Home Cerpen Keluarga Takdir Lebih Indah
Takdir Lebih Indah
sha_shira sha_shira
26/7/2015 01:24:48
1,576
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Salah dirinyakah apabila dia masih sendiri di saat usia sudah menjengah senja? Bukan tiada usaha dilakukan untuk mencari teman hidup, namun semuanya tidak menampakkan hasil yang positif.

Bukan dia tidak percaya pada cinta. Tidak! Dia perempuan normal yang punya perasaan, ingin mencintai dan dicintai, mahu berkongsi hidup dengan seorang lelaki bergelar suami. Namun, takdir menentukan dia tidak bertemu dengan lelaki itu. Lalu, pantaskah takdir Tuhan yang disalahkan? Layakkah dia mempersoalkan ketentuan Ilahi sedangkan dirinya hanyalah hamba yang hina?

Hanna menyeka air mata yang mengalir lesu.Dia sendirian di dalam kamar, menangisi nasib diri yang malang. Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya diraikan penuh keceriaan dan ketenangan tidak memberikan sinar buat dirinya. Bukan kerana hari istimewa itu, tetapi kerana sikap penyibuk dan mulut manusia yang tidak mampu ditutup.

Pedih hatinya apabila disindir oleh sepupu-sepupu yang lebih muda daripadanya. Sangkanya, emak-emak mereka akan menasihatkan anak-anak perempuan mereka itu, namun sebaliknya yang terjadi.Emak-emak saudaranya turut tumpang sekaki mempersendakan status bujangnya tanpa mempedulikan air mata yang semakin berat bertakung di matanya.

Ibu Hanna, Puan Iman mengetap bibir apabila telinga tuanya terdengar bicara sinis sanak saudara tentang status Hanna. Air matanya sendiri mengalir di pipi tanpa dapat ditahan. Pilu hati seorang ibu apabila anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang diperlakukan seolah-olah sampah yang tidak punya nilai oleh sanak saudara sendiri semata-mata kerana anak itu tidak pernah berkahwin.

« Kak Hanna, kenapa akak tak kahwin-kahwin lagi ? Akak bukan dah tua ke? Tak laku ke?”

Zap! Bagaikan terkena renjatan elektrik hati tua Puan Iman tersentap dengan kata-kata salah seorang anak saudaranya yang datang bertandang ke rumah pada pagi Syawal itu. Hanna yang sedang menghidangkan air buat mereka tersentak. Tertumpah sedikit air yang ingin dihidangkan.

Pantas dia meminta diri untuk ke dapur.Katanya mahu mengambil kain buruk untuk mengelap air yang tumpah, namun Puan Iman tahu bahawa anak itu ingin melarikan diri untuk mengelap air mata sendiri.

Sakitnya hati Hanna hanya Tuhan yang tahu. Sepupu yang melontarkan kata-kata itu kepadanya 15 tahun lebih muda daripadanya. Pada usia 25 tahun, sepupunya itu sudah berumah tangga dan bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Sedangkan dia, pada usia yang sudah menjangkau 40 tahun, masih lagi memegang status bujang. Kerana itulah, dirinya dijadikan bahan gurauan dan modal untuk mereka semua mengutuk dan mengata.

Hanna hanya mampu tersenyum kelat. Perasaan kesal bertandang dalam hatinya dengan kebiadapan sepupunya itu. Baru tidak sampai 15 minit yang lalu sepupunya itu mengucapkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan memohon kemaafan daripadanya, kini, mulut yang sama itu lancang sahaja mempersendakan Hanna.

“Mak Lang peliklah tengok kau ni, Hanna. Nak cakap kau ni hodoh, rupa tu ada. Boleh tahanlah jugak. Tapi, kenapa sampai sekarang tak dapat laki lagi? Kau ni normal ke tak, hah?”

Allah! Allah! Hanna menahan air mata yang ingin mengalir dengan sekuat hati. Kalau ikutkan, hatinya sudah lunyai dengan kata-kata sindiran daripada sanak saudaranya sendiri. Kalau ikut hatinya yang panas, mahu sahaja tetamu-tetamu yang biadap itu dihalau keluar dari rumah. Biar puas hatinya!

Namun, dia masih tahu adab sopan. Masakan dia hendak menghalau dan memalukan tetamu yang bertandang pada pagi Syawal walaupun mereka bersikap seperti orang tidak bertamadun? Baik buruk mereka, tetap pertalian darah itu terjalin. Kerana itu, ditahan sahaja telinga mendengar kata-kata sinis mereka. Disabarkan hati yang sudah remuk dengan cercaan sinis mereka. Biarlah! Kalau mereka bahagia dengan mengata dan mempersendakan dirinya, biarlah! Hanna reda sahaja. Tuhan pasti lebih tahu yang terbaik untuk hambaNya.

Pintu bilik Hanna diketuk perlahan. Suara ibu memanggil nama Hanna masih sama dengan nada yang digunakan sewaktu Hanna masih kecil. Bagi ibu, Hanna selama-lamanya akan menjadi anak kecil yang perlu diperhatikan dan dibelai selalu. Hanna kesat air mata yang bersisa di pipi. Dia pantas menuju ke bilik air dan membasuh muka. Biar Nampak segar pada pandangan ibu. Biar ibu tidak risau memikirkan perasaannya yang terluka.

“Ya, bu? Ada apa? Ibu nak Hanna buat apa-apa ke? Maaf, Hanna tak dengar ibu panggil.”

Puan Iman senyum kepada Hanna. Hatinya merusuh melihat wajah Hanna yang keruh. Senyuman yang diukir Hanna Nampak benar seperti terpaksa. Tangan Puan Iman menyentuh pipi Hanna yang sedikit merah petanda anak itu baru lepas menangis. Hanna senyum kepada ibu. Tangannya sendiri pantas menggenggam tangan ibu yang terasa mesra di pipinya.

“Ibu jangan risau. Hanna ok. Hanna…”

Puan Iman menggeleng kesal. Sikap sanak saudara yang suka mengata dengan tidak memikirkan perasaan orang sangat dikesalkan. Namun, apa dayanya, mulut tempayan bolehlah ditutup, mulut orang? Sabarkan sahajalah hati.

“Hanna, jangan sedih, sayang. Walaupun Hanna belum jumpa jodoh Hanna yang dah ditetapkan oleh Tuhan, Hanna jangan kecewa. Tuhan tahu yang terbaik untuk kita, sayang.”

Hanna angguk kepala. Hatinya terharu dengan kata-kata ibu yang penuh kasih sayang. Dipanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan seorang ibu yang sungguh baik. Ibu tidak pernah menyalahkan sesiapa atas takdir yang dijalaninya, jauh sekali hendak memaksanya mengubah keadaan. Bagi ibu, cukuplah Hanna hidup dengan sihat sejahtera dan ada di depan matanya. Yang lain-lain, itu urusan Tuhan. Apa hak hamba-hambaNya untuk mempersoalkan takdir dan ketentuan Tuhan?

“Terima kasih, ibu sebab selalu ada di sisi Hanna. Hanna bertuah sangat ada ibu. Biarlah, bu, apa orang nak kata. Nanti penat mulut mereka, senyaplah tu.”

Puan Iman senyum manis kepada Hanna. Hati tuanya senang melihat sinar keceriaan yang kembali terpancar di wajah Hanna. Senyuman manis anak itu membahagiakannya. Betul kata Hanna, dia tidak sepatutnya terlalu memikirkan kata-kata orang. Penat nanti, mulut-mulut busuk itu pasti akan berhenti mengata.

Hanna menggeliat malas. Hari ini hari terakhir dia di rumah bersama ibu kerana cuti Aidilfitrinya selama seminggu sudah berakhir. Semalam, beg pakaian dan barang yang hendak dibawa ke Kuala Lumpur sudah siap dikemas dan dimasukkan ke dalam kereta. Hari ini dia akan memulakan perjalanan selepas sarapan.

Puan Iman sedang sibuk di dapur menyediakan nasi lemak sambal sotong kegemaran Hanna. Dia mahu menjamu anak itu dengan makanan yang sedap sebelum Hanna pulang ke Kuala Lumpur. Dia tahu apabila Hanna sudah kembali bekerja, anak itu tidak begitu mengambil berat perihal makan.

Sering kali apabila dia menelefon untuk bertanya khabar dan bertanyakan sama ada Hanna sudah makan atau tidak, jawapannya adalah tidak. Kesempatan untuk memanjakan Hanna dengan makanan kegemarannya tidak pernah dilepaskan oleh Puan Iman setiap kali anak perempuannya itu pulang ke rumah.

Hanna masuk ke dapur dan menyapa ibu yang sedang menghidangkan makanan di atas meja. Dipeluk dan dicium pipi ibu penuh kasih sayang.

“Ibu, kenapa susah-susah masak banyak-banyak ni? Kenapa tak panggil Hanna tolong?”

Puan Iman geleng kepala melihat Hanna yang sudah mula mencedok nasi ke dalam pinggan walau mulutnya bising memprotes. Pun begitu, hatinya berbunga melihat Hanna yang begitu teruja melihat makanan yang disediakan seolah-olah tidak pernah melihat nasi lemak sambal sotong. Keterujaan Hanna membuatkan Puan Iman turut teruja sama. Disambut pinggan yang dihulurkan oleh Hanna dan dilabuhkan punggung di depan Hanna yang sudah mula mencedok sambal sotong ke dalam pinggannya sendiri.

“Terima kasih, ibu sebab masakkan Hanna nasi lemak sambal sotong ni. Dah lama Hanna nak makan, tapi tak sempat nak buat. Ibu memang terbaiklah!”

Hanna menyuap nasi ke mulut dengan penuh selera. Habis sepinggan, tangannya laju sahaja menambahkan nasi dan sambal sotong ke dalam pinggan. Sesekali, mulut Hanna memuji keenakan masakan Puan Iman yang tiada tandingan. Masakan ibu memang terbaik!

Selepas makan dan berehat seketika, Hanna meminta izin daripada ibu untuk memulakan perjalanan jauhnya ke Kuala Lumpur. Meski hatinya berat untuk meninggalkan ibu, namun demi tugas, dipaksakan juga kaki melangkah. Dia mahu tinggal lebih lama di rumah untuk menemani ibu yang bersendirian, namun apa dayanya, tuntutan tugas memanggilnya kembali ke tempatnya bermastautin mencari rezeki.

“Ibu, Hanna sayang ibu. Sayang sangat-sangat. Hanna bertuah ada ibu macam ibu. Hanna minta maaf kalau ada salah silap selama Hanna hidup, bu. Kalau ada Hanna lukakan hati ibu, Hanna minta maaf. Dan kalau pernah ibu rasa malu sebab Hanna anak dara tua, Hanna minta maaf banyak-banyak, bu. Hanna sayang ibu.”

Puan Iman seakan-akan tidak percaya apabila mendengar luahan hati Hanna. Allah! Dibisikkan kalimah suci itu di dalam hati berkali-kali. Demi Tuhan yang menciptakan langit, bumi dan seluruh alam, tidak pernah dia berasa malu mempunyai anak seperti Hanna! Sungguh dia pilu mendengar kata-kata Hanna yang jelas menggambarkan rasa hatinya yang terkilan dengan tohmahan dan sindiran orang. Puan Iman menahan air mata yang ingin tumpah. Dia tidak mahu menangis di depan Hanna kerana dia tidak mahu anak itu susah hati. Lalu, bibir dipaksa mengukir senyuman manis.

“Hanna sayang, ibu tak pernah malu ada anak macam Hanna. Dan Hanna pun jangan malu dengan takdir Hanna. Tuhan tahu yang terbaik untuk kita, sayang. Kalau bukan kat dunia ni, kat sana nanti, Tuhan pasti balas kesabaran Hanna dengan ganjaran yang lebih indah. Tuhan tak akan pernah mengecewakan kita, Hanna. Percayalah!”

Hanna kucup pipi ibu penuh kasih sayang. Sorotan mata Hanna Nampak berbeza daripada biasa. Puan Iman resah melihat gelagat Hanna yang aneh. Hanna seolah-olah menatap wajahnya untuk kali yang terakhir kali. Benar anak itu selalu berbicara seperti itulah kali terakhir mereka akan bersua setiap kali dia mahu pulang ke Kuala Lumpur, namun kali ini, perasaan tidak senang tiba-tiba menyusup masuk ke hati seorang ibu.

Namun begitu, Puan Iman tidak menyuarakan keresahannya kepada Hanna. Berkali-kali dia beristighfar memohon keampunan daripada Tuhan. Juga doa dititipkan agar Tuhan yang Satu melindungi satu-satunya anak perempuan miliknya itu.

“Hati-hati memandu, sayang.Ibu sayang Hanna, ingat tu. Biar orang nak kata apa, ibu tetap bangga dengan Hanna dari dulu sampai sekarang dan sampai bila-bila. »

Hanna peluk tubuh ibu erat-erat. Hangat pelukan ibu mengalirkan ketenangan dalam hatinya. Kasih sayang ibu memberikannya kekuatan untuk melangkah ke hadapan terus. Per’syaitan’kan mulut busuk orang yang tidak habis-habis mengata, bisik hati Hanna.

Hakikatnya, mulut manusia yang busuk hati tidak akan pernah berhenti berbicara dan mengutuk kelemahan orang lain tidak kiralah orang itu masih hidup, sedang koma ataupun telah lama lenyap dari muka bumi. Pasti ada sahaja yang tidak kena. Pasti ada sahaja yang hendak dikeji dan dicaci. Hendak diapakan, memang itu fitrah ramai manusia.

“Ibu, Hanna dah maafkan semua yang selalu mengata Hanna. Biarlah mereka nak kata apa, tak jadi kudis dah pada Hanna. Lagipun, lepas ni kata-kata mereka semua tu dah tak boleh nak sakitkan hati Hanna lagi. Jadi, biarlah. Hanna reda, bu. Ibu pun, jangan simpan dalam hati kata-kata mereka tu. Biarlah.”

Puan Iman mengangguk mendengar kata-kata Hanna yang menggetarkan jiwanya. Terbias keikhlasan daripada kata-kata Hanna itu tanda dia sudah merelakan segalanya yang telah berlaku.

Perlahan dan sayu suara Hanna mengucapkan selamat tinggal kepada ibu. Hanna sudah relakan segala-galanya. Takdir Tuhan itu lebih indah; hanya manusia yang kufur nikmat tidak dapat melihat keindahan itu. Perjalanannya masih jauh. Dia mahu memulakan hidup baru dengan tenang dan aman damai.

Puan Iman berteleku di hadapan kuburan yang masih merah itu. Di dalamnya, jasad kaku Hanna sedang bersemadi dengan tenang dan aman damai. Pada usia 40 tahun, Hanna dijemput pulang ke sisi Pencipta meninggalkan ibu tua meneruskan kehidupan dengan segala macam kenangan.

Puan Iman reda. 30 tahun lepas, satu kemalangan telah meragut nyawa suaminya menyebabkan Hanna menjadi anak yatim pada usia yang masih mentah. Kini, kemalangan juga yang meragut nyawa anak tunggal kesayangannya menyebabkan dia tinggal sendirian meniti sisa kehidupan. Pun begitu, Puan Iman tidak menyalahkan sesiapa. Baginya, takdir Tuhan itu lebih indah.

Tuhan pasti tahu yang terbaik untuk hambaNya. Dia percaya, Tuhan itu tidak akan pernah mengecewakan hambaNya yang selalu sabar menghadapi ujian. Jika bukan di dunia, di akhirat sana pasti ada ganjaran yang lebih istimewa sedang menanti.


1.06 AM, 26/7/2015

Di kala ilham datang membanjiri minda dan mata sangat liat untuk dilelapkan...^^

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.