“Kirana,
maafkanlah aku. Kau bagitahu aku, kau nak suruh aku buat apa? Aku akan ikut
cakap kau. Aku dah tak ada sape-sape dah. Tolong aku, Kirana.”rayu Ku Syakira.
“Betul ni? Kau ikut cakap aku?”
Kirana tersengih.
“Be..betul.”
“Aku..aku nak kau mampus!” jerit
Kirana sambil menarik sanggul Ku Syakira. Terurai rambutnya yang ikal mayang.
Kirana terpempan.
Pisau
di atas meja dicapai.Rambut Ku Syakira ditarik kuat tanpa belas dan dikerat
kasar. Ku Syakira menjerit lantang. Mengaduh kesakitan. Ditarik ke depan dan ke
belakang dengan kasar tanpa belas. Kirana menggetap bibir. Puas melihat rupa Ku
Syakira yang tak terurus. Tiada lagi rambut ikal mayang. Tiada lagi kulit halus
mulus. Kirana ketawa puas hati sedangkan Ku Syakira mengongoi mengenangkan nasib
diri.
“Diam...diam aku kata! Kau ni
bisinglah!”
Muka
Ku Syakira ditampar kuat. Ku Syakira memejamkan mata. Lemah segala sendinya
diperlakukan sedemikian rupa dalam keadaan masih berikat. Kerusi ditolak kasar
hingga menyembah lantai. Ku Syakira mengaduh akibat terhentak kepala.
Pandangannya berpinar, kelam dan gelap gelita. Ku Syakira pengsan.
Bunyi
besi diasah jelas kedengaran. Ku Syakira membuka mata perlahan-lahan. Kirana
membongkok mengasah besi. Masih membuat chandelier? Ikatan cuba dilonggarkan
sekali lagi. Gagal. Ku Syakira merenung gelagat Kirana yang tekun mengasah.
Kirana berpaling bila menyedari tindak tanduknya diperhatikan.
“Kau dah bangun? Tolak sikit pun dah
pengsan. Teruk betul!” bebel Kirana.
Kirana
membelek besi tajam yang diasahnya. Tajam dan berkilat. Kirana merenung
mengadap tingkap yang terbuka luas. Angin lembut menyapa wajahnya. Jam di
tangan dikerling, hampir 1 pagi. Cahaya bulan semakin terang. Sesuai untuk
melaksanakan misinya. Misi yang dirancang berbulan-bulan lamanya.
“Dah sampai waktunya.” Kirana
berbisik dan tersenyum.
Besi
panjang dan tajam yang diasahnya sebentar tadi digenggam kuat. Kirana menoleh
memandang Ku Syakira tajam. Kerusi yang diduduki Ku Syakira ditegakkan semula
dan diseret kasar ke luar bangsal. Ku Syakira hanya mendiamkan diri, bimbang
disakiti lagi jika membuat bising. Sesekali mengaduh sakit apabila pehanya yang
luka terkena angin yang menyapa.
Kirana
berhenti melangkah. Ku Syakira diletakkan di tengah-tengah halaman. Tepat di
mana cahaya bulan bersinar dan menyinari wajah Ku Syakira. Bunyi cengkerik
menemani malam mereka. Pada waktu itu, udara malam begitu dingin. Bulu romanya
menegak sehingga kulit gebunya jelas berbintil-bintil.
Ikatan Ku Syakira dibuka dan dilempar jauh.
Kecederaan yang Ku Syakira alami membataskan pergerakannya untuk ke mana-mana.
Jika melarikan diri pun, pasti ditemui. Kirana meletakkan tangannya di bahu Ku
Syakira. Mata bertentang mata, jauh menusuk di dalam hati.
“Ku Sya, pandang lah aku. Pandang
wajahku.” Bagai diseru, Ku Syakira menatap wajah Kirana. Kirana merenung ke
dalam mata Ku Syakira lalu membaca ayat-ayat yang sukar difahami tanpa
melepaskan pegangan di bahu Ku Syakira. Seketika kemudian, mata Kirana mula
bersinar kemerahan seperti biji saga.