Home Novel Cinta RINDU YANG TERTINGGAL
RINDU YANG TERTINGGAL
Dea Zoraya
4/10/2018 10:24:33
16,704
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

BANGUNAN The Golden Summit Group tersergam megah di hadapan mataku. Namun, sedikit pun tidak menarik minatku. Aku menelan liur sebelum berani memulakan langkah menuju ke arah pintu masuk berkaca yang jaraknya hanya beberapa meter saja. Aku melabuhkan tudung bagi menutupi bahagian dada tatkala aku menyedari ada beberapa pasang mata lelaki terarah ke wajahku. 

Aku mula berasa seram sejuk. Kejadian malam tadi masih berputar-putar dalam ingatan tanpa henti sehinggakan aku berasa mahu menghantuk kepalaku ini ke dinding, biar hilang memori hitam itu daripada ingatanku.

Langkah terus kuatur menuju ke arah kaunter pertanyaan yang terletak di bahagian lobi. Aku mendapat tahu akan alamat tempat kerja Amar ini apabila aku menyelongkar laci di dalam bilik tidurnya tadi. 

“Yes miss… what can I help you?” ramah wanita yang bertugas di kaunter pertanyaan itu bertanya.

Aku menelan liur yang terasa pahit. Kelu lidahku untuk menutur bicara. Adakah aku perlu mengatakan yang aku mahu berjumpa dengan lelaki yang telah merogolku? Pemilik bangunan besar ini.

“Er… saya mahu berjumpa dengan Tuan Amar,” tuturku.

Wanita itu tersenyum lagi. 

“Nama Cik siapa? Dah buat temu janji dengan Tuan Amar Taufiq ke?”

Aku diam sebelum menggeleng. 

“Tapi, saya ni orang gaji dia. Saya nak hantar beg duit Tuan Amar yang tertinggal di rumah.” Aku mengeluarkan dompet milik lelaki itu dan menyuakannya ke arah wanita itu. 

Ketika di rumah lelaki itu tadi, aku ternampak dompet Tuan Amar terdampar di atas lantai lalu aku ambil dengan niat mahu melaporkan lelaki itu kepada pihak polis. Namun, niat itu aku bubarkan apabila memikirkan rasa malu yang akan menghempap diriku kelak. Tidak terbayang di mataku rasa malu ini terpalit ke muka emak. Lantas, aku diamkan dahulu dan terus ke tempat kerja Amar untuk ‘berbincang’.

Aku tidak pasti wanita itu menelefon siapa namun selepas menamatkan talian, dia membenarkan aku untuk naik ke tingkat 13. Tag pelawat aku kalungkan di leher. Aku memasang langkah ke arah lif bersama perasaan yang berkecamuk. Takut, marah, malu dan sedih bercampur baur.

Sepanjang aku berada di dalam lif, aku berasakan peluh cemas semakin lebat menitis di dahi dan juga di belakang badanku. Aku menelan air liur entah untuk kali ke berapa. Mengharapkan rasa gugup ini hilang.

Ting! Bunyi itu menandakan aku kini telah berada di tingkat yang ingin aku pergi. Sejurus pintu lif terkuak, aku melangkah keluar. Seorang gadis bertudung menyambutku bersama senyuman. 

“Cik nak jumpa Tuan Amar ya? Err… dia ada urusan sikit. Ada tetamu,” jelas gadis itu tanpa aku pinta.

“Saya tunggu…” kataku ringkas.

Aku dibawa ke sebuah bilik mesyuarat bersederhana besar oleh gadis tadi. Aku duduk di salah sebuah kerusi sambil aku menggenggam erat kedua-dua belah tanganku. Air mata mula bergenang di pelupuk mataku dek rasa cemas menunggu kehadiran Amar yang mungkin akan masuk ke dalam bilik ini bila-bila masa sahaja. 

Entah mengapa, aku dapat mengagak yang lelaki itu pasti tidak akan menerimaku dan tidak akan mengaku perbuatan sumbangnya terhadap diriku. Aku menebalkan mukaku ke sini hanya kerana mahu mempertahankan maruahku.

Bunyi sesuatu yang terhempas ke atas lantai yang datang dari arah bilik sebelah menarik perhatianku. Aku bangun dan menuju ke arah pintu yang memisahkan kedua-dua buah bilik ini yang kebetulan terkuak sedikit. Aku memberanikan diri mengintai untuk melihat apa yang berlaku. Aku nampak Zaharah sedang menangis sambil membaling beberapa buah buku ke arah Amar.

“Kenapa you buat I macam ni, Amar? We are getting married soon. Tolong ingat fakta tu.” Zaharah berteriak seperti orang hilang akal.

Aku menekup mulutku. Khuatir apa yang dimaksudkan Zaharah adalah kejadian yang berlaku pada malam tadi.

“Zaharah… tolonglah bertenang. Apa ni datang tempat kerja I lepas tu serang I macam ni. Malulah staf I dengar kat luar tu,” pujuk Amar.

“I tak kisah staf you nak dengar. Itu tak penting bagi I. I sedih sangat bila you masih lagi layan I macam I ni tak pernah wujud dalam hati you. Empat tahun I tunggu you balas cinta I, tapi sampai ke hari ni tinggal beberapa bulan saja kita nak kahwin… I tau hati tu masih lagi pada perempuan tu. You usung I ke sana ke sini, tapi you tetap tak boleh lupakan sejarah silam you dengan perempuan tak guna tu,” luah Zaharah.

“Shut up, Zaharah! Watch your mouth. Jangan berani you hina Haida macam tu. You tak layak nak cakap yang bukan-bukan tentang dia.” Amar meninggikan suara.

Aku yang menjadi pendengar turut ingin tahu siapakah wanita bernama Haida yang disebut-sebut oleh mereka. 

Aku lihat Amar masih dengan wajah angkuhnya. Rasa benciku terhadap lelaki itu kian bercambah dan terus bercambah. Tidak dengan merosakkan diri aku dan mempermainkan perasaan Zaharah. Dasar lelaki tak guna! Aku menggetap gigiku menahan rasa geram yang menyelubungi diri.

“I tak boleh lupakan dia. I dah cuba berjuta kali, tapi bayangan Haida terus menghantui. Mungkin masa saja yang dapat membuatkan diri, minda dan hati I ni lupakan dia.” Amar membuat pengakuan tanpa mengira perasaan orang lain.

“Macam mana dengan I? You kata you sayangkan I! Please… jangan mainkan perasaan I, Amar. I sangat cintakan you. Rasa cinta I terhadap you sangat dalam. I nak hidup dengan you seorang saja,” rintih Zaharah.

“I do love you, sayang. I tahu I tak boleh lupakan Haida… tapi I sayang dan cinta pada you, Zaharah. You sentiasa ada di sisi I, sentiasa ada mendengar keluh resah I. I tak akan tinggalkan you. Perkahwinan kita tetap berjalan seperti yang kita rancang,” pujuk Amar, lalu mereka berdua berpelukan.

Air mataku mengalir tatkala melihat aksi mereka. Bagaimana dengan aku? Aku dengar sendiri tadi Amar mengatakan yang dia akan berkahwin dengan Zaharah. Apa yang harus aku lakukan? Aku berjalan mundar-mandir di dalam bilik itu bersama tangisan yang kembali beraja di dalam diri. 

“Apakah salahku? Apakah dosaku sehingga aku diuji begini? Aku tak rela dan aku tak boleh terima kenyataan ngeri ni.” Aku merintih lagi buat sekian kalinya.

“Apa yang buatkan kau datang ke sini?” 

Suara garau yang menyergah dari arah belakang itu terus membuatkan bulu romaku terasa tegak berdiri. Aku kenal akan pemilik suara itu. Aku menelan liur sebelum memberanikan diri untuk menoleh.

Jelas kelihatan di mataku susuk tubuh lelaki bernama Amar dan bukan lagi ‘Tuan Amar’ yang aku gelarkan selama beberapa hari ini. Pandangannya yang angkuh itu seperti dia tidak melakukan apa-apa kesalahan terhadap diriku.

Aku mengesat air mata yang mengalir di pipi. 

“Apa yang awak dah lakukan pada saya malam tadi?” soalku menahan kemarahan bercampur kesedihan.

“Jumlah yang tertulis atas cek tu tak cukup lagi ke untuk kau?” soalnya tanpa sedikit pun rasa bersalah.

Kesabaranku terbang pergi. Kata-kata lelaki itu bagaikan sebutir peluru yang ditembak tepat ke dadaku. Bingkas aku mengeluarkan sekeping cek yang disebut itu daripada beg galasku, lantas aku gumpal dan aku baling tepat mengenai mukanya.

“Angka yang tertulis di dalam tu dan berapa pun angka yang awak akan  tulis takkan dapat ganti maruah diri saya yang telah awak rampas! Awak perogol! Awak merogol dan merampas maruah saya tanpa rela.” Aku berteriak memaki hamunnya.

Aku terkejut apabila lelaki itu mendekatiku dan terus menekup mulutku. Lantas, kejadian malam tadi kembali menyelubungi ingatan. Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri dan menjerit meminta pertolongan, namun gagal kerana tenaga wanita sepertiku tidak setanding tenaga lelaki seperti Amar. Tubuhku terdorong ke arah meja. Hanya beberapa inci sahaja yang memisahkan wajah kami berdua. Airmataku semakin lebat mengalir kerana terlalu takut terhadap lelaki itu.

“Kau dengar sini baik-baik. Apa yang terjadi malam tadi tu bukan di bawah pengaruh sedar aku. Aku sendiri tak tahu dan tak sedar apa yang terjadi antara kita. Kau faham tak!” Mencerlung mata Amar menikam wajahku.

Aku menggagahkan diri menolak tangannya yang menutupi mulutku. 

“Awak tipu! Awak sengaja cari alasan untuk menidakkan kesalahan yang telah awak lakukan. Awak  mabuk malam tadi! Sekarang ni, saya nak awak mengaku yang awak telah merosakkan diri saya dan berjanji akan bertanggungjawab terhadap diri saya. Kalau tak, saya takkan teragak-agak buat laporan polis.” Aku mengugut lelaki yang tidak berperikemanusiaan itu.

Aku tersentak apabila Amar menumbuk meja di sebelahku. Wajahnya berubah kemerahan dan riak kebengisan jelas terpancar. Mengapa dia perlu berekspresi seperti itu sedangkan yang bergelar mangsa adalah aku!

“Berani kau ugut aku? Aku tak mabuk sebab aku bukan kaki botol. Aku tak sedar apa yang berlaku pada malam tadi. Kau faham tak! Seingat aku, lepas kau balik dan kawan-kawan aku yang lain balik, aku pergi dapur dan minum jus oren di dalam peti sejuk. Lepas tu, aku sakit kepala dan tak ingat apa yang berlaku seterusnya. Jadi, aku tak bersalah dalam hal ini. Kau yang salah! Sebab kau patah balik ke rumah aku. Ianya terjadi di atas kehendak kau sendiri.” 

Penjelasan lelaki itu kedengaran tidak masuk akal di telingaku.

“Saya bersalah? Saya dirogol dan saya disabitkan bersalah? Undang-undang mana yang awak ikut ni?” naik lagi satu oktaf nada suaraku.

Air mata yang mengalir deras dari tubir mata aku biarkan tanpa dikesat. Amar meraup wajahnya beberapa kali dan dia seakan-akan memikirkan sesuatu sebelum tiba-tiba dia tersenyum sinis.

“Apa yang terjadi malam tadi rancangan kau, kan? Kau yang letakkan sesuatu dalam air oren tu, kan? Wow! Benar sangkaan aku. Hanya kau yang memasak di dalam rumah aku dan kau gunakan kesempatan tu untuk menjerat aku.” 

Tuduhan itu membuatkan aku mahu saja menampar mulutnya yang lancang itu. Aku mengetap bibirku menahan rasa geram yang telah sepenuhnya menguasai diri. Aku teramat benci lelaki di hadapanku ini. 

Amar benar-benar licik. Kini, dia memutar-belitkan fakta untuk menjadikan diriku sebagai pemangsa dan bukan mangsa.

“Awak ni memang lelaki tak guna! Bertopengkan syaitan! Sekarang, awak tuduh saya yang perangkap awak?” soalku dalam kemarahan.

“Demi duit orang sanggup lakukan apa-apa saja. Memang sangat pelik, kenapa kau beria-ia nak gantikan tempat mak cik kau? Rupa-rupanya ini rancangan keji kau.” Amar memandangku dengan penuh curiga.

“Saya tak bersalah. Saya berpatah balik ke rumah awak sebab saya nak ambil telefon yang tertinggal di dapur. Itu sahaja. Bila saya nak beredar, awak tiba-tiba peluk saya dari belakang. Tolonglah, Amar! Jangan lari daripada kesalahan yang awak dah lakukan!” jerkahku.

“No way! Jangan harap aku akan bertanggungjawab. Kau perempuan yang entah datang dari mana tiba-tiba nak jadi sebahagian daripada hidup aku? Jangan nak berangan! Sekarang, kau berambus dari sini sebelum aku heret kau keluar. Duit yang aku bagi kau tu dah terlalu cukup untuk menggantikan maruah kau.” 

Kata-kata hinaan itu benar-benar melukakan hatiku.

 


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.