Home Novel Keluarga Hero Hati Damia
Hero Hati Damia
Iman Zahri
13/6/2018 12:48:41
11,073
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 4

“INGAT pesan umi dan abah. Jangan buat perangai di sana. Jangan susahkan Mak Long dan Pak Long. Paling penting, jangan susahkan opah. Solat jangan tinggal. Bangun awal pagi.” Panjang pesanan Puan Dariya. Bukannya dia tidak percayakan Damia. Tetapi, hati seorang ibu yang tetap akan risaukan anaknya apabila berjauhan.

“Baik, umi. Semua pesanan umi dah ada dalam memori Mia. Tinggal nak connect dengan USB je. Confirm akan ingat sebaik saja sampai di Kuala Kangsar yeop!”

“Tak pernah nak serius Mia ni kan?”

“Hidup kena chill, umi. Ada benda yang kita kena ambil serius. Ada yang tidak.”

Lengan Damia dicubit. Menjerit gadis itu dek penangan uminya yang tiba-tiba.

“Abah! Tengok umi,” jerit Damia. Dia pandang Encik Rafi yang leka berbual dengan Tan Sri Idham di halaman rumah.

Encik Rafi menoleh ke belakang. Dia melihat Damia dan Puan Dariya yang berdiri di muka pintu. Wajah Damia masam mencuka.

“Kenapa pula ni? Hari-hari abah tengok umi. Sampai tak larat dah nak tengok,” Encik Rafi berseloroh.

“Anak manja abang nilah. Menjawab je kerjanya. Eloklah dihantar balik ke kampung. Duduk dengan opah dia. Mana tahu elok sikit perangai kalau kena tempik dengan mak.” Puan Dariya menjeling Damia disebelahnya.

Damia memuncungkan bibirnya. Tidak puas hati apabila Encik Rafi membuat loyar buruk.

“Elok sikit muka tu Mia,” tegur Encik Rafi.

“Padan muka. Buat lagi muka macam itu. Sudah! Angkat beg ni masuk ke dalam kereta. Makin dilayan, makin menjadi. Umi nak tengok Mak Long. Sudah siap ke belum Puan Sri seorang itu.”

“Umi, potongkan kek pisang dan masukkan dalam bekas untuk Mia boleh? Please,” pinta Damia. Lengan Puan Dariya digoyang perlahan.

“Kenapa tak ambil sendiri tadi? Sajakan nak mengada-ada. Tunggu situ. Umi bekalkan untuk Mia.”

You are the best mom in the world, umi!” tutur Mia lalu tersengih. Lebar sengihannya kali ini.

Encik Rafi mengatur langkah ke arah Damia apabila melihat anaknya itu masih berdiri di muka pintu.

“Kenapa tak masukkan beg dalam kereta lagi? Pak Long tengah tunggu Mia. Pergi cepat,” arah Encik Rafi.

 “Oh, kejap-kejap,” jawab Mia lalu terkial-kial mengangkat bagasi bersaiz sederhana itu ke kereta Tan Sri Idham.

“Anak oh anak. Nak duduk di kampung tiga hari. Bawa baju macam nak duduk seminggu,” omel Encik Rafi sendirian lalu melangkah masuk ke dalam rumah.

 

 

 

DI dalam kereta, Puan Sri Dahlia tidak henti-henti berceloteh. Damia hanya memasang telinga sahaja. Biarlah pasangan suami isteri itu sahaja yang berbual. Cuma sesekali dia bersuara apabila ditanya.

Telefon bimbit tidak lekang dari tangan. Lebih seronok melayan aplikasi Instagram, Twitter dan Facebook daripada mendengar topik perbualan yang berkisarkan syarikat dan kerja.

Tetapi, telinganya laju sahaja menangkap butir perbualan Mak Long dan Pak Longnya mengenai seseorang.

“Dah call along? Beritahu dia kita dah nak sampai Kuala Kangsar. Jangan pula dia tak jadi balik. Abang luku dia nanti,” tutur Tan Sri Idham. Matanya fokus memberi tumpuan terhadap pemanduan.

“Saya dah whatsapp dia. Malaslah nak call. Bukannya dia rajin nak jawab. Kejap lagi dia replylah mesej saya,” jawab Puan Sri Dahlia.

Call sajalah. Lebih senang daripada nak tunggu dia balas whatsapp awak. Kalau dia tengah memandu, macam mana dia nak balas.”

“Okaylah, sekejap.” Puan Sri Dahlia mengalah.

Damia di tempat duduk belakang terus memasang telinga. Dia mula gelisah. ‘Kenapa Mak Long tak beritahu sepupunya akan pulang ke kampung juga?’

Sudah lapan tahun dia tidak berjumpa Aniq Danial. Mestilah segan. Memanglah dahulu mereka bagaikan belangkas. Tetapi waktu itu dia masih kanak-kanak. Mana tahu erti segan?

Aduh! Damia garu kepala yang tidak gatal.

“Assalamualaikum, along. Along ada di mana? Ibu dan ayah dah nak sampai rumah opah. Ingat jalan nak balik rumah opah tak? Kalau tak ingat, ibu dah ayah tunggu di stesen minyak yang berdekatan,” laju Puan Sri Dahlia menuturkan kata sebaik saja panggilannya dijawab.

“Kalau macam tu, kita jumpa di rumah opah. Hati-hati drive. Kalau mengantuk, berhenti di R&R. Jangan paksa diri untuk drive,” pesan Puan Sri Dahlia pula.

“Jangan nak iyakan saja. Dengar cakap ibu. Okaylah, ibu letak telefon dulu. Assalamualaikum.” Panggilan dimatikan.

“Along ada di mana?” tanya Tan Sri Idham.

“Tapah. Dia cakap jumpa di rumah mak. Dia guna Waze kalau tak ingat jalan ke kampung,” beritahu Puan Sri Dahlia.

“Err… Mak Long, Mia nak tanya sikit,” Damia mencelah perbualan ibu dan bapa saudaranya.

“Tanyalah, Mia. Kenapa minta izin segala ni?” Puan Sri Dahlia ketawa kecil.

“Abang Aniq balik seorang atau dengan Kak Alia?”

“Seorang saja. Kak Alia ada di Rusia. Raya baru balik. Kenapa Mia?”

“Tak ada apa. Mia rindu nak jumpa Kak Alia,” Damia memberi alasan.

“Raya nanti kita berkumpul ramai-ramai. Mak Long tak sabar nak beraya di sini. Lapan tahun Mak Long beraya di perantauan. Nak balik tak boleh sebab dulu Abang Aniq belajar di sana. Lepas itu, Kak Alia pula. Cuma kali ini rezeki Kak Alia dapat cuti lama sikit,” panjang lebar Puan Sri Dahlia bercerita.

“Tak sabarnya nak raya. Tahun ni giliran beraya di rumah opah. Mesti seronok sebab semua ada,”

“Sebulan saja lagi bulan puasa. Tak lama dah, Mia,” ujar Tan Sri Idham.

“Tak sampai beberapa bulan selepas tu, Mia pun habis STPM. Tak sabar nak masuk universiti pula,” balas Damia teruja. Sungguh dia tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke alam universiti.

“Dulu Mia dapat tawaran diploma di UMT kan? Kenapa tak pergi?” tanya Tan Sri Idham.

“Diploma tiga tahun. Rugilah Pak Long. STPM setahun setengah je. Lagipun, masa tu Mia tak nak jauh daripada umi dan abah,” Damia tersengih.

“Anak manja seorang ni. Patutlah umi dan abah dia ikutkan saja permintaan dia. Manja sungguh. Nanti kalau dapat universiti yang jauh macam mana? Takkan nak tolak lagi?” Puan Sri Dahlia menoleh ke belakang memandang Damia.

“Mia akan minta universiti yang dekat-dekat saja. Paling jauh mungkin Perak. Perak dekat dengan opah.”

“Jangan lupa minta di Johor sekali. Mak Long dan Pak Long ada,” kata Tan Sri Idham.

“Lagi jauh tu Pak Long. Menangis Mia nanti.”

“Mak Long kan ada? Kalau Mia rindu rumah, datang saja rumah Mak Long.”

“Nanti Mia fikirkan macam mana. Kalau boleh Mia nak duduk di Bangi saja.”

“Betul-betul tak nak duduk jauh budak Mia ni abang.” Puan Sri Dahlia geleng kepala lalu ketawa.

“Mia nak duduk celah ketiak umi dan abah sampai bila-bila,” ujar Damia selamba.

Serentak Puan Sri Dahlia dan Tan Sri Idham geleng kepala. Parah anak saudara seorang ini.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.