Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
16,701
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13


Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)


LINCAH aku menggosok sehelai gaun pengantin daripada jenis kain siffon berwarna merah jambu yang telah ditempah oleh pelanggan untuk diambil pada sebelah petang nanti. Hari ini genap empat bulan aku menjalankan tugas sebagai pembantu di butik milik Kak Yati. Alhamdulillah, aku berasa tenang sepanjang berlindung di tempat ini.

Tiba-tiba aku terkenang pada emak. Beberapa bulan yang lalu, selepas kami dihalau keluar oleh Amar dari pejabatnya, aku meminta emak dan mak lang kembali ke kampung. Puas aku meyakinkan emak yang aku boleh menguruskan hidupku sendiri di bandar ini. Aku juga telah memberitahu emak yang aku baru sahaja mendapatkan pekerjaan di sebuah butik yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal. 

Malah, aku memberitahu emak bahawa pemilik butik ini sungguh baik hati. Wanita yang bernama Haryati rela menerimaku untuk bekerja di butiknya walaupun aku telah menceritakan tentang diriku yang sedang mengandung tanpa seorang suami.

“Hana?” 

Suara seseorang memintas khayalanku. Aku menoleh ke arah kaunter pembayaran.

Qaireen yang usianya sebaya denganku itu melemparkan sebuah senyuman. 

“Hana… aku dah panggil kau sebanyak tiga kali, tapi kau tak dengar. Apa yang kau berangankan tu? Ingat boyfriend ya?”

Aku menggeleng dalam senyuman. 

“Saya teringatkan emak di kampung,” kataku.

“Ada orang nak jumpa kau. Dia tunggu kat sebelah sana,” ujar Qaireen.

Berkerut dahiku memikirkan siapa gerangan yang ingin bertemu denganku itu. Tanpa berlengah, aku meninggalkan sebentar pekerjaanku tadi dan terus berjalan menuju ke ruang rehat pelanggan yang terletak di sebelah kanan butik. Aku melihat seorang lelaki sedang duduk membelakangiku. 

“Ya… ada apa saya boleh bantu encik?” kataku bernada sopan kerana memikirkan kemungkinan lelaki itu merupakan salah seorang pelanggan.

Lelaki itu bangun dan menoleh ke arahku. Aku terkejut memandang ke arah seraut wajah yang hampir tujuh bulan tidak aku temui itu. 

“Hadi...” Namanya meniti di bibirku.

Aku mengundur beberapa tapak dan secara spontan aku cuba menutup perutku dengan kedua-dua belah tangan walaupun aku sedar usia kandunganku tujuh bulan itu memang tidak boleh disorokkan lagi. Aku berasa malu untuk berhadapan dengan Hadi.

Mata Hadi menyorot ke arah perutku sebelum ia beralih semula ke arah wajahku. Entah mengapa, aku terkesan ada air yang bertakung di kedua-dua belah mata lelaki itu. Wajah sugulnya begitu membimbangkanku. 

“Awak menghilang ke mana, Hana? Puas saya mencari awak selama ni.” Hadi bersuara serak.

Aku diam. Hanya mengetap bibirku yang kering dek kekurangan zat. Sungguh, aku tidak menyangka Hadi akan memunculkan dirinya di sini dan paling aku tidak percaya lelaki itu mengatakan dia puas mencariku.

“Awak sihat?” soalnya sambil melangkah menghampiriku.

Aku mengangguk. 

“Saya macam nilah. Mana awak tahu saya kat sini?” balasku pendek. Wajah masih aku tundukkan.

“Semalam, saya ternampak awak di sekitar kawasan ni dan saya ekori awak. Saya tak sangka awak bekerja di kedai Kak Yati.” 

Aku berasa pelik dengan jawapan yang diberikan. 

“Awak kenal Kak Yati?”

Hadi nampak tidak senang dengan pertanyaanku, namun disembunyikannya di sebalik senyuman. 

“Err… Kak Yati ni kawan kakak saya,” katanya.

Perbualan kami terhenti tatkala telingaku terdengar akan satu pengumuman yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan. Jelas di mataku menyiarkan majlis pernikahan Amar Taufiq dan Zaharah yang berlangsung pada malam tadi. Entah mengapa, hatiku berasa luluh, hancur dan terluka saat itu. Aku benci memandang ke arah senyuman lebar lelaki itu yang sedang menikmati kebahagiaan sedangkan diriku sedang merana. 

Tanpa aku pinta, air mataku tumpah lagi untuk kesekian kalinya. Air mata yang mengalir ini bukan kerana aku kecewa melihat Amar menikahi Zaharah, tetapi lebih kepada rasa sedih terhadap anakku yang bakal lahir ini. Telah aku fikirkan masak-masak untuk menjaga anak ini walau dengan apa cara sekalipun.

“Hana...” panggil Hadi.

Aku menoleh ke arahnya semula.

“Saya tahu tentang apa yang menimpa awak,” ujar Hadi.

Aku berpusing untuk meninggalkannya kerana aku tidak mahu lelaki itu bersimpati terhadap diriku. Namun belum sempat aku melangkah, Hadi mengeluarkan kata-kata yang membuatkan aku terkedu.

“Saya tahu Amar adalah ayah kepada anak dalam kandungan awak.” 

Hadi menuturkan fakta yang menyakitkan hatiku. Hadi melangkah ke hadapanku. 

“Saya juga tahu Amar tak mahu bertanggungjawab terhadap awak. Kenapa selepas kejadian tu, awak tak mencari saya? Saya pasti akan membantu awak.”

Aku menggeleng. 

“Saya tak nak susahkan orang lain, Hadi. Lagipun awak kawan baik Amar. Pasti awak tak percaya kata-kata saya.”

Hadi menggeleng. 

“Saya takkan menangkan Amar dalam hal ini. Bila dia ceritakan kepada saya semalam sebelum majlis pernikahannya tentang apa yang berlaku di antara dia dan awak, saya terus meradang. Saya belasah dia sebab tinggalkan awak dan sanggup meneruskan perkahwinan dengan Zaharah.”

Aku tergamam mendengar penjelasan Hadi. Ternyata begitu berani Amar menceritakan kejadian dia merogolku sebelum majlis perkahwinannya berlangsung. Alangkah bertuahnya aku jika hati Amar semulia hati Hadi.

“Saya yakin boleh hidup tanpa dia. Lelaki sekejam Amar tak layak menjadi ayah kepada anak dalam kandungan saya ni. Jauh sekali untuk menjadi seorang suami,” ujarku menahan benci yang semakin membuak-buak terhadap Amar Taufiq.

“Tapi, awak tak boleh hidup seorang, Hana. Fikir tentang anak yang bakal lahir ni.” 

“Amar punca penderitaan saya! Saya takkan sesekali maafkan dia, Hadi. Sejak dia hina saya, halau emak saya dari pejabat dia dan paksa saya gugurkan kandungan ni, hati saya dah bulat untuk membenci dia. Saya takkan maafkan lelaki yang dah hancurkan hidup saya dan masa depan saya,” rintihku dalam amarah.

“Saya akan jaga awak, Hana.” 

Kenyataan Hadi itu mengejutkanku. Aku tiba-tiba terfikir, mengapa lelaki yang baru beberapa kali aku temui itu berani mengungkapkan satu kenyataan yang membawa satu tanggungjawab yang besar? Entah mengapa, aku dapat rasakan ada sesuatu yang mengganggu fikiran Hadi.

“Hadi… awak dengan saya tak ada apa-apa ikatan. Perkenalan kita beberapa bulan yang lalu, tak menjadikan itu sebagai satu alasan untuk awak menjaga saya. Kita saling tak mengenali. Baliklah, Hadi. Saya ada kerja nak disiapkan,” ujarku dan aku memulakan langkah meninggalkannya.

“Saya akan bantu awak dengan apa cara sekalipun!” laung Hadi. 


PETANG itu, sedang aku menyapu lantai, Qaireen mendekatiku lalu dia menyiku lenganku. Wajah manis itu menggariskan senyuman. 

“Untung kau… ada peminat yang kacak dan romantik macam tu.” Qaireen menjuihkan mulut ke arah Hadi yang sedang bersandar di pintu kereta miliknya yang diparkir di hadapan butik.

Setengah jam yang lalu, lelaki itu muncul di hadapan butik dan menyerahkan satu plastik rojak dan dua cawan plastik berisi air kelapa kepada Qaireen. Katanya, kebetulan dia melalui kawasan itu dan singgah sebentar untuk membelikan makanan buat kami. 

Aku membuang pandangan ke arahnya yang memakai T-shirt berwarna putih. Sejurus Hadi menyedari aku sedang memandangnya, segera dia melemparkan senyuman sambil melambai-lambaikan tangannya ke arahku.

“Hana tak kenal siapa lelaki tu, Qaireen.” Aku memberikan jawapan selamat kepada usikan Qaireen itu.

“Kalau tak kenal, takkan dia sanggup berdiri di luar tu dalam cuaca yang panas terik macam sekarang ni? Siap belikan kau makanan lagi. Romantik betul,” sahut Qaireen sebelum dia berjalan ke bahagian belakang butik untuk memeriksa stok di dalam stor.

Aku sekadar tersenyum dengan usikan gadis itu. Selama empat bulan ini, Qaireen telah menjadi teman rapatku. Sama seperti Kak Yati, penerimaan Qaireen terhadap diriku yang tidak normal seperti gadis lain telah membuatkan aku jatuh sayang terhadapnya. Aku dan Qaireen berkongsi minat yang sama iaitu bercita-cita untuk bergelar seorang doktor.

Qaireen sedang menunggu jawapan untuk melanjutkan pelajarannya ke sebuah kolej perubatan yang terletak di Dublin, Ireland dan aku mendoakan agar cita-citanya itu akan segera tercapai. Dalam diam rupanya-rupanya Qaireen turut mendaftarkan diriku untuk melanjutkan pelajaran di sana, namun aku biarkan sahaja kerana tidak mungkin aku dapat menjejakkan kaki ke sana dengan keadaan diri yang sedang sarat ini. 

Walaupun aku terpaksa melupakan cita-cita itu, namun dalam hati kecilku tetap berasa sedih kerana tidak dapat menjadi kebanggaan emak dan menunaikan impianku sejak kecil untuk menjadi  doktor pakar.

Selepas selesai menyapu, aku menuju ke arah cermin hadapan yang menempatkan ruangan pameran. Aku cuba mengangkat sebuah patung mannequin untuk dibawa ke bahagian atas kerana menurut Qaireen, kaki patung itu telah rosak dan ianya tidak boleh berdiri tegak dengan elok. 

Baru beberapa tapak aku menarik patung itu, aku berasakan ada tangan yang menarik patung itu daripadaku.

“Patung ni nak dibawa ke mana?” Hadi melemparkan sebuah senyuman manis.

Aku memegang semula lengan patung itu. 

“Saya boleh bawa sendiri,” balasku.

Hadi mengelak. 



Follow FB : Novelis Dea Zoraya dan Instagram : deazoraya89. Boleh kita berkenal-kenalan dan berbual-bual. Salam sayang dan salam perkenalan dari saya :)



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.