3 - 1

SHAHIR dan Fasha berjalan masuk ke dalam sebuah kedai runcit. Fasha hanya membuntuti langkah Shahir ke kaunter. Kelihatan Shahir menolak pintu lalu melabuhkan duduk, manakala Fasha pula berdiri sambil matanya melilau ke kawasan sekelilingnya.


“Mulai hari ini, kau bekerja di kedai aku. Aku tugaskan kau untuk menjaga akaun, stok keluar dan masuk, bil-bil utiliti dan sebagainya. Pada setiap bulan, aku akan ke sini untuk membuat penyemakan. Terus hubungi aku jika berlaku kejadian yang tidak dingini,” beritahu Shahir dengan memek muka serius.


Fasha terangguk-angguk.


“Untuk gaji pula, aku akan bayar pada setiap minggu. Aku tahu yang kau perlukan duit untuk kelangsungan hidup. Barang-barang sekarang pun sudah mahal. Kos sara hidup pula semakin meningkat. Andai kata kau perlukan apa-apa, janganlah segan silu untuk meminta. Aku mahu kau anggap aku sebagai seorang kawan,” sambung Shahir.


Fasha tersenyum kelat.


“Aku serba salah. Kau adalah majikan aku,” balas Fasha.


Shahir merenung wajah Fasha.


“Tidak salahkan jika aku menghulurkan pertolongan kepada kau?” balas Shahir.


“Aku takut jika terhutang budi,” balas Fasha.


“Kadang-kala, kita harus ketepikan ego untuk menerima bantuan daripada orang lain,” sindir Shahir.


“Aku tidak mahu kau mengungkit suatu masa nanti,” bidas Fasha.


“Bukan semua orang bersikap begitu, Fasha,” jawab Shahir.


“Ada! Mak cik aku!”


“Aku tidak!” tegas Shahir.


Fasha terkedu.


Shahir mencemik lalu menggeleng. Mungkin gadis itu seorang yang tidak suka bergantung harap kepada orang lain. Oleh itu, dia sebolehnya tidak mahu dianggap terlalu lemah di mata sesiapa.


“Fasha?” panggil Shahir.


Fasha memandang Shahir.


“Cerita serba ringkas mengenai taraf pendidikan kau,” arah Shahir. Dia menyandarkan tubuhnya ke dinding.


Fasha tertunduk ke lantai. Wajahnya suram.


“Aku ada SPM. Aku antara pelajar yang paling cemerlang di dalam peperiksaan itu. Aku dapat 9A. Aku rasa amat gembira kerana telah berjaya setelah berusaha dengan titik peluh sendiri. Aku dapat penuhi impian arwah mama yang teringin sangat melihat aku ke menara gading.”


Fasha menangis teresak-esak. Memori itu sangat meruntun hatinya. Titi untuk dia menggapai cita-cita umpama runtuh apabila Auni menjadi penghalangnya. Dia pernah menerima tawaran kemasukan ke universiti dahulu, tetapi Auni melarangnya untuk mendaftarkan diri. Ya ALLAH, mengapakah nasibnya semalang ini. Alangkah bagus jika mama masih ada lagi, namun…


“Kenapa tak sambung belajar?” tanya Shahir.


Fasha hanya mampu tersenyum hambar.


Shahir mendengus halus. Dia mampu membaca kisah sebenar apabila melihat reaksi wajah Fasha. Ia pasti mempunyai kaitan dengan ibu saudara gadis itu!

Previous: 2 - 3
Next: 3 - 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.