Tubuh
kaku Tajul diangkat ke luar rumah untuk dimandikan. Di situ juga jenazahnya
dimandikan. Ahli keluarga Tajul juga turut sama memandikan mayat Tajul. Semua kelihatan
bingung apabila mendapat tahu Tajul sudah tiada. Kehilangannya dirasai
sementelah dia anak yang rajin mengambil hati orang tua.
Mak
Munah masih lagi pelik. Memang tiada darah setelah mayat Tajul diangkat. Pak
Deraman juga mengaku bahawa dia tak ada mengusik hatta sekelumit darah pun. Mak
Munah terkedu! Takkan darah masuk balik ke dalam tubuh arwah?
Di
bawah buluh, tempat mayat dimandikan, kelibat hitam mencangkung sambil menadah
air mandian. Air itu dihirup rakus. Bagai kelaparan, sesekali lidahnya menjilat
buluh itu. Puas mendapat makanan, dia menghilang tanpa meninggalkan kesan.
“Munah, jenazah nak dibawa ke
masjid. Kau nak ikut tak?” bisik Pak Deraman.
“Munah tinggal di rumah la bang.
Abang jadi tak tinggalkan cucu dengan Munah? Munah rasa tak selesa. Nanti Cik
Puan nak apa-apa susah pula Munah.” Mak Munah gelisah mengenangkan dirinya yang
bakal keseorangan di rumah agam itu. Pak Deraman tersenyum.
“Kau tak payah risau, Munah. Selesai
pengebumian, aku datang dengan cucu aku, si Mail dengan Mawar. Aku tidur di
sini sekali. Nanti persalinan kau, aku minta Mawar ambilkan dari anak kau ya
Munah.”
“Alhamdulillah. Tak adalah Munah
tinggal sorang. Terima kasih bang. Nanti Munah masakkan nasi lebih sikit. Abang
pergilah dulu. Munah mengemas rumah dulu.” Mak Munah menarik nafas lega. Ada
yang sudi menemaninya malam ni setelah apa yang berlaku di rumah agam ini.
Pak
Deraman berjalan menuju ke arah masjid. Langkahnya tiba-tiba berhenti. Pak
Deraman teringatkan sesuatu. Dia pantas menoleh. Mak Munah masih kekal di pintu
rumah agam. Siapa pula yang berdiri di belakang Mak Munah? Menunduk
memerhatikan Pak Deraman pergi. Pak Deraman melambai Mak Munah. Mak Munah
membalas lambaiannya sedangkan kelibat hitam itu kekal di sisi Mak Munah. Pak
Deraman pantas berlalu.
Selesai
urusan solat jenazah dan pengebumian, Pak Deraman berjalan bersama-sama Tok
Penghulu dan Tok Imam. Membincangkan hal siang tadi.
“Alhamdulillah jenazah selesai
dikebumikan. Lega rasa hati ni, Tok Imam. Lepas ni, saya nak balik ke rumah jemput
si Mawar dengan Mail. Kami tidur di rumah Cik Puan malam ni. Kesian pula pada
Munah sorang-sorang nak bersihkan rumah. Entah apa cerita di rumah tu nanti
dengan Cik Puan kurang sihat, arwah Tajul jatuh.” Bebel Pak Deraman panjang
lebar.
“Beginilah, apa yang jadi itu sudah
ketentuan dari Allah. Qada dan qadar Allah. Kita yang hidup ni perlu ingat mati
tak mengenal usia. Sebaik-baik kita rancang, Allah ada rancangan yang bagus
untuk umatNya. Tak gitu, Tok Penghulu?” tanya Tok Imam setelah melihat Tok Penghulu
hanya mendiamkan diri sejak dari rumah agam itu lagi.
Tok
Penghulu masih mendiamkan diri. Pak Deraman yang berada di sebelah Tok Penghulu
menyiku lengannya.
“Ada apa, Tok Imam? Allahu Akbar.
Minta maaf Tok Imam, saya ralit fikirkan keluarga si Tajul ni. Kena buat
mesyuarat juga ni.” Itu rupanya yang menjadi persoalan Tok Penghulu. Tok Imam
tersenyum.
“Marilah singgah ke rumah saya. Kita
minum secawan kopi buat menghilangkan lelah.” Langkah Tok Imam dituruti. Enak
juga dapat mencicip kopi panas dalam keletihan ni. Sebaik saja melabuhkan
punggung ke lantai pondok, Tok Imam meminta isterinya menghidangkan kopi dan
kuih.
“Maaflah jika tak selesa di pondok
buruk saya.” Kata Tok Imam merendah diri. Kata-kata Tok Imam disambut dengan
senyuman saja.
Bukan
mereka tak biasa, rata-rata penduduk kampung masih kekal berumahkan pohon buluh
dan beratap nipah. Rumah Tok Penghulu sudah berganti papan semenjak dilantik
menjadi Tok Penghulu. Malah 3 kali ganda besarnya dari rumah penduduk lain.
Keluarga Kirana sememangnya keluarga bangsawan yang kaya raya di kawasan
kampung itu. Salah satu keluarga yang memiliki rumah agam sejak zaman moyangnya
lagi.
Isteri
Tok Imam datang mencelah dengan menatang kopi dan ubi kayu rebus. Sempat dia
menjemput mereka menjamu selera sebelum berlalu pergi. Kopi panas ditiup
perlahan sebelum dicicip. Enak sungguh makan petang begini.
“Tok Penghulu, saya nak tanya. Tok
Penghulu kenalkah keluarga arwah?” tanya Tok Imam sekaligus memecah sunyi
antara mereka.
“Kenal rapat tu tidaklah. Tapi tahu
lah keluarganya. Kenapa Tok Imam?” Tok Penghulu kehairanan dengan pertanyaan
Tok Imam. Tok Imam pasti lebih mengenali keluarga Tajul. Mereka tak pernah
culas hadir ke masjid dan juga majlis-majlis agama.
“Siapa gadis berkebaya hitam yang
duduk sebelah arwah tu? Dari angkat jenazah, mandi jenazah, bawa ke masjid,
gadis tu ikut sekali. Tapi menunduk saja. Saya tak dapat tengok wajahnya.
Sampai di masjid, saya tak nampak dah. Tapi di kubur tadi, dia ada sekali. Saya
cuba nak tegur, tapi hilang macam tu je.” Pak Deraman dan Tok penghulu terdiam
mendengarkan kata-kata Tok Imam.
“Saya ada perasan gadis tu tapi tak
perasan pula siapa. Tak tahulah jika ada saudara-mara Tajul yang datang sekali
tadi.” Kata-kata Tok Penghulu mengingatkan Pak Deraman akan susuk yang berdiri
di belakang Mak Munah. Ya, gadis berkebaya hitam itu ada di sisi Mak Munah.
“Tapi Tok Imam, Tok Penghulu.. masa
saya nak turut ke masjid tadi, saya nampak gadis tu berdiri sebelah Munah.
Barangkali saudara Tajul kot. Tadi ramai juga kaum hawa tak pulang lagi.” Pak
Deraman cuba menyedapkan hati sedangkan dia tahu bagaimana susuk hitam itu
memandangnya tajam.
Mereka
berbual panjang dan meminta diri ketika matahari hampir terbenam. Berpisah
mengikut haluan masing-masing. Seperti yang dirancang, Pak Deraman meninggalkan
rumah bersama cucu-cucunya untuk bermalam di rumah agam. Mawar diminta
mengambil persalinan Mak Munah dari anaknya.
Berita
kematian Tajul sememangnya sudah tersebar luas. Masing-masing mengaitkan
kematian Tajul bersama gadis berkebaya hitam. Hanya tak diketahui siapa gadis
itu. Kesetiaan gadis itu mengikut jenazah hingga ke kubur menjadi tanda tanya
penduduk kampung. Namun, tak siapa melihat wajahnya yang kekal menunduk.