5 - 3

“MAK CIK AUNI?”


      Afidah berasa terkejut apabila melihat Auni tercegat di muka pintu rumahnya. Mengapakah tiba-tiba sahaja wanita gila itu ke rumahnya? Adakah kedatangannya itu mempunyai kaitan dengan Fasha? Apakah yang wanita itu mahukan lagi?


   “Aku mahu kau berterus-terang pada aku, Fida!” Beri salam pun tidak. Auni terus menengking Afidah. Tiada adab!

        

Auni merenung tajam wajah Afidah.


         “Fasha sudah ada sugar daddy ke? Dia mesti hidup mewah dengan lelaki itu. Lelaki itulah punca Fasha melarikan diri daripada rumah ke? Dasar perempuan yang tidak sedar diuntung! Dia sudah memperolehi kesenangan sekarang. Dengan mudah lupakan jasa aku selama ini!”


     Auni terus menuduh Fasha membuta tuli tanpa dapat membuktikan kesahihannya.


      Afidah terkesima. Dia mendengus.


      “Apakah yang mak cik cuba katakan?” marah Afidah.


       “Siapakah lelaki itu, Fidah?” soal Auni.


        Afidah mengerutkan dahinya.


      “Lelaki manakah? Fidah rasa mak cik sudah salah faham. Fasha tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki!” tegas Afidah.


       Afidah amat tidak menyukai sikap Auni. Wanita itu mudah membuat kesimpulan.


         Auni ketawa sinis.


       “Kau juga mahu menipu aku ke, Fidah?” herdik Auni.


       Afidah berdecit.


      “Fidah tidak pernah bercakap bohong!” jawab Afidah.


         Afidah sangat mengenali Fasha. Fasha bukanlah seperti gadis liar yang hanya mendekati lelaki demi kepetingan diri dan memenuhi hawa nafsu. Fasha adalah seorang gadis ketimuran yang amat mementingkan maruah diri dan tatasusila. Afidah tahu yang Fasha tidak akan sesekali melakukan perbuatan yang menyalahi hukum-hakam Islam.


         Auni mencemik  


         “Fasha itu kawan baik kau. Oleh itu, kau mestilah akan back up dia. Janganlah melindungi perbuatan dia daripada pengetahuan aku, Fidah. Fasha sama saja seperti ibunya, tidak tahu malu!” herdik Auni.


      “Jangan melampau, mak cik! Tolonglah jaga percakapan mak cik itu! Ibu Fasha adalah adik kepada mak cik. Adik mak cik itu sudah lama meninggal dunia! Kurang sopan jika bercakap mengenai orang yang sudah tiada lagi!”


         Afidah rasa seperti mahu menghempuk Auni dengan menggunakan meja sahaja! Wanita itu bercakap seolah-olah tidak berfikir secara rasional sahaja.


        “Eh, kata-kata aku ni ada kebenarannya! Kau tak mengenali adik aku!” tukas Auni.


        Afidah mengetap bibir.


       “Fidah nak mak cik beredar sebelum Fidah bertindak!” ugut Afidah yang sudah hilang sabar dengan sikap Auni. Wanita itu benar-benar menduga kesabarannya.


        “Kau mahu cederakan aku ke?” sindir Auni.


          Afidah berdecit. Dia pantas mengambil batang penyapu di belakang daun pintu.


       “Mak cik nampak benda ni ke tidak?” balas Afidah sambil menayang batang penyapu itu kepada Auni.


        Auni membuntangkan mata.


        “Kau nak hambat aku ke?” marah Auni.


       “Ya!” tekan Afidah lalu mula mengejar Auni.


     Auni segera berlari keluar meninggalkan rumah Afidah. Afidah menghela nafas lega setelah bayang tubuh Auni menghilang daripada pandangan matanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.