Anak semata wayang; iaitu anak tunggal; Liza
Wati adalah anak kesayangan Puan Sharifah Ummah El-Edrus, seorang ahli
perniagaan berjaya. Ayahnya, senang dipanggil dengan panggilan Ayahanda Chik
oleh setiap kenalan, adalah bekas Kapten tentera udara yang sudah pun bersara.
Kini seorang ahli perniagaan juga menurut langkah ibu Liza Wati. Liza Wati yang
sudah pun tamat pengajiannya di UITM, sedang menimbang duduk perkara. Samada
mahu meneruskan pelajaran, atau pun bekerja sahaja. Buat masa ini, dia hanya
menghabiskan masa duduk di rumah membaca novel dan melayan Mukabuku.
Bersantai di ruang tamu; Liza Wati yang
berambut ikal mayang; panjang mengurai, dengan lembut jarinya yang halus-mulus
perlahan memintal. Liza Wati tersenyum. Merekah manis bibirnya yang merah dan
nipis. Lama skrin komputer riba 'Apple'nya direnung, cuba merungkai erti-makna
mesej di kotak pesanan.
"Siapa Azman Hussin? Cuba beritahu!"
Liza Wati menggeleng. Terasa lucu bila
diulang-ulang baca mesej itu. Hati rasanya bagaikan digeletek. Hendak berdekah
sahaja ketawa. Tetapi dia bertenang menahan diri.
'Hmmmm... harus dijawab ke? Macam-macamlah
awak ni Yazid.'
Liza Wati menyandar di sofa empuk di ruang
tamu itu. Segelas susu hangat yang terletak di atas meja di hadapannya dicapai.
Diteguk sedikit, lalu matanya kembali dituju ke arah skrin. Sekali lagi Liza
Wati menggeleng. Secepat kilat jari menyinggah ke kunci kekata. Tetapi hanya
setakat itu sahaja. Jarinya terhenti. Kaku tidak berganjak untuk terus menekan
butang kunci kekata. Tidak tahu apa yang harus dibalas. Beku otak! Serba-salah
jadinya. Dicapai iPhone-nya yang berada di sisi lalu Liza Wati membuat
panggilan.
"Assalamualaikum, Hayyu..." suara
Liza Wati sebaik deringan di hujung talian dijawab.
"Waalaikumsalam... hah Liza, apa khabar
kau?" Salam dibalas dengan ramah oleh Nurhayyu, kawan lama Liza Wati sejak
dari bangku sekolah rendah sehingga ke UITM bersama melangkah. Persahabatan
yang terjalin sejak hari pertama mengenal sekolah, kekal kukuh hingga ke hari
ini.
"Alhamdulillah, baik. Kau tengah buat
apa?" Tanya Liza Wati memulakan bicara.
"Tak buat apa-apa. Tengah bersantai baca
novel. Apa hal? Macam ada yang tak kena aja bunyinya."
"Yazid tu 'inbox' aku lagi." Liza
Wati beritahu dengan wajah kalut.
"Dia cakap apa? Apa yang dia nak?"
"Dia tanya siapa Azman Hussin,"
dengan pantas Liza Wati menjawab.
Ketawa Nurhayyu di hujung talian menyinggah
telinga Liza Wati. Dia hanya tersenyum. Nurhayyu dan Liza Wati, walaupun sikap
dan sifat mereka berdua jauh berseberangan seperti langit dan bumi, namun
keserasian wujud. Mereka sekepala dalam banyak segi dan hal. Saling mengenal
diri, luar dan dalam.
"Sebenarnya dah berapa lama ni, kau kenal
si Yazid tu dekat facebook?" Nurhayyu mencari kepastian sesaat kemudian.
"Hmmm... adalah dekat dua bulan."
"Baru dekat dua bulan? Kau biar betul?
Kau dah cukup kenal dia ke?"
"Taklah begitu kenal. Okey-okey
aja."
"Habis tu?" Sampuk Nurhayyu.
"Tapi apa yang aku tahu; masa baru kenal
dulu dia ada cakap dengan aku, dia tu bercita-cita nak jadi pelakon,"
jelas Liza Wati. "Bapak dia pulak bangkang. Sebab nak dia lanjutkan
pelajaran ke luar negara. Dia jadi serba-salah. Itu yang dia beritahu
aku."
"Serba-salah kenapa pulak?" Tanya
Nurhayyu hairan.
"Sebab bapak dia tu nak satu hari nanti,
dia uruskan bisnis keluarga. Itulah yang dia cakap."
"Humangaii... kelas gitu! Macam hero
dalam novel pulak aku dengar kisah dia." Kata Nurhayyu sambil ketawa.
"Habis... dia tu nak jadi pelakon, hensem sangat ke muka dia?"
Liza Wati tergelak kecil. Pertanyaan Nurhayyu
kedengaran lucu. Kekalutan yang tergantung di wajahnya hilang.
"Bolehlah tahan juga. Aku tengok foto
dalam facebook dia, ada jugalah mirip-mirip arwah Salleh Kamil."
"Arwah Salleh Kamil? Mak datuk! Dahsyat!
Terbayang sekejap di mata, betapa ganasnya muka dia saat tengah menggoda aku.
Misai yang mampu menggoncang sukma, pasti menyerlah depan muka." Terkekeh
Nurhayyu.
"Kau pulak macam mana, tak tergoncang
ke?" Sambung Nurhayyu lagi. Gelak Nurhayyu spontan memekakkan telinga Liza
Wati.
"Adalah sikit-sikit. Tapi taklah hebat
mana," Liza Wati turut tergelak.
"Aku yakin, kau cuma tengok muka dia dari
tepi aja. Itu sebab muka dia nampak macam arwah Salleh Kamil, kan? Tapi aku
yakin, kalau kau tengok dari depan... aku pasti, muka dia mesti macam Salleh
Yakob! Betul tak? Salleh Yakob pun ada misai kan?"
Berderai ketawa keduanya. Terkekeh Nurhayyu
mengusik sahabatnya. Tahu benar Liza Wati seorang yang bukan cepat melatah.
Tidak mudah ambil hati.
"Habis... sekarang ni apa masalah kau
pulak?" Tanya Nurhayyu kemudian di hujung ketawa.
Liza Wati tiba-tiba terdiam. Wajahnya jadi
keruh. Seketika sepi menyapa.
"Aku tak tahulah apa nak balas mesej dia.
Entahlah, Hayyu."
"Hei Iza... dekat facebook ni, kau jangan
percaya sangatlah dengan sesiapa. Banyak penipu engkau tau tak. Macam-macam
perangai ada. Kaki menyamar ni, janganlah cakap. Berlambak weii! Inilah
satu-satunya dunia yang mana dengan sekelip mata saja lelaki boleh jadi
perempuan, perempuan pulak boleh jadi lelaki. Semua dengan 'seketik' jari aja.
Hati-hati, kawan! Macam-macam ada di facebook ni!"
"Iya, tu aku tahu. Memang banyak juga
dalam facebook ni tak ikhlas jadi manusia. Ada yang berlagak baik dan alim tapi
sebenarnya zalim. Tak kurang juga yang tak punya apa-apa tapi berlagak kaya
melangit. Romeo mengalahkan buaya pun jangan cakaplah... bersepah."
"Liza weii... entah-entah kau punya
Salleh Kamil 'look alike' tu pun sama tak? Entah-entah dia ni pun buaya
bertopengkan cicak." Gelak Nurhayyu mengusik. "Eh, dia tu kurus ke
tak? Kalau kurus, memang sah dia tu kes buaya guna topeng cicak kubing!"
Liza Wati tumpang gelak. Rasa senang dan
terhibur dengan gurau-senda Nurhayyu. Tidak pernah kering dengan idea hendak
mengusik. Terbayang sebentar di benak Liza Wati wajah Yazid yang seperti arwah
pelakon hebat veteran tanah air itu.
"Eh, taklah. Aku tak rasa dia macam gitu.
Biasa-biasa aja dia tu aku tengok. Selama ni aku berbual dengan dia di 'inbox',
tak ada pun dia kurang ajar atau nak macam-macam dengan aku. Sejauh ni aku
tengok... dia cukup sopan dan hormati aku." Tangkis Liza Wati senget. Jari
di komputer ribanya meraba-raba butang kunci kekata.
"Gini... kalau kau nak tahu dia bertopeng
ke tidak; bila kau jumpa dia nanti, kau tengok muka dia betul-betul. Kalau muka
dia tu nampak ketat semacam, sah dia bertopeng! Sebab kau sendiri tahu muka
buaya besar mana, kan? Kalau pakai topeng muka cicak, mana boleh muat. Betul
tak?"
Begitu juga ketawa Liza Wati berderai. Hati
bagaikan sahaja digeletek-geletek dengan apa yang baru didengar. Sebagaimana
Liza Wati, di hujung talian kedengaran berdekah Nurhayyu ketawa. Sendiri tidak
dapat menahan rasa lucu dengan lawak bodohnya. Mengesat cairan jernih yang
bergayut di hujung mata, Liza Wati bersuara dengan ketawa masih bersisa.
"Hayyu, engkau rasa apa aku harus balas
mesej dia? Kau ada idea tak?"
"Nak balas apa? Cakap aja apa yang
betullah! Susah apanya?"
Liza Wati tidak menjawab. Berdiam; jauh dia
memikirkan, menimbang apa yang dicadangkan Nurhayyu. Wajah Yazid dan Azman
Hussin seketika bergilir bermain di ruangan mata. Bersekutu di dalam dadanya.
'Siapa Azman Hussin? Cuba beritahu!' Mesej itu
kembali matanya perlahan menuju.
"Okey Hayyu... nanti ada apa-apa aku call
kau."
"Okey, jangan lupa melapor pada aku
perkembangan seterusnya antara Yazid dan Azman Hussin. Dua jejaka Tanah
Semenanjung Melayu yang sedang hangat dewasa ini!" Nurhayyu mengakhiri
bicaranya dengan gelak ketawa. Liza Wati hanya tersenyum mendengarkan. Mata
terlekat, tepat di skrin komputer ribanya. Kembali menyandar di sofa, Liza Wati
menghela nafas panjang. Benar-benar berasa serba-salah. Galau jadinya. Liza
Wati memejam mata. Berusaha menenangkan diri