Home Cerpen Cinta Janji Luar Biasa
Janji Luar Biasa
Ikmal Hakimi
27/6/2016 01:55:14
2,770
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta


Semua lelaki sama sahaja. Suka menabur janji yang manis pada mulanya. Tetapi, lama kelamaan janji itu bertukar palsu. Aku dah tak percaya janji biasa. Aku harap, ada seseorang yang dapat memberi dan menepati Janji Yang Luar Biasa—Qasya.

Saat mata aku memandang dia, hati aku jadi lain. Berdebar-debar seperti hendak pecah. Aku cuba mengenali dia dengan lebih rapat daripada teman. Tetapi, dia menolak. Katanya, dia sudah fobia dengan janji lelaki yang palsu dan biasa. Tapi, aku berjanji untuk setia kepadanya dengan Janji Yang Luar Biasa. Kenapa dia masih tidak mahu. Adakah pintu hatinya terkunci dengan kekecewaan? Adakah aku mempunyai peluang?—Ayzad

“Faizul Firdaus Bin Abdullah, aku nikahkan kau dengan Aqasya Balqis Binti Darwis dengan mas kahwinnya RM 700 tunai" cakap Tok Kadi. Semua orang menunggu lafaz daripada pengantin lelaki. Begitu juga Aqasya aka Qasya yang sedang gembira di atas sofa pelamin. Hari ini, dia akan menjadi isteri orang setelah sekian lama menunggu saat ini.

Faizul terkebil-kebil. Mulutnya diam seribu bahasa. Semua orang sedang menunggu jawapannya. Qasya tiba-tiba berasa pelik. Kenapa dengan Faizul? Dia...sakit ke? Atau...dia gemuruh ke?
“Aku..." satu perkataan mula keluar daripada mulut Faizul. Semua orang excited. Tetapi, Faizul seakan-akan tidak mahu berkata-kata. Kenapa? Beberapa saat selepas itu, dia bangun dan berlari keluar mendapatkan keretanya.

“Faizul! Faizul! Awak nak pergi mana?" jerit Qasya sambil berlari ke arah Faizul yang sudah masuk ke kereta. Tetamu yang hadir mula kecoh. Majlis itu mula menjadi huru-hara. Tanpa menunggu apa-apa, Faizul menghidupkan enjin kereta dan berlalu pergi meninggalkan majlis tersebut dan juga Qasya.
Qasya tersungkur di atas tanah. Dia melihat kereta Faizul berlalu pergi. Matanya mula mengalirkan air mata.

“Ya Allah! Kenapa Faizul sanggup buat aku macam ni? Satu langkah saja lagi, aku akan tamatkan semua mimpi ngeri yang menyelubungi aku selama ini. Tapi, tak sangka pulak ia berulang" Qasya menangis semahu-mahunya. Semua mata memandang tubuh Qasya yang sedang tersungkur di atas tanah. Habis kotor baju pengantin miliknya
......

‘Knock'! ‘Knock'! Raisya mengetuk perlahan pintu bilik adiknya itu. Sudah tiga hari Qasya terperap dalam biliknya. Makan dan minum pun tak menentu. Kerana terlalu kecewa dengan kejadian hari itu, Qasya patah hati.

Raisya membuka perlahan pintu bilik Qasya. Apa yang dia dapat lihat, Qasya sedang merenung ke luar tingkap. Dia mendekati adiknya perlahan-lahan.

“Hmmm...Qasya,...jom kita makan. Mak dengan ayah dah tunggu dekat bawah" ajak Raisya dengan nada yang lembut. Qasya tidak memberikan apa-apa respon. Dia masih merenung ke luar jendela. Raisya menarik perlahan tangan Qasya. Tetapi, Qasya tidak mahu. Qasya terlalu sedih dengan kejadian hari itu.

“Qasya adik yang baik kan? Jom la kita makan. Lauk semuanya sedap. Mak dah masak makanan kegemaran Qasya, sambal ikan kerapu. Sedap. Mari?" ajak Raisya lagi. Dia risau akan adiknya yang sudah lama mengosongkan perut. Tetapi, ajakan itu semuanya sia-sia. Qasya masih lagi tidak memberi respon. Itu membuatkan air mata Raisya bergenang sedikit.“Qasya, lupakan saja lah pasal haritu. Perkara yang dah jadi. Kita tak boleh nak ulang. Mungkin, ada hikmah disebalik ketentuan Allah ini" jelas Raisya kepada Qasya. Qasya menatap wajah kakaknya itu.

“Akak...dah tiga kali akak. Tiga kali hubungan Qasya dengan mana-mana lelaki tidak menjadi. Kali pertama, tak sampai sehari pun Qasya kenal Yazid, kemudian dia tinggalkan Qasya. Yang kedua, Qasya bertemu dengan Sufian. Sufian baik tapi, dia pun tinggalkan Qasya setelah beberapa bulan. Qasya kecewa akak, tapi Qasya tak mengalah. Hampir tiga tahun Qasya korbankan diri kepada Faizul, ini yang dia balas? Mereka semua sama akak. Suka menabur janji yang palsu" terang Qasya dengan nada yang sedih.

Raisya juga sedih dengan kejadian yang menimpa adiknya. Apalah salah adiknya sehinggakan banyak musibah yang harus ditempuhi. Tetapi, Allah itu Maha Esa. Allah tahu apa yang terbaik buat Qasya.

“Ya Allah, kau kuatkan hati dan jiwa adikku ini untuk menerima dugaan-Mu. Aku faham dengan apa yang dia rasa. Tapi, tiada apa-apa yang dapat aku lakukan selain berdoa dan menasihati Qasya. Aku sangat sayangkan Qasya. Dialah satu-satunya adik yang aku ada" getus hati Raisya
......

Qasya menjalani rawatan kaunseling dan akhirnya sembuh. Kini, dia sedang menyambung pelajaran di universiti. Jika dia sedih, rakannya Lilia akan sentiasa berada di sisi. Qasya sudah fobia dengan lelaki dan juga janji. Bagi Qasya, tiada lagi janji yang benar daripada mana-mana lelaki. Dia sedang cuba menutup pintu hatinya untuk semua lelaki.

“Qasya, malam esok ada majlis tari menari dekat dewan. Jom lah kita pergi" ajak Lilia yang teruja. Qasya yang sedang menumpukan perhatian terhadap buku mendengarnya.

“Ye ke? Kalau macam tu, esok kita pergi sama-sama" Qasya gembira.

“Tapi, ada satu masalah la. Aku mana ada baju yang cantik. Malulah nak pergi dengan baju buruk aku ni. Mesti ramai orang lari daripada aku" cakap Lilia.

“Eleh! That's just a small problem. Kau jangan risau. Nanti kita pergi shopping. Aku belanja. Kau nak apa? Bakawali Couture? Jovian Mandagie? Fashion Valet? Semuanya boleh. Nanti kita pergi, kau pilih dan aku bayar" jelas Qasya.

“Apa tu? Jovian apa? Tak pernah pulak aku dengar. Aku selalu pakai baju yang dekat tepi pasar malam aje. Maklumlah, duit gaji daripada kerja sambilan aku cukup-cukup makan aje. Yang lain semua nak bayar yuran belajar” tutur Lilia.
“Ha...Tu la kau. Tak ikut fashion terkini. Kan dah ketinggalan. Ish ish ish” Qasya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Alah! Aku bukannya kaya macam kau. Tudung kau Naelofar. Aku pakai tudung bawal 5 ringgit je” Lilia mencebikkan bibir. Merajuk pulak!

“Tak apa. Nanti masa kita shopping, semua jenis tudung aku beli dekat kau. Naelofar, tudung MF shawls, Uqasha Senrose Collections, tudung saji, tudung periuk, semuanya aku belanja kau okey?” sindir Qasya yang cuba mengembalikan keceriaan dalam hati Lilia.

“Ish kau ni!” Lilia tersenyum sambil menampar lembut peha Qasya......
Malam itu, mereka berdua memakai baju yang paling cantik.Qasya dan Lilia sudah bersedia untuk ke majlis itu.

Sampai sahaja di majlis itu, Qasya dan Lilia berborak bersama-sama rakan yang lain. Tetapi, Qasya tidak tahu yang ada sepasang mata yang sedang memerhatikannya. Selepas itu, Qasya duduk berseorangan di salah sebuah bangku untuk menghirup udara segar di luar.

Sedang dia leka menikmati keindahan malam, seorang lelaki datang dan memberikannya sekuntum bunga ros merah. Qasya terkejut.

“Awak siapa ye? Kenapa bagi saya bunga?" tanya Qasya yang sedikit hairan. Lelaki itu tersenyum.

“Panggil saya Ayzad. Bunga ni sesuai untuk wanita cantik macam awak. Ambil lah" lelaki itu memperkenalkan dirinya. Qasya yang masih kaget hanya menerima bunga ros itu.

“Boleh saya duduk?"

“Silakan" Qasya mengalu-alukannya.

“Tadi, saya dah bagitau nama saya. Sekarang, apa pulak nama awak wahai puteri mahligai indah?" soal Ayzad membuatkan Qasya ketawa kecil.

“Panggil saya Qasya aje. Seronok berjumpa dengan awak" tutur Qasya.

“Me too. Kawan?" Ayzad melihat wajah Qasya membuatkan Qasya tersipu malu. Qasya tersenyum. Dia mengangguk perlahan. Ayzad sangat gembira pada waktu itu
......

Ringgggg! Telefon Qasya berbunyi tiba-tiba membuatkan Qasya tersentak. Skrin telefonnya memaparkan nama ‘Ayzad'. Aikkk? Buat apa Ayzad telefon aku? Kenapa pulak tiba-tiba? Qasya hairan.

Tetapi, dia tetap menjawab panggilan itu.

“Helo, assalamualaikum" Ayzad memulakan bicara.

"Waalaikumussalam. Kenapa awak telefon saya ye Ayzad? Awak ada masalah ke?" soal Qasya.

“Sebenarnya...saya nak ajak awak keluar makan. Jom la" ajak Ayzad.

“Ini keluar makan sahaja ke...temu janji? Kalau temu janji, saya tak nak. Kalau sebagai kawan, saya boleh pergi" jelas Qasya yang masih fobia dengan lelaki.

“Hmmm...ini hanya sekadar pertemuan antara rakan. Saya tunggu okey. Datang ke alamat kafe yang saya mesej. Assalamualaikum"

“Waalaikumussalam" balas Qasya sambil memutuskan panggilan. Eh! Kenapa dengan Ayzad ni? Dia suka dekat aku ke? Tak mungkin lah. Aku dah tak percaya dengan mana-mana lelaki. Lagipun, dia cakap ‘kawan' aje tadi
......

Qasya duduk bertentangan dengan Ayzad. Dia melihat wajah Ayzad yang sedang leka menenung dirinya. Mata Ayzad tidak henti-henti daripada menatap wajah Qasya. Qasya hairan.

“A..Ayzad, kenapa awak t..tengok saya macam tu ye? Pelik la. Buat saya malu" kata Qasya supaya Ayzad berhenti daripada terus memandangnya. Cuba kau orang bayangkan, orang asyik tatap wajah kita aje. Tak ke segan?

“Sebab awak cantik la. Wajah awak manis. Saya asyik terpegun dengan kecantikan awak" sengaja Ayzad memuji Qasya. Pipi Qasya dah merah menyala. Malu la katakan. Ish! Aku tahu la yang aku ni cantik. Tapi, tak perlu la tenung lama-lama.

“Okey...sebenarnya, awak ajak saya datang sini ada sebab ke? Atau...saje-saje?" tanya Qasya kepada Ayzad. Ayzad masih lagi menatap wajahnya.

“Saje. Saya nak tengok wajah awak yang cantik ni" sindir Ayzad. Qasya mula marah manja.

“Isy, Ayzad. Serius la. Jangan main-main" Qasya marah sedikit. Eh dia ni! Aku bagi buku lima kut! Karang tak pasal-pasal dia pun pakai pemerah pipi macam aku. Ayzad hanya ketawa kecil.

“Hahaha...Sebenarnya, saya ada satu permintaan daripada awak. Sebab itulah saya ajak awak datang ke sini"

"Apa permintaan awak tu? Kalau saya boleh tunaikan, insya Allah. Kalau tak, tak tahulah" jawab Qasya.

“Saya nak minta satu aje daripada awak. Boleh tak kalau....kita kenal dengan lebih rapat? Awak tahu, saya maksudkan kenal lebih daripada seorang kawan" pinta Ayzad. Mata kuyu Ayzad bertemu dengan mata bulat Qasya selama beberapa saat.

“Minta maaf Ayzad. Saya tak boleh. Saya dah fobia dengan lelaki. Saya dah tutup pintu hati saya untuk semua lelaki" Qasya menjawab selepas itu. Tak! Aku tak boleh. Hati aku sudah tidak dapat menerima kekecewaan lagi. Cukuplah sekadar tiga kali janji palsu dan biasa daripada lelaki. Aku tak mahu hati ini retak bak kaca yang pecah lagi. Terlalu lama masa yang aku ambil untuk mengubati hati yang pernah luka angkara janji. Janji biasa, palsu dan menyakitkan.

“Saya akan buka pintu hati awak untuk menerima saya Qasya. Saya tak nak lebih. Cuma nak awak saja" terang Ayzad lagi.

“Ayzad...jangan buat saya macam ni" Qasya serba salah.

“Tolonglah Qasya..." rayu Ayzad.

Qasya tersenyum. Dia memandang wajah Ayzad. “Tak boleh Ayzad. Saya tak boleh. Saya takut, kalau-kalau saya terluka lagi. Saya pergi dulu ye Ayzad? Assalamualaikum" Qasya cepat-cepat mengambil beg tangannya dan meninggalkan Ayzad
......

Qasya menatap gambar Ayzad yang ada dalam telefonnya. Dia berfikir sejenak. “Aku suka dia. Tapi, aku masih fobia dengan lelaki. Macam mana kalau dia sama dengan lelaki-lelaki yang pernah aku kenal?" luah hati kecil Qasya.

Sedang dia leka melihat gambar Ayzad, Raisya mengetuk pintu menyebabkan Qasya tersentak dan terus menyembunyikan telefonnya. Raisya masuk untuk melihat keadaan adik kesayangannya itu.

“Qasya buat apa tu? Boleh kita sembang sekejap tak?"

"Boleh. Marilah duduk dekat sini" Qasya dalam mood yang baik. Raisya gembira kerana Qasya sudah pulih daripada kekecewaan yang terlampau. Raisya mengharapkan bahawa adiknya akan melupakan segala kisah duka yang pernah menimpanya. Daripada A sampai Z.

Mereka berdua berbual-bual tentang diri masing-masing sehinggalah Qasya mahu bertanya satu soalan kepada Raisya.

“Akak, boleh Qasya nak tanya satu soalan? Kalau akak tak kisah la" tanya Qasya.

“Apa salahnya. Mestilah boleh" Raisya yang tidak kisah.

“Sebenarnya, Qasya ada kenal dengan seorang lelaki. Haritu, dia nak kenal Qasya lebih daripada seorang kawan. Qasya tertanya-tanya kalau, Qasya patut cakap ya atau tidak. Tapi, Qasya dapat lihat kejujuran dan keikhlasan tu daripada matanya. Qasya masih takut dengan janji akak. Semuanya beri janji biasa" luah Qasya yang tiba-tiba keliru dengan rasa hatinya.

Raisya tersenyum. “Qasya hanya perlu ikut apa kata hati Qasya. Kalau semua lelaki suka memberi janji biasa, cubalah cari lelaki yang akan memberi janji luar biasa. Mungkin lelaki yang Qasya baru kenal tu, akan jaga Qasya dengan baik" tutur Raisya menasihati Qasya.

“Tapi akak, Qasya takut akan disakiti sekali lagi"

“Macam akak cakap, ikut kata hati Qasya. Kalau Qasya rasa apa yang Qasya buat tu betul, teruskanlah" kata Raisya. Qasya hanya berdiam. Patutkah dia mencuba sekali lagi dalam hubungan bersama Ayzad? Atau patutkah dia terus menutup pintu hatinya?
.....

Hari ini, sehari suntuk Qasya keluar bersama Lilia. Dari pagi hingga sekarang, 8:45 malam. Dan sekarang, Qasya dan Lilia sudah sampai ke rumah Qasya.

“Wei! Kau nak masuk tak? Jomlah" ajak Qasya. Lilia hanya menurut perintah. Wajah Lilia seperti menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Qasya. Qasya masih tidak tahu apa-apa.

“Ya Allah, diorang semua dah bersedia ke? Qasya dah hampir masuk rumah. Harap-harap la perkara ni tak rosak?” getus hati Lilia.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Qasya sedang duduk dalam kegelapan. Lampu semuanya ditutup. Tiada sebarang bunyi di dalam rumah. Tiba-tiba, “Kejutan". Lampu rumah terbuka. Mak, ayah, Raisya dan juga Lilia sedang memegang kek.

“Apa ni?" soal Qasya ringkas. Dia masih terkejut dan tidak tahu apa-apa.

“Happy birthday to you, Qasya. Semoga panjang umur" ucap semua orang. Qasya terlupa. Hari ini hari jadinya. Hari kelahirannya. Macam mana la dia boleh lupa? Qasya gembira kerana semua orang sanggup mengadakan majlis untuknya.

Mereka menikmati hidangan yang disediakan. Selepas itu, semua orang berlalu pergi. Mak, Lilia dan Raisya sibuk di dapur. Ayah naik ke tingkat atas. Tapi, semua orang berperangai pelik. Qasya ditinggalkan berseorangan di sofa. Dia terlihat sekotak hadiah tanpa nama berada di atas meja. Dia membuka kotak itu dan alangkah terkejutnya apabila Qasya melihat sebentuk cincin. Persoalannya, ini cincin siapa?

Tiba-tiba, seorang lelaki yang memakai tuksedo turun menyebabkan Qasya terkejut. “Happy birthday to you, Qasya" ucap lelaki itu. Apabila Qasya meneliti, itu ialah Ayzad.

“A..Ayzad. M..macam..mana awak a..ada dekat sini?" tergagap-gagap suara Qasya angkara tergamam. Ayzad tersenyum. Dia mendekati Qasya lalu mengambil cincin daripada Qasya dan melutut di depan Qasya.

“Qasya, sejak saya kenal awak, saya yakin yang awaklah takdir saya. Wajah awak selalu hadir dalam minda saya. Saya tak boleh berhenti memikirkan tentang diri awak. Bila awak jauh, saya rasa rindu. Bila awak dekat, saya rasa bahagia, gembira. Awak cakap, semua lelaki suka memberi janji yang biasa dan palsu. Tapi, saya berjanji akan menjaga dan mencintai awak dengan janji yang luar biasa. Sanggupkah awak jadi teman sehidup semati saya sebagai seorang isteri?" Ayzad melamar Qasya.

Qasya tidak tahu untuk memberi apa-apa jawapan. Air matanya mula membasahi pipi. Adakah aku perlu menerima janji dia untuk menjadi sang putera bagi aku? Atau adakah aku perlu menolaknya demi mengelakkan kekecewaan untuk kali keempat? Ya Allah! Tolonglah aku untuk memberi jawapan yang tepat.

Qasya memandang sekeliling. Dia melihat Raisya, mak dan Lilia sedang menghendap dari dapur. Apa yang dia lihat, semua orang tersenyum. Qasya teringatkan kata-kata Raisya. “Kalau semua lelaki suka memberi janji biasa, cubalah cari lelaki yang akan memberi janji luar biasa. Mungkin lelaki yang Qasya baru kenal tu, akan jaga Qasya dengan baik".

Qasya menggerakkan bibirnya. “Saya....sanggup. Saya terima lamaran awak" luah Qasya menerima lamaran Ayzad. Wajah Ayzad terlalu gembira. Dia tersenyum sambil menyarungkan cincin pada jari Qasya. Raisya, Lilia dan emak yang sedang melihat mereka juga turut gembira. Raisya yang paling tersenyum lebar. Lengan Qasya mendakap tubuh Ayzad. Ayzad tersenyum sambil membalas dakapan Qasya
......

Tanggal 26 April 2016 menjadi tarikh keramat buat Qasya dan Ayzad. Mereka telah menjadi pasangan suami isteri yang bahagia. Sudah sebulan berlalu sejak mereka berkahwin. Qasya bersyukur kerana pilihannya tepat. Ayzad bukanlah macam lelaki-lelaki lain.

“Abang, abang cakap yang abang janji akan sehidup semati dengan saya kan? Abang janji dengan janji yang luar biasa" kata Qasya sewaktu di dalam kereta bersama Ayzad. Ayzad tersenyum sinis.

“Yes. I promise that I will love you forever. Abang janji yang abang akan setia dengan Qasya sehingga hembusan nafas yang terakhir" luah Ayzad. Dia meneruskan memandu. Cuaca pada waktu ini amat buruk. Hujan sangat lebat dan angin bertiup kencang. Tiba-tiba, sebuah pokok tumbang menimpa kereta mereka
......

Suasana sayu di hospital. Qasya dan Ayzad terlantar di atas katil bersebelahan antara satu sama lain. Raisya, mak dan ayah sedang menunggu mereka untuk sedar daripada koma. Raisya dan mak sudah kering air mata.

Qasya membuka matanya setelah sekian lama. Begitu juga Ayzad. Badan mereka terasa amat lemah. Mak, ayah dan Raisya gembira kerana mereka sudah sedar. Tetapi, Qasya mencari Ayzad.

“Ayzad...Ayzad" tutur Qasya lemah.

“Y..ye..sayang" Ayzad membalas dengan suara yang juga lemah. Mereka berdua menghulurkan tangan masing-masing dan mengenggam erat. Tangan kanan Qasya memegang tangan kiri Ayzad.

“Qasya, kalau abang pergi...abang nak minta maaf kepada Qasya. Abang minta maaf sebab...tak mampu nak jaga Qasya dengan baik" luah Ayzad sambil air matanya mula mengalir keluar.

“Abang, walaupun kita baru berkahwin selama sebulan, Qasya rasa abang lah lelaki yang paling setia buat Qasya. Qasya juga rasa yang janji abang, bukanlah janji biasa. Sebaliknya, janji abang adalah janji yang benar dan luar biasa. Qasya juga nak minta maaf abang" luah Qasya kepada Ayzad. Air matanya juga membasahi pipi.

Semua orang yang menyaksikan mereka berdua turut mengalirkan air mata. Mesin kadar denyutan nadi Qasya dan Ayzad mula tak stabil. Qasya dan Ayzad menatap wajah antara satu sama lain. Mereka senyum buat kali terakhir. Tiba-tiba, mesin kadar denyutan nadi mendatar. Mata Qasya dan Ayzad tertutup sambil wajah mereka mengukirkan senyuman.

Qasya dan Ayzad telah meninggalkan dunia dan kembali kepada pencipta mereka. Apa yang lebih memilukan, mereka pergi sambil tangan mereka saling berpegang.

“Mak, ayah...diorang dah tak ada" Raisya bersuara sayu. Air mata Raisya bergenang semahu-mahunya. Adik kesayangannya sudah meninggalkan alam sementara. Mak dan ayah turut sedih. Mereka berdua meninggal dunia di tempat yang sama, pada hari yang sama dan bersama-sama.

Bukan semua janji adalah palsu dan biasa. Walaupun sudah tiga kali Qasya tertipu dengan janji lelaki, tetapi janji daripada Ayzad adalah Janji Yang Luar Biasa. Ayzad setia di sisi Qasya sehingga hembusan nafas terakhir. Ayzad amat mencintai dan menyayangi Qasya dengan sepenuh hati. Qasya juga khuatir pada mulanya untuk menerima cinta Ayzad. Tetapi, pilihan yang dibuatnya amat tepat.

Walaupun Qasya dan Ayzad sudah tiada, cinta mereka tetap tersemat hingga ke Syurga. Ayzad sudah membuktikan bahawa dia bukanlah seperti lelaki-lelaki yang pernah menyakiti hati Qasya. Peluang yang diberi oleh Qasya digunakan dengan sebaik-baiknya. Sungguh sukar buat Qasya untuk membuka hati demi menerima cinta Ayzad. Tetapi, dia tetap mengambil risiko. Janji Ayzad adalah Janji Luar Biasa buat Qasya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.