Kirana
lancar bekerja. Jantung dan hati Ku Syakira dihiris dan dicincang lumat.
Diperiksa semula agar tiada cebisan berketul. Setelah dicincang halus, Kirana
menuang sedikit darah Ku Syakira untuk dicampurkan dengan pasir kaca dan kerak
garam. Tanur periuk dipanaskan segera. Masa semakin pantas berlalu. Darah harus
dicampurkan segera. Kirana mahu
membentuk lampu hias chandelier hasil
dari organ Ku Syakira!
Leka
Kirana memproses campuran darah bercampur hati dan jantung Ku Syakira dalam
membentuk kaca khas untuk chandelier.
Dari mencairkan bahan campuran organ dan kaca hingga terbentuk arca dan proses
meniup untuk membentuk bahan kaca. Semuanya dilakukan lancar sekali. Dengan
hati-hati, Kirana membentuk juntaian manik halus kaca campuran darah dan organ
penting Ku Syakira. Di satu sudut, roh Ku Syakira hanya memandang sayup
kesedihan.
Bintik-bintik
peluh dibiarkan sepi. Kaca yang siap dibentuk ditinggalkan untuk proses
penyejukan. Biar campuran organ dan bahan kaca bersatu dahulu sebelum
disejukkan. Penutup relau yang sedang panas itu dibuka. Apinya marak menjulang.
Tok!
Tok! Tok! Kirana terpisat-pisat membuka matanya. Matanya digosok perlahan.
Lesu. Siapa lah yang mengganggu ni.
“Masuk!” Kirana menjerit.
“Cik Puan, maaf. Cik Puan Ku
Syakira.....” Mata pembantu rumahnya, Mak Munah memerah. Baru lepas menangis
agaknya. Kirana membuntangkan mata. Ku Syakira? Kirana menelan liur.
“Kenapa?” Kirana menyoal
malas-malas. Sempat lagi Kirana menggeliat membetulkan urat-urat badan.
“Cik Puan Ku Syakira hilang. Di biliknya
tak ada, di dapur pun tiada. Pak Deraman jumpa kain batik Cik Puan yang
berdarah di bangsal. Nampak macam bekas kena seret tapi tak ada darah pun di
tanah. Bekas tapak kaki pun tiada.” Jelas Mak Munah dengan panjang lebar.
“Mak Munah pergi maklumkan pada Tok
penghulu. Saya nak menyiapkan diri dahulu. Minta Tok Penghulu ke mari dengan
orang-orangnya. Kita fikir yang baik-baik sahaja. Mak Munah pergi sekarang!”
Kirana memerhati pembantu rumahnya berlalu pergi.
Semua
orang dalam rumah agam ni menyenangi Ku Syakira termasuk semua penduduk
kampung. Semua tak pedulikan aku yang berpanas di loteng menyiapkan tempahan
chandelier. Kirana menggetapkan bibir dan berlalu menyiapkan diri. Mulutnya
terkumat-kamit menyumpah. Terganggu tidurnya kerana Ku Syakira. Semua kerana
dia.