"Kenapa dengan kau, muka monyok
aja?"
Tegur ayah Yazid, melihatkan mukanya yang tidak sudah ketika bersarapan sama.
Mengangkat muka, Yazid hanya menggeleng dan mata kembali jatuh ke pinggan bihun
goreng yang sejak tadi hanya dikuis-kuis dengan garfu. Cuma beberapa suap
sahaja dijamah. Tidak punya selera sama sekali. Rentetan peristiwa semalam
masih lagi menganggu fikirannya.
"Pagi-pagi jangan buat muka gitu. Tak baik. Harus ceria. Nanti rezeki yang
sedang ditebar Allah tak mahu dekat. Cuba senyum sikit," kata ayahnya
lagi.
"Iya, Zid..." sampuk ibunya yang turut bersarapan sama, "hari ni
kan hari pertama kau kerja. Senyum, biar rezeki tu tambah murah."
Yazid mengangguk-angguk. Berdiri di muka pintu bangunan tempat kerjanya;
teringat pesanan kedua orang tuanya tadi, dia tersenyum sebelum melangkah
masuk.
'Ye! Apa bezanya muka senyum ke tak senyum? Tetap muka. Tapi kan baik senyum,
biar semua orang tengok pun pasti turut tersenyum. Senyum kan satu sedekah
juga,' bisik hati Yazid sambil melangkah.
"Selamat pagi Cik adik manis. Senyum ye, jangan tak senyum! Biar harinya
nanti akan ceria!" Laung Yazid selamba sambil melemparkan senyuman lebar
sebaik terpandang Cato Enzo penyambut tamu itu yang kelihatan sibuk.
'Hmmm... si sengal ni lagi dengan senyum gatal dia. Dapat pulak kerja tu.
Menyampah tengokkan!' Getus hati Cato Enzo.
"Cik adik manis..." laung Yazid lagi sambil melangkah menuju ke pintu
lif, "ini bukan senyum gatal tau kalau awak nak tahu, tapi senyum
sedekah!" Jari telunjuk ditunjuk-tunjukkan ke bibirnya yang tebal secara
semula jadi itu.
'Senyum sedekah? Tak rejam kau punya muka dengan selipar dah kira bagus. Senyum
sedekah konon!' Getus hati Cato Enzo lagi sambil menjeling. Rasa menyampah
meluap-luap.
"Awak! Jangan terperanjat ye, kalau satu hari nanti awak rindu kat saya.
Tengok saja nanti, kalau awak tak percaya! Sama-sama kita tunggu masanya tiba,
okey!" Kata Yazid penuh keyakinan sambil melambai, sebelum pintu lif
tertutup. Ketawa yang mengiring, menggema ruang lif itu.
'Hah? Rindu dekat kau? Alahaiii! Kenapa perasan sangat si sengal ni? Muka kau
tu kalau hensem tak apa jugak! Ini... buat hilang selera makan aja tengok!'
Cato Enzo terus mengutuk-ngutuk di dalam hati.
Berdiri di muka pintu pejabat Datin Maznah Ismail, lewat bayangan daun pintunya
yang licin dan berkilau, Yazid mengemaskan jambulnya. Diamati pergi, diamati
balik, lalu perlahan dan cermat diperbetulkan mana yang wajar.
Sedang dia leka membelek-belek, merasa puas hati dengan jambulnya yang sudah
pun kelihatan rapi, daun pintu dengan sendirinya terbuka. Berderau darah Yazid,
apabila secara tiba-tiba Ismail tersembul, berdiri di muka pintu menyambutnya
dengan senyuman.
"Astaghfirullahalazim!" Terperanjat sakan Yazid sambil mengurut
dadanya. Lutut di saat itu seperti sahaja jatuh ke buku lali. "Selamat
pagi, Encik Ismail... buat saya terkejut aja, encik ni!"
'Perghhh... ! Ingatkan muka aku tiba-tiba tadi retak! Rupanya muka si Mail ni
pulak. Buat aku terperanjat aja. Syukur Alhamdulillah, masih utuh lagi muka
aku!' Bisik hati Yazid lega.
"Permulaan yang sangat baik. Lima belas minit awal. Syabas! Harus
diamalkan selalu. Masuk... silakan masuk, Yazid," dengan ramah dan berasa
kagum, Yazid disambut Ismail.
Mengitari ruang pejabat itu, dengan senyum bangga dan semangat berkobar-kobar,
Yazid dengan penuh gaya, melangkah masuk. Melabuhkan punggung menyelesakan diri
di sofa lembut dan empuk itu, matanya perlahan melirik ke arah pantri.
'Hmmm... kopi luwak untuk 'Welcome drink'. Dah tak sabar ni, nak rasa lagi!'
hati Yazid tersenyum saat mengingatkan.
"Apa khabar awak, Yazid? Dah sarapan?" duduk berdekatan Yazid di sofa
yang sama, Ismail memulakan bicara.
"Alhamdulillah, khabar baik. Ye, sarapan bihun goreng tadi dengan jus
oren. Jus oren saja! Kopi tak ada," Yazid menekan apa yang diminumnya
tadi.
"Owhhh... bagus tu jus oren. Bagus untuk kesihatan. Saya pun suka juga jus
oren. Tapi, saya tadi cuma sarapan roti canai dengan teh tarik."
"Owh, ye ke?" Suara Yazid yang tersurat, tersiratnya pula, 'aku tak
tanya pun! Tak nak amik tahu tu semua. Faham tak? 'Welcome drink' mana?
Cepatlah! Dah tak sabar ni!'
Terkecur Yazid saat mengenangkan betapa luar biasa lazatnya rasa kopi itu.
"Ye... memang sejak kecil saya gemar makan roti canai. Satu keluarga sejak
datuk-nenek saya masih hidup, kami semua memang suka makan roti canai. Dah
macam ketagih gitu," jelas Ismail sambil gelak kecil.
Memandang Ismail, menarik senyum bibirnya dengan paksa seperti menggunakan
tangan, Yazid mengangguk tanpa bersuara. Cuma berkata di dalam hati, 'alamak,
si mamat ni... cerita pasal kisah sejarah hidup keluarga dia pulak! 'Welcome
drink' manalah weiii!'
Yazid menggaru-garu keningnya, cuba mengawal perasaan. Memaksa diri bersabar.
"Saya ingat lagi tau, masa kecik-kecik dulu..." Yazid menggulung bola
mata saat mendengar. "Pasal roti canai pun sampai kita boleh
bergaduh-gaduh dengan adik-beradik sendiri. Lucu rasanya bila ingatkan balik
benda-benda ni semua."
Menggeleng, Ismail merenung jauh dengan mata berbinar, seperti sedang
menyaksikan kisah silam hidupnya. Di bibirnya terlihat segaris senyuman.
'Eh eh! Terbawak-bawak pulak orang tua ni! Menjadi-jadi pulak dia cerita pasal
roti canai! Aku tak nak tahu tu semualah oii! Yang aku nak tahu; nak dengar,
cuma kopi luwak. Bukan pasal kau punya roti canai dan sejarah keluarga kau! Kau
faham tak!'
Kesabaran Yazid sudah pun sampai ke tahap penghujung garisan. Ke tahap
maksimal. Hatinya mulai menyumpah-nyumpah. Wajah Ismail di saat itu, sudah
dipandangnya bukan lagi seperti muka tetapi sudah seperti roti jala. Menghela
nafas sambil mengawal perasaan, dia akhirnya bersuara.
"Hmmm... Encik Ismail ni mesti lupa ye?"
"Lupa? Apanya yang saya lupa?" Ismail mengerut dahi sebentar, sebelum
ketawanya pecah. "Owhh... lupa nak beritahu, arwah datuk-nenek saya suka
makan roti canai ke tidak ye?"
"Maaf, maaf..." kata Ismail lagi sambil menahan gelak. Berasa senang
Yazid ingin mengetahui lebih lanjut sejarah roti canai datuk-neneknya.
"Maafkan saya, lupa pulak nak beritahu awak tu. Maaf."
Mata Yazid membulat mendengar. Kening tinggi diangkat. Mulutnya ternganga
memandang Ismail. Bagaikan tidak percaya kisah roti canai masih lagi bermain di
tepi bibirnya. Masih lagi begitu ghairah hendak bercerita.
"Nanti! Nanti Encik Mail. Nanti! Tak payah ceritakan," pantas Yazid
bertindak cuba menghalang Ismail dari terus bercerita, "tak payah
ceritakan, saya dah tahu pun. Arwah datuk-nenek Encik Mail pun suka juga kan,
roti canai?"
Ismail gelak kecil sambil menggaru hidungnya.
"Salah..." terbelalak Yazid mendengar jawapan Ismail. "Arwah
datuk-nenek moyang saya tak suka makan roti canai, tapi dia orang suka
capati."
"Errkk! Salah?" Beku sebentar Yazid. Bagaikan tidak percaya
mendengar. Terkedu dia. "Suka makan capati? Bukan roti canai?"
Ismail bingkas bangun dengan senyuman di bibir. Menggeleng-geleng. Kedua tangan
menyeluk saku seluar saat dia berdiri sambil diperhatikan Yazid.
"Encik Ismail nak pergi mana tu?" Tanya Yazid penuh semangat. Kopi
luwak kembali menyinggah ingatan.
'Nak amik 'Welcome drink' ke ni?' Bisik hati Yazid dengan senyuman.
"Tak pergi mana-mana. Cuma... nak beritahu pasal arwah datuk-nenek moyang
saya secara terperinci sikit," jawab Ismail.
'Errkkk... secara terperinci? Cakap pasal roti canai pun boleh jadi macam
novel, panjang berjela?' Dengus Yazid dalam hati. Dengan sendiri terjungkit
keningnya. Semangat berkecai.
"Saya... jika membentangkan sesuatu dengan panjang-lebar... lebih suka
berdiri. Entahlah... rasa macam selesa gitu. Dah kebiasaan mungkin. Lebih-lebih
lagi bila yang mendengarkan tu suka."
'Suka?' Yazid memandang kiri-kanan, 'suka? Siapa yang suka? Aku? Aku tak
sukalah... aku menyampahlah dengar!' Jerit hati Yazid menyumpah.
Namun Yazid yang terasa diri terjerat, terselamat. Ismail yang baru sahaja mahu
membuka mulut menceritakan secara lebih terperinci, diselamatkan oleh kehadiran
Datin Maznah Ismail yang tiba-tiba muncul. Terbantut Ismail!
'Perghhhh... Lega!' Yazid menghela nafas syukur.