Home Novel Cinta Anehnya Cinta
SINOPSIS

SINOPSIS

Nur Afini. Ada yang mengatakan nama ini sedap didengari. Ada pula yang mengatakan ianya biasa-biasa sahaja. Tetapi itu hanyalah sebuah nama. Bagaimanakah orangnya? Cantikkah rupanya? Elokkah sikapnya?

Rupa??? Biarlah anda mentafsir sendiri mengikut kaca mata anda. Sikap??? Ini yang menarik tentang wanita yang bertubuh kecil tetapi berhati gentar ini. Berdirinya di atas sebuah kebenaran tidak pernah goyang. Akan ditentang andai perkara yang dilontarkan kepadanya itu adalah suatu penipuan. Keras kepalanya pun boleh tahan dan degilnya pula tidak terlawan. Tetapi akan dipastikan keras kepala dan degilnya itu bertempat. Tidak pula sehingga menyulitkan insan lainnya.

Yus. Saat pertama kali bertentang pandang dengannya pasti ramai wanita di luar sana akan meleleh air liur melihatnya. Ketinggian dan kekacakannya menyempurnai dirinya. Ditambah pula dengan kekayaan yang bergunung sebagai bonusnya. Adakah anda teringin tahu bagaimanakah sikapnya? Perkataan pertama yang sesuai untuk menggambarkan dirinya.... Baran!!! Baran yang dicampur dengan keras kepala dan didarab pula dengan rasa curiga yang khususnya untuk kaum Hawa. Kenapa kaum Hawa? Kerana dirinya pernah dilukai oleh seorang wanita yang bernama Nur Kamiilah!

Pertemuaan Afini dengan Yus telah menggegarkan D’Astana Living Sdn. Bhd. Yus, lelaki ini sering kali mengamalkan sikap autokrasinya dan tidak disenangi oleh Afini. Apa lagi, berlakulah perbalahan kecil tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perang dunia. Siapa sangka dua insan yang sering bermasa muka ini akhirnya terpaksa mendirikan rumah tangga. Terpaksa? Oh! Ungkapan itu hanya berpihak kepada Afini dan bukannya lelaki yang sedang tertawa bahagia dapat menikahi wanita malang ini. Gembiranya hati tidak terkata kerana dapat menikahi wanita yang amat dicintainya. Tetapi gembiranya tidak lama. Status gayyang dipegangnya membawa bencana kepada dirinya.

Jeff. Lelaki ini dianggap oleh Afini sebagai ‘madunya’. Rasa cemburu pada mulanya tidak terkesan. Tetapi di saat semaian kasih yang akhirnya mencambahkan cinta kepada suaminya itu, maka berlinanglah air mata dan bermaharajalelalah cemburunya. Memcemburui Jeff sehingga membawa kepada sengsara yang akhirnya merantai dirinya dengan derita.

Zack. Lelaki ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Afini, sahabatnya ini sering kali dicari bila diri menghadapi konflik. Keakraban Afini dan Zack telah membakar api cemburu di hati Yus. Disakiti dan dilukai hati Afini kerana mencurangi dirinya. Kepercayaan terhadap kaum Hawa yang mulai menebal kini kian menipis sehingga membawa kepada dendam. Dendam yang menghampiri sebuah kehancuran. Namun di saat Yus mengetahui suatu kebenaran maka dicarinya Siti, teman sejati Afini dengan harapan dapat dikembalikan isteri yang masih dicintainya itu. Adakah Yus berjaya mendapatkan kembali kebahagiaan yang dihancurinya sendiri?

Nur Afini dan Mohd. Yusuf. Dua insan yang sinonim dengan kedegilan ini terpaksa mengharungi sebuah kehidupan yang penuh dengan kebencian dan kesengsaraan. Kesengsaraan yang ditunjang oleh seorang wanita yang bernama Nur Kamiilah! Siapakah Nur Kamiilah? Apakah kaitan wanita ini dengan Afini, Yus dan Dato’ Haji Mohd. Haalim? Siapakah pula Siti Jannah? Wanita ini ingin dihabisi oleh Nur Kamiilah! Mampukah Afini melindungi Siti Jannah daripada kekejaman Nur Kamiilah sedangkan hatinya turut tercalar dan remuk kerana Siti Jannah lah emaknya menderita. Apakah yang perlu dilakukan oleh Nur Afini dalam mengharungi gunungan dugaan yang tidak pernah kenal erti penat memanah dirinya? Harapannya, biarlah nama Nur Afini yang mewakili dirinya mampu menjadi azimat untuknya terus bangkit sehinggalah tersinarnya sebuah kebahagiaan!

Next: PROLOG

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.