Home Novel Keluarga Hero Hati Damia
Hero Hati Damia
Iman Zahri
13/6/2018 12:48:41
11,050
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1

DAMIA mengatur langkah ke bilik guru dengan hati yang berdebar. Tidak pernah lagi sepanjang dia bersekolah di situ, ada guru yang memanggilnya sewaktu proses pembelajaran. Tidak putus-putus dia berdoa di dalam hati supaya semuanya baik-baik saja. Sampai saja di depan pintu bilik guru, terus dia menadah tangan membaca doa. Terkumat-kamit mulutnya berdoa dengan mata yang terpejam.

Belum sempat dia selesai berdoa, pintu bilik guru dibuka.

“Kenapa dengan kamu ni Damia?” soal Cikgu Hajar sedikit aneh.

Damia tersentak apabila ada suara yang menegurnya. “Eh? Saya buat apa?” Soalan dibalas soalan juga.

Cikgu Hajar menggelengkan kepala. Anak muridnya yang seorang ini memang sedikit blur dan cepat gelabah.

“Kamu berdiri depan pintu ni dengan mulut terkumat-kamit. Kamu baca jampi serapah ke?” usik Cikgu Hajar.

Damia tersengih menahan malu. Mukanya sudah terasa membahang. Kalau boleh menyorok didalam kasut, sudah lama dia menyorok.

“Saya masuk dulu, cikgu. Cikgu Jannah nak jumpa.” Dia meminta diri. Sempat juga dia mencuit pinggang Cikgu Hajar.

 Terjerit kecil Cikgu Hajar dengan sikap Damia yang spontan. “Nakal kamu ni, Damia.”

“Bye cikgu!” Lambai Damia seraya tertawa kecil.

Dia berdiri kaku di hadapan meja Cikgu Jannah. Cikgu Jannah tak ada di dalam bilik guru. Diamembuang pandang ke segenap sudut bilik guru. Tetap tak nampak kelibat Cikgu Jannah. Dia mendengus geram.

 “Cikgu, nampak Cikgu Jannah tak?” soalnya kepada guru yang duduk di sebelah tempat Cikgu Jannah. Nama guru itu dia tidak tahu. Sebab? Guru itu merupakan guru baru di sekolah itu.

“Awak Damia?” soal guru itu semula.

Damia mengangguk  lalu tersenyum manis.

“Cikgu Jannah ada mesyuarat sekarang ni. Tapi dia ada pesan dekat saya, dia suruh kamu ambil buku di dalam kotak bawah meja tu. Ambil dua puluh buah dan bagi pada kawan-kawan sekelas.”

Damia menarik nafas lega. Mati-mati dia ingat ada kesalahan yang dia buat sehingga dipanggil ke bilik guru.

“Beres,cikgu. Terima kasih,” ucapnya.

Dengan susah payah dia menarik kotak di bawah meja lalu mengambil buku yang diarahkan Cikgu Jannah. Punyalah berat kotak buku pun. Sumbat batu ke apa? Dia merungut tidak puas hati.

Terkial-kial dia membawa buku-buku ke kelas. Nyaris terjatuh buku yang dibawa. Tudung yang dipakai sudah tidak betul gara-gara kelam-kabut mengawal buku-buku supaya tidakterjatuh.

Attention class!” Lantang suaranya sehinggakan seisi kelas terdiam. Kaget barangkali.

 “Kau ni buat kitorang terkejut jelah, Damia,” rungut Nani. Lemah segala urat dan jantungnya.

  Sorry, sorry.  Datang depan dan ambil buku Pengajian Am ni. Lepas tu, sila jaga buku elok-elok. Cikgu Jannah tak masuk kelas hari ni. Dia ada mesyuarat,” beritahu Damia lalu menepuk tangan.

“Yahoo!!” Riuh mereka bersorak. Mana tidaknya, waktu subjek Pengajiam Am, tiga masa.Memang mereka seronok sakanlah.

Let’s party!” Sorak Damia pula. Dia menarik kerusi dan diletakkan di tengah-tengah kelas. Apa lagi, mula lah aktiviti harian dia. Berbual dan bergosip mengenai hiburan. Selena Gomez, Taylor Swift! Tak lupa juga, artis-artis Korea.

           “

             

           

PUAN Dariya memeluk tubuh memandang kehalaman rumah. Hari ini dia tidak ke sekolah. Sengaja dia mengambil cuti. Dia memandang sekeliling halaman dan amat berpuas hati melihat taman mini yang sudah dipenuhi dengan pokok bunga dan juga rumah orkid. Tak sia-sia dia bertungkus lumus selama dua bulan untuk merealisasikan impiannnya selama ini. Baru kali ini dia berkesempatan setelah mereka sekeluarga berpindah ke rumah banglo setingkat ini. Selama ini mereka duduk di kuaters guru, mana boleh buat taman mini idaman hati.

Dari jauh lagi sudah kedengaran suara anak gadisnya berbual rancak. Puan Dariya hanyamampu tersenyum memandang Damia yang membuka pintu pagar dengan dahi yang berkerut. Cuaca sangat panas. Sudah banyak kali Puan Dariya mahu menghantar danmengambil Damia pergi dan pulang dari sekolah. Tapi, apa boleh buat kalau gadis manja itu tidak mahu. Dia lebih suka berjalan kaki dengan kawan-kawan.

“Mia! Biarkan je pintu pagar tu, tak payah tutup. Kejap lagi abah balik makan tengah hari.” Laung Puan Dariya apabila melihat Damia terkial-kial menarik pintu pagar.

Damia terus mendapatkan Puan Dariya dengan senyuman yang lebar. Mesti ada sesuatu yang membuatkan dia gembira semacam saja.

 “Tolong bawakan buku Mia. Berat lah, umi,” Damia bersuara lemah. Buku di tangan dihulur kepada Puan Dariya.

Mereka berjalan seiring melangkah masuk ke dalam rumah. Pendingin hawa yang dipasang memang menyejukkan badan yang berpeluh sakan.

“Lepas mandi dan solat, tolong umi hidangkan makanan. Abah ada bawa balik tetamu harini,” beritahu Puan Dariya.

Damia tidak jadi masuk ke dalam bilik. Dia mendapatkan semula Puan Dariya yang duduk di sofa.

“Siapa nak datang?” soal Damia.

“Adalah. Dah, pergi mandi. Busuk!” arah Puan Dariya. Dia menolak tubuh Damia supaya jauh daripadanya.

Damia menjuih bibir tanda tidak puas hati. “Kedekut, tak nak bagitahu!”

Puan Dariya hanya ketawa mendengar rungutan Damia. Langsung tidak kisah kerana dia tahu Damia hanya bergurau. Cara Damia bercakap memang kasar. 

Bunyi kereta yang masuk ke halaman rumah membuatkan senyuman terus terukir dibibirnya. Puan Dariya terus ke muka pintu menyambut suaminya, Encik Rafi dan tetamu yang dikatakan istimewa itu.

“Kak Lia! Lamanya tak jumpa.” Puan Dariya bersuara kegembiraan. Tubuh kakaknya dipeluk erat melepaskan kerinduan. Tidak lupa juga berlaga pipi. Sudah menjadi satu kemestian bagi orang perempuan bila berjumpa.

 “Lapan tahun kita tak jumpa. Mestilah lama. Anak-anak pun dah besar panjang.Sepatutnya Kak Lia dah boleh dapat cucu,” Puan Dahlia berseloroh. Seronok sungguh dapat pulang ke Malaysia semula.

Encik Rafi memandang sekilas birasnya, Tan Sri Idham yang sakan ketawa mendengar celoteh Puan Sri Dahlia.

“Sambung berbual dekat dalam, Dar. Jemput Kak Lia dengan Abang Am  masuk berehat. Mesti penat lama sangat duduk dalam kapal terbang tu,” celah Encik Rafi.

"Terlupa pula! Seronok sangat dapat berkumpul semula. Jom, masuk,” ajak Puan Dariya. Beg pakaian Puan Sri Dahlia diambil dan diletakkan di tepi sofa.

Kemudian, dia terus ke dapur mengambil minuman yang sudah disiapkan dan dibawa ke depan. Panas-panas begini, bila dapat jus oren untuk membasahkan tekak, memang lega.

“Balik Malaysia terus ke?” soal Encik Rafi.

“Macam tulah nampaknya. Lagipun Aniq dah mula ambil alih syarikat. Dia balik ke sini awal seminggu. Hampir lapan tahun saya uruskan syarikat dari jauh sebab terpaksa selesaikan semua masalah di London tu.” jawab Tan Sri Idham seraya ketawa kecil. Dia pun bukannya muda lagi. Usianya hampir mencecah lima puluh lima tahun.

“Baguslah. Tak lama lagi boleh terima menantu,” gurau Puan Dariya.

 Puan Sri Dahlia ketawa besar. Memang beginilah bila dapat berkumpul bersama. “Boleh juga. Saya pun dah teringin sangat nak timang cucu. Dar pun lagi lapan tahun dah nak bersara kan.”

“Lambat lagi lapan tahun tu, Kak Lia. Dar tak nak dah bekerja lepas bersara. Nak duduk rumah je. Berehat,” ujar Puan Dariya.

Puan Sri Dahlia hanya mampu menggelengkan kepala. Sudah banyak kali dia mendengar alasan yang sama daripada Puan Dariya. Wanita itu memang sudah bertekad tidak mahu bekerja lagi sebaik saja bersara. Apa yang dia boleh buat? Geleng kepala sajalah.

“Mana budak-budak? Sunyi sepi je rumah ni,” tanya Tan Sri Idham. Sejak tadi lagi dia tercari-cari anak saudaranya. Rindu tidak terkata.

“Damia ada dalam bilik. Tengah solat agaknya sebab baru balik sekolah. Tiga orang hero lagi semua dah duduk luar. Nak berdikari katanya,” jelas Encik Rafi. Tidakada satu info pun yang tertinggal.

“Apa cerita Alia dan Aniq? Lama dah tak jumpa budak-budak tu,” Puan Dariya memandang wajah Puan Sri Dahlia.

“Alia sekarang  ada di Rusia. Lagi tiga tahun baru habis belajar. Aniq pula sekarang ni dah besar panjang. Dia ada di Johor uruskan syarikat. Tak sempat nak bawa dia ke sini. Maaflah sebab kita dah lama terputus hubungan,” jawab Puan Sri Dahlia. Mula timbul rasa serba salah.

“Eh, jomlah kita makan tengah hari. Dah lewat sangat ni. Kesian Kak Lia dengan Abang Am. Mesti lapar,” ajak Puan Dariya. Tidak sangka hampir setengah jam mereka berbual sehingga lupa makan tengah hari.

“Haa.. Jom Am. Dariya masak menu istimewa hari ni untuk orang dari negara sejuk,” seloroh Encik Rafi.

Puan Dariya membiarkan suaminya mengambil alih tugasnya di dapur seketika. Dia meminta diri untuk memanggil Damia. Damia mesti sudah lupa akan pesanannya supaya membantunya di dapur. Silap hari bulan, Damia sudah hanyut dibuai mimpi.

“Mia! Cepat keluar. Semua orang dah ada dekat meja makan.” Pintu bilik diketuk berulangkali.

Sekejap saja pintu sudah dibuka. Puan Dariya mengetap bibir melihat keadaan Damia yang tidak terurus. Sahih anak daranya tertidur.

“Cuci muka, gosok gigi. Lepas tu, pergi dapur!” arah Puan Dariya.

Damia mengangguk laju. Pintu bilik ditutup semula lantas dia bergegas ke bilik air. Tidak mahu umi dan abah membebel. Paling penting, dia mahu melihat tetamu istimewa yang dikatakan umi tadi.

            

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.