"Apa khabar?"
"Baik..."
"Mengganggu ke?"
"Tak..."
"Awak tengah buat apa tu?"
"Tengah ber facebook "
Yazid Atan wajahnya kurus; sekurus tubuhnya, bermata bulat
dinaungi alis setebal bibirnya termenung sejenak. Entah apa yang sedang
difikirkan. Melayang jauh mengembara entah ke mana. Namun mata tetap tidak
berganjak. Melekat ke dada skrin iPad. Jari pula teragak-agak untuk terus
menekan kunci kekata. Takut kalau-kalau dia tersilap bicara. Digaru-garu tepi
kepalanya yang tidak gatal. Galau jadinya tiba-tiba.
Diulang baca apa yang baru diperbualkan tadi di kotak
pesanan. Perasaannya jadi berdebar. Dingin tiba-tiba perut terasa. Entah
kenapa, Yazid sendiri pun tidak tahu.
Liza Wati, hanya baru dua bulan dikenali di halaman Mukabuku.
Entah mengapa, hati terpaut sejak pertama kali menyelak profilnya. Gadis
bertudung litup yang dilihat pada setiap gambar di album, kelihatan begitu
sopan dan menawan. Matanya bundar; indah, bagaikan matahari sedang terbenam di
hujung lautan. Senyumannya bagaikan kupu-kupu, riang melebarkan sayap terbang
di taman. Bibir nipis merah merekah bak delima.
"Awak pulak tengah buat apa tu?"
Berderau darah Yazid memecut bagaikan mahu memuntah ke lubang
hidung dan telinga, apabila tiba-tiba ada pesanan baru dari Liza Wati muncul di
dada skrin. Matanya membesar. Bersinar. Bagaikan tidak percaya dia melihat.
Diulang baca apa yang tertera. Berulang-ulang dibaca,
bagaikan sahaja pesanan singkat itu di eja. Begitu dengan sendirinya jari
menekan kunci kekata.
"Saya nak log-out..."
'Perghhh! Kenapa ini pulak yang aku balas? Kenapa? Kenapa
buru-buru? Cisss... bodoh betullah aku ni!'
Menyandar di kepala katil, Yazid mengeluh panjang. Rasa kesal
dengan apa yang baru dibalas. Yazid menggeleng. Mengutuk-ngutuk diri sendiri.
Marah pada diri sendiri. Kenapalah itu yang dijawab! Jambul Nusantaranya
kelihatan tidak terurus. Dijambak dengan kasar namun mata tetap tertuju ke dada
skrin. Menantikan balasan. Mengharapkan balasan dengan penuh sabar. Begitu
sangat berharap.
Masa bergerak. Mata tetap tertuju ke arah sama. Tidak
berganjak ke mana-mana. Tidak bergerak. Agak lama juga dia menunggu. Tetapi
tidak ada sepotong ayat pun muncul keluar di dada skrin. Rasa kesal yang
menyelinap dalam diam kian memuncak.
Ditekan nama Liza Wati di skrin. Direnung foto yang ada
sebaik profil-nya muncul. Dibesarkan foto tersebut. Terpampang jelas foto Liza
Wati. Mata perlahan merayap. Menikmati wajah ayu yang dalam diam dipujanya itu.
"PM saya bila awak punya masa..."
Terperanjat beruk Yazid. Air mukanya berubah bersemu-semu
merah. Dengan pantas Yazid kembali ke kotak pesanan sebaik sahaja menerima
'notification'. Melonjak sakan hatinya saat membaca. Begitu sukar hendak
percaya. Bagaikan sahaja di saat itu dia mahu menjerit kesukaan.
Berkali-kali dibaca dengan senang hati tanpa jemu apa yang
tertera di depan mata. Sepertinya, yang sedang dibaca itu adalah surat cinta.
Menghela nafas dalam, seketika memejam mata lalu perlahan dihembus dengan
perasaan lega.
Dibuka mata dan dibaca lagi. Timbul pula keinginan hendak
dibalas mesej itu, tetapi hati masih teragak. Serba salah! Menutup iPad-nya;
menyandar di kepala katil, Yazid kembali memejam mata. Perlahan bibir tebalnya
mengukir senyuman. Wajah Liza Wati yang manis lagi ayu itu berlegar bermain di
kepala. Di hati mulai terasa bunga tumbuh menjalar.
"Zid! Yazid!"
Terhenti lamunan! Yazid membuka mata saat mendengar ibunya
memanggil.
'Hmmm... potong stim betullah!' keluh hati kecilnya dengan
wajah cemberut. Bingkas bangun dari katil dia menuju ke pintu kamar.
"Ada apa, mak? Mak panggil orang ke?" Tanya Yazid
sebaik daun pintu dibuka. Berdiri berdekatan ibunya, jelas dia tampak lebih
tinggi. Namun lebih rendah jika dibandingkan dengan almari zaman batu di
kamarnya.
"Kalau bukan panggil kau, panggil siapa lagi? Selama ni
aku ada bela beruk dekat rumah nama Yazid ke apa? Ada?" Dengan wajah
seperti singa betina sedang berhadapan dengan mangsanya; ibu Yazid, Siti
Rozilah membalas.
Yazid berdiam tidak menjawab. Menggaru-garu kepala, dia hanya
mempamerkan wajah selamba. Seolah-olah tidak ada apa-apa perkara yang salah.
Siti Rozilah ibunya Yazid, seorang perempuan kecil molek, tetapi bermata tegar.
Berselendang dan berbaju kurung setiap kali keluar rumah, adalah tabiat dan
kegemarannya. Kata-kata dan suaranya kadangkala kedengaran keras. Namun ibu
Yazid sangat penyayang dan baik hati. Suka bergurau-senda juga pada waktu-waktu
tertentu.
"Mak nak pergi pasar. Engkau tu jangan pergi mana-mana
dulu, sebab mak tak bawak kunci," pesan ibunya sambil berdiri di muka
pintu kamar. Sudah bersiap hendak keluar rumah.
"Lama tak, mak pergi?"
"Eh! Engkau ingat apa... pasar tu depan mata? Bergolek aja
dah sampai? Hah?" Jerkah ibunya. Yazid tidak menjawab. Seperti tadi, wajah
selamba yang dipamerkan.
"Mak..." mendayu Yazid memanggil ketika Siti
Rozilah baru sahaja mahu melangkah pergi.
"Hah! Ada apa?" Tanya ibunya dengan wajah
menyampah. Rasa terganggu dengan kemanjaan Yazid yang dikira tidak bertempat.
"Pinjam dua-puluh ringgit..."
"Eh,eh... kau ni! Kau ingat apa? Muka aku ni cap duit ke
apa? Hah? Pakai petik duit macam petik daun?" Siti Rozilah membeliakkan
mata. Yazid terasa mata itu seperti begitu dekat dengan kulitnya.
"Minggu lepas kau pinjam sepuluh-ringgit, kau belum
bayar lagi. Ni dah nak pinjam lagi! Apa punya manusia kau ni!" Bebel
ibunya. Bibir dimuncungkan bak seludang.
"Nanti dah dapat kerja orang bayar baliklah," balas
Yazid dengan tenang.
"Nak buat apa pinjam sampai dua-puluh ringgit? Nak pergi
disko?" Siti Rozilah mencekak pinggang.
"Ishhh... pagi-pagi buta pergi disko pulak mak ni.
Jangan tinggi sangatlah berkhayal. Orang nak isi minyak motor, nak beli rokok.
Dua-puluh ringgit, mana cukup nak pergi disko. Mak ni pun! Ikut sedap mulut aja
cakap."
Menarik muka memuncungkan sedepa lagi bibir; Siti Rozilah
membuka dompet mengeluarkan dua lembar wang sepuluh ringgit; dilepuk dengan
kasar ke telapak tangan Yazid yang terbuka luas, seluas padang bola.
"Thank you, mummy. Jalan baik-baik tau. Kalau jatuh,
seru nama orang aja ye." Yazid tergelak kecil saat melihat ibunya
menjeling dan pergi. Dengan lincah Yazid kembali melompat ke katil. iPad
dicapai. Mukabuku lagi! Jari pantas menekan butang kotak pesanan. Mata merayap.
Terasa sedikit hampa melihat mesej baru dari Liza Wati tidak ada. Ulang baca
lagi mesej yang lepas, jari lalu menekan nama Liza Wati.
Profil muncul.
Begitu mata membulat saat melihat apa yang tertera di dinding
Mukabuku Liza Wati. Entah kenapa hati tiba-tiba marah seperti sahaja seorang
suami mendapat tahu isterinya telah bermain kayu tiga. Darah menggelegak.
Menyirap! Marah!
Tertera di dinding Mukabuku Liza Wati;
Azman Hussin - Liza Wati
Saat cinta membara, hutan belantara menjadi taman bunga.
Komen;
Liza Wati: indahnya kata-kata.
Azman Hussin: Kata-kata yang indah, wajar untuk awak yang
seperti mawar merah sedang mekar di taman bunga.
Liza Wati: Pandai awak bermadah...
Azman Hussin: Saat tiba masanya nanti, akan kusunting engkau
buat jambangan hati.
Liza Wati: Senyum
Azman Hussin: Senyum
Mata kian membesar. Tersentap! Benar-benar menyentap!
Terbakar hati ke tahap rentung saat Yazid membacanya. Berasap telinga
kepanasan. Boleh cair tahi telinga menjadi lahar gunung berapi.
'Alamak, si Azman Husin ni macam comel aja! Mamat poyo! Nak
‘tackle’ aku punya pujaan hati ke apa, hah brader? Rileklah, beb! Ada hati
konon!'
Yazid menyumpah di dalam hati. Pantas dia menekan nama Azman
Hussin yang tertera di dinding Mukabuku Liza Wati. Profil Azman Hussin muncul.
Profil yang hanya separuh terbuka, diredah perlahan mana yang kelihatan. Foto
Azman Hussin satu persatu diselak.
"Mak oii! Banyaknya kereta mamat ni! Kereta dia ke
kereta orang ni? Macam tak caya aja aku!" Kata Yazid dengan muka-muka.
"Hmmm... pandai aja si poyo ni berlagak. Kerja tempat
jual kereta terpakai, cakaplah mamat oii. Janganlah nak menipu sakan dengan
orang! Pandai aja kau buat lawak bodoh!"
Yazid meluah marah. Hati bagai gunung berapi sedang meletus.
Bibir dicebik panjang. Diselak lagi foto yang ada. Satu persatu. Tiba-tiba
Yazid tergelak. Ketawa paksa!
"Alahai sengal betul si poyo ni! Berlagak pulak dekat
depan orang punya rumah besar!"
Terkekeh Yazid ketawa dengan paksa. Perutnya diurut-urut.
Geli hati konon.
"Konon-konon kau anak orang kayalah tu! Alahai poyo bin
sengal betullah si mamat ni. Hei brader, rumah bos kau cakap aja sudahlah.
Siapa nak marah." Yazid meluahkan apa yang dirasa.
Diselak lagi album-album Azman Husin yang ada. Foto-foto,
kesemuanya mempamerkan diri seorang yang berpunya. Bergaya di depan rumah besar
yang punya kolam renang; kereta mewah pelbagai jenis, dan motosikal yang
harganya tidak terjangkau oleh orang-orang biasa seperti dirinya sendiri. Yazid
benar-benar marah. Benar-benar menyampah dengan Azman Hussin.
"Weii mamat... nak menipu pun agak-agaklah! Janganlah
melampau sangat! Kau ingat apa, orang ni semua bodoh ke apa!"
Dengan rasa tidak puas hati dan menyampah, Yazid keluar dari
profil Azman Hussin. Kotak mesej Liza Wati dituju. Sebentar diulang baca lagi.
Spontan laju jarinya mengetuk kunci kekata.
"Azman Hussin tu siapa? Cuba beritahu!"
Matanya merenung dada skrin. Lama. Menunggu jawapan dengan
sabar. Mata tajam tetap di iPad, tidak berganjak. Masa bergerak. Perlahan
merangkak. Sebentar kemudian Yazid tiba-tiba menyumpah lagi. Kesabaran lebur.
Skrin serta-merta menggelap. Padam kesemuanya. Hilang begitu sahaja apa yang
ada. Bateri buat perangai! Menghembuskan nafas terakhir di saat-saat yang
paling genting.