Home Novel Cinta CINTA PANDANG KE-2
CINTA PANDANG KE-2
Laila Kamilia
23/8/2014 18:52:04
45,551
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

Universiti Teknik Malaysia,

Kampus Kejuruteraan, Pulau Pinang

5

Rafiza dan Ainnur duduk sebelah-menyebelah sambil bersandar di birai katil. Di tangan masing-masing memegang mug berisi air kopi panas yang masih berasap. Rafiza setia menunggu Ainnur membuka cerita, menyambung marathon sembang-sembang mereka. Ketika itu jam sudahpun menginjak ke angka 1.45 pagi. Suasana di luar masih belum sunyi. Masih kedengaran suara-suara orang berbual mahupun bunyi derap kaki di koridor. Musim-musim peperiksaan, waktu dinihari tidak terasa sunyi kerana masih ramai pelajar yang masih bersengkang mata untuk mengulangkaji pelajaran.

Ainnur memejamkan matanya cuba memanggil memori yang terlakar sekitar 5 tahun yang lepas. Ketika itu dia baru di Tingkatan 5. Awal tahun persekolahannya pada tahun itu bermula dengan satu perkara penting yang terjadi. Ya! Ia bukanlah tahun-tahun seperti sebelumnya. Ia tahun yang sangat berbeza bagi seorang budak perempuan yang berbadan gempal dan bercermin mata bingkai besar.

Pada tahun itu sesuatu telah terjadi pada hatinya. Dia yang selama ini tidak pernah mengambil peduli tentang penampilan diri walau sudah berkali-kali diberi amaran dan didenda ibunya tiba-tiba suka melihat wajah sendiri di cermin. Dia yang selama ini langsung tidak pernah ambil pusing bila kawan-kawan perempuannya asyik bergosip tentang teman lelaki tiba-tiba mula memasang telinga. Dunianya yang selama ini hanya ada ibu ayah, Mak Tiah dan Zely kini mula memberi perhatian kepada seseorang yang lain, seseorang yang langsung tiada kena mengena dengan hidupnya sebelum ini.

Pada tahun itu, hatinya mula terusik dengan kehadiran seseorang. Dia lelaki yang berlesung pipit di kiri dan kanannya. Yang kelihatan santai bila membawa diri. Yang langkahnya sentiasa dijejaki dengan ekor mata si gadis dengan aura tersendiri. Kelihatannya dia sangat sederhana tetapi penampilannya yang sederhana itu telah berjaya memikat hati ramai teman-teman di sekolahnya.

Kehadiran si dia benar-benar telah mengubah persepsinya tentang kehidupan. Selama ini baginya hidup adalah di rumah; makan, ibu berleter, tengok TV, bersembang dengan Zely makan lagi dan kena leter ibu lagi. Di sekolah; belajar, makan, bersembang dengan Zely dan baca buku di perpustakaan. Hidupnya hanya berkisar begitu. Kalau orang lain berasa bosan mendengarnya, dia turut bosan dengan hidupnya.

Sebagai anak tunggal yang ibubapanya selalu sibuk dengan hal pejabat, dia sering merasa sunyi. Masanya diisikan dengan makan kerana dia merasakan makan dapat menenteramkan jiwanya. Tambahan masakan Mak Tiah memang sedap. Kerana itu badannya semakin merendang dari sehari ke sehari. Namun dia tidak pernah peduli asalkan tekaknya diisi dengan makanan sedap dan perutnya kenyang, yang lain-lain tidak lagi menjadi kepentingannya.

Kehadirannya di sekolah itu tidak pernah dipedulikan sangat. Dia dengan dunianya dan teman-teman sekolah dengan dunia mereka sendiri. Hanya Zely yang sentiasa ada di sisinya sebagai teman. Mereka sekelas dari Tingkatan 1 lagi. Selain dari Zely, memang dia tiada teman yang betul-betul rapat yang lain. Siapalah yang mahu berkawan dengan budak gemuk bagai peti ais bergerak itu.

"Kau percaya tak, kalau aku cakap sebenarnya Zely tu boyfriend aku?" Ainnur bertanya sekadar untuk menilai sejauh mana penilaian Rafiza tentang hubungannya dengan lelaki. Selama ini dia selalu mengatakan yang dia tidak berminat untuk bercinta apabila Rafiza bersungut tentang perangai acuh tak acuhnya pada Haidar tetapi tidak pernah memberitahu hal yang sebenar kepada Rafiza.

“Aku tak akan percaya kalau kau kata Zely tu teman lelaki kau.” Rafiza berkata sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Selama ini apabila digiat tentang Zely, beria-ia Ainnur menafikannya. Takkan hari ini lain pula ceritanya. Rafiza tidak akan percaya jika Ainnur mahu menipunya hidup-hidup.

Ainnur senyum. Dia sudah mengagak reaksi Rafiza yang tidak akan percaya kalau dia katakan Zely itu teman lelakinya. Tetapi Rafiza tidak tahu sebenarnya ia separuh tepat ataupun hampir-hampir tepat. Selama ini memang dia tidak punya teman lelaki yang rapat, hanya Zely seorang tetapi dia hanyalah teman berkongsi cerita dan rahsia hati. Tidak lebih dari itu. Lebih-lebihpun Zely itu sudah dianggapnya bagai abang kandung sendiri.

"Yang kau senyum sorang-sorang ni kenapa pulak?" tanya Rafiza tidak puas hati. Dia tidak sabar untuk mengetahui cerita sebenar mengapa Ainnur yang cantik manis itu menolak cinta lelaki. Masa muda begitu, sepatutnya Ainnur membuka ruang di hatinya untuk belajar apa itu cinta. Baginya kampus tempat terbaik untuk mengenal dan menilai hati budi seseorang.

Ainnur masih tersenyum. Kali ini dia terkenangkan Zely, lelaki yang begitu baik melayannya. Ada masa-masanya dia merasakan Zely terlebih memanjakannya, terlebih memberikan perlindungan dan terlebih memberi perhatian.

Mungkinkah kelebihan itu kerana dirinya istimewa di mata Zely? Zely tidak pernah sekali-kali meluahkan perasaannya lalu dia juga tidak berani hendak berangan-angan. Pengalaman lalu yang pahit akan sentiasa menjadi peringatan agar berhati-hati dalam menyatakan perasaan. Meminta hanya pada yang kasih. Merajuk hanya pada yang sudi. Biarlah hubungan antara mereka kekal bagai abang dengan si adik.

"Aku teringatkan Zely. Hubungan kami memang rapat bagaikan kembar tak seiras. Kau betul, Zely bukan boyfriendaku tapi tempatnya memang istimewa di hati aku. Selepas dia, hanya kau yang tahu cerita ini. Nanti kau akan tahu, mengapa aku menolak cinta lelaki.” Ainnur berjeda seketika. Dia melepaskan nafas berat. Kalaulah dia boleh memutar masa, dia tidak sekali-kali mahu dipertemukan dengan seorang budak lelaki yang telah menjadikan kehidupannya terbalik 360Ñ.

“Suatu hari, Zely demam. Jadi kebetulan hanya aku yang datang ke sekolah.Seperti biasa bila Zely tak ada, sebagai Penolong Ketua Kelas terpaksalah aku menggantikan tugasnya mengambil buku kedatangan di pejabat.” Ainnur memulakan ceritanya dinihari itu dengan Rafiza terangguk-angguk mendengarkan.

Jarak antara kelasnya dengan pejabat am sekolah memang agak jauh. Selalunya Zely yang mengambil buku kedatangan harian itu, jadi dia tidak perlu bersusah-payah berjalan kira-kira 500 meter setiap hari pergi dan balik ke pejabat am sekolah. Zely kasihan melihat dia dengan badan rendang terpaksa berjalan sejauh itu walaupun hakikinya memang telah menjadi tugasnya mengambil dan menghantar buku tersebut.

“Penat?” Tiba-tiba dia disapa semasa baru saja melabuhkan punggungnya di kerusi untuk melepas lelah sebelum masuk ke pejabat.

Dia menoleh. Sungguh dia tidak sedar pada masa bila tiba-tiba ada seorang budak lelaki di sebelahnya. Tadi semasa dia sampai, rasanya memang tiada sesiapa di situ.

“Terkejut ke? Maaflah ye. Awak tak perasan agaknya tadi, tak sedar saya kat sini. Yelah, saya ni kan kurus macam tiang sebatang je.” Budak lelaki itu cuba membuat lawak. Dia ketawa menampakkan kedua lesung pipitnya yang menawan. Tetapi walaupun Ainnur merasakan senyuman itu memang memikat, hatinya tiba-tiba jadi super sensitif pagi itu. Hatinya telah tersentuh dengan kata-kata lelaki itu.

‘Itu nak kata aku gemuk macam gajah lah tu!’ Ainnur membebel di dalam hatinya. Dia memberi jelingan maut kepada budak lelaki itu lalu memasamkan wajahnya.

“Janganlah marah-marah. Saya minta maaf kalau saya menyinggung perasaan awak. Saya tak berniat nak.... ” Budak lelaki itu berkata lagi tetapi Ainnur merengus. Dia bangun terus masuk ke pejabat am tanpa memperdulikan budak lelaki yang masih terpinga-pinga dengan tindakannya tadi.

“Ainnur!” Laung kak Siti kerani sekolah sebaik Ainnur mahu melangkah keluar dari pejabat itu bersama buku kedatangan murid. Ainnur berpaling kembali ke arah kerani yang memanggilnya itu. Tentulah kakak kerani itu kenal kepada dia kerana dialah satu-satunya budak gemuk yang menjadi Penolong Ketua Tingkatan di SMK Seri Desa.

“Tu! Tolong bawa budak baru tu masuk ke kelas awak.” Kak Siti memuncungkan bibirnya ke arah budak lelaki yang masih duduk di kerusi luar pejabat itu.

Ainnur mengerutkan dahinya. Alamak! Mamat sebelah ni nak masuk ke kelas aku! Ainnur menganggukkan kepala kepada Kak Siti tetapi mulutnya muncung sahaja. Dia pasti tidak selesa dengan kehadiran budak lelaki bermulut celupar itu di dalam kelasnya nanti. Awal-awal lagi dia sudah melabel budak lelaki itu.

“Hai! Nama saya...” Budak lelaki itu senyum lagi. Dia berdiri hendak memperkenalkan dirinya tetapi belum pun sempat dia bermukadimah, kata-katanya terus dimatikan.

“Maaf! Tak minat.” Ainnur terus berjalan menonong ke hadapan.

Wajahnya budak lelaki itu merah tiba-tiba. Telinganya berdesing mendengar kata-kata yang begitu sombong yang keluar dari mulut budak gemuk itu. Dia menjeling tajam ke arah budak perempuan yang memakai tanda Penolong Ketua Kelas itu. Hatinya jadi panas tiba-tiba. Dia yang sedari tadi menunjukkan muka manis dan cuba beramah mesra telah dibalas dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Budak lelaki itu geram dengan kesombongan yang ditunjukkan Ainnur. Dalam hatinya dia bertekad akan ‘mengajar’ Ainnur, apa makna perkataan berhemah.

Dia cuba menyabarkan hatinya. Dia budak baru di sekolah itu. Kalau di sekolah lamanya, tahulah apa nasib budak gemuk bernama Ainnur Azleen itu. Silap-silap nanti, dia akan masuk ke Aspuri dan ‘mengajar’ Ainnur malam itu juga. Biar Ainnur ingat sampai bila-bila supaya jangan sesekali cuba menunjuk lagak dengan Zairul Hasmat Zainuddin.

Dia sudah berjanji tidak mahu membuat pasal dengan sesiapa di situ. Tetapi sebagai salah seorang bekas samseng semasa di sekolah lamanya dia bimbang tidak dapat menahan diri lalu gadis itu akan menjadi mangsanya pula. Bukannya dia mahu mendabik dada tetapi memecah masuk ke Aspuri apatah lagi lompat pagar pada malam hari bukanlah sesuatu yang janggal. Dia juga sudah pernah kena belasah oleh senior gara-gara tidak puas hati dengan kumpulan mereka.

Tidakkah Ainnur tahu bahawa lelaki yang sedang bersopan-santun dihadapannya ini telah dibuang sekolah lalu kerana itu pagi ini dia berada di sekolah ini? Memang silap besar Ainnur menunjuk lagak padanya pagi itu. Sudahlah gemuk macam gajah, ada hati nak menunjuk lagak kepadanya. Semasa mengekori Ainnur dari belakang, tidak habis-habis Zairul marahkan Ainnur. Tidak habis-habis juga dia menyabarkan hatinya.

“Ini kelas awak. Kejap lagi saya minta sesiapa tunjukkan awak mana nak cari meja dan kerusi.” Ainnur memberitahu bila mereka sudah sampai ke dalam kelas.

“Bila tu?” tanya budak lelaki itu tidak sabar. Dia merenung jam di tangan. Ada 10 minit lagi sebelum loceng berbunyi. Takkanlah selama itu dia hendak terpacak macam tiang lampu dengan beg yang agak berat itu menunggu ‘sesiapa’ datang membantunya.

“Tunggu sajalah. Nanti sampailah siapa-siapa yang boleh tolong awak.” Ainnur berkata lalu duduk di kerusinya. Dia membuka beg sekolahnya lalu mengeluarkan sebuah buku rujukan Sejarah pura-pura membaca dengan penuh minat bagaikan buku itu baru pertama kali dilihatnya pagi itu.

“Kat sebelah awak tu kerusinya masih di atas meja. Agaknya dia tak datang hari ini. Bolehlah saya duduk kat situ sementara ini.” Budak lelaki itu berjalan ke arah meja di sebelah kiri Ainnur tanpa menunggu reaksi balasnya.

Dia menurunkan kerusi lalu meletakkan beg yang digalasnya di atas kerusi itu. Dia kemudian memicit bahunya yang sedikit sengal akibat menggalas beg yang agak berat. Kalau dulu, dia hanya membawa beberapa buah buku saja kerana dia tinggal di asrama yang membolehkan dia mengambil sebahagian buku lagi selepas waktu rehat. Sekarang dia bersekolah harian, semua buku-buku teks harus dibawanya setiap hari ke sekolah.

“Awak ni memang tak faham bahasa ke apa? Saya kata tunggu, tunggulah.” Ainnur meninggikan suara. Dia kemudian bangun lalu keluar dari kelasnya membiarkan budak lelaki itu terpinga-pinga dengan tindakannya. Namun dia tidaklah berada terlalu jauh hinggakan dia boleh menangkap kata-kata yang keluar dari mulut budak lelaki itu tidak lama kemudian. Sampai sekarang dia tidak akan lupa.

‘‘Dahlah gemuk macam gajah, garang pulak macam singa! Patut tak payah pergi sekolah, duduk saja dalam hutan!”

Ainnur bersemangat bercerita hingga tanpa sedar, dia telah menggepal penumbuk. Dia memang betul-betul geram dengan mulut celupar budak lelaki itu. Dia telah mengisytiharkan perang dalam diam.

“Memang aku geram betul, rasa nak cilikan aje mulut dia tu!” katanya dengan nada geram yang teramat.

Rafiza ternganga mendengarkan cerita Ainnur yang sukar hendak dipercaya. Ainnur dulu gemuk? Dia cuba membayangkan rupa Ainnur yang gemuk dengan cermin mata tebal dan bingkai besar sebagaimana yang digambarkan temannya itu. Sungguh! Sekalipun sedaya upaya dia cuba membayangkannya, dia masih tidak boleh dapat menggambarkan rupa Ainnur.

Tambah-tambah kalau hendak dibandingkan dengan sekarang ini. Adakah rupa Ainnur sepertiAna Maria Orozco dalam Yo soy Betty, la fea ataupun Era Fazira dalam Cinta Kolesterol. Dia memandang Ainnur dari atas ke bawah. Satu tangannya sedang mengurut dagu. Dahinya berkerut-kerut. Dia masih tidak dapat menerima cerita ‘dongeng’ Ainnur.

“Kau tak percaya cerita aku?” Ainnur ketawa melihatkan gelagat Rafiza yang merenungnya semacam. Dia tahu siapapun tidak akan percaya jika melihat dia hari ini dan membandingkannya dengan beberapa tahun lepas. Dia juga sendiri tidak percaya pada mulanya dia dapat menjadi Ainnur Azleen yang hari ini.

“Kau boleh tipu orang lain, tapi aku rasa aku tak makan dengan lawak pagi hari kau ni. Sudah... kalau kau dah tak ada cerita, baik kita tidur saja.” Rafiza menggeleng-geleng kepala. Dia memandang jam di pergelangan tangannya yang menunjukkan hampir 2.30 pagi. Dia sudah sedia hendak memanjat tangga katilnya. Kalau Ainnur hendak merapu-rapu pagi itu, dia mahu tidur.

“Eh! Takkan dah nak tidur. Tadi kata nak dengar cerita.” Ainnur menarik seluar tidur Rafiza. Hendak tak hendak Rafiza terpaksa turun balik lalu mengadap Ainnur. Dia memeluk tubuh sambil menunjukkan muka toya. Dia hanya memerhatikan Ainnur terbongkok-bongkok mengeluarkan sesuatu dari dalam beg pakaiannya di bawah katil.

“Kau tak percaya ya?” Ainnur mengomel sambil tangannya terus ligat bergerak. Sebuah album kecil dikeluarkan dari dalam beg itu lalu dibukanya. Rafiza turut sama duduk di sebelah Ainnur, menyandarkan tubuhnya ke katil. Dia menarik album yang sedang diselak di tangan Ainnur.

“Ini gambar kau?” Rafiza memandang gambar-gambar yang tersimpan di dalam album lama itu kemudian membandingkannya dengan rupa Ainnur sekarang.

“Macam tak percaya aje.” Rafiza masih belum puas menelek.

“Kau tengok gambar yang itu.” Jari Ainnur menunjukkan ke arah sekeping gambar dia berbaju kurung sekolah. Mata Rafiza terus lekat di situ.

“Tak nampak tanda nama tu tulis nama aku. Yang tu kat sebelah aku tu kan Zely.” Rafiza mendekatkan album gambar itu betul-betul di hadapan mukanya, kira-kira 3 inci dari mukanya. Setelah yakin dengan kata-kata Ainnur, dia kembali memandang kepada Ainnur sambil tersenyum-senyum. Dia masih tidak percaya tetapi dia harus mempercayainya. Bukti yang telah jelas lagi nyata telah ditunjukkan Ainnur kepadanya.

“Biar aku teka....” Mata Rafiza bercahaya-cahaya kemudian.

“Apanya?” Ainnur tersenyum memandang ke arah gambar-gambar yang sedang diselak Rafiza satu-persatu.

“Kau berubah kerana dia. Betul tak?” Rafiza mengangkat keningnya. Memang itu yang selalu terjadi. Si gadis berubah setelah jatuh hati. Begitulah yang terjadi kepada Betty dan Fazirah, mengikut cerita-cerita yang telah ditonton Rafiza itu.

Ainnur tersenyum meleret terkenangkan kembali kisahnya dengan cinta pertamanya yang telah banyak mengubah hidupnya. Benar kata Rafiza, jika tidak kerana dia, Ainnur hari ini pastinya Ainnur yang sama 5 tahun lepas.

“Aku benci dia. Mulutnya celupar.” Ainnur terus memberi komen. Sakit hatinya kepada lelaki itu rasanya masih tidak surut hingga kini.

“Kau tu yang mula-mula cari pasal dengan dia.” Rafiza seolah-olah membela lelaki itu menyebabkan Ainnur menjegilkan mata. Dalam hatinya, dia mengakui kebenaran kata-kata Rafiza. Dia tidak tahu kenapa dia memang sengaja mencari pasal dengan budak baru itu.

Memang dia yang mula-mula cuba menyakitkan hati budak baru itu sedangkan sebenarnya lelaki itu memang cuba berhemah pada mulanya. Dia sebenarnya takut pada perasaannya sendiri. Saat terpandangkan wajah budak lelaki itu, ada satu perasaan pelik yang membuatkan dadanya jadi sesak tiba-tiba. Dia tidak pernah merasakannya sama sekali sebelum ini. Kerana takut, dia cuba menafikannya dari terus bercambah.

Dia yakin itulah sebab utama mengapa dia menjadi kurang ajar tiba-tiba pagi itu. Tetapi dia tidak menyangka budak baru itu pendendam orangnya. Ternyata dia sudah tersalah memilih orang untuk diajak ‘berlawan’ di gelanggang.

Rafiza menghulurkan secawan kopi lagi kepada Ainnur. Dia kemudian duduk bersila mengadap temannya itu dengan bersemangat mahu mendengarkan lagi cerita Ainnur.

“Kau benci dia sebab mulut dia celupar tapi kau yang salah dulu layan dia macam itu.” Rafiza memberi komen. Ainnur terangguk-angguk perlahan. Kenyataan itu memang tidak dapat disangkal lagi.

“Hendak dijadikan cerita, mamat ni kemudian menjadi pujaan ramai budak perempuan kat sekolah. Dari adik junior Tingkatan 1 sampai yang Tingkatan 5 minat pada dia. Memang dalam masa yang singkat saja dia dikenali ramai.” Ainnur berkata. Dia memang tidak menyangka populariti budak lelaki itu begitu cepat meningkat.

“Mesti mamat tu hensem. Kalau orang dah hensem mesti ramai peminat.” Rafiza memberi komen. Di matanya sudah dapat membayangkan wajah budak lelaki itu sebagaimana yang telah digambarkan oleh Ainnur tadi.

“Budak perempuan, memang mudah cair kalau lihat lelaki yang cute, comel, baby face, sweet, smart, good looking…” sekadar menamakan beberapa istilah lain yang selalu diberikan oleh perempuan bila menyatakan rupa lelaki yang disukainya. Ainnur senyum saja mendengarkan Rafiza mahu berlagak menjadi pakar bahasa.

“Oh! Semua orang fikir begitu. Tapi sebenarnya bagi aku, dia sederhana saja. Pakaiannya kemas, tutur katanya teratur dan sopan. Dia lembut bila berkata-kata terutama kepada perempuan. Dengan kawan-kawan lelaki, dia orang yang pertama menghulurkan bantuan kalau diperlukan. Dia jaguh dalam karate dan pencapaiannya dalam akademik tak payahlah dipersoalkan. Khabarnya sebelum masuk ke sekolah kami, dia bersekolah asrama penuh. Jadi tak hairan, kalau dia boleh jawab soalan Matematik atau Fizik yang rumit sambil makan kacang.”

Seboleh mungkin Ainnur cuba menafikan tanggapan Rafiza tentang ketampanan lelaki itu tetapi di dalam hatinya Ainnur tetap mengakui kata-kata Rafiza. Wajah Zairul Hasmat sememangnya sedap dipandang mata. Bila sudah sekali pandang….rasa nak pandang saja. Auranya ternyata hebat hinggakan ramai yang menyukainya dalam sekelip mata.

“Aku tak percayalah dia sederhana saja. Hanya kau yang cakap macam tu…” Rafiza masih tidak berpuas hati dengan jawapan Ainnur. Baginya mana ada budak lelaki di sekolah yang ‘sederhana’ tetapi disukai ramai. Ia langsung tidak mungkin sama sekali.

“Alah… Mawi tu tak adalah hensem gila tapi ramai aje peminat dia.” Ainnur memberitahu mempertahankan pendapatnya.

“Alah… Mawi tu peminatnya orang dewasa… Bagi orang dewasa, hensem itu istilahnya universal. Ini aku cerita pasal budak sekolah. Kalau dah popular tu maksudnya hensem. Hensem sama dengan popular. Macam perumpamaan Matematik. Popular=Hensem=Popular.” Yakin Rafiza mengemukakan teorinya. Ainnur senyum bila Rafiza sudah mahu jadi pakar Matematik pula.

“Okey…kau menang!” Akhirnya Ainnur mengalah, bimbang Rafiza akan memanjangkan isu itu dengan mengemukakan teori Fizik atau Sejarah pulak. Cerita yang sejengkal nanti akan panjang berjela. Sudahnya malam itu mereka tidak tidur semalaman pula. Rafiza tersengih-sengih meraikan kemenangannya.

“Okey…cepatlah sambung cerita, aku tak sabar nak dengar ni,” Rafiza berkata sambil menggosok-gosokkan kedua belah tapak tangannya. Dia mendekatkan kedudukannya supaya lebih rapat kepada Ainnur, tanda dia betul-betul berminat untuk mendengar cerita selanjutnya. Rafiza kalau mendengar cerita lelaki hensem memang sentiasa bersemangat.

Baginya cerita Ainnur ini sangat menarik. Umpama cerita Cinderella versi Filem Melayu dan Bawang Putih Bawang Merah. Cerita dongeng bagaimana seorang budak biasa, yang tidak pernah diberi perhatian oleh sesiapa boleh bertukar menjadi seorang gadis yang sangat anggun dan digilai ramai jejaka.

Previous: BAB 4
Next: SINOPSIS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.