Pagi-pagi
lagi Zarra sudah bersilat di dapur. Satu persatu laci kabinet dibuka mencari
bahan-bahan kering untuk memasak. Harriz pula masih terbongkang tidur di dalam
bilik selepas solat subuh. Bukan main lagi Nadia menyuruh dia memasak nasi ayam
untuk makan tengah hari. Mana dia tahu memasak nasi ayam. Makan saja yang dia
tahu.
Puas juga dia melayari internet
mencari resepi yang mudah dan cepat. Sedap atau tidak, dia malas mahu ambil
tahu. Gasaklah apa nak jadi. Asalkan ada rupa nasi ayam di atas meja makan.
“Hish! Susah sebenarnya nak masak
bagai ni. Mana aku tahu nak potong ayam macam mana. Nak masak sup? Lagi aku tak
tahu.” Omelnya sambil mengetuk meja menggunakan sudip.
Harriz yang mendengar bunyi bising
dari arah dapur mencelikkan mata. Berat sungguh rasanya untuk bangun dari katil
yang empuk itu. Hujung minggu merupakan waktu yang sesuai untuk dia berehat dan
menghabiskan masa dengan tidur.
Dia melangkah keluar dari bilik
tidur dengan penampilan yang kusut masai. Terbeliak matanya apabila melihat Zarra
yang duduk bersila di dapur dan terkial-kial memotong ayam. Apa mimpi budak
Zarra sorang ni? Getusnya.
“Buat apa ni, Zarra?” tegurnya dari
arah belakang. Dia menarik kerusi lalu duduk menopang dagu memerhati Zarra.
“Eh? Dah bangun rupanya intan payung
Zarra.” ucap Zarra dengan nada menyindir. Jam sudah menunjukkan 11 pagi, baru
Harriz menunjukkan muka. Seronok sangat agaknya membuat tahi mata.
Harriz tersengih. “Nak buat apa ni?”
sekali lagi dia bertanya.
“Alaaa… Nadia nak datang rumah, nak lunch dekat sini.” Beritahu Zarra.
“Dia nak datang sini? Zarra bagi
pula dia ke rumah kita? Bukan selama ni nak berahsia soal kita?” soal Harriz
bertalu-talu.
“Zarra dah bongkar pun rahsia
terbesar Zarra yang dah bertukar status menjadi puan ni. Terkejut beruk dia
dibuatnya. Nasib baik aje dia tak pengsan.”
“Wow! Bravo isteri abang!” sorak
Harriz dengan kuat. Dengan pantas dia memeluk Zarra dari arah belakang.
“Hoi! Busuklah, tak mandi.” Tolak
Zarra dengan kasar.
“Amboi.. Sombongnya! Badan yang busuk
nilah Zarra peluk macam bantal malam-malam.” Balas Harriz. Sempat dia
mengusutkan rambut Zarra sebelum membuka peti sejuk.
“Biarlah…” jawab Zarra perlahan.
Jus oren Tropicana Twister dan kek
keju diletak di atas meja. Perut sudah berbunyi minta diisi. Tak mengapalah,
hari ini dia sarapan makanan ala-ala barat saja. Malas mahu keluar membeli
sarapan. Lagi pula, sudah pukul 11 pagi. Para peniaga sudah tutup kedai agaknya
dan sibuk menyediakan lauk-pauk untuk makan tengah hari.
“Potong ayam pun dah dekat satu jam.
Tak masak lagi tu.” komplen Harriz.
“Banyak bunyi pula orang tua ni. Dah
tahu perempuan comel depan awak ni tak pandai masak, ringan-ringan kan tangan
tu tolong apa yang patut. Bukan kritik apa yang orang buat.” Bebel Zarra.
Ayam yang sudah dipotong diletak di dalam sink untuk
dicuci. Tepung gandum serbaguna dikeluarkan untuk mencuci ayam. Nasib baik dia
pernah tengok mama mencuci ayam. Kalau tidak, sampai ke sudah dia tidak tahu
apa.
“Okey… Meh sini chef Harriz
tunjukkan bakat memasak sup ayam.” Angkuh Harriz bersuara.
Zarra menjeling sekilas. Elleh..
Berlagak macam tahu masak. Selama enam bulan mereka duduk serumah, sekali pun
Harriz tidak pernah memasak makanan yang agak rumit masakannya. Paling sedap
pun, sambal sardin. Hari itu, bukan main poyo lagi Harriz beria-ia mengaku
pandai memasak. Hakikatnya, hampeh!
Terkejut Zarra apabila periuk kecil
terjatuh di atas lantai. Mengucap panjang juga dia gara-gara kaget. Terasa
jantungnya seakan terhenti seketika. Terkocoh-kocoh Harriz mengambil periuk
yang terjatuh dan tersengih memandang Zarra.
“Maaf, chef tak sengaja terjatuhkan
periuk. Biasalah, manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan.” Ucap
Harriz penuh sopan.
“Poyolah! Pergi mandi sekarang.
Jangan kacau Zarra nak memasak. Resepi semua Zarra dah print daripada internet.”
Harriz mencebik. “Kalau tak sedap,
lepas ni jangan berani nak masak lagi dah.”
“Eh! Suka hatilah.” balas Zarra.
Kulit bawang yang penuh di dalam sink diambil lalu dilempar ke arah Harriz.
“Main kasar nampak.” Ucap Harriz
sedikit kuat.
Zarra ketawa besar. Seronok melihat
wajah Harriz yang kelat begitu. Terasa agaknya dengan kelakuan dia yang agak
kasar. Dia memerhati Harriz berlalu dari dapur dengan sengihan lebar.
“Haih.. Ada saja yang menganggu
waktu aku sibuk macam ni.” Rungut Zarra apabila telefon bimbitnya berbunyi
nyaring.
“Hah! Kau nak apa? Aku tak siap
masak lagi ni.” Hambur Zarra sebaik saja menjawab panggilan. Tidak sabar-sabar
betul Nadia hendak datang ke rumahnya. Awal-awal pagi lagi sudah menganggu.
Bersungguh-sungguh Nadia ketawa
mendengar omelan Zarra. “Lagi sepuluh minit aku sampai. Tolong sediakan karpet
merah untuk aku. Eh, kejap. Nombor 36 kan rumah kau?”
Membulat mata Zarra. “Gila! Biar
betul kau ni. Aku tak siap masak lagi ni. Kau jangan buat pasal.”
“Seriuslah, ngok. Alaaa… boleh aku tolong kau apa-apa. Takkan aku datang nak
duduk goyang kaki je. Baiklah, bye.” Pantas Nadia mematikan panggilan.
“Waaa!!! Kau ni memang menyakitkan
hati betullah, Nadia!” jerit Zarra sekuat hati. Dia sudah tidak peduli
kalau-kalau ada jiran tetangga yang memanjangkan leher mengintai ke arah
rumahnya. Dia mencapai pisau di tepi sink lalu kembali meneruskan tugasnya.
Harriz yang baru selesai
membersihkan diri terus meluru ke dapur sebaik saja mendengar jeritan Zarra.
Kelam kabut dia memakai baju. Sebaik saja dia berdiri di muka pintu dapur, dia
melihat keadaan Zarra baik-baik saja. Hmmm. Musykil betul.
“Ada sundal bolong lalu depan
tingkap ke tadi?” soal Harriz seraya mengusik.
“Hah? Mana sundal bolong? Mana?
Mana?” Kelam kabut Zarra meninggalkan sayuran-sayuran yang belum dipotong lalu
berganjak ke belakang.
Harriz menghamburkan tawa apabila
melihat wajah Zarra yang pucat lesi. Adoi. Pagi-pagi buta sudah ada hiburan di
depan mata.
Zarra mengetap bibir. “Gila punya
suami. Ikutkan hati, dah lama aku ikat dalam stor.” Terkumat-kamit mulut Zarra
mengutuk Harriz.
“Ewah, ewah. Sedap kutuk suami
sendiri?” tanya Harriz tidak puas hati. Sup ayam di dalam periuk dikacau
sebelum mengambil alih tugas Zarra memotong sayur. Zarra sudah tidak ada mood.
Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung. Biskut di dalam balang diambil
lalu disuap ke dalam mulut. Dia memerhati saja Harriz yang tekun dengan
tugasnya.
“Assalamualaikum! Zarra ooo Zarra!”
nyaring suara Nadia memberi salam. Langsung tidak ada sopan-santun.
Harriz mengerutkan dahi. “Kawan dah
sampai ke?” Dia bertanya.
Zarra mengangguk. “Awal gila, kan?
Dia dah tak sabar nak makan dekat sini katanya. Tak apa, kawan baik Zarra.
Layankan saja.”
Dengan penuh lenggang lenggok Zarra
berjalan ke ruang tamu. Dari jauh lagi dia sudah perasan lambaian Nadia. Tak
sabar-sabar nak masuk ke rumah betul.
“I
miss you, Zarra!” terus dirangkul tubuh Zarra ke dalam pelukannya. Gembira
sakan dia dapat berkunjung ke rumah baru Zarra.
“Ish, apa ni peluk-peluk.” Kasar
Zarra menolak tubuh Nadia supaya melepaskan pelukannya. Rimas.
“Kau ni tak sporting langsung. Dah siap masak? Aku lapar dah ni. Sanggup tau
aku tak breakfast sebab nak lunch dekat rumah kau.”
“Tak faham aku dengan perangai kau
ni. Nasib baik nasi dan sup dah siap masak. Ayam je belum goreng. Kau tolong
aku, okey?” Tangan Nadia ditarik supaya mengikutnya ke dapur.
“Eh, kenapa bawa kawan sampai ke
dapur ni? Ajak dia duduk di depan, buatkan minuman.” Arah Harriz. Hairan dia
melihat Zarra beria-ia mengajak Nadia ke dapur.
“Tak apa. Nadia bagitahu, dia nak
tolong goreng ayam. Abang boleh tinggalkan dapur dan masuk ke dalam bilik. Kami
nak privacy.” Zarra tersengih lebar.
Nadia cuma mampu tersenyum manis.
Alahai. Kacak sungguh suami Zarra. Tapi, apa boleh buat. Hak milik kekal Zarra.
“Okey. Selamat memasak.” Dengan rela
hati Harriz meninggalkan mereka berdua di dapur. Mujur dia sempat mengemas
dapur yang bersepah. Entah apa lah yang Zarra buat. Berkecah dan bersepah semua
barang-barang. Itu lah risiko jika jarang masuk ke dapur dan memasak. Tabik
spring kepada Zarra kerana mampu memasak nasi ayam walaupun rasa, dia belum
tahu.
“Pandai kau masak, Zarra. Tak tahu
pula aku selama ni.” Nadia mula berceloteh. Melilau matanya melihat susun atur
dapur. Hmm. Kemas dan rapi.
Zarra tersengih lagi. “Ini first time aku masak selepas dah
berbulan-bulan aku duduk rumah ni. Semua ni disebabkan kau. Mengada-ada nak
makan dekat sini. Tak sampai hati aku nak beli dekat kedai. So, aku gagahkan diri juga belek
resepi.”
“Wow! Bravo, Zarra. Tak sia-sia aku
datang sini. Ada hikmah kau kahwin muda kan. Mesti sejuk perut mama kau bila
dapat tahu kau pandai masak nasi ayam sekarang ni.” Nadia memuji. Diam-diam ubi
berisi juga Zarra ni.
“Dah, jangan banyak cakap. Ambil
sudip ni, goreng ayam.”
“Aku tahulah. Tak payah nak sengih
sangat.” Balas Nadia lalu merampas sudip yang dipegang Zarra.
Zarra tersenyum lebar. Kali pertama
dia memecah rekod bersilat di dapur sepanjang dia hidup selama sembilan belas
tahun. Pasti mama dan papa bangga dengan kejayaan anak bongsu mereka. Ini Zarra
Arissa. Semuanya ditanggung beres.