Home Novel Keluarga Hero Hati Damia
Hero Hati Damia
Iman Zahri
13/6/2018 12:48:41
11,063
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 2

ANIQ mengatur langkah meninggalkan ruang pejabat itu dengan hati yang sebal. Rasa sakit hatinya meluap-luap. Terkumat-kamit bibirnya mengomel tanda protes. Sama sekali dia tidak menyangka pekerjanya sendiri berani berkasar dengannya. Bukan main sombong lagi. Macam mana ayah boleh ambil wanita itu bekerja. Baru dua hari dia mengambil alih Kiara Holdings, dia sudah berjumpa dengan orang yang berperangai sangat menyakitkan hati. Hish! Rasa macam mahu pecat pekerja itu sekarang juga. Masih terngiang-ngiang suara wanita yang bekerja di bahagian pengurusan itu menyapa halwa telinganya. Menyesal pula setuju pulang ke Malaysia. Lagi bagus kalau dia bekerja saja di London.

“Encik Aniq tak boleh suka-suka hati nak arahkan saya buat kerja bodoh macam tu. Saya ni pegawai pengurus sumber manusia. Takkan saya nak kena pergi kemas stor? Orang bodoh saja yang nak buat kerja macam tu.” Lantang wanita itu bersuara. Dia mencekak pinggang umpama ingin ajak bergaduh.

 “Amboi! Cantiknya bahasa. Kerja dekat stor tu orang bodoh je yang boleh buat? Awak ni cerdik sangat ke? Orang kalau cerdik, dia tak melawan cakap bos. Dia patu hsemua arahan dan terima semua arahan dengan hati yang terbuka. Muka saja cantik tapi perangai hodoh!” Laser dia bersuara. Aniq Danial memang seorang yang boleh tahan juga mulutnya.

Pintu bilik dihempas kuat. Setiausahanya, Liana hanya mampu menggeleng kepala. Aniq Danial memang seorang yang baran. Kecut perut dibuatnya. Bagaimana dia ingin bertahan jika perangai majikannya berterusan begini? Harap muka saja kacak tetapi perangai nauzubillah.

“Liana! Masuk bilik saya sekarang!” suara Aniq yang nyaring menyentakkan lamunannya. Habis melayang apa yang dimenungkan sebentar tadi. Ini lagi satu sikap Aniq yang dia tidak suka. Interkom kan ada? Kenapa perlu terjerit-jerit begitu? Diari miliknya dicapai lalu bergegas meninggalkan mejanya.

Dia mengetuk pintu bilik Aniq sebelum melangkah masuk. “Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Encik Aniq?” perlahan dia bertanya.

Riak wajah Aniq yang masam mencuka dipandang sekilas. Tidak mampu untuk menatap wajah lelaki itu lama-lama.

“Buatkan saya kopi.” Ringkas tetapi padat. Aniq kembali menatap komputer riba dan meneruskan kerjanya.

Liana tercengang. Lidahnya kelu tidak mampu berkata apa-apa. Angguk tidak, geleng pun tidak. Sejak bila tugasnya bertambah? Jadi tea lady pula?

“Tunggu apa lagi? Faham tak arahan saya?” bentak Aniq. Keningnya sudah bertaut. Kalau dibiarkan beberapa minit lagi, pasti melenting.

 “Faham, bos. Saya buat sekarang,” akur Liana.

Dia mengatur langkah sedikit laju meninggalkan bilik itu. Belum sempat dia membuka pintu, suara Aniq mencecah gegendang telinga sekali lagi.

“Kurang manis,” ujar Aniq.

 “Baik Encik Aniq,” jawab Liana ringkas. Malas mahu berlengah, dia terus membuka pintu dan keluar dari bilik itu.

 "Kenapa dengan bos kita tu? Angin monsun dia datang tak kira masa. Sakit jantung saya ni, Kak Ina. Tak pasal-pasal kena buat kopi pula. Skop kerja saya tak ada rasanya kena buat kopi, milo ais, nescafe ais untuk bos.” Rungut Liana. Tangannya lincah membancuh minuman untuk Aniq.

Kak Ina ketawa kecil. Mujur dia tidak bekerja di jabatan pengurusan. Kalau tidak, mahu bernanah telinga mendengar jeritan dan teriakan majikannya setiap hari.

“Sabarlah, Liana. Mungkin dia ada masalah peribadi yang menyebabkan emosi dia terganggu? Kau tak boleh cepat melatah. Buat macam biasa. Tayang muka tak ada perasaan. Lama-lama dia pun tak larat dah nak bentak-bentak kau.” Kak Ina ketawa lagi.Nescafe panas disisip perlahan.

“Akak cakap senanglah sebab akak tak mengadap muka ketat dia tu. Saya ni hari-hari kena tengok muka dia. Tak tahulah macam mana bakal isteri dia nak tengok muka ketat dia hari-hari. Nasib baik saya dah bersuami. Selamatlah saya daripada bersuamikan lelaki perangai macam dia,” bebel Liana lagi.

“Sudah, sudah. Pergi hantar minuman dekat dia cepat. Nanti makan tengah hari akak tunggu kau kat depan lif. Akak belanja kau makan, ya? Bagi sejuk sikit hatitu.”

Liana tersenyum lebar. Kak Ina memang pandai pujuk memujuk. “Sebab tu Liana sayang akak lebih. Liana pergi dulu sebelum bergegar Kiara Holdings ni.”

“Yalah. Senyum sikit. Kau pun jangan nak buat muka ketat macam bos kita tu,” usik Kak Ina.

Liana senyum manis. Muk berisi kopi dipegang dengan cermat.

Telefon bimbit berbunyi nyaring minta dijawab. Aniq yang sejak tadi fokus dengan kertaskerjanya mendengus kasar. Pen di tangan dicampak ke atas meja. Dia memandang sekilas. Nama pemanggil yang tertera pada skrin membuatkan hatinya kembali mendongkol. Tak habis-habis lagi perempuan ni. Siang malam kerjanya telefon orang. Aniq mengetap bibir.

“Hah? Nak apa lagi?” tanpa memberi salam, Aniq terus menjawab panggilan itu.

“You ni, kan. I call you baik-baik. Cakaplah lemah lembut sikit.” Suara gadis ayu di hujung talian sayup-sayup kedengaran. Macam orang tak mahu bercakap pun ada.

“I banyak kerja dan tak ada masa nak layan kerenah U. Kita dah tak ada apa-apa. Jangan ganggu I lagi lepas ni. You ni semak!” Panggilan dimatikan lalu iphone miliknyadicampak ke atas lantai.

Liana yang baru melangkah masuk ke dalam bilik bosnya itu kaget apabila telefon pintar yang mahal itu mendarat di atas lantai hampir dengan kakinya. Mujur sahaja dia tidak terpijak. Kalau tidak, habislah dia. Iphone 7 itu diambil lalu diletak dengan cermat di atas meja.

“Encik Aniq, ini nescafe yang bos minta. Alang-alang tu, saya nak update schedule untuk petang ni.” Liana bersuara perlahan namun kedengaran sedikit tegas.

“Hmmm.”

Liana menjeling sekilas wajah bosnya yang masam mencuka macam baru lepas tertelan sebotol cuka epal. “Petang nanti Encik Aniq ada minum petang dengan anak Tan Sri Nazri di Olive Hotel pada pukul empat petang.”

“Anak dia lelaki ke perempuan?” soal Aniq tanpa mengangkat mukanya. Matanya tepat memandang komputer riba.

“Perempuan.”

“Batalkan minum petang tu. Saya tak nak pergi,” tutur Aniq ringkas.

 Liana kaget. Buat hal lagi! “Saya tak boleh nak batalkan. Minum petang tu penting sebab Kiara Resort akan bekerjasama dengan Mutiara Holdings.”

“Sekarang ni saya ke awak bos?” Aniq pandang Liana sekilas.

“Encik Aniq..”Liana mula menarik muka masam.

“Kalau macam tu, ikutlah cakap saya. Saya tak suka bekerjasama dengan orang perempuan.Tak kisahlah anak Tan Sri mana sekali pun. Rimas! Kalau tak gedik, bercakap terkepit-kepit. Cerewet, mulut murai.” Aniq mula bersuara. Kalau tidak dihentikan memang boleh sakit hati dibuatnya.

“Okay, Encik Aniq. Saya akan batalkan. Sebelum tu saya kena maklumkan kepada Tan Sri Idham dulu,” Liana akur akhirnya.

“Tak payah. Ayah saya baru sampai Malaysia pagi tadi. Jangan ganggu dia nak berehat. Nanti pandai-pandailah saya cakap dengan Tan Sri kesayangan awak.”

“Okay, Encik Aniq. Saya minta diri dulu.”

“Tolong ambil biskut di pantri. Takkan nak minum air je. Kenalah ada makanan.”

“Baik,bos,” jawab Liana dengan hati yang bengkak. Tak pasal-pasal kena jadi tukang pembuat minuman dan tukang ambil biskut pula sejak dia ditukar ke bahagian atasan. Sudahlah kena mengadap anak pemilik syarikat. Dia melangkah keluar dari bilik itu dengan geram dan mengatur langkah ke pantri.

 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.