1 - 1

FASHA tercegat di pintu biliknya. Dia melepaskan keluhan panjang apabila melihat Auni sedang tidur secara meniarap di atas sofa. Tangan kiri wanita itu pula terjuntai ke bawah. Selepas kematian kedua-dua orang tua Fasha, dia tinggal bersama Auni, kakak kepada arwah mamanya. Sungguhpun Fasha mempunyai tempat untuk berteduh, tetapi dia tidak bahagia. Ibu saudaranya itu seorang wanita yang materialistik. Hati wanita itu sudah dibutakan dengan sejumlah wang insurans, peninggalan arwah papa kepada Fasha.


Ketika Fasha sedang menyediakan sarapan, Auni yang baru sahaja tersedar itu terus bangun lalu menerpa ke arah Fasha.


“Aku laparlah! Aku nak makan,” kata Auni sambil mengusap rambutnya yang kelihatan serabai itu.


Fasha tersentak. Dia hanya diam dan tekun menunggu roti yang sedang dibakar di dalam toaster itu.


“Eh, budak ni tiba-tiba saja jadi bisu! Aku bercakap dengan kaulah! Kau pekak ke?” pekik Auni.


Fasha mengunci bibir. Dia tidak mahu bertekak dengan Auni. Jujur, dia tidak pernah mendengar perkataan ‘sayang’ terzahir daripada bibir Auni. Saban hari hanya maki hamun sahaja yang diterimanya.


“Eh, jawablah! Aku bukan tunggul kayulah!” Auni menolak kepala Fasha.


Fasha mendengus lalu menoleh memandang ke arah Auni.


“Apa sebenarnya yang mak cik mahukan daripada Fasha? Fasha cuba untuk penuhi semua kemahuan mak cik! Tolonglah belajar untuk menghargai Fasha! Fasha bukan orang gaji, tetapi anak saudara mak cik!” herdik Fasha.


Auni sudah melampau! Semakin Fasha cuba bersabar, semakin Auni melebihi batasan! Dia juga ada hati dan perasaan!


Auni mendengus.


“Kau dah berani meninggikan suara kepada aku ya! Dasar anak yang tidak kenang budi! Siapakah yang menjaga kau selepas ibu bapa kau meninggal dunia? Aku! Tangan inilah yang membesarkan kau, Fasha!” tengking Auni.


Tumpah air mata Fasha, tetapi lekas dia kesat. Dia tidak mahu kelihatan lemah. Dia haruslah kuat apabila berhadapan dengan wanita yang terlalu obses pada wang itu.


“Fasha tak berniat untuk bersikap kurang ajar kepada mak cik! Mak cik yang…”


“Apa?” bidas Auni.


Fasha mengeluh.


“Tidak terdetikkah walaupun sekelumit rasa sayang kepada Fasha, mak cik?” rintih Fasha.


Auni mengukirkan senyuman sinis kepada Fasha.


“Aku bela kau bukan percumalah! Aku tahu, aku akan terima imbuhan yang amat lumayan! Oleh itu, janganlah mengharapkan kasih sayang aku. Aku sama sekali tidak pernah menganggap kau sebagai seorang anak! Kau hanya tiket untuk aku jadi orang yang paling kaya di dunia ini!” balas Auni lalu ketawa terbahak-bahak.


Fasha terkedu. Intihannya, dia berasa amat kecewa dengan pengakuan Auni. Air mata yang ditahan sekian lama itu akhirnya membasahi wajahnya. Serentak itu, Fasha ke bilik untuk mengambil beg galasnya. Beberapa saat kemudian, dia keluar lalu bergegas meninggalkan rumah.



Previous: PROLOG
Next: 1 - 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.