Home Cerpen Cinta Terpaksa Melupakanmu
Terpaksa Melupakanmu
sha_shira sha_shira
11/11/2013 00:45:36
1,244
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta
Wajah abah yang masam mencuka ditatap dengan perasaan gerun yang mula memenuhi dada. Julia tahu, abah marahkannya. Begitu juga emak dan abangnya, masing-masing menyimpan kemarahan terhadapnya. Pertemuan dengan teman lelakinya yang diaturkan langsung tidak berjalan lancar.

Sebaik sahaja teman lelakinya diperkenalkan kepada ahli keluarganya, masing-masing jelas mempamerkan riak wajah tidak bersetuju dengan pilihan hatinya. Malah, abang terang-terangan menyindir teman lelakinya secara tidak bertapis. Abah pula, masam mencuka dari saat pertama diperkenalkan sehinggalah lelaki itu melangkah pulang.

Sebaik sahaja Ikram pulang, abah menyuruh Julia duduk di sofa. Wajah masam abah menceritakan segalanya. Abah tidak sukakan pilihan hatinya!

"Lelaki macam tu kau pilih nak buat suami, Lia? Abah tak setuju ! Abah takkan bagi restu ! "

Julia telan liur dengar suara abah yang keras tanpa kompromi. Wajah emak juga muram. Teruk sangatkah Ikram? Bisik Julia dalam hati. Padahal, baginya Ikramlah lelaki terbaik pernah ditemui. Lelaki itu amat taat pada agama, malah berkerjaya orangnya. Hanya kerana lelaki itu sudah mencecah usia 40-an dan dia baru berusia 23 tahun, abah, emak dan abang menghalang niat mereka untuk disatukan.

Julia memendam rasa tidak puas hati. Baginya, ada apa pada umur? Umur tua atau muda tidak menjanjikan bahagia, tapi ahli keluarganya jelas mempunyai pendapat yang berbeza.

"Aku nak padankan kau dengan Khairul yang muda belia tu, kau tak nak! Yang tua nak pencen tu jugak yang kau pilih! Kau ni dah buta ke apa, hah?"

Keras suara abang mengejutkan Julia daripada lamunan pendeknya. Wajah abang merah padam menahan marah. Namun, Julia tidak akan mengalah tanpa berjuang. Pantas dibela kekasih hatinya di depan abah, emak dan abang.

Wajah abang yang bagai singa tak cukup makan memang menakutkannya, namun Julia kuatkan hati. Dia cintakan Ikram dan tidak ada orang boleh mengubah perasaan itu!

"Julia sayangkan Abang Ikram. Lagipun, ada apa pada umur? Usia muda ke, tua ke, kalau dah jodoh, nak kata apa?"

Pang! Bagai mercun meletup di wajahnya, tangan kasar abang sudah mendarat di pipi Julia. Terteleng kepala Julia dengan tamparan abangnya yang kasar itu. Serentak, air mata berjujuh-jujuh gugur di pipi Julia. Fahmi langsung tidak peduli dengan tangisan Julia. Baginya, adik yang seorang itu perlu diajar.

"Julia tak kira! Julia nak kahwin jugak dengan Abang Ikram! Takde siapapun boleh halang!"

Terjegil biji mata abah dengan pendiriannya. Abah pantas beristighfar berulang kali untuk mendapatkan ketenangan. Selama ini, apa sahaja yang diminta Julia pasti akan diberikan.Julia anak yang bijak dan kejayaan anak itu mendapatkan biasiswa selama pengajiannya di universiti memang membanggakannya sebagai seorang bapa. Namun, apabila anak kesayangannya itu memohon restu untuk berkahwin dengan Ikram si duda anak dua itu, hati tuanya pantas membangkang.

Sakit hati abah apabila Julia tidak mahu berganjak daripada keputusannya. Tindakan Fahmi menampar Julia memang tidak berkenan di hatinya, namun dia tidak betah menghalang. Jika dengan sebuah tamparan mampu membetulkan otak Julia yang sudah tak berapa betul itu, abah sanggup membenarkan Fahmi melempang anak kesayangannya itu.

"Abah takkan walikan pernikahan Lia dengan duda tu! Kalau Lia sayangkan abah dan emak, putuskan hubungan Lia dengan Ikram!"

Julia ternganga dengan keputusan muktamad abah. Jelas abah tidak mahu berkompromi dan pastinya, segala surat-menyurat atau emel sekalipun tidak akan dilayan! Julia tahan rasa hati. Walaupun dia sedang marah, dia masih sedar di depannya itu siapa. Emak dan abah yang sudah banyak berjasa! Juga abang yang selama ini menjaga dan melindunginya!

Julia pantas melangkah masuk ke bilik tidur. Berdentum pintu bilik dihempas sebagai tanda protes. Abah dan emak hanya mampu beristighfar.

Julia menghubungi telefon bimbit Ikram dan hatinya lega apabila Ikram tenang menjawab panggilannya. Di hujung talian, Ikram menasihatkan Julia supaya bersabar. Jika ada jodoh, mereka pasti bersatu dan jika tiada, Ikram reda dengan ketentuan.

Teresak Julia dengan kata-kata nasihat Ikram yang lemah-lembut. Memang itupun yang mengikat hati Julia kepada Ikram. Ikram baik orangnya, tutur katanya pun lembut sahaja. Julia jadi marah pada keluarga yang menjadi penghalang hubungannya dengan Ikram.

"Abang harap Julia bahagia dengan pilihan keluarga. Jangan kecewakan emak abah Lia. Jaga diri baik-baik, sayang."

SMS terakhir daripada Ikram buat dunia Julia terasa berhenti berputar. Terasa berat kepalanya memikirkan kesudahan hubungannya dengan Ikram yang disayangi. Mata yang penuh dengan air akhirnya mengalah juga. Bercucuran air mata mengalir di pipi Julia.

Ikram mengucapkan selamat kepadanya. Ikram sudah pergi dari hidupnya.

"Puaslah hati abang tengok Lia macam ni, kan? Abang memang tak guna!"Fahmi tersenyum sinis mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Julia. Tidak berbekas pun di hatinya kerana yang paling penting, Ikram tak guna tu sudah berambus dari hidup adiknya!

"Abang cuma nak Lia bahagia. Percayalah cakap abang, kalau Lia dengan Ikram, Lia takkan bahagia! Mark my words!"

Julia melemparkan bantal dan patung beruang yang berada di atas katilnya kepada Fahmi untuk melepaskan rasa sakit hati. Abangnya itu tidak langsung mengelak atau mengaduh apabila terkena balingannya. Malah, lelaki itu tersenyum puas kerana berjaya memisahkannya dengan Ikram!

Hazriq senyum memandang wajah Julia yang cemberut. Isteri yang baru dinikahinya itu dingin sahaja dengannya walaupun sudah seminggu mereka disatukan. Hazriq sedar Julia tidak sukakannya. Malah, Fahmi sudah menasihatkannya supaya bersabar dengan sikap Julia. Pun Hazriq tidak kisah dengan layanan Julia yang acuh tak acuh kepadanya kerana sedar dia bukan pilihan hati Julia. Namun, kerana cinta dan sayangnya kepada Julia, Hazriq betah bertahan dengan kedinginan Julia. Hazriq tahu, sekeras manapun Julia, kepadanya juga Julia akan berpaut satu hari nanti. Dia hanya perlu bersabar!

"Abang rindukan Lia. I want to see you."

Julia tersenyum menerima pesanan SMS daripada Ikram yang tiba-tiba. Ikram rindukan aku! Hati Julia terasa terawang di langit biru. Ternyata Ikram masih sayangkannya dan merinduinya. Sekujur tubuh Hazriq yang lena di sebelahnya langsung tidak dipedulikan. Julia hanyut dengan kata-kata manis Ikram.

Julia tersedar apabila jam loceng berbunyi tepat jam 6 pagi. Senyuman menghiasi wajah manis Julia. Tangan Hazriq yang memeluk pinggangnya dileraikan dengan perlahan. Hari ini, Julia akan bertemu dengan Ikram yang rindukannya!

Sambil menyanyi dan menyiapkan sarapan, Julia tersenyum-senyum sendirian. Terbayang wajah Ikram yang kacak. Terasa tidak sabar menunggu petang!

Akhbar Metro yang terdampar di atas meja makan menarik perhatian Julia, diambil dan dibaca. Berita kemalangan ngeri masih lagi tidak gagal untuk mendapat tempat di muka depan akhbar. Julia meneruskan pembacaan, namun matanya terbeliak dengan satu headline yang berbunyi 'Doktor Dadah Diberkas!' dengan gambar Ikram yang bergari dan diiringi pegawai polis terpampang di bawah tajuk akhbar itu.

Julia telan liur kelat. Tangan terasa menggigil sewaktu menyelak helaian akhbar ke muka surat yang dinyatakan. Mata mula berair apabila menyedari lelaki yang selama ini dipuji dan dipuja, malah diagung-agungkan di depan ahli keluarga rupa-rupanya seorang penjenayah yang berselindung di sebalik profesion sebagai seorang doktor!

Tanpa sedar, air mata membasahi pipi. Fahmi yang melangkah masuk ke ruang makan terkedu dengan keadaan Julia. Namun, apabila matanya meneliti keratan berita yang dibaca oleh Julia, Fahmi mula faham. Dia sebenarnya sudah lama tahu mengenai kegiatan tidak bermoral Ikram itu dan kerana itulah juga dia berkeras membantah hubungan Julia-Ikram.

Fahmi menarik tubuh Julia dan dipeluk. Julia juga tanpa segan silu menangis teresak-esak di dada Fahmi.

"Abang tahu Ikram memang bukan yang terbaik untuk adik abang yang manis ni."

Bertambah lebat air mata Julia mendengar kata-kata Fahmi. Sangkanya, Fahmi melarang hubungannya dengan Ikram hanya kerana perbezaan usia dan status duda lelaki itu. Rupa-rupanya, masih ada rahsia besar yang disimpan oleh abangnya itu.

"Lia minta maaf. Lia..."

"Shhh... Abang faham dan abang tak pernah salahkan Lia."

Julia pantas menyapu bersih air mata di pipi. Dia tidak mahu Hazriq tahu tentang sedikit drama yang berlaku tadi. Dalam hati, Julia bertekad mahu menjadi isteri terbaik buat Hazriq.

Senyuman manis mesra Julia yang menyambut langkah Hazriq masuk ke ruang makan membuatkan Fahmi, emak dan abah mengukir senyuman bahagia.





Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.