebih berperisa.



“Dapat tak?”


“Dapat…dapat. Petang ni nampaknya kena pergi cari bayamlah. Rindu sangat nak makan kerepek bayam akak!” rengek Dina. Sejak mula berbual, Dina tidak putus-putus mengadu rindu akan masakan-masakan air tangan kakaknya.


“Ala, kasihan adik kakak yang seorang ni. Mengidam kerepek bayam pula. Dah tua-tua pun nak manja,” usik Diha. Kerepek bayam memang merupakan snek kegemaran Dina. Liat makan sayur dari kecil, satu-satunya sayur yang lalu dimakan ialah bayam. Setiap kali Dina menikmati kerepek bayam, dia merasakan telah memperoleh khasiat sayur yang diperlukan tubuh. Acapkali Diha menegaskan bahawa zat sayuran tersebut berkemungkinan hilang sama sekali selepas digoreng. Tidak diendahkan langsung.


“Menyesal Dina tak belajar cara buat kerepek bayam dengan akak. Sekarang bila teringin nak makan, terkulat-kulat Dina seorang diri. Ibarat ibu Pekan kempunan makan telur tembakul dalam cerita 'Batu Belah Batu Bertangkup' tu. Yelah, chef kerepek bayam dah jadi orang Jakarta.” 


Diha gelak mendengar omelan adiknya. “Ha, ni dah tahu resepi bolehlah buat sendiri.”


“Resepi akak ni tak guna air kapur kan?”


“Tak. This is the simplest version. Akak kenal sangat perangai Dina. Tak siaplah  kerepek kalau kena cari air kapur! Nanti Dina bising cakap lecehlah,..remehlah. Don’t worry. Walau tanpa air kapur, kerepek bayam tetap rangup, sedap macam Dina suka. 


“OK. OK. Aduhai, dah terliur dah bayangkan kerepek bayam.”


Diha tersenyum sambil menggelengkan kepala. Kendatipun sudah berkeluarga, sudah beranak satu, di mata Diha, Dina tetap adik manjanya. 


“Oh, kak. Sebelum Dina lupa, kelmarin ada cek sampai atas nama akak,” lapor Dina. Semenjak Diha menetap di Jakarta, dia diberi mandat membuka sebarang surat atau dokumen yang dialamatkan kepada kakaknya. “Payment dari syarikat Kim. Akak nak Dina depositkan ke akaun akak tak?”


“Kalau Dina pergi bank, tolong bank-in sekali. No rush. Asalkan cek tu tak luput tarikh.”


“OK. Akak masih tulis artikel untuk majalah Kim ke? Kerja translation pun?” 


“Ya. Adalah ambil a few jobs. Isi-isi masa. Kalau tak, bosan akak di sini tak buat apa,” terang Diha. “Hakeem mana?” Sedari tadi tidak kelihatan kelibat Hakeem. Suara riangnya juga tidak kedengaran.


“Ada. Baru lepas mandikan dia. Nak tunjuk Hakeem pada akak ni. Sekejap ye.” Dina bangkit, beredar sebentar dan datang semula mendukung Hakeem. “Say hi to aunty, Hakeem. Hi, Aunty Diha!” Dina melambai-lambaikan tangan kanan anaknya, menyapa Diha.


“Hai, Hakeem! Ala, comelnya my little boy! Aunty rindulah dekat Hakeem.” Gembira Diha tatkala wajah Hakeem muncul di paparan skrin komputer. Dia mengagah anak saudaranya beberapa kali. Hakeem ketawa mengekek. Mulut mungil itu kemudian tidak berhenti menuturkan perkataan yang gagal difahami. Cuma cebisan suku kata ringkas disebut namun lagak persis bercerita itu ini. 


“Wah, dah pandai berceloteh!” komen Diha. Teruja melihat perkembangan tumbesaran Hakeem. Dahulu, setiap ragam Hakeem menghiasi hari dan dunianya. Buka mata cari Hakeem. Sebelum tidur, mesti peluk, mesti cium Hakeem. Malah, apabila Dina dan Fahim berkursus atau bertugas di luar kawasan, Diha menawarkan diri mengambil peranan sementara mengasuh putera mereka. Dia langsung tidak kekok menguruskan anak saudaranya. Kini, dek kerana terpaksa berjauhan, keceriaan kenakalan Hakeem hanya mampu disaksikan melalui panggilan video dan perkongsian-perkongsian Dina.


“Hmmmm, dia borak cara dialah, kak. Pandai mengomel, merungut bagai. Eh, nak tunjuk ni! Hakeem pakai baju yang aunty bagi.” Dina mengemaskan gaya  anaknya. Persalinan berjalur biru putih yang dikenakan tampak padan benar dengan tuan punya diri. Tidak terlalu besar atau labuh. Tidak pula terlalu kecil. Elok terletak.


“Amboi, bukan main handsome anak buah aunty ni!” puji Diha.


Thanks, kak. Cantik-cantik rompers and onesies yang akak hadiahkan. Jangankan Hakeem, mama Hakeem pun tumpang gembira sekaki. Kan Hakeem kan?!” Ceria Dina berbicara. Hakim ditimang-timang. 


You’re most welcome. Rompers and onesies tu daripada Abang Ariyyan juga,” ucap Diha. Mata ralit memerhatikan Hakeem. Terubat rindu yang terbuku melayan keletah anak buah kesayangan meskipun sekadar di skrin. 


Kata-kata Diha spontan mengundang senyum sinis Dina. ‘Ariyyan?! Daripada Ariyyan?’ Dia merenung tepat ke wajah kakaknya. Tidak berniat membalas tutur Diha. Kening sengaja dijungkit seakan-akan mempertikaikan sesuatu. 


“Kak, there’s no need for that.” Mendatar nada suara Dina apabila kakaknya tidak memberi reaksi lanjut.


No need for what?” Diha arif sungguh makna pandangan si adik. Dina jikalau mengangkat kening dan mengetap bibir sebegitu, manifestasi tanda tidak setuju. ‘Ish, ada sahaja yang ingin disangkal, dibuat balah!’ getus Diha. Dia sedia maklum, meskipun Dina sentiasa menyokong, teguh berdiri di belakangnya, sekelumit kesal terus bersarang di hati Dina rentetan keputusan nekadnya mengahwini Ariyyan. 


“Tak payahlah nak berlapik-lapik. Ini Dina. I’m your sister. You know that you don’t have to hide anything from me, right?” soal Dina. Dia sedar, Diha berkata sedemikian demi memelihara nama baik suami. 


“Dina, please don’t start,” tegur Diha. 


“Betullah apa Dina cakap. Tak perlu lapik-lapik. You don’t have to sugarcoat things,” tambah Dina bersungguh-sungguh. Manalah Ariyyan punya masa memikirkan Hakeem. Ruang untuk Diha pun belum tentu wujud, inikan pula ahli-ahli keluarga Diha. Tidak berniat berburuk sangka, tetapi itu realiti yang perlu diterima. Secara peribadi, Dina menganggap Ariyyan belum bersedia memulakan dunia baharu selepas tempoh bahagianya bersama Marsha sudah maktub terhenti. Dia tidak akan lupa bagaimana pendirian Ariyyan goyah  menjelang detik pernikahannya dengan Diha. Acara terpaksa ditangguhkan sementara waktu semata-mata memberi peluang lelaki itu bertenang mencari diri.


“Apa yang lapiknya? Memang from both of us. Duit dari poket Uncle Ariyyan. Tukang pilih baju-baju cantik tu Aunty Diha,” bela Diha. Tidak mempedulikan asakan Dina, dia enggan kalah.  Apa Dina mahu fikir, terpulang! Bagi Diha, baik buruk Ariyyan, biar dalam rangkuman kemas isi rumah tangganya. Tidak usah diadili mana-mana pihak. 


Diha mengagah Hakeem lagi. “Hakeem nampak kurus sikit. Dah tak tembam macam dululah.” Dia mengubah hala perbualan, mengulas penampilan Hakeem yang tampak agak susut berbanding minggu-minggu sebelum ini.


“Hmm...orang dah dapat kaki, kak. Mana reti duduk diam. Mama dan papa dah tak larat nak mengejar dia ke sana ke mari. Lagipun kan minggu lepas Hakeem demam. Turun sikitlah berat badan dia,” jelas Dina. “Oh, kak. Dina nak cerita something ni.” Baru teringat ada perkara harus disampaikan kepada Diha. Kedudukan Hakeem di ribaan dibetulkan.


“Apa dia?”


“Dua hari lepas Mahirah datang rumah kita. Terkejut Dina. Dia nak jumpa akak,” tutur Dina membuka topik.


“Mahirah?”


Serta-merta Diha jadi buncah. Sukma diserang rasa kurang enak. Pandangannya berbalam-balam. Ingatan terhadap Mahirah membuatkan dia turut terkenang pada secebis nama yang sekian lama diasingkan dari kotak minda. Dipencilkan dari sanubari. Muammar.


Lantas tanpa berjaya dihalang, wajah Muammar bertubi-tubi menata layar minda. Setiap ekspresi Muammar; kala tersenyum, tika tertawa, riak nakalnya saat mengusik, tampang serius apabila berfikir dan muka tenang nan mendamaikan tatkala berbicara, laksana bayangan yang silih berganti terpapar di tubir mata.


“Muammar.” Terluah jua nama itu di antara celahan bibir. Nada lirihnya gagal dibendung. Dada seakan terhimpit, makin sesak. Cepat-cepat Diha memejamkan mata. Menghela nafas panjang-panjang. Dalam-dalam. Serba payah dia mengumpul kekuatan untuk menyambung tutur.


“Mahirah cari akak?” tanya Diha mendambakan kepastian. Emosinya berkocak hebat.


Dina angguk.


Diha mengeluh. Lama dia tidak berhubung dengan gadis muda itu. ‘Mengapa Mahirah tiba-tiba datang mencarinya?’


Previous: Bab 31
Next: Bab32-2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.