Universiti Teknik Malaysia,
Kampus
Kejuruteraan, Pulau Pinang
6
Ainnur tidak dapat melupakan bagaimana di suatu hari, dia telah diserang
oleh beberapa orang samseng dalam perjalanannya pulang dari sekolah. Peristiwa
itu telah memberinya trauma yang bukan sedikit. Dia bersyukur kerana ALLAH
masih menyayanginya. Umurnya masih panjang. DIA telah menghantar Zairul untuk
menyelamatkannya pada petang itu.
Teruk juga Zairul dibelasah oleh samseng-samseng berlima itu tetapi samseng-samseng itu lebih teruk dibelasahnya
seorang diri. Samseng-samseng itu akhirnya lari bila sedar, mereka tidak boleh
‘makan’ dengan ketangkasan budak lelaki
itu mempertahankan diri. Esoknya dia ke sekolah dengan dahi bertampal dan kaki
terhincut-hincut. Setiap kali memandang kepada budak lelaki itu, Ainnur diserbu
rasa salah yang bukan sedikit.
“Mulai hari itu, aku semakin mengagumi dia dalam diam. Aku tak tahu
bagaimana nak ucapkan terima kasih. Aku betul-betul malu pada dia. Tapi aku dah
tak bercakap kasar lagi dengan dia sejak hari itu.” Memanglah Ainnur tidak
bercakap kasar lagi kerana selepas itu memang dia langsung tidak bertegur-sapa
dengan budak lelaki itu. Semuanya dek kerana tidak tahu mana hendak diletakkan
mukanya kerana malu.
“Wah! Inilah sebabnya kau
mulai berubah ye...Kau dah jatuh hati pada dia...jadi kau mestilah hendak
selalu kelihatan cantik di matanya. Barulah boleh duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi.” Rafiza seronok mendengar cerita Ainnur lalu seperti biasa dia
mula mengemukakan teorinya sendiri.
“Taklah.... bukan sebab itu
aku berubah...” Ainnur berkata perlahan.
“Salah lagi....” Rafiza
menggaru kepala.
“Masa itu disebabkan
populariti dia, dia berjaya membuatkan budak perempuan paling cantik kat dalam
kelas aku tu suka kat dia. Hubungan mereka memang rapat. Macam pasangan
kekasih. Sebelum dia datang, Nilawati kawan aku tu tak layan pun budak-budak
lelaki yang nak rapat dengan dia. Tapi dengan mamat ni, Nilawati memang layan
habis. Jadi kami semua buat kesimpulan memang diaorang ni pasangan kekasihla
sebab dua-dua saling layan-melayani.”
Ainnur bercerita, Rafiza hanya
mendengarkan saja. Tetapi di kepalanya dia membuat kesimpulan bahawa, budak
lelaki yang paling glamour di sekolah telah bertemu dengan budak perempuan
paling cantik di sekolah itu. Kira memang pasangan yang ideal lah ni. Dia siap
membayangkan rupa kedua-duanya digandingkan sekalipun dia memang tidak pernah
bertemu dengan pasangan ini.
“Tapi dalam masa yang sama, si
mamat ni layan semua peminat-peminat dia. Kira dia ni macam tak serius
sangatlah dengan Nilawati ni. Mamat ni kira playboylah...dengan semua orang dia
layan istimewa sekalipun aku rasa Nilawati ni memang dapat layanan lebih lagi.”
Cerita Ainnur panjang lebar. Yang tidak diceritakan kepada Rafiza tentulah
tentang hatinya yang semakin hari semakin sayang kepada budak lelaki itu.
“Suatu hari, aku bermimpi.....ˮAinnur meletakkan jari telunjuknya
ke bibir bila dilihatnya Rafiza sudah mahu membuka mulut bertanya. Terus Rafiza memasamkan muka bila Ainnur
menghalangnya dari terus berkata-kata.
“Kelakar betul bagaimana aku boleh bermimpi.... aku kahwin dengan dia. Memang itu antara perkara
bodoh yang pernah aku alami.ˮ Ainnur
menggeleng-geleng kepalanya tanda kesal.
“Pening kepala aku memikirkannya kerana mimpi
aku tu bukan sekali tapi 3 kali.ˮ Ainnur
menayangkan 3 jarinya ke udara, betul-betul di depan muka Rafiza hinggakan
Rafiza terkejut tiba-tiba. Ainnur kemudiannya ketawa sendirian kerana berjaya
mengejutkan Rafiza yang sedang asyik mendengarnya bercerita.
“Mimpi tu sama aje setiap
kali.... Kau boleh bayangkan aku bersanding dengan dia kat atas pelamin? Aku
yang dulu kalau jumpa dia memang asyik nak cari pasal ni boleh bersanding
dengan dia. Memang tak masuk dek akal.” Ainnur mengomel sendiri mengenangkan
mimpi bodohnya.
“Yang kau gelak tu kenapa? Kau
mesti bayangkan aku yang gedempol ni bersanding dengan dia yang kurus macho.ˮ Ainnur turut tergelak-gelak bila melihat
Rafiza terangguk-angguk mengiyakan apa yang terbayang di fikirannya ketika itu.
Habis ketawa, riak wajah Ainnur
berubah serius. Dia seolah-olah termenung jauh hinggakan Rafiza terpaksa
mengejutkannya kembali. Dia terkenangkan
betapa ketika itu dia jadi manusia yang paling bodoh dan tindakan bodohnya itu
telah mengundang padah. Hanya kerana kesilapan mulutnya dan meletakkan
kepercayaan kepada orang yang salah, segala-galanya berubah. Kehidupannya sekejap
saja berantakan kerananya. Dunia rasa tunggang-terbalik seketika.
“Aku mimpi aku bersanding dengan dia serba biru di atas pelamin… tapi
yang peliknya mimpi aku tu, aku bukan Ainnur yang gemuk gedempol tetapi seorang
wanita yang kurus yang sama padan dengan dia. Aku memang tak percaya tapi dalam
mimpi itu memang perempuan itu adalah Ainnur, aku.” Ainnur menunjukkan jari
telunjuknya ke dadanya. Mata Rafiza terbuka lebar riak tanda terkejut tidak
percaya.
“Ceh! Penat aje aku berimaginasi.” Rafiza menyatakan protesnya. Ainnur
tersengih kerana berjaya memperdaya Rafiza dengan ceritanya buat ke sekian
kalinya. Ternyata imaginasi Rafiza yang membayangkan si gedempol bersanding
dengan si keding tidak terjadi sama sekali.
“Aku bingung, berhari-hari aku fikir pasal mimpi aku tu. Nak cerita pada
Zely aku malu hinggalah akhirnya aku dah tak tahan lagi bila aku dah mimpi
benda yang sama banyak kali. Aku pun ceritalah pada seorang kawan yang agak
rapat dengan aku ketika itu namanya Bunga….”
Pada sangkaan Ainnur dengan meluahkan apa yang terbuku di hatinya itu
akan meredakan bebanan yang dirasakannya saat itu tetapi dia ternyata silap.
Sesuatu perkara kadang-kadang adalah lebih baik dibiarkan rahsia. Meluahkannya
hanya akan memakan diri sendiri saja.
“Rupanya Bunga tu tak tahan rahsia. Memang sebelum ini dia hendak sangat
berkawan dengan Nilawati yang disukai ramai lemak berkrim tu. Jadi dia ingat
dengan membocorkan rahsia aku, Nilawati akan berterima kasih kepadanya dan
terima dia sebagai salah seorang ahli kumpulan glamournya kat sekolah itulah.”
“Jahatnya si Bunga tu. Memang ini kes kawan tikam kawan ni. Ada pulak
boleh buat kawan macam tu. Apa punya kawan daa….” Rafiza memberi komen siap
dengan mimik muka jeliknya sekali. Dia memang tidak puas hati dengan orang yang
suka menikam kawan dari belakang seperti itu. Mujurlah selama ini dia tidak
pernah punya kawan seperti Bunga itu.
Bagi Ainnur, mempunyai kawan seperti Bunga memberinya satu pengalaman
berharga. Dia menjadi lebih berhati-hati bila berkawan. Kerana itu dia tidak
punya ramai kawan rapat. Yang paling rapat dengannya tentulah Zely dan Rafiza.
Dengan Rafiza, dia juga banyak menyimpan perkara peribadinya sendiri.
Pengalaman pahit itu membuatkan dia sangat berhati-hati dan beringat-ingat.
Baginya jika hendak meluah perasaan, hanya ada 3 cara; kepada Allah, Zely dan
diari peribadinya. Hanya itu saja.
Mungkin saja dia manusia yang cepat serik. Pengalaman lalu tidak sanggup
diulanginya untuk kedua kali. Kerana itu juga dia cuba menutup pintu hatinya
rapat-rapat. Dia bimbang kecewa pada cinta pertama, memberi kasih kepada orang
yang salah akan mengundang kekecewaan yang lebih lagi. Kerana itu dia sedar,
dia tidak patut menyimpan perasaan kepada Dr. Ahmad Redza.
Tapi hati begitulah… jika sudah suka, walau diusir berkali-kali ia tetap
akan mengusik lagi walau berkali-kali juga diiingatkan kepada diri sendiri.
Mujurlah dia masih boleh rasional menahan diri. Ainnur sangat berharap pada Kem
Ukur ini adalah yang terakhir kali dia bersama pensyarahnya itu. Selepas itu
kenangan bersama Dr. Ahmad Redza hanya akan jadi sejarah.
“Lepas rahsia itu terbongkar, ramai yang memandang sinis kepada aku.
Ramai kata aku tak sedar diri. Ramai juga yang mengutuk aku. Aku ni dilabel
sebagai buaya betina kerana aku hendak merampas dia dari Nilawati. Mereka kata
aku mabuklah, macam-macam lagi. Aku sedih kerana masa tu tiada siapa yang
menyokong aku kecuali Zely. Aku malu! Tak tahu mana nak sorok muka aku ni.
Hingga ke manapun aku pergi kat sekolah itu semua memandang aku bagai aku ni
dah buat kesilapan besar!”
Bergenang air mata Ainnur mengingatkan bagaimana dia dikutuk dengan
kata-kata yang menyakitkan hatinya. Paling dia tidak akan lupa tentulah
kata-kata dari budak lelaki itu sendiri.
“Apa dia kata pada kau?” Rafiza
bertanya dengan nada yang perlahan. Dia turut bersimpati pada nasib yang
menimpa Ainnur.
“Masa tu kawan-kawan lelaki dalam kelas aku bising kenen-kenenkan aku
dengan dia. Memang hari tu bising sungguh dalam kelas. Jenuh Zely suruh mereka
diam, tapi seorangpun tak nak mendengar cakap Zely. Mereka siap buat bunyi
kompang, letak dua kerusi kat depan kelas konon-konon nak sandingkan aku dengan
dia. Ada yang tegak jadi bunga manggar, ada yang sudah bersilat pulut… Memang
gawat masa tu.” Ainnur memejamkan mata. Dia tidak akan dapat melupakan
peristiwa memalukan itu sampai bila-bila.
“Mereka tarik dia duduk di kerusi depan tu. Dia tak nak tapi kena paksa
juga. Dia berkeras tapi biasalah kawan-kawan aku kalau nak mengenakan orang
memang teruk, sanggup buat apa saja. Akhirnya dia bengang dan cakap…” Ainnur
berjeda. Dia tidak sanggup untuk mengucapkan kembali kata-kata Zairul tengahari
yang gawat itu.
“Dia kata…” Ainnur berhenti lagi lalu menarik nafas dalam-dalam. Rafiza
sudah tidak sabar mendengarnya.
“Dia kata… ‘kalau Ainnur yang gemuk ni bertukar kurus, dia akan sanggup
jadi pengantin Ainnur bila-bila masa tapi selagi badan Ainnur macam ni, Ainnur
boleh terus bermimpi…’. Aku rasa terhina sungguh.” Ainnur memberitahu. Air
matanya merembes laju turun ke pipi.
“Esoknya aku ambil keputusan untuk tukar sekolah kerana malu. Mujurlah
masa itu ibu dan ayah aku pergi umrah. Dengan surat kuasa dilantik menjadi
penjaga sementara semasa ketiadaan mereka, bapa Zely tolong uruskan pertukaran
sekolah aku.” Ainnur ingat lagi bagaimana marahnya ibunya bila dia beritahu
sudah bertukar sekolah sebaik ibunya pulang dari umrah. Jenuh juga Pak Zainal
kena marah gara-gara bersubahat.
“Beraninya kau…” Rafiza memuji keberanian Ainnur.
“Aku terpaksa. Aku malu sangat. Kalau kau bolehkah duduk satu kelas
mengadap situasi yang sama hari-hari? Aku kena segera bertindak kerana hanya
beberapa bulan saja lagi SPM akan bermula. Demi masa depan aku, aku kena juga
pindah sekolah. Aku tak tahu nak letak mana muka aku kalau terpaksa mengadap
muka dia hari-hari.” Ainnur memberitahu rasional tindakannya waktu itu. Rafiza
menganggukkan kepalanya tanda setuju.
“Yang orang tahu, aku hanya pindah sekolah kerana malu. Yang orang tak
tahu, aku berpindah sekolah dengan azam yang baru. Aku nak buktikan yang
kata-kata dia tengahari itu akan menjadi kenyataan. Jadi untuk menjadikannya
realiti, aku tidak boleh berada di depan mata dia.” Itulah puncanya Ainnur mula
mengubah cara hidupnya dan berdiet. Dia mengambil masa kira-kira 2 tahun
sebelum boleh menjadi Ainnur yang hari ini.
“Kau ambil serius kata-kata dia,” ucap Rafiza akhirnya dengan rasa kagum.
“Habis tu kau ingat aku hendak malu dengan sia-sia?” Ainnur
mempertahankan dirinya.
“Lepas kau dah kurus ni ada kau terjumpa dia?” Rafiza bertanya ingin
tahu.
“Tak pun. Aku dengar dia dah ke Jepun sambung belajar.” Ainnur berkata
acuh tak acuh. Baginya kisahnya dan budak lelaki itu sudah menjadi sejarah. Ia
kisah yang menyakitkan. Cinta pertamanya yang kecundang.
Sejak itu memang dia serik hendak ambil pusing soal hati dan perasaan
lagi. Lelaki hanya memandang paras rupa dari hati budi. Dia tidak percaya
wujudnya lelaki yang baik. Baginya istilah lelaki baik hanya untuk Zely yang
sentiasa menerima dia seadanya. Tapi dia dan Zely hanyalah teman tapi mesra.
Lelaki-lelaki yang menyukainya hanyalah sukakan rupa parasnya hari ini.
Kalaulah dia masih seperti dulu, dia yakin sangat tiada siapa yang sudi
memandang kepadanya apatah lagi menghulur cinta. Bagi Ainnur, dunia memang
kejam.
“Kalaulah kau terjumpa dia kembali, bagaimana?” Rafiza ingin menduga.
Keningnya diangkat berkali-kali sambil tersenyum-senyum penuh makna.
“Bagaimana, bagaimana?” Ainnur mengangkat bahu seolah-olah tidak memahami
soalan Rafiza tadi.
“Adakah kau akan menerima dia kembali, kalau dia benar-benar jatuh hati
dan bersedia jadi pengantin kau nanti? Aku rasa dia tak cakap pula yang dia tak
sukakan kau. Dia cuma mahu kau kurus baru dia terima kau.” Rafiza menjelaskan
soalannya dengan panjang lebar kali ini.
“Kau betul nak tau ni? Ainnur tersenyum mendengarkan pertanyaan Rafiza.
Dia sudah lama memikirkannya sebelum ini. Rasanya keputusan itu sudah
diambilnya lama dahulu semasa dia dalam proses menguruskan badannya.
“Yela….” Rafiza berkata bersungguh-sungguh.
“Betul-betul nak tau?” Ainnur bertanya seakan mahu bermain-main dengan
Rafiza. Dia menyembamkan kepalanya ke bantal. Rasa mengantuk yang dialaminya
kini sudah tidak boleh ditawarkan dengan kopi lagi. Ubatnya hanya tidur. Rafiza
memuncungkan mulutnya, melihatkan gelagat Ainnur, dia jadi geram.
Ainnur mengangkat keningnya berkali-kali lalu tersenyum nakal. Dia
menarik selimutnya tanda dia mahu menggantung marathon borak-borak mereka hanya
setakat itu saja. Dia sudah penat bercerita dan hari sudah menunjukkan jam 4
pagi. Matanya sudah berair kerana memang dia sudah kepenatan.
“Apa jawapannya wei!” Rafiza menarik selimut yang sudah menutupi wajah Ainnur
yang sedang terkekeh-kekeh ketawa kerana seronok mengenakan Rafiza lagi.
“Esok pagilah aku bagitahu…. sekarang aku nak tidur!” Ainnur menarik
kembali selimutnya.
“Ainnur!” Rafiza memanggil.
“Yelah…yelah…. Ainnur menggosok matanya kemudian meniarap. Dia berjeda
membuatkan kesabaran Rafiza teruji.
“Oit! Menung pulak.” Rafiza mencuit Ainnur menyebabkan Ainnur kembali ke
alam nyata. Dia memandang Rafiza dengan wajah yang serius.
“Itu namanya cinta dia tak ikhlas sebab siap ada syarat. Jadi aku juga
hanya akan terima dia kalau satu syarat dipatuhi….” Dengan yakin Ainnur membuat
kenyataan.
“Apa syaratnya?” Rafiza bertanya tidak sabar. Cerita Ainnur sudah sampai
di penghujungnya. Dia sudah tidak sabar mendengarkannya.
“Syarat utamanya dia mestilah tall,
dark and handsomedan… banyak duit…
Kalau tak, tak payah nak bukak cerita lama, kirim salam ajelah.” Ainnur ketawa
kemudian membuatkan Rafiza terpinga-pinga.
“Kau biar betul, banyaknya syarat. Tetiba nak jadi Madonna pulak, material girl!” Rafiza memberi komentar
seperti biasa. Walaupun Ainnur memang anak orang berada, dia bukannya jenis
yang suka menunjuk-nunjuk. Kalau tidak, takkanlah Ainnur sanggup hendak
berkawan dengan Zely yang hanyalah anak pemandu dan pembantu rumahnya. Dia menggeleng tidak percaya dengan kata-kata
Ainnur. Takkan Ainnur berdendam sehingga sanggup mengubah sikap dan nilai yang
dipegangnya selama ini.
“Kalau dengan dia semua benda aku akan berkira. Dia ingat senang-senang
boleh sakitkan hati aku?” Suara Ainnur sudah semakin lemah kedengaran. Di dalam
hati Ainnur mengaku yang dia masih berdendam dengan budak lelaki itu. Mungkin
dendam itu akan tetap bersamanya sampai bila-bila.
“Takkan kau tak nak maafkan dia?” Rafiza bertanya tidak puas hati tetapi
bila memandang Ainnur yang sudah memejamkan mata, niatnya mengejutkan Ainnur
terus padam. Jam sudah 4.00 pagi! Memang patut Ainnur terlelap.
Kini dia tahu mengapa hati Ainnur sukar ditembusi oleh Haidar mahupun
mana-mana lelaki. Dia benar-benar memahami kenapa Ainnur serik untuk membuka
pintu hatinya. Pengalaman cinta pertamanya memang begitu mengecewakan.
Kalaulah dia dapat mencari lelaki yang melukakan hati Ainnur, dia akan
temukan mereka. Dia akan damaikan mereka. Entah mengapa dia merasakan antara
keduanya ada kesesuaian antara satu sama lain. Kepalanya masih membayangkan
bagaimana rupa pelamin Ainnur dengan si dia sebagaimana yang dimimpikan Ainnur
suatu masa dahulu.
Rafiza menggeleng kepala. Kisah itu sudah lama berlalu. Bagaimana dia
hendak menemukan mereka kalau langsung tak pernah berjumpa dengan lelaki itu.
Rafiza menggeleng lagi lalu tersenyum sendiri mengenangkan betapa imaginasinya
itu sudah tidak boleh digunapakai lebih-lebih lagi pada waktu yang sudah
dinihari begitu. Perlahan-lahan dia memanjat tangga katilnya. Tetapi matanya
tidak mahu tidur. Kepalanya tidak habis-habis asyik memikirkan kisah Ainnur.