Home Cerpen Keluarga Duri Durian
Duri Durian
sha_shira sha_shira
15/9/2013 18:21:45
905
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Musim durian sudah kembali. Sejak beberapa hari lalu, awal-awal pagi lagi Nek Jah sudah menyusul anak dan cucunya untuk meminta mereka mengutip durian yang luruh. Bimbang jika tidak diingatkan, masing-masing akan buat tidak tahu dan durian yang luruh akan menjadi buruk dan busuk. Kerana itu, dia tegar mendatangi rumah anak perempuan yang hanya seratus meter dari rumahnya itu untuk mengingatkan tentang tugas yang satu itu.

Nek Jah sudah tua, tidak berdaya lagi untuk melakukannya. Malah, tubuhnya bongkok pula. Dirinya yang sudah mencecah usia 70-an memang sudah uzur. Kalau 10 tahun yang lalu, memang dia sendiri yang akan mengunjungi kebun durian peninggalan arwah suaminya itu. Tidak perlu mengharapkan orang lain.

Dengan ditemani cucunya, mereka akan berjalan bersama-sama ke kebun yang hanya 1 kilometer jaraknya dari rumah. Tapi itu cerita dulu. Ketika dirinya masih gagah berjalan jauh. Kini, Nek Jah sudah tidak berupaya melakukannya. Seiring dengan masa yang pantas berlari meninggalkannya, kudrat juga semakin hari semakin merosot. Hanya anak cucu yang diharapkan untuk pergi mengutip durian yang berguguran di kebun itu.

Walaupun dia tahu anak perempuannya itu jelak dan jemu dengan tugas mengutip durian itu, dia tidak ada pilihan lain. Hanya Hasiana yang menjadi harapannya kerana anak-anaknya yang lain tidak ada kelapangan untuk melakukannya.

Hasiana mengeluh perlahan. Bosan pula apabila terpaksa menjadi sukarelawan mengutip durian setiap kali musim durian tiba. Namun begitu, dia terpaksa menahan sabar.

Apa nak dikata, juga tiada apa-apa yang boleh dilakukannya kerana adik-beradiknya yang lain sama ada tinggal jauh dari kampung tempat dia dan emaknya menetap, atau bekerja. Kerana dia suri rumah tangga sepenuh masa, tanggungjawab yang satu itu jatuh kepadanya.

Tubuh anak gadis yang masih enak berbungkus selimut walau jam sudah melepasi jarum tujuh itu digoyang perlahan. Si anak gadis yang pulang bercuti di kampung sempena cuti semesternya itu ditatap. Hasiana tahu anak gadisnya itu tidur lewat semalam. Malah, sejak berada di rumah lebih kurang dua bulan yang lalu, anak itu jarang-jarang sekali tidur awal.

Selagi jam tidak menunjukkan pukul dua, tiga pagi, mata anak itu tidak akan sesekali terpejam.Bukan buat apapun, hanya menonton televisyen seolah-olah tidak ada hari esok. Drama Korea yang menjadi kegilaan anak muda sekarang turut diminati oleh anak gadis yang seorang itu.

Pun Hasiana tidak menegah kerana dia tahu, apabila anak itu pulang kembali ke kampusnya, kesempatan untuk menonton televisyen juga tertutup bersama kesibukan sebagai seorang pelajar.

“Angah, bangunlah. Temankan ibu pergi kebun durian.”

Angah menggeliat malas. Matanya yang masih terasa berat terasa amat sukar untuk dicelik. Bebelan ibu terasa bagai muzik yang terus melenakan tidurnya. Lima minit berlalu. Suara ibu sudah tidak kedengaran. Perlahan-lahan Angah memaksa diri untuk bangkit dan mengatur langkah ke bilik air walaupun sedikit terhuyung-hayang. Rasa mengantuk masih bermaharajalela dalam dirinya.

Angah pantas mengunci pintu rumah apabila panggilan ibu sudah bertukar menjadi tempikan. Kakinya dihayun pantas dan punggung dilabuhkan di tempat duduk belakang kereta. Angah tidak mempedulikan pandangan mata ibu yang tajam. Matanya kembali dipejam walaupun tidak lelap. Sekadar melayan rasa mengantuk yang masih kuat bergayut di kelopak mata. Hasiana tidak pula berkata apa-apa.

Suasana kebun durian pada waktu pagi itu sunyi dan nyaman. Tiada seorang manusiapun yang kelihatan. Juga tiada sebarang makhluk Tuhan yang lain. Sunyi dan sepi menyerkup ruang.

Hasiana melangkah pantas ke hujung kebun sambil menarik sebuah troli yang memang dikhaskan untuk mengangkut durian. Angah pula terus melakukan kerja-kerja mencari dan mengutip durian. Lagi cepat kutip, lagi cepat balik, lagi bagus. Detik hati Angah.

Durian-durian yang bergelimpangan di bawah pokok durian berjaya menceriakan sedikit hati Angah. Memang pemandangan ini yang disukai Angah jika menjejak ke kebun durian. Seolah-olah sedang berada dalam ‘treasure hunt’. Angah tersengih sendiri dengan analoginya itu. Angah pantas mengutip durian-durian itu dan dikumpulkan di satu tempat supaya senang untuk dimasukkan ke dalam troli nanti.

Sambil berjalan, Angah mendongak memandang durian yang bergayut di dahan pokok. Fikirannya mula menerawang yang tidak-tidak. Memikirkan yang dia pasti ‘innalillah...’ jika salah satu raja buah itu gugur menimpa kepalanya.Angah menggeleng-geleng kepala. Tangan pula pantas mengetuk perlahan kepala. Akal yang waras memarahi minda kerana berfikir yang tidak-tidak. ‘Hisy, mintak dijauhkan.’ Detik Angah sendiri.

Hasiana termengah-mengah kepenatan. Setroli durian yang dikutip dibawa ke bonet kereta. Sambil memasukkan durian itu ke dalam bonet, Hasiana memerhatikan tingkah Angah yang masih berada di bawah pokok durian. Terbongkok-bongkok gadis itu mengutip durian yang berselerakan. Sambil mengutip durian, mulut anak gadis itu terkumat-kamit seolah-olah sedang membaca jampi serapah.Entah apa yang diperkatakan. Geli hati pula dia melihat gelagat anak gadis itu.

Langkah Angah yang menghampiri Hasiana membuatkan kerjanya terhenti seketika. Anak itu rupa-rupanya sedang menyanyikan lagu ‘Ya Allah’ nyanyian Wali Band.Suara Angah perlahan sahaja, seakan-akan berbisik.

Ya Allah, jangan kau coba aku

Melebihi batas mampu dan sanggupku

Ya Allah, bila memang kau coba

Akupun percaya Kau sayang padaku…

Angah tersenyum memandang Hasiana. Tangannya pantas bekerja, mengambil buah durian dari troli dan membersihkan segala dedaunan yang melekat di duri-duri durian itu. Siap sebiji, diambil pula sebiji lagi buah durian. Perbuatannya diulang-ulang. Mulutnya pula terus terkumat-kamit, menyanyikan lagu yang menghiburkan dan dalam masa yang sama, memuji-muji kebesaran Tuhan.

Seusai tugas mengutip durian dan selepas memastikan tiada sebiji durianpun yang tertinggal, Hasiana menghidupkan kereta. Peluh yang membasahi dahi sekadar dilap dengan belakang tangan. Tugasnya di kebun durian itu sudah berakhir hari ini. Esok, kebun itu akan dijejak lagi.

Angah memunggah buah durian yang berlonggok di dalam bonet kereta dan dilonggokkan di depan pintu rumah. Di atas kerusi yang diletak di tepi tangga, Nek Jah sudah setia menanti.

“Banyak durian hari ni, Ngah?”

“Boleh tahanlah.”

“Angah nak makan durian? Boleh nenek kopekkan.”

“Tak naklah, nek. Penat lagi ni. Nanti Angah nak makan, Angah kopek sendiri.”

Nek Jah tersenyum gembira melihat buah durian yang diangkut oleh Angah. Dia masih menanti untuk melihat berapa banyak durian yang dibawa pulang oleh anak cucunya itu. Jika banyak, bolehlah dijual dan hasilnya nanti akan dikongsi bersama cucu-cucunya juga.

Angah merebahkan tubuh di ruang tamu.Kepenatan menjalar ke seluruh tubuhnya. Peluh yang membasahi tubuh membuatkan Angah rasa tidak selesa. Telinganya mendengar perbualan antara ibu dan neneknya tanpa niat untuk menyampuk.Sekadar mendengar apa-apa yang dibicarakan sahaja.

“Nanti mak nak buat kenduri sikit.Bolehlah jamu orang kampung makan pulut durian sikit.”

Hasiana mendengar kata-kata Nek Jah tanpa menyampuk. Dia tahu niat emaknya itu baik. Dia juga selalu bersedekah buah durian dari kebun arwah bapanya itu kepada jiran tetangga. Harapan mereka cuma satu iaitu pahala sedekah itu akan sampai kepada arwah Haji Awang yang sudah bertahun-tahun pulang ke rahmatullah.

“Nanti Ana telefon Kak Long, Kak Nik dengan Abang Mat. Elok juga tu.Lagipun, minggu ni Kak Min nak balik kampung. Kalau ramai-ramai seronaklah.”

Nek Jah mengangguk setuju. Anak-anaknya yang seramai tujuh orang itu tidak semua selalu ditemui. Masing-masing sudah besar panjang dan ada tanggungjawab sendiri. Anak yang tinggal senegeri dengannya juga hanya ditemui pada hujung minggu jika anak itu berkunjung.Apatah lagi anak-anak lain yang sudah berumah tangga dan mengikut suami masing-masing. Lagilah jarang-jarang bertemu mata.

Malam itu rumah Nek Jah riuh-rendah dengan suara anak cucu. Tetamu yang diundang ke majlis kecil itu juga menambah riuh suasana. Sementara menunggu Tok Imam datang dan mengetuai majlis, masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

Cicit-cicit Nek Jah dari Kuala Lumpur, Aiman, Amir dan Fahmi becok berbicara sesama sendiri. Mata masing-masing pula melekat di skrin tablet milik mama mereka itu.

Cucu-cucu perempuan yang lain pula sibuk di dapur, membantu menghidangkan makanan. Nek Jah tersenyum sayu. Suasana itulah yang sering dirindui tatkala dia bersendirian. Sesekali bila kesempatan datang, Nek Jah tidak melepaskan peluang untuk berkumpul bersama anak cucunya. Bahagia yang dirasa walau sebentar cuma itulah yang menjadi bekalan untuk dia meniti sisa hidup yang masih berbaki.

Hasiana melihat gelagat Angah yang riang dengan pandangan yang pelik. Hari ini, hari terakhir Angah berada di rumah kerana esok, dia akan kembali ke universitinya.Hasiana terasa pelik dengan perubahan Angah. Walaupun tidak ketara, hati seorang ibu terdetik rasa curiga.

Hari ini, seawal jam tujuh pagi lagi Angah sudah bersiap sedia untuk mengikuti Hasiana ke kebun durian. Tanpa perlu dikejut seperti biasa, anak gadis itu bangun awal pada hari ini. Senyuman yang terukir di wajah Angah terasa lain macam pada pandangan Hasiana. Entah apa yang seronok sangat. Sedangkan, selama ni, kalau nak pergi kebun durian, kena heret dulu baru nak bergerak. Bisik hati Hasiana.

Fikiran yang tidak-tidak itu cuba dicampak jauh-jauh. Kalimah istighfar diulang berkali-kali, menyeru sedikit ketenangan datang ke dalam hati.

Angah melangkah ke kebun durian milik arwah datuknya itu dengan perasaan gembira yang lain macam hari ini. Entah kenapa, dia terasa bagaikan digamit-gamit untuk mengunjungi kebun itu.

Banyak buah durian yang bergelimpangan di atas tanah. Hasiana juga terasa aneh dengan bilangan buah durian yang berguguran pada hari ini. Terasa lebih banyak daripada biasa. Rasa tidak sedap hati ditolak jauh-jauh. Melihatkan Angah yang sudah memulakan kerja mencari dan mengutip durian, Hasiana turut melajukan langkah.

Hasiana tidak menyangka. Angah juga tidak menduga. Saat Angah sedang terbongkok-bongkok mengutip durian di bawah pokok durian yang buahnya memang menjadi kegemaran Angah kerana rasa yang manis dan sedap, ‘bedebuk!’ bunyi durian jatuh, berserta dedaunan yang berguguran. Hasiana yang berada jauh di hujung kebun durian tersentak. Sebaik sahaja dia menoleh, matanya nampak Angah terbaring di bawah pokok durian. Hasiana rasa tubuhnya ringan, bagaikan terapung di awangan. Pemandangan ngeri di depan matanya itu dirasakan bagai mimpi.

“Angah!!!”

Jeritan Hasiana yang keras bergema di seluruh kawasan kebun durian. Bagai tidak cukup tanah Hasiana berlari mendapatkan Angah. Air mata jatuh di pipinya seperti air terjun membasahi pipi, bercampur dengan peluh yang juga basah di wajah.

Angah nampak tubuh ibunya berlari mendapatkannya. Kesakitan yang dirasakan tidak terucap dengan kata-kata. Matanya terasa berat seakan ditindih dengan batu. Wajah ibunya nampak kabur di pandangan. Kebun durian juga nampak kabur di mata Angah sebelum pandangannya menjadi gelap. Buat selama-lamanya.

Hasiana seakan-akan mendengar sayu suara Angah menyanyikan lagu kegemarannya. Pilu menyerkup ke seluruh ruang dada. Doanya, semoga Angah tenang di sana.

Ya Allah, jangan kau coba aku

Melebihi batas mampu dan sanggupku

Ya Allah, bila memang kau coba

Akupun percaya Kau sayang padaku…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.