Home Novel Cinta Ingin Mencintaimu Selayaknya
Ingin Mencintaimu Selayaknya
Selma Q
29/4/2019 03:45:46
43,199
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

"Apa sebenarnya terjadi? Daddy nak dengar dari dua pihak. Hadif, cuba cerita kat daddy. Apa terjadi kat ofis Harith?" Datuk Ilyas memandang wajah Sayf Harith dan Syaiful Hadif bersilih ganti. Mallika yang berdiri di belakang Syaiful Hadif tidak berani mengangkat muka. 

Syaiful Hadif mengerling ke kerusi sebelah. Sayf Harith sekadar dijeling dengan ekor mata. Perkara kecil pun nak mengadu! Syaiful Hadif berdehem kecil. 

"Sebenarnya daddy..." Syaiful Hadif dekatkan tubuh ke meja.

"Sebenarnya apa?! Tak ada kerja cari pasal kat ofis orang?" Sayf Harith menyampuk sambil membetulkan butang kotnya.

"Kasi aku peluang untuk cakap boleh tak?" Syaiful Hadif mengetap bibir. Dia cuba sabarkan hatinya dengan perangai Sayf Harith.

"Daddy, Hadif pasti ini semua salah faham. Ika sebenarnya..."

"Salah faham? Hei Ika! Dalam banyak-banyak tempat, ofis aku jugak kau pilih eh?" Kerusi yang diduduki Sayf Harith berpusing ke belakang. Wajah Mallika direnung dengan tajam. Setiap tindak-tanduk dan kata-kata Mallika masih segar di dalam kotak fikiran Sayf Harith. 

"Hei Harith! Kau tak faham bahasa ke? Kasi aku peluang untuk jelaskan. Boleh tak kau bertimbang rasa sikit?" Syaiful Hadif menekan suaranya. 

"Harith, please..." Datuk Ilyas sudah bersuara.

"Okay! Fine." Sayf Harith mengangkat kedua tangan sebagai tanda mengalah.

"May I talk now my dear brother?" Syaiful Hadif sengaja membesarkan matanya. 

"Sure. Go ahead."

"Ika bagi tahu Hadif yang dia pergi ofis Harith sebab nak jumpa Lutfi. Daddy pun tahukan yang Lutfi dan Ika tu, sepupu. Mummy Ika yang suruh jumpa, sebab ada barang nak kasi kat Lutfi tu. Jadi masa Ika cari Lutfi kat ofis, Ika berselisih jalan dengan staf baru. Dah namanya staf baru, dia pun tak kenal siapa Ika. Itu yang ada salah faham sikit." Syaiful Hadif melarikan pandangan ke tempat lain. Dalam hati berharap Datuk Ilyas akan percaya dengan ceritanya walhal dia sendiri rasa sangsi dengan alasan Mallika! Nak jumpa dengan Lutfi? Telefon kan ada! Tak perlu nak 'melawat' pejabat abang tirinya!

"Ika...betul ke apa yang Hadif cakap?" Datuk Ilyas mahukan kepastian.

"Betul daddy. Staf baru tu ingat Ika nak ceroboh masuk ofis Harith, jadi itu yang buat kita bergaduh kecil. Gaduh kecil je daddy. Tak besar pun." Mallika menyengih.

"Gaduh sikit?" Sayf Harith bangun dari kerusi. Dia sudah hilang sabar dengan manusia bermuka dua seperi Mallika. Mallika memang perlu diajar! 

Syaiful Hadif turut bangun berdiri melihat tindakan Sayf Harith yang mahu mendekati Mallika. Tangan pantas menahan tubuh Sayf Harith. Mallika terus bersembunyi di belakang Syaiful Hadif. Wajahnya sengaja dibuat-buat tengah dalam ketakutan untuk meraih simpati Datuk Ilyas. 

"Hadif, get your dirty hand away from me." Sayf Harith bersuara tegas. Mata dipaku ke wajah Mallika. Dia benci dengan lakonan Mallika seolah-olah dialah mangsa dalam pergaduhan ini. 

"Kalau aku tak nak, kau nak buat apa? Nak tumbuk aku? Tumbuklah kalau kau berani!" Syaiful Hadif menjerit.

"Dah sudah! Masalah belum selesai, nak tambah masalah baru?" Datuk Ilyas terpaksa campur tangan. 

"Sit down!" arah Datuk Ilyas.

Sayf Harith tidak bergerak. Tangan Syaiful Hadif belum lepas dari tubuh Sayf Harith. 

"Take a step back Harith." Syaiful Hadif menepuk kuat dada Sayf Harith seolah menyuruh Sayf Harith untuk mengalah dulu. 

"Ya Allah! Suruh duduk pun susah sangat ke? Masih nak bergaduh jugak depan daddy? Apa nak jadi dengan kau orang berdua ni?" 

Datuk Ilyas menanggalkan cermin mata lalu menekup wajahnya. Sayf Harith menghela nafas dengan kasar. Kerusi ditarik lalu duduk tanpa memandang wajah sinis Syaiful Hadif.

"Daddy tak nak panjangkan isu ni. Daddy ada banyak perkara nak kena fikir. Jadi, daddy nak Ika dan Hadif minta maaf dengan Harith."

Sayf Harith bagaikan tak percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut Datuk Ilyas. Datuk Ilyas berpihak dengannya? 

"Kenapa Hadif kena minta maaf?" Syaiful Hadif tidak puas hati. Selama ini, dia tidak pernah dan tidak perlu minta maaf dengan Sayf Harith. Segala kesalahannya terhadap abang tirinya, Datuk Ilyas akan menyuruh Sayf Harith untuk mengalah dan dia tidak perlu mengucap kata maaf.

"Sebab Ika bakal isteri Hadif. Hadif kena bertanggungjawab kalau Ika ada buat salah. Selepas kahwin, Hadif yang akan tanggung dosa-dosa Ika."

Mallika memegang lengan Syaiful Hadif dengan erat. Dia tidak mahu Syaiful Hadif melawan kata-kata Datuk Ilyas. Syaiful Hadif faham dengan isyarat halus itu. Egonya akan tercalar jika dia menurut arahan Datuk Ilyas tapi dia ada pilihan lain ke? 

"Daddy...Ika faham. Ika sedar ini salah Ika."

Mallika bergerak mendekati Sayf Harith. "Harith, I nak minta maaf sebab buat kecoh kat ofis you. I menyesal dan I harap you maafkan I." Mallika cuba maniskan muka.

"Ika pun nak minta maaf dengan daddy sebab Ika dah susahkann daddy. Ika minta maaf daddy dan terima kasih sebab terima baik buruk Ika." Mallika menundukkan kepala. Mallika terpaksa rendahkan diri di depan Datuk Ilyas.

"Hadif?" Datuk Ilyas kini mengalih perhatian kepada Syaiful Hadif.

Syaiful Hadif hanya mematungkan diri. Mulut berat untuk mengucap kata maaf kepada abang tirinya. Hari ini adalah hari yang paling malang untuk Syaiful Hadif!

Sayf Harith berpusing ke belakang dengan riak wajah yang bersahaja, "I am waiting my dear brother." 

Syaiful Hadif pejam mata untuk sesaat. Dia terpaksa menelan penghinaan ini demI Datuk Ilyas. Demi jawatan CEO ARQ & CO.

"Aku minta maaf." suara Syaiful Hadif mendatar.

"Apa dia? Aku tak berapa dengar." Sayf Harith senyum simpul.

"Aku minta maaf! Puas hati kau?" 

Datuk Ilyas angguk kepala perlahan. "Sekarang masalah dah selesai. kita tutup cerita ni dan sambung hidup kita macam biasa. Okey?"

Syaiful Hadif sekadar mengiyakan. 

"Hadif dan Ika boleh keluar sekarang. Harith, duduk dulu." arah Datuk Ilyas.

"Okey daddy." jawab Syaiful Hadif lalu menarik tangan Mallika untuk keluar dari pejabat Datuk Ilyas.

Sayf Harith boleh rasakan ada sesuatu yang tidak baik bakal terjadi. Sayf Harith tidak mahu duduk lama. "Harith ada hal. Kita bincang hari lain."

Tanpa menunggu balasan dari Datuk Ilyas, Sayf Harith bingkas bangun lalu melangkah menuju ke pintu.

"Hadif akan ganti tempat daddy!" Datuk Ilyas berteriak.

Pergerakan Sayf Harith termati. Tangan tidak sempat mencapai tombol pintu. Sayf Harith mengepal penumbuk. 

"Kalau daddy dah buat keputusan buat apa nak bincang dengan Harith?" Sayf Harith tidak mahu memandang Datuk Ilyas. Hati sudah tawar dengan ayah sendiri. Datuk Ilyas berdiri dari kerusi lalu perlahan-lahan berjalan ke Sayf Harith yang berdiri membelakanginya. 

"Sebab Harith seorang je yang boleh pujuk Uncle Arshad . Daddy perlukan pertolongan Harith."

Sayf Harith meraup rambut ke belakang. Luluh hatinya bila mendengar permintaan Datuk Ilyas. Sayf Harith menaikkan bola matanya ke atas.Nafas ditarik sebelum badannya dipusing untuk bertentang mata dengan Datuk Ilyas. 

"Sekarang baru Harith faham. Harith mati-mati ingat tadi yang daddy dah..."Sayf Harith terbantut untuk meneruskan kata. Dia kecewa dengan tindakan Datuk Ilyas yang menyebelahi dirinya sebentar tadi hanya untuk mengambil hati. Rupa-rupanya Datuk llyas ada niatnya tersendiri!

"Kenapa Harith ni bodoh sangat? Masih tak nampak dan tak kenal perangai daddy. Daddy tak akan salahkan Hadif. Dari dulu lagi, kalau Hadif terang-terang buat salah, daddy buat-buat tak nampak!"

"Harith...ini permintaan daddy yang terakhir. Lepas ni, daddy tak minta apa-apa lagi dah. Daddy nak Harith setuju dengan syarat Uncle Arshad. Uncle Arshad setuju kalau Hadif ganti tempat daddy asalkan Harith terus kerja kat sini." Datuk Ilyas bersuara lembut. Dia tahu anak lelakinya berhati lembut sama seperti arwah isterinya.

"Nonsense! Kalau Hadif ganti tempat daddy, buat apa Harith kerja kat sini? Lebih baik Harith balik Dubai kerja dengan Uncle Arshad!" Sayf Harith mendengus. Mati hidup balik pun, dia tidak akan bekerja di bawah Syaiful Hadif.

"Daddy tak ada pilihan. Itu syarat Uncle Arshad kamu! Harith sendiri tahu yang Uncle Arshad ada kuasa dalam syarikat ni. Dia mempunyai saham sebanyak enam puluh peratus dalam syarikat ni. Daddy setakat ada dua puluh peratus je."

"Jadi daddy nak Harith cakap dengan Uncle Arshad yang Harith setuju? Kan senang kalau Harith je yang ganti tempat daddy."

"Apa perasaan Hadif kalau Harith ganti tempat daddy? Mesti dia rasa terpinggir. Nanti dia ingat yang selama ni daddy berpura-pura sayangkan dia."

"Macam mana dengan perasaan Harith? Daddy tak pernah terfikir ke selama ni apa Harith rasa? Apa perasaan Harith bila daddy banyak lebihkan masa untuk Hadif? Daddy kasi semua perhatian daddy kepada Hadif...Harith? Ada daddy ambil kisah? Daddy jawab soalan Harith."

Datuk Ilyas meraup muka.

"Daddy tahu yang daddy dah abaikan Harith sejak ummi Harith tak ada dengan kita. Walau macam mana pun, Harith tetap anak daddy. Darah daging daddy. Air dicincang tidak akan putus. Tapi Hadif? Bapak dia hilang, entah kat mana sekarang ni. Harith tak kesian dengan Hadif ke? Dia tak ada sesiapa dalam dunia ni. Jadi apa salahnya kalau Hadif ganti tempat daddy? Daddy nak Hadif rasa yang dia ada keluarga."

"Harith dah kehilangan ummi. Selepas daddy kahwin dengan cik rosita, Hadif dapat daddy tapi Harith? Harith kehilangan daddy. Dahlah cik rosita tak sukakan Harith. Tak ke Hadif lagi beruntung? Waktu tu dia masih ada mak dan dapat pulak daddy baru. Harith ni macam kehilangan kedua-duanya." Sayf Harith ketap bibir. 

"Harith...Itu semua cerita lama. Kenapa masih nak ungkit lagi?" Datuk Ilyas mula hilang sabar. Dia malas nak layan karenah Sayf Harith yang masih terikat dengan kisah lama.

"Daddy tak faham! Daddy tak pernah cuba nak ambil tahu apa yang Harith lalui sejak Harith kehilangan ummi."

Jeda.

"Harith tak nak bual pasal ni. Harith nak balik ofis."

"Sayf Harith bin Datuk Ilyas Shah! Come back here!

Sayf Harith terus meninggalkan bilik itu tanpa menghiraukan jeritan Datuk Ilyas.

***

Sayf Harith termenung jauh. Sel-sel otak cuba mencari sebab mengapa pakciknya membuat syarat sebegitu. Sayf Harith terus mencapai telefon pintar miliknya. Aplikasi Whatsapp dibuka. Mesej perlu dihantar kepada pakciknya di Dubai. Dia perlukan jawapan! Kalau boleh sekarang juga dia mahukan jawapan itu.

"Harith, kau okey tak? Dari tadi aku duduk sini, aku tengok kau ni asyik diam je. Apa jadi kat ofis daddy kau?" Luqman risau dengan keadaan Sayf Harith yang banyak berdiam.

Sayf Harith mengangkat kedua bahu. "No comment."

"No comment? Hmm..ada benda terjadilah tu."

"Hana macam mana?" soal Sayf Harith. Dia terlupa tentang perihal wanita itu.

"Dia okey. Lepas kau seret perempuan tu keluar, aku cuba untuk tenangkan dia. Kita orang setakat dengar perempuan tu menjerit tak tentu pasal. Masa kau masuk balik, macam kau nampaklah, Dia diam je."

Sayf Harith mengetuk meja dengan pena. Kata-kata Mallika sedikit sebanyak menggangu fikirannya. Rahsia apa lagi yang dia tak tahu?

Luqman terdengar ketukan di pintu. Melihat keadaan kawan karibnya yang sibuk mengelamun, Luqman menjawab bagi pihak Sayf Harith.

"Masuk je!"

Lutfi muncul di sebalik pintu dengan membawa fail berwarna hitam. Fail hitam dipeluk rapat ke dada. 

"Luq, kau masih kat sini?" soal Lutfi ramah.

"Lagi lima minit aku nak cabut." Luqman tersengih.

"Harith, ini dokumen yang kau nak." Lutfi meletakkan fail hitam di atas meja Sayf Harith. Sayf Harith tidak menjawab. Mata merenung ke penanya yang sedang berputar ligat dicelah jari-jemarinya.

"Kalau tak ada apa-apa, aku keluar dulu." ujar Lutfi pantas. Dia boleh rasakan betapa tegangnya suasana di dalam bilik Sayf Harith. Lebih baik dia cabut dulu.

"Lutfi." Sayf Harith memanggil dengan suara mendatar.

"Kau nak aku buat apa? Aku boleh tolong. Kau cakap je!" Lutfi laju menjawab. Dia mahu mengambil hati Sayf Harith. 

Pena sudah berhenti bermain di jari. Sayf Harith dekatkan tubuh ke meja. Jari telunjuk menggosok dahi seolah dia sedang berfikir akan sesuatu. Sayf Harith cuba senyum.

"Kenapa kau masuk lambat hari ni?" soal Sayf Harith.

Lutfi terus kaku. Dia tidak boleh cepat melatah di depan Sayf Harith. Nanti nampak sangat yang dia menipu.

"Aku dah check our e-system. Kau tak ambil cuti. Lagi pun kau sendiri tahu kalau aku tak ada, kau tak boleh ambil cuti termasuk cuti setengah hari. Salah satu antara kita mesti ada kat ofis. Jadi apa cerita? Ada perkara yang aku tak tahu ke?"

Lutfi tarik nafas. Dia sudah pun menyusun rencana dengan Hana Sofea awal tadi. Nasib baik dia bijak setapak!

"Oooh! Sebenarnya, ibu angkat Hana terlupa bawa kunci jadi dia terkunci kat luar rumah. Hana minta tolong aku untuk hantarkan kunci kat ibu angkat dia." tutur Lutfi dengan yakin. Dia mesti tunjukkan yang dia tidak menipu.

"Kenapa bukan Hana je yang balik rumah? Kenapa perlu minta tolong dengan kau? Hana tak cakap apa-apa dengan aku?" soal Sayf Harith bertalu-talu.

"Hana mana ada kereta. Kalau naik teksi, kesian dia. Tak ke buang duit tu? Aku ada kereta jadi aku tolonglah dia. Hana tu staf kita jugak. Aku kena tolong staf-staf kita kalau dia orang ada masalah."

Sayf Harith terfikir buat seketika. Mata perlahan-lahan bergerak ke arah Luqman. Sayf Harith mengharapkan pendapat dari kawan karibnya. Luqman faham sangat dengan isyarat mata dari Sayf Harith tetapi dia tidak berani untuk memberi pendapat. Luqman menggaru tengkuk sambil mengangkat kedua bahu.

Lutfi mula gelisah bila Sayf Harith dan Luqman langsung tidak buka mulut. Cerita tak menyakinkan sangat ke?

"Kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Hana." Lutfi menambah tetapi dalam hati berharap Sayf Harith tidak akan bertanya. Manalah tahu Hana Sofea tiba-tiba berubah fikiran dan tidak mahu bersubahat dengan dia.

"Kenapa kau tak mesej aku?" Sayf Harith tidak mahu panjangkan isu.

"Aku ingat kau masih kat Penang. Aku minta maaf sebab aku ingat aku sempat balik ofis sebelum waktu makan tapi kau tahulah jalan sesak...itu sebab aku lambat."

Sayf Harith sudah hilang idea untuk menyoal. "Lain kali kau mesej je. Aku tak nak ada salah faham."

"Aku faham. Lain kali, apa-apa hal aku mesej kau."

"Dah pukul enam ni, Kau tak balik ke?" Sayf Harith sekadar bertanya.

"Aku nak baliklah ni. Kalau tak ada apa-apa lagi, aku gerak dulu?"

Sayf Harith senyum kecil tanda mengiyakan.

"Okeylah, aku balik dulu. Bye Luq." Lutfi menepuk bahu Luqman. Luqman berpusing lalu mengangkat tangan kepada Lutfi. Sebaik sahaja Lutfi keluar dari bilik, Luqman menoleh ke Sayf Harith. Mata Sayf Harith terpejam sambil jarinya mengetuk-getuk dahi.

"Harith...Kau rasa cerita Lutfi tu boleh percaya ke?"

"Percaya atau tidak, satu hari nanti Lutfi akan muntahkan semua penipuan dia." balas Sayf Harith bersahaja dengan mata tertutup.

"Aku ada perkara nak tanya kau sebab aku seganlah nak tanya Hana."

Mata Sayf Harith terbuka lalu senyuman kecil terukir di bibir. "Ini mesti kau nak tanya pasal apa Mallika cakap tadi."

"Betul ke apa yang Mallika cakap tu? yang Hana..."

Sayf Harith duduk tegak. Luqman dipandang dengan wajah serius. "Betul. Apa yang kau dengar dari Mallika, itu semua memang benar."

Mata Luqman perlahan-lahan menjadi besar. Otak sibuk menghadam semua informasi yang dia dapat tetapi dia masih gagal menjawab teka-teki yang bermain di kepala otak.

Sayf Harith menggeleng kepala. "Tak perlu nak buat muka stres macam tu. Tak apa, biar aku tolong ringankan beban kau."

"Kau ingat masa aku baru balik dari Dubai? Aku ajak kau pergi ke salah satu tanah perumahan milik atuk aku?"

Luqman berkerut dahi.

"Kalau kau masih ingat, kat kawasan tu ada perempuan pengsan kat tepi jalan. Aku hantar dia pergi hospital."

Luqman cuba untuk ingat. 

"Wait! Are you saying that...perempuan yang kau tolong tu...Hana Sofea?"

"Bingo," Sayf Harith petik jari.

"Aku nampak Hana kejar kereta Hadif. Aku selidik sikit. Aku tanya jiran sebelah dan orang yang tinggal kat kawasan tu. Dia orang semua cakap yang tinggal dalam rumah tu, sepasang suami isteri. Private investigator aku sendiri yang confirmkan yang Hana dan Hadif tu dulu adalah suami isteri yang sah."

"Aku nampak Hana buat kali kedua bila dia datang temuduga. Aku pelik kenapa dia macam tak kisah apply kerja kat sini. Rupanya dia sendiri tak tahu yang Hadif ada kat sini. Untuk pendekkan cerita, aku sebenarnya minta HR untuk letak Hana Sofea kerja kat ofis aku."

"Asal aku tak tahu? Kenapa kau tak minta tolong dari aku je?" Luqman mula berjauh hati.

"Sebab masa tu, kau tak ada! Kau sedang bercuti. Jadi aku terpaksalah minta tolong dari staf kau. Kalau boleh, aku minta tolong dari kau terus. Senang kerja aku! Tak perlu nak cari alasan asal aku nak Hana dalam team aku."

"Tapi Hana tahu ke tak yang kau dah lama tahu pasal status dia?"

Sayf Harith mengjongket bahu. "Entah. Tak penting pun kalau dia tahu yang aku tahu pasal status dia. Bukan merubah apa-apa pun."

Sayf Harith mengambil telefon pintarnya bila terdengar bunyi menandakan ada mesej baru masuk dari aplikasi Whatsapp. Mata melilau membaca isi kandungan lalu jari-jemari sibuk menaip untuk membalas mesej itu.

"Harith...Kalau aku tanya, kau jangan marah tau." 

"Tanyalah." Sayf Harith masih sibuk menaip mesej.

"Kau pernah cakap yang kau dengan Hana tak mungkin boleh bersama...sebab dia bekas isteri Hadif ke?"

Sayf Harith buat-buat tak dengar. Mata masih terpaku di skrin telefon. Luqman beranikan diri untuk menyoal lagi.

"Kalau Hana tak ada kaitan dengan Hadif, kau...kau rasa kau dengan Hana tu ada peluang tak? Peluang untuk menjadi lebih dari kawan?"

Soalan Luqman sengaja dibiarkan sepi walhal dalam hati, Sayf Harith sudah ada jawapannya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Selma Q