Puas
Kirana memejamkan mata. Mengiring ke kiri, ke kanan, bantal juga sudah ditepuk
beberapa kali, tak juga boleh lelap. Sedangkan tadi mata bagai digam-gam.
Kirana menggeliat kemalasan. Dia harus lakukan sesuatu. Kirana mendongak. Ku
Syakira! Kirana pantas bangkit.
Krekkk!
Pintu kayu loteng ditolak kasar. Pandangan matanya terhenti di relau. Api masih
lagi menyala. Acuan di dalam relau dicucuk dengan besi panjang. Keras, tetapi
belum cukup keras. Kirana menambahkan lagi kayu api. Malam ini dia akan bekerja
keras menyiapkan lampu organ Ku Syakira. Kirana ketawa. Loteng ditinggalkan.
Pastinya dia akan kembali lagi. Malam yang panjang menantinya.
Kirana
turun ke ruang tamu mencari Mak Munah. Perutnya berkeroncong kelaparan. Pasti
Mak Munah di dapur menyiapkan lauk tengahari. Saat tiba di dapur, kakinya
terhenti tatkala mendengar perbualan pembantunya. Kirana mematungkan diri.
“Bang Deraman, mana lah pergi Cik
Puan kita? Susah hati saya ni, bang oi. Apa dibuatnya kat bangsal tu? Selama
ni, tak siapa pergi ke bangsal tu. Lampu yang tak pakai pun abang yang letakkan
kat situ.”ujar Mak Munah.
“Entahlah Munah oi. Aku pun pusing
juga pikir. Tunggu aje khabar dari Tok Penghulu nanti. Aku ingat aku balik
nanti, aku singgah rumah Tok Penghulu. Kau nak ikut aku tak, Munah? Kalau nak
ikut..” Kirana berdehem sekaligus mematikan perbualan Mak Munah dan Pak
Deraman.
“Maaf Kirana mengganggu. Mak Munah
ada masak tak? Kirana lapar.” Mak Munah memandang Kirana. Diam tak berkutik.
“Eh Munah! Kau dengar tak Cik Puan
cakap?” sergah Pak Deraman.
“Hoi..aku dengar. Aku
dengar..dengar..dengar la oii..” latah Mak Munah. Pak Deraman menggelengkan
kepala dan tersenyum gelihati. Kirana memandang latah Mak Munah.
“Munah.. Cik Puan tanya tu.” Jerit
Pak Deraman sekali lagi. Mak Munah mengurut dada. Kirana menjeling tajam.
“Maaf Cik Puan. Mak Munah terkejut
Pak Deraman sergah. Mak Munah tak sempat nak masak banyak. Yang ada ikan keli
salai, sayur pucuk ubi goreng dengan sambal belacan. Cik Puan nak makan ke?
Kalau nak, Mak Munah siapkan makan.” Kirana menelan liur.
“Bawa ke depan Mak Munah. Saya
tunggu di ruang makan.”
“Bang Deraman la ni. Malukan saya
depan Cik Puan. Kan dah dijelingnya. Sukalah tu!” Mak Munah menjuihkan bibir
sambil menyedok ikan keli salai ke dalam mangkuk.
“Aku minta maaf lah Munah. Aku tak
sengaja. Tengok kau berangan tak sudah tengok Cik Puan tadi.” Jelas Pak Deraman.
“Entahlah bang. Saya nampak Cik Puan
Ku Syakira di belakang Cik Puan Kirana tadi. Mukanya sayu je.” Jelas Mak Munah.
“Kau pikir banyak tu Munah. Mereka
adik-beradik. Mestilah kau nampak bayang Cik Puan Ku Syakira. Sudah. Kau bawa
hidangan ke depan. Aku nak pergi menebas di belakang ni.” Mak Munah mengangguk
dan berlalu menatang dulang hidangan buat Kirana.
Nasi
dicedok ke dalam pinggan. Berkepol wap panas naik ke udara. Dengan cermat Mak
Munah menyusun pinggan lauk di hadapan Kirana. Setelah selesai, Mak Munah
berpaling hendak ke dapur. Kirana mencekak tangan Mak Munah, menahannya
meninggalkan ruang makan.
“Temankan saya makan, Mak Munah.”arah
Kirana.
“Mak Munah ada ker...” Belum sempat
Mak Munah menghabiskan kata-katanya, Kirana dengan pantas menarik tempat duduk
di sebelahnya.
“Temankan saya!” pintas Kirana.
Mak
Munah melabuhkan punggungnya ke kerusi sebelah Kirana. Menatap wajah Kirana
yang tampak lesu dan tak bermaya. Pasti sukar tidur ekoran apa yang terjadi
pagi ini. Kirana makan dengan gelojoh sekali, seolah-olah lama tak mengisi
perut. Kirana terbatuk. Tersembur nasi yang dimakannya. Mak Munah menghulurkan
gelas. Rakus Kirana menghabiskan air di dalam gelas.
“Pelan-pelan, Cik Puan. Tersedak
nanti.”tutur Mak Munah.
Pinggan
ditolak kasar setelah ditegur Mak Munah. Mak Munah terkedu dengan perbuatan
Kirana. Wajah Kirana ditatap.
“Mak Munah, saya ke bilik dulu.
Jangan ganggu saya. Saya nak berehat. Kalau Tok Penghulu cari, katakan saya
akan ke rumahnya nanti. Jika Mak Munah nak pulang, kuncikan pintu dan tingkap
semua ya.” Mak Munah hanya mengangguk dan mengemaskan meja makan. Tanpa
disedari, bayang Ku Syakira berjalan melewati ruang makan itu. Meninggalkan
haruman kemboja terawang di udara.
Mak
Munah termangu. Sesekali hidungnya menangkap bau wangi. Bulu roma pantas
mencanak naik. Lengannya digosok berkali-kali. Mak Munah memandang sekeliling.
Tiada orang. Dalam hati, mula mendendangkan ayatul Qursi sebagai pendinding
diri. Meja pantas dilap, pinggan kotor dibawa terus ke dapur. Tanpa disedari, di
satu sudut, Ku Syakira memandang dengan mata yang merah menyala.
“Munah, kautkan aku nasi. Teringat
pula aku kat keli salai kau. Lapar perut aku
ni.”ujar Pak Deraman sambil menggosok perut. Mak Munah hanya tersengih
dan mencedok nasi untuk Pak Deraman.
“Bang Deraman, Munah tengok Cik Puan
Kirana tu pelik sikit la. Macam tak kisah pasal apa yang jadi pada Cik Puan Ku
Syakira. Munah risau la Bang Deraman.”keluh Mak Munah.
“Dia kan dah memang cenggitu. Kau
nak risau apa, Munah? Dari dulu dok berkurung kat loteng buat lampu, tak de
sapa pun yang peduli. Dia turun untuk makan minum je. Sekarang pula kau rasa
pelik? Malas aku nak layan ka Munah. Tebas lalang kat belakang nun lagi bagus
dari layan kau, Munah oi..” Pak Deraman bangkit lalu membasuh tangan setelah
selesai menjamu tekak.
“Burpp.. Alhamdulillah. Sedap kau
masak, Munah. Kalau kau bini aku, bulat aku macam kau nanti, Munah.” Spontan
Pak Deraman mengusik.
“Dah! Mengada pula orang tua ni. Hei
Bang Deraman, karang lalang tu tak ditebas, kau yang aku tebas kang. Pergi
cepat!” Kata-kata Mak Munah hanya disambut dengan gelak tawa Pak Deraman.
Mak
Munah hanya memerhatikan Pak Deraman berlalu ke laman belakang.
‘Ku Sya, kau ke mana nak? Moga kau
baik-baik saja. Pulanglah nak.’ Getus hati Mak Munah yang risau akan keadaan
diri Ku Syakira.