Andai di awal tadi hatinya bagaikan sebuah
taman bunga, tetapi kini ianya tidak ubah seperti hutan belantara. Keadaannya
bersemak-samun. Berserabut. Bercelaru. Jika tadi perasaannya begitu girang dan
gemilang, kini sepi merajai. Kalut menguasai diri.
Kesal! Yazid benar-benar kesal dengan kesilapan yang sama sekali tidak
disengajakannya. Kesal dengan kelekaan yang sepatutnya dia harus berhati-hati.
Kesal dengan kegopohan membuta-tuli sehinggakan komen terakhirnya langsung
tidak dibalas Liza Wati. Hatinya berat, merenung duka.
Kesepian yang menggelanggang di hati telah mengundang gelisah yang maha
menyerabutkan. Yazid seperti mana awal tadi, kembali tidak tenang. Kembali
tidak senang duduk diam. Duduk tidak kena. Berdiri pun begitu juga. Baring juga
sama. Meniarap, lagilah langsung tidak kena.
Yazid melangkah ke ruang tamu, cuba melupakan segala yang terjadi. Cakera padat
filem 'Ali Baba Bujang Lapok' dimainkan. Di sofa dia menyandar, mata melekat ke
dada skrin televisyen. Cuba menghiburkan hati. Cuba memburu ketenangan yang
terus menjauhkan diri.
Masa bergerak. Filem yang tertayang, aksi-aksi lucu sudah hampir separuh jalan
dipertontonkan. Telatah Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, berganding lawak
dengan rakan seperjuangan Seniman Aziz Sattar dan S. Shamsudin, juga barisan
pelakon sezaman begitu sekali mencuit hati. Namun di wajah Yazid sama sekali
tidak ada apa-apa reaksi, samada dia senyum atau pun ketawa. Mukanya seperti
ketam rebus. Kenyal. Haiza yang turut berada di ruang tamu meneruskan membaca
buku di kerusi malas, sesekali menjeling Yazid dengan rasa teruja.
"Abang ni, tengah tengok cerita seram ke apa?" Tanya Haiza lurus.
Yazid mengalihkan pandangan memandang Haiza dengan mata tersarat beban.
Keningnya tinggi diangkat. Jiwanya yang sedang kacau, bertambah kacau dengan
pertanyaan Haiza yang dikiranya tidak bertempat. Jambul Nusantaranya
bergerak-gerak marah.
"Mata kau tu buta ke apa? Kau tak nampak cerita apa aku tengah tengok?
Hah?" Yazid menjegilkan mata. Suaranya agak tinggi. Sebentar matanya dan mata
Haiza berpencak silat.
"Bang... biar mata buta, jangan buta perasaan," jawab Haiza tenang
sambil menjeling. Baginya, kemarahan Yazid tidak ubah seperti anjing menyalak
gunung. Sedikit pun tidak membawa apa-apa kesan pada dirinya.
"Apa maksud kau tu? Hah? Cuba kau terangkan! Cuba!" Yazid, nada
suaranya agak rendah tapi tajam, ditekan.
"Iyalah..." Haiza mulai menentang. "Kalau abang tak buta
perasaan... abang pasti dah tergelak tengok cerita tu! Itu kan cerita komedi?
Tapi kenapa muka abang 'cramp' macam lagi tengok cerita seram? Kenapa?"
Yazid yang kesilapan tadi masih bersarang di kepala, masih menjalar mencengkam
perasaannya, jadi marah dengan teguran Haiza. Hati yang kian membengkak,
mencetuskan rancangan.
'Eh! Kurang ajar betul-lah budak ni! Okey, tak apa... siap kau nanti! Dengan
aku, kau jangan nak main-main. Kau salah orang!' Amuk hatinya.
Bingkas bangun, Yazid menuju ke rak cakera padat. Bibir tebalnya memuncung
sedepa, dikunci rapat dari sebarang kata. Mencangkung, tangan sibuk
menggeledah. Mencari-cari. Dengan tekun, satu-persatu Yazid membelek cakera
padat yang mana tangannya sempat menyambar. Haiza hanya berdiam dengan rasa
pelik memerhatikan.
Sebentar kemudian Yazid mengangguk-angguk, menandakan kepuasan yang jitu.
Senyuman kecil melingkar di wajah. Cakera padat di tangan, dibeleknya lagi.
Filem 'Ali Baba Bujang Lapokā² yang sedang berlangsung kemudian dimatikan lalu
digantikan dengan cakera padat yang dipilihnya sebentar tadi.
"Cerita apa tu, abang tukar? Bagus ke?" Tanya Haiza dengan kening
mengerut.
"Kau diam! Kau tengok aja sudah, diam-diam!" Dengan ikhlas Yazid
menonjolkan sikap dominasinya. Telunjuk tangan kanan diacung tinggi di udara.
Mata seperti tadi dijegilkan. Kuasa veto-nya dikibar. Haiza akur.
'Aku tak kacau kau, kau nak kacau aku kan? Sekarang, terimalah dengan senang
hati habuan kau! Rasakan kau sekarang ni. Adik derhaka!' Marah benar Yazid
tetapi hanya di dalam hati.
Bunyi-bunyian aneh mulai menyinggah telinga sebaik tayangan itu bermula. Di
rumah pada ketika ini mereka hanya berdua, ditambahkan lagi sekeliling luar dan
dalam rumah yang dicengkam sepi, suasana terasa menyeramkan. Merinding bulu
roma mendengar bunyi-bunyian yang datang dari filem itu. Keduanya, mata terus
khusyuk ter-arah ke dada skrin televisyen. Terbawa-bawa dengan apa yang sedang
ditonton.
"Abang... ni cerita hantu kan?" Tanya Haiza tidak lama kemudian.
"Eh, taklah! Ini cerita komedi. Apa pulak cerita hantu. Tengok ajalah...
nanti kau mesti ketawa punya. Tengok aja, kalau kau tak percaya!" Haiza
membisu. Hanya mengangguk.
'Memang padan muka kau! Nak usik orang kan? Hah! Sekarang rasakan kau!' Bisik
hati Yazid puas dengan gelak kecil. Dendam berkesumat di dada, rencana sudah
menunjukkan tanda-tanda kejayaan.
Filem klasik 'Exorcist' pernah mencatatkan sejarah sebagai filem antara
ter-seram pernah di suatu ketika ditayangkan di pawagam. Filem 'Box office'
yang telah mengutip hasil begitu lumayan, bertambah menyeramkan mengikut
perkembangan cerita.
Adegan-adegan seram dilakonkan oleh Linda Blair pelakon terkenal Hollywood itu,
begitu sekali berkesan. Babak-babak di mana Linda Blair bertukar wajah ketika
dirasuk roh sesat, bagaikan benar-benar berlaku di depan mata Yazid yang begitu
asyik menonton. Haiza, sambil membaca sambil sesekali menjeling tayangan itu.
Tiba-tiba, kedengaran angin menderu. Menyusup ke ruang rumah dari sela-sela
dinding kayu dan jendela, sayup-sayup menjamah telinga. Kadang-kadang pula,
apabila meredah kencang, angin yang menyusup kedengaran bagaikan bersiul.
Kedinginan perlahan menggigit.
Di luar, ditemani samar-samar cahaya lampu di jalanan, anjing-anjing liar
sedang rakus berkeliaran dalam kegelapan malam. Sesekali sayu menggonggong.
Pada masa tertentu, seperti saling bersahutan. Bagaikan sahaja memanggil atau
terlihat sesuatu.
Masa terus sahaja merangkak mencumbui malam. Tidak seperti mana Haiza yang
lebih menumpukan pada pembacaannya, Yazid lain pula lagunya. Adegan-adegan
gerun dan mengejut-ngejutkan serta babak seram yang terus memuncak menurut
perkembangan cerita, menyeret Yazid sama jauh ke dalamnya.
"Oiii... Haiza! Kau nak pergi mana tu?" Tanya Yazid saat melihat
Haiza tiba-tiba bingkas bangun. Isyarat mata cuba menghalang Haiza pergi.
"Nak ke dapur, minum air."
"Sejuk-sejuk gini pun kau boleh haus? Tekak apa kau ni, hah? Unta dekat
padang pasir punya tekak pun tak macam kaulah. Tau tak! Heran aku!" Yazid
membentak. Seakan marah dan memberontak dengan keinginan Haiza.
"Eh! Habis... kalau dah haus nak buat macam mana? Tak kan tak nak
minum?"
"Dah, kau pergi cepat. Jangan cakap banyak lagi, tapi jangan lama-lama
tau!" Pesan Yazid keras. Menjelirkan lidah, Haiza beredar.
Yazid kembali menonton. Sendirian ditemani Linda Blair yang sedang beraksi di
ruang tamu. Walaupun dia berasa tidak selesa menonton sendirian, namun kerana kedegilan
dan ego yang masih mencanak, dia nekadkan juga. Angin yang terus bertiup di
luar, kedengaran semakin kencang. Mengganas dengan perkasa menerjang malam.
Anjing-anjing liar terus-menerus bersahutan, menggonggong sayup. Bulu romanya
merinding.
Mata Yazid tiba-tiba membesar. Seperti mahu menyembul keluar! Terperanjat sakan
saat Linda Blair bertukar rupa ketika dia disampuk roh sesat. Seolah-olah di
saat itu, Yazid sedang bersemuka dengan Linda Blair si cantik manis tetapi
versi hodoh. Menyeramkan. Begitu menggerunkan. Dengan pantas Yazid
menyinggahkan kedua belah tangan meraup mukanya namun Yazid terus sahaja
menonton, dari celahan jari-jarinya.
'Eh, mana pulak si budak ni pergi? Tak kan minum air berjam-jam!' Bisik hati
Yazid. Resah perlahan mulai menyinggah.
"Haiza! Oii Haiza!" Menoleh ke arah dapur, Yazid melaung mencari
adiknya. "Weiii... Haiza! Mana kau hah!"
Menyalak-nyalak Yazid memanggil Haiza namun tidak ada balasan. Dalam keadaan
terpaksa, Yazid bingkas ke dapur. Hairan! Tidak kelihatan pula kelibat Haiza di
situ. Begitu juga di bilik air, tidak ada juga tetapi kelihatan semua lampu
terang-benderang. Sebentar Yazid mengitari ruang dapur itu lagi. Bulu
tengkuknya tiba-tiba meremang. Di saat itu, Yazid seperti dapat merasakan ada
sesuatu sedang memerhatikannya. Ruang dapur yang sunyi itu terasa sangat
menggerunkan. Tanpa lengah, tanpa mematikan lampu dapur juga bilik air, Yazid
meluru ke kamar Haiza.
"Oiii... Haiza! Haiza! Weii... Haizaaaaa!"
Bukan sahaja ketukannya seperti mahu merobohkan daun pintu kamar Haiza, malah
suaranya juga bagaikan petir memanah di langit. Dipusing-pusing tombol pintu
kamar itu, tetapi tidak berjaya dibuka.
"Haiza! Weiii... Haiza! Bukak pintulah!" Yazid menggelabah sudah.
"Ada apa? Orang nak tidurlah! Esok pagi nak bangun awal. Nak pergi
sekolah," tiba-tiba kedengaran suara Haiza melengking dari dalam kamar.
"Sinilah, tengok cerita tu dengan abang!" Suara Yazid nadanya
tiba-tiba lembut.
"Tak maulah... orang dah ngantuk ni! Abang tengok ajalah sendiri. Nanti
esok, ada masa Za temankan abang tengok cerita lain pulak, okey?"
'Memang kurang ajarlah budak ni. Memang dengki dengan aku ni! Nampak sangat
tau!'
Mahu tidak mahu, dia beredar kembali ke ruang tamu dengan rasa kalah. Mata
penuh awas saat melangkah. Seakan di dalam gua yang gelap-gelita, dengan
hati-hati dia berjalan, sedangkan ruang rumahnya terang-benderang.
"Ooo mak kau!" Terbelalak! Biji mata Yazid bagaikan mahu jatuh ke
lantai. Begitu darahnya menderu hingga ke kepala. "Nak takutkan orang pun,
biar sopan sikitlah weii! Tak berwawasan langsung!"
Terperanjat sakan Yazid apabila ada suara pekikan begitu sekali menggerunkan
datang dari peti televisyen. Mukanya pucat lesi, ditoreh pun tidak berdarah
namun kakinya tetap melangkah menghampiri televisyen, lantas mematikannya. Misi
dan rancangannya sudah berakhir. Sudah tidak lagi berguna dan memberi apa-apa
makna, selain membuatkan dia berasa ketakutan teramat sangat.
Yazid kalah!
'Haiza ni memang betul punya kurang ajar! Memang! Aku nak kenakan dia...
akhirnya aku pulak di kenakannya.' Menyumpah-nyumpah Yazid dengan kegagalan
rancangannya.
Sebaik televisyen itu dipadamkan, tanpa lengah dan memadam lampu-lampu semua,
pantas Yazid berlari ke kamarnya. Menarik selimut, di katil bertilam usang itu
dia menyelesakan diri. Jam di dinding, jarumnya hampir mencecah ke angka
dua-belas.
Yazid memejamkan mata tetapi dia tidak tidur. Fikirannya melayang. Mengelamun
jauh, membayangkan wajah Liza Wati. Membayangkan keindahan paras rupanya yang
ayu lagi manis. Wajah itu telah membuatkan fikiran dan perasaannya selama ini
terbuai dan tidak menentu. Begitu senyuman gatal terukir di bibir tebalnya.
Namun senyuman gatal yang terukir di bibir tebal itu tidak kekal lama.
Senyumnya patah tidak lama kemudian saat terasa seperti ada bayangan melintas
di kelopak mata. Bersama deruan angin yang kedengaran bagaikan melolong dan
bersiul-siulan, begitu juga kedengaran bagaikan ada bisikan-bisikan di telinga
dengan suara-suara aneh yang tidak pernah selama ini walau sekali biasa
didengarnya, Yazid merasa teruja lantas membuka mata.
"Maaaaaakkkkkkk!!!" Yazid memekik sekuat hatinya. Matanya seperti
sudah lari meninggalkan muka.
"Yaziiiiiidddd... kenapa kau, nak? Kenapa?"
"Yaziiiidddd!"
Ayah dan ibu Yazid yang kebetulan di waktu itu baru sahaja pulang, saling
bersahutan menjerit mendengar Yazid terpekik di kamar. Yazid yang turut
mendengar suara kedua orang tuanya, tanpa lengah berlari meninggalkan kamar.
"Ayaaaaahhhhh..." pekik Yazid saat melihat ayahnya.
"Yaaaaaziiidddd..." pekik ayahnya saat melihat Yazid.
Yazid menyusun langkah. Tangannya luas terbuka. Berlari ke arah ayahnya yang
tidak memahami maksud Yazid menguak luas tangannya. Melihatkan perlakuan pelik
Yazid, ayahnya menurut sahaja. Tangan ayahnya menguak jauh lebih luas. Yazid
membuat satu henjutan. Satu lompatan mengejutkan, sesuatu yang tidak pernah
berlaku di dalam sejarah keluarga mereka sejak zaman purba lagi.
"Kau mimpi ye, nak?" Saling menatap, Yazid mengangguk manja.
"Ayah okey tak?" Tanya Yazid yang sudah berasa aman dalam gendongan
ayahnya seperti pengantin di malam pertama.
"Zid... turun kejap, nak. Rasa macam nak terlepas pinggang ayah. Gendong
kau ni... rasa macam gendong almari pulak."
Siti Rozilah, ibunya Yazid yang berdiri di situ menjeling cemburu.