Panggilan daripada umi
memang mengujakan Harriz. Mana tahu, surat panggilan mengajar sudah tiba dengan
jayanya di rumah. Mujur mama tidak banyak soal sewaktu dia keluar rumah.
Bukannya dia tidak tahu. Puan Dayana amat khuatir dia kemana-mana tanpa
memberitahu.
Bukannya Puan Dayana mahu mengongkong Harriz, cuma dia
risau akan keselamatan Harriz. Tambahan pula, Harriz duduk di rumahnya. Kalau
apa-apa yang terjadi, sudah tentu dia perlu bertanggungjawab.
“Assalamualaikum”. Harriz mengucap salam sebaik melangkah
masuk ke dalam rumah. Umi dan babah yang duduk berbual di meja makan dihampiri.
“Eh, cepatnya sampai. Berapa kilometre sejam Harriz
drive?” Soal Puan Sri Nazrah apabila melihat Harriz sudah terpacul di
hadapannya. Rasanya, tidak sampai satu jam dia menghubungi Harriz supaya pulang
ke rumah.
“120km/j. Tak laju mana pun, umi.” Harriz melabuhkan
punggung di kerusi selepas bersalaman dengan umi dan babah.
Tan Sri Shakir menghulur sekeping surat kepada Harriz.
Senyuman yang lebar terukir pada bibirnya. “Tahniah.” Dia bersuara.
“Surat daripada Kementerian Pendidikan. Dah lama Harriz
tunggu.” Ujarnya gembira.
“Kalau kena mengajar di Sarawak macam mana? Sanggup nak
tinggalkan isteri?” Puan Sri Nazrah mengusik. Tawa kecil meletus dari bibirnya.
“Tak mungkin Sarawak. Mana boleh tinggalkan isteri.
Tempat isteri di sisi suami.” Harriz berseloroh.
“Hmmm. Pandai dah anak kita ni abang. Dah mula sayangkan
Zarra la tu.” Lengan suaminya dicuit. Seronok melihat wajah Harriz yang tidak
lekang dengan senyuman.
“Bagus lah macam tu. Jangan dia pergi langgar pesanan
kita sudah. Zarra tu tak habis sekolah lagi.” Balas Tan Sri Shakir. Bahu Harriz
ditepuk berulang kali.
“Harriz masih kuat pegangan iman. Pesanan umi dan babah
akan Harriz ingat sampai hujung tahun ni.” Harriz tersenyum nakal.
Puan Sri Nazrah ketawa. Macam-macam jawapan yang Harriz
berikan. Suaminya pun apa kurangnya. Ada saja modal ingin mengusik Harriz.
“Buka lah surat tu. Tunggu apa lama-lama.” Tegur Tan Sri
Shakir.
Dengan lafaz Bismillah, Harriz membuka surat itu dengan
berhati-hati. Puan Sri Nazrah dan Tan Sri Shakir menunggu dengan penuh sabar.
Mereka juga tidak sabar ingin mengetahui di mana anak mereka akan ditempatkan
untuk mengajar.
“Yes! Sekolah
Menengah Kebangsaan Sri Mahkota. So…
Sepuluh minit dari sekolah Zarra.” Akhirnya dia dapat menarik nafas lega.
Memang berbaloi dia melabur sejumlah wang membeli sebuah rumah di kawasan
perumahan elit itu.
Mereka tersenyum senang. Puan Sri Nazrah paling gembira.
Tidak perlu lagi berpisah daripada Harriz macam dahulu. Setahun sekali pun
belum tentu boleh pulang semasa Harriz belajar di Dubai.
“Kena buat kenduri doa selamat ni.” Cadang Puan Sri
Nazrah. Dia sudah berkira-kira ingin mengadakan kenduri di mana dan berapa
bilangan tetamu. Tidak sabar sungguh nampaknya.
“Umi… Jangan tergesa-gesa. Hari tu dah berapa puluh ribu
umi berhabis untuk majlis Harriz. Kalau ya pun umi teringin nak buat kenduri
doa selamat, panggil jiran-jiran dengan saudara-mara kita cukup lah”
Kepalanya dianggukkan tanda bersetuju dengan Harriz.
Isterinya memang cekap kalau soal kenduri kendara. Dalam masa sehari saja
majlis boleh diadakan. Dengan duit, semua benda boleh diadakan dengan sekelip
mata.
“Naz… Tak payah lah awak jemput geng-geng NDS awak tu.
Haihh. Rimas saya tengok.”
Tan
Sri Shakir cukup tidak berkenan dengan kawan rapat isterinya. Bergaya bukan
main. Beg tangan mesti berpuluh ribu. Mujur isterinya masih boleh dikawal. Dia
memang tidak benarkan Puan Sri Nazrah bergaya lebih-lebih. Bersederhana sudah
cukup.
“Geng
NDS?” Puan Sri Nazrah menyoal. Suaminya memang suka memandai-mandai gelarkan
orang.
Harriz
menahan tawa melihat umi dan babah berbual. Malas mahu menyampuk. Dia mendengar
saja sambil menjamah kuih seri muka buatan umi. Memang terbaik di ladang.
“Ha’ah.
NDS. Nazrah, Dora dan Sally. Kan jadi geng NDS. Salima jadi Sally. Baizura pula
disuruh panggil Dora. Macam-macam kawan awak tu, Naz.” Jawab Tan Sri Shakir
selamba.
Merah
padam muka Puan Sri Nazrah menahan marah. Suka hati saja suaminya menggelar dia
dan kawan-kawannya dengan gelaran sebegitu. “Biar lah Dora ke, Dory ke..
Asalkan mereka tu tak kacau abang sudah. Abang tu pun apa kurangnya. Berkawan
dengan… Ish apa nama lelaki tu.” Dia diam seketika.
“Uncle
Sam.” Sampuk Harriz. Babah nya memang berkawan rapat dengan Uncle Sam. Mereka
bertambah rapat sejak babah dapat projek di China.
“Hah!
Si Sam tu. Nama Samad. Tapi disuruhnya panggil Sam.” Bibirnya diherotkan.
Bukannya Puan Sri Nazrah berniat ingin mengutuk nama kawan baik suaminya. Cuma
dia geram apabila Tan Sri Shakir menggelar dia dan sahabatnya geng NDS. Tak glamour langsung.
Terkulat-kulat
Tan Sri Shakir dihentam isterinya. Harriz melepaskan tawa. Memang gelak besar
dia hari ni. Sakit perut dibuatnya dengan gelagat umi dan babah.
“Gelak
kuat-kuat lagi Harriz. Biar pecah ruang makan ni.” Sindir Tan Sri Shakir. Geram
melihat Harriz yang beria-ia ketawa.
“Jom
kita gelak sama-sama, Harriz. Suka sangat kan usik orang. Baru babah tahu macam
mana perasaan orang kan bila kena sindir.” Jeling Puan Sri Nazrah.
Berair
matanya gara-gara galak ketawa. Memang menceriakan hari-hari yang suram kalau
duduk berbual dengan umi dan babah.
“Tutup
mulut tu. Nanti masuk lalat.” Tegur Harriz apabila melihat Zarra yang terlopong
sebaik saja turun dari kereta.
Zarra
memandang Harriz dengan sengihan. Besar gila rumah yang Harriz beli. Halaman
rumah boleh dijadikan gelanggang bola tampar. Memang besar. Dia mengikut
langkah Harriz yang menghala ke muka pintu.
Sekali
lagi dia tergamam sebaik saja pintu rumah dibuka. Ruang tamu sebesar alam.
Boleh dijadikan gelanggang badminton.
“Berapa
ratus ribu rumah ni?” Zarra bertanya.
“Ada
lah setengah juta.” Jawab Harriz ringkas.
Gila!
Setengah juta? Lebih baik mereka duduk di rumah mama kalau macam ni punya harga
sebuah rumah. Bila difikirkan semula, memang jauh jarak dari sekolah dengan
rumah. Kalau di rumah baru ni, perjalanan cuma dalam sepuluh minit. Itu kalau
naik kereta.
“Tak
pelik ke?” Zarra menyoal lagi.
Harriz
memandang Zarra dengan penuh tanda tanya. “Nak pelik kenapa?” Nah. Soalan
dibalas dengan soalan.
“Kita
ni tak sampai seminggu lagi jadi suami isteri. Then, nak kena pindah rumah duduk asing dengan family. Zarra rasa macam kena duduk asrama pula. Kalau macam tu,
tak kahwin pun tak apa.”
Jawapan
Zarra amat menyentapkan Harriz. Ayat terakhir Zara agak keterlaluan. ‘Tak
kahwin pun tak apa.’ Wajah Harriz berkocak. Senyuman sudah mati dari bibirnya.
Zarra
yang sedar akan keterlanjuran kata, mengetap bibir. Aduh! Macam mana boleh
terlepas cakap ni. Memang lah dulu dia tak mahu berkahwin. Tapi, bila mama kata
bila dah berkahwin, duduk juga di rumah mereka, dia jadi tidak kisah kalau
berkahwin. Ini kena pindah rumah pula. Kalau kawan-kawannya tahu macam mana?
Apa dia nak jawab?
“Abang….”
Zarra meraih lengan Harriz. Harriz masih tegak berdiri di situ. Sejuk hati
apabila mendengar Zarra memanggilnya begitu. Ingin dilihat sejauh mana Zarra
memujuknya pula. Asyik dia saja memujuk Zarra.
“Sorry laa… Zarra tak bermaksud pun nak
cakap macam tu. Abang pun tahu kan, Zarra memang jenis yang cakap tak pandang
kiri kanan. Cakap main lepas je.” Penuh hati-hati dia menutur kata.
Harriz
masih berdiam diri. Sengaja mahu menguji Zarra.
“Jangan
lah marah Zarra. Zarra mana reti nak pujuk orang. Buruk lah orang lelaki
merajuk. Tak handsomedah suami Zarra
ni.” Dia cuba membodek.
“Kalau
tak merajuk handsome?” Harriz
bertanya. Nada suaranya mendatar.
“Hmmm.
Handsome, handsome.” Zarra mengagguk
berulang kali.
“Suami
Zarra ni memang handsome. Zarra je
yang tak tahu.” Jawabnya dengan penuh lagak. Sempat dia membetulkan rambut yang
sedikit kusut.
“Dah
habis merajuk?” Pinggang Harriz dicuit.
“Zarra
dah puji abang handsome. Hilang lah
sentap.” Dia tersengih menayang gigi yang tersusun kemas.
Harriz
melangkah menuju ke dapur meninggalkan Zarra yang masih tercegat berdiri di
ruang tamu. Kabinet dapur memang sudah sedia cantik. Cuma perlu dibersihkan.
Pasti nampak kemas. Warna merah dan putih pada kabinet dapur memang cantik. Superb!
“Abang!
Besarnya bilik. Boleh duduk sepuluh orang.” laung Zarra teruja. Dia
melompat-lompat teruja di dalam bilik utama. Sungguh mengujakan untuk berpindah
masuk ke dalam rumah ini.
“Sebelum
abang lupa, bilik ni tak boleh warna merah jambu. Kita pilih warna lain.” Awal-awal
lagi Harriz memberi amaran.
“Okey!”
Sungguh mudah dia memberi persetujuan.