Home Cerpen Cinta Selagi Nafas Belum Terhenti
Selagi Nafas Belum Terhenti
sha_shira sha_shira
10/11/2013 21:50:17
1,190
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta
Wajah Fasya yang kaku tanpa emosi Hadi tatap dengan penuh kasih sayang. Sudah enam bulan berlalu sejak tragedi itu berlaku tapi Fasya tetap tegar membatu apabila berdepan dengannya. Kalau berkata-katapun hanya sekadar untuk meluahkan rasa marah dan terkilan di hati.Hadi akur, silapnya kerana gagal melindungi anak dan isteri. Namun, hukuman daripada Fasya terasa amat pedih untuk dijalani. Apatah lagi setiap kali anak sulung mereka, Adam Muiz bertanyakan ibunya, Hadi mati kutu untuk menjawab. Puas diberikan pelbagai alasan untuk menyenangkan hati anak itu, namun Adam tetap tidak jemu bertanyakan perihal ibunya dari hari ke hari.

"Abang akan tunggu sayang selama-lamanya kalau itu yang akan buat sayang kembali. Abang minta maaf sebab gagal lindungi sayang dan anak kita, tapi Adam pun anak kita juga dan dia perlukan kasih sayang ibunya. Sayang tak kasihankan Adam?"

Fasya mengesat air mata yang berguguran di pipi. Sejak kemalangan yang menyebabkan kematian anak kembarnya berlaku, Fasya dilanda kesedihan yang maha dahsyat. Wajah Hadi yang keruh tidak sedikitpun menarik simpatinya. Segala kesalahan dihempapkan ke pundak Hadi. Bagi Fasya, salah Hadi anak-anaknya mati. Dan kini, Hadi senang-senang sahaja menuturkan kata maaf!

"Abang baliklah tengok Adam. Fasya nak berehat."

Dingin sahaja kata-kata itu diluahkan. Fasya rasa marah, sakit hati setiap kali menatap wajah Hadi. Kerana Hadi, anak-anak yang sudah lama dinantikan mati. Kerana kecuaian Hadi ketika memandu!

Wajah Adam Muiz terbayang di minda. Anak berusia tujuh tahun itu pasti rindukannya. Tapi, Fasya tidak sanggup untuk pulang ke sisi Hadi yang dianggap pembunuh anak-anak mereka. Biarlah Adam bersama Hadi kerana dia tidak tahu sejauh mana dia kuat untuk berhadapan dengan anak itu. Dia tidak mahu menangis di depan Adam. Juga tidak betah terus menyakitkan hati Hadi.

Hadi mengeluh perlahan. Sia-sia sahaja usahanya untuk memujuk Fasya. Kerasnya hati Fasya mengalahkan kerikil di jalanan. Berbuih mulutnya memohon maaf, Fasya tetap buat tak tahu. Kalau dia punya kuasa, pasti dia tidak akan membenarkan kemalangan itu terjadi.Hakikatnya, bukan salah dirinya kemalangan itu terjadi. Tapi, salah seorang bangsa asing yang mabuk ketika memandu dan kereta yang dipandunya bertembung dengan kereta yang dipandu Hadi. Fasya yang sarat mengandungkan anak kembar mereka tersepit di dalam kereta, manakala Hadi mengalami cedera ringan.

Di depan bilik rawatan kecemasan, Hadi pengsan menerima berita kematian anak kembarnya yang dikeluarkan oleh para doktor melalui pembedahan. Suasana pilu menyelubungi apabila Adam teresak-esak dalam pelukan Hadi yang juga menangis tanpa suara. Ahli keluarga yang datang juga tidak mampu untuk menenangkan Adam atau Hadi. Masing-masing terkedu dengan ujian yang tidak diduga itu.

Tiga hari Fasya koma selepas kemalangan itu. Sebaik sedar daripada koma, Fasya berterusan menyalahkan Hadi atas kematian anak-anak mereka. Malah, Fasya turut menyalahkan Hadi kerana dia tidak sempat menatap wajah anak-anak itu sebelum mereka dikebumikan.

"Abang balik dulu. Sayang jangan sedih-sedih sangat. Bila sayang dah bersedia, pulanglah kepada kami."

Fasya tidak menolehpun kepada Hadi yang mula melangkah keluar daripada kamar tidurnya itu. Di luar bilik, kedengaran suara Pak Jamil menyapa Hadi. Fasya tidak mempedulikan keadaan di luar bilik. Dia terus melayan perasaan, membayangkan wajah anak kembarnya yang tidak sempat ditatap.

Pak Jamil mengajak Hadi duduk di beranda rumah. Mak Limah turut menyertai perbualan dua beranak itu.

"Sabarlah, Hadi. Fasya tu memang keras kepala orangnya. Nanti dia dah sedar diri, dia pulanglah kepada kamu dan Adam."

Mak Limah mula mengesat air mata. Pilu hati tuanya tiap kali berbicara pasal Fasya yang masih tidak mahu menerima hakikat kematian anak-anaknya. Dan sikap Fasya yang terus-menerus menyalahkan Hadi membuatkan hati tuanya semakin rasa bersalah.

"Saya... saya tahu saya bersalah sebab gagal lindungi anak isteri saya. Tapi, dah setengah tahun, yah. Adam tu rindukan ibunya, tapi Fasya tetap tak nak jumpa dia. Saya serba salah. Kesian Adam."

Pak Jamil mengeluh. Dia juga kasihankan cucu tunggalnya itu yang jelas semakin susut tubuh badan apabila tidak diendahkan ibu sendiri.

"Entahlah, Di. Ayahpun pening kepala melayan Fasya tu. Biarlah dia. Kalau dipaksa-paksa, lain pulak jadinya. "

Mak Limah turut memberikan nasihat serupa kepada Hadi. Sebelum anak muda itu melangkah pulang, sempat dibekalkan nasi lemak kegemaran Adam. Doanya, kasih yang renggang antara anak menantunya itu segera bertaut kembali.

Adam menyambut kepulangan Hadi dengan wajah yang teruja. Kepalanya tertinjau-tinjau mencari kelibat ibu yang sangat dirindui. Adam kecewa apabila hanya papanya sahaja yang keluar dari kereta. Wajah comelnya mula berubah muram.

Hadi senyum menatap wajah Adam. Riak wajah Adam yang kecewa menyakitkan jiwa raganya, namun Hadi menahan sabar. Dipeluk tubuh kecil Adam dan didukung anak itu. Pipi Adam dikucup lembut. Di belakang Adam, pengasuh yang diupah oleh Hadi tersenyum kepada Hadi. Di tangah Mak Senah terdapat segelas susu.

"Adam nakal tak hari ni?"

Adam merangkul leher papanya dan menggeleng lesu. Mak Senah menghampiri Hadi untuk mengambil Adam dari dukungan papanya itu, namun Adam tidak mahu melepaskan leher Hadi. Hadi senyum sahaja. Maklum dengan sikap Adam yang mahukan perhatiannya.

"Tak apa, Mak Senah. Mak Senah pergilah berehat."

Gelas susu di tangan diletakkan di atas meja kopi. Wajah Mak Senah yang bersih jelas nampak risau.

"Encik Hadi, pagi tadi Adam demam. Mak Senah dah bagi ubat. Dia meracau dalam tidur panggil ibu dia. Kesian Mak Senah tengok Adam."

Hadi mengeluh. Hatinya pilu mendengar kata-kata Mak Senah. Jika Mak Senah yang baru sahaja diambil untuk menjaga Adam pun boleh berasa kasihan melihat keadaan Adam, bagaimana pula Fasya yang mengandung dan melahirkan Adam boleh buat acuh tak acuh dengan keadaan anak itu yang kerinduan?

"Terima kasih, Mak Senah. Biar saya jaga Adam. "

Tubuh kecil Adam yang lesu dipeluk erat.

"Adam nak makan nasi lemak? Nenek bekalkan nasi lemak sambal udang yang Adam suka tu."

Adam geleng kepala.

"Adam dah makan tadi, papa. Adam tak lapar."

Hadi bawa Adam ke dalam bilik dan dibaringkan. Mata anak itu sudah layu. Bila-bila masa saja akan terlena.

"Pa, nanti papa bawa Adam jumpa ibu, boleh? Adam rindukan ibu."

Hadi angguk. Dahi Adam dikucup dan tubuhnya dibaringkan di sebelah Adam. Sempat Hadi berbisik di telinga Adam.

"Nanti Adam dah sembuh, papa bawa Adam jumpa ibu, ya? Adam tidurlah."

Deringan telefon bimbit jenama Note 3 mengganggu lena Hadi. Pantas gajet itu dicapai dan panggilan disambungkan. Hadi melihat sekilas kepada Adam yang masih lena.

" Ya?"

" Abang... "

Hadi kenal suara itu. Suara Fasya ! Lembut suara Fasya membuai Hadi yang kerinduan.

"Adam ok?"

Pertanyaan Fasya buat Hadi berdebar-debar. Soalan itu dirasakan amat pelik sekali.

"Adam demam sikit, tapi dah bagi makan ubat. Dia rindukan ibu dia."

Fasya teresak di hujung talian. Hadi mula berasa cemas dengan reaksi Fasya yang langsung tidak dijangka.

"Abang jaga Adam baik-baik, ya? Fasya sayangkan Adam."

Hadi raup muka yang terasa tegang. Sayang tapi kenapa tinggalkan? Rindu tapi kenapa tak nak pulang? Dalam hati, Hadi berperang dengan pelbagai emosi.

"Fasya nak balik ke? Esok abang boleh pergi jemput."

Jawapan Fasya buat Hadi terasa ingin melompat ke langit biru. Fasya mahu pulang! Fasya akan pulang! Selepas berjanji akan menjemput Fasya keesokan hari, Hadi memutuskan talian. Dahi Adam dikucup sayang.

"Ibu nak pulang esok, sayang. Ibu rindukan Adam."

Pagi yang indah. Pagi yang ceria. Pagi yang membahagiakan buat Hadi dan Adam. Pagi-pagi lagi Adam sudah bersiap untuk pergi menjemput ibunya. Senyum manis tidak lekang daripada bibir comel itu. Hadi juga begitu. Penampilannya dirapikan untuk pergi menjemput Fasya. Kesudian Fasya untuk pulang selepas hampir setengah tahun membuatkan Adam dan Hadi sama-sama teruja.

Sebelum bertolak ke kampung halaman Fasya di Bentong, Pahang, Hadi sempat membelikan sejambak bunga matahari kegemaran Fasya. Adam yang tolong bawakan bunga itu juga tersenyum ceria. Sebaik kereta Hadi melepasi tol Gombak, telefonnya berdering. Panggilan Fasya! Adam menyambut panggilan itu.

"Assalamualaikum, ibu! Adam dengan papa on the way nak pergi jemput ibu ni. Ibu tunggu Adam dengan papa tau. I miss you, ibu."

Hadi tersenyum sendiri mendengar perbualan Adam dan Fasya. Hari ini, kasih anak dan ibu yang sudah lama renggang akan bertaut kembali. Perasaan bahagia memenuhi dada Hadi hingga tidak terucap!

"Adam love you, ibu. Papa pun love you. Bye-bye, ibu."

Adam tersenyum selepas menamatkan perbualan dengan Fasya.

"Ibu cakap, ibu masak sedap untuk kita. Ibu tunggu kita kat rumah nenek."

Hadi angguk. Sempat tangannya mengusap kepala Adam. Kepulangan Fasya ke rumah akan menyempurnakan keluarga mereka sekali lagi.

'Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi...'

Suara perempuan di dalam mesin yang menjawab panggilannya membuatkan Fasya tidak senang duduk. Sudah beberapa jam berlalu sejak panggilannya disambut oleh Adam, namun bayang suami dan anaknya itu masih belum kelihatan. Fasya mula diganggu fikiran yang tidak-tidak.

Deringan telefon yang tiba-tiba menerjah mengejutkan Fasya. Pantas disambungkan panggilan tanpa melihat nama pemanggil di skrin telefon.

"Saya Inspektor Azmi dari IPD Bentong nak maklumkan kepada puan tentang kemalangan yang menimpa suami dan anak puan..."

Fasya tidak sempat mendengar kata-kata yang selanjutnya kerana tubuhnya sudah terjelopok di atas lantai disaksikan oleh Pak Jamil dan Mak Munah yang terperanjat dengan keadaan Fasya yang tiba-tiba. 

Pak Jamil pantas mengambil telefon Fasya dan beristighfar panjang lelaki tua itu dengan berita yang didengarnya."Innalillahi wainna ilahirajiuun..."(Daripada Allah kita datang dan kepadanya kita dikembalikan..."

Fasya masih belum kering air mata di depan pusara suami dan anaknya yang baru sahaja selamat dikuburkan. Terbayang-bayang di mindanya keadaan kereta Proton Saga FLV milik Hadi yang remuk teruk akibat dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux yang hilang kawalan. Masih jelas di mindanya sejambak bunga matahari yang bertaburan di tempat kejadian yang dibasahi darah anak dan suaminya.Terngiang-ngiang suara Adam dalam perbualan terakhir mereka.

"Adam love you, ibu. Papa pun love you. Bye-bye, ibu."



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.