Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,435
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 006 : BERTEMU ANNE HATHAWAY

006 Hotel New Century Xiaoshan, Beijing, China

Jam 0041

Tak perlu memecah masuk ke Penjara Qincheng! Arahan terbaru yang diterimanya memerlukan dia mendaftar masuk ke hotel dan tunggu arahan seterusnya. Penat dia memikirkan cara menyelinap ke sana, alih-alih dapat arahan supaya dia balik ke hotel. Huh! Memang buang masa dan tenaga je memikir di sepanjang dalam kapal terbang tadi! Memang sia-sia! Kalau tahu, baik dia membuta!

Hehe... kalau tahu... Hakikatnya pekerjaannya memang memerlukan dia untuk selalu dalam keadaan bersedia. Kalaupun dah ada rancangan A, kalau tak menjadi kena ada rancangan B pula. Otak dan badannya harus sentiasa bekerja 24/7, dah macam rupa operasi masa kedai 7 Eleven. Mesin kat kilang pun ada masanya berehat juga.

Jade berbaring di atas katil. Terlentang. Kepenatan kerana penerbangan selama 5 jam 30 minit dari Kuala Lumpur sebenarnya begitu terasa hanya kerana dia baru tiba dari Sydney yang memakan masa 8 jam 30 minit sebelumnya. Dia perlu melelapkan matanya seketika, menggunakan masa yang ada untuk cuba merehatkan tubuh dan minda. Namun wajah Olga masih tidak dapat dilenyapkan dari matanya sejak tadi.

Pertemuan di antaranya dengan Olga begitu manis sekali. Manisnya macam mencicip gula kapas. Sedap tapi jika manis sangat boleh buat sakit gigi! Ye, begitulah... Kerana terlalu manisnya dia yang terluka sendiri...

7 tahun sebelumnya....

Hotel Capriani, Venice, Itali

Jam 2000

Sambutan ulangtahun Persatuan Pemilik Berlian Antik kali ini sangat meriah dengan acara tari-menari. Semua yang hadir sedang menikmati suasana mewah yang santai. Hilai tawa diselangi muzik klasik membingitkan halwa telinga tetapi disenangi para hadirinnya. Ramai juga sedang asyik menari di ruang tengah menikmati alunan muzik yang disajikan.

Bagi Jade, parti yang dihadiri oleh ramai hartawan dunia itu sudah tidak ada tarikannya lagi kepadanya. Pada awal-awal tahun penglibatannya dalam dunia perisikan ini, dia agak teruja meneroka dunia hiburan seperti itu namun kerana sudah lali, dia sudah tidak merasakan keseronokan lagi. Baginya hanya suatu malam biasa yang sangat membosankan.

Namun malam ini dadanya berdebar lebih daripada biasa. Bagaikan ada sesuatu yang penting yang akan terjadi pada malam ini. Matanya ralit memerhatikan setiap tetamu yang sedang santai di dewan utama berwarna keemasan itu. Misinya malam itu membantu seorang ejen di lapangan mencuri berlian yang dipunyai salah seorang tetamu jemputan.

Tidak lama menanti, satu kelibat menarik perhatiannya. Dia tahu ejen yang dimaksudkan adalah seorang wanita bernama Olga. Raut wajahnya juga sudah dihafal namun tanpa dia duga Olga yang di dalam gambar dengan Olga yang ada di hadapannya sangat jauh berbeza. Yang ada gambar berwajah biasa tetapi yang ada di hadapannya luar biasa, membuatkannya terpukau. Yang ada di hadapannya ini boleh membuatkan sesiapapun angau!

Anne Hathaway! Pertama kali memandang wajah Olga malam itu hanya satu nama tiba-tiba terpacul di bibir Jade. Persis bintang terkenal Hollywood, Olga memang bijak memanipulasi kecantikannya. Kehadirannya di dewan itu begitu menawan sehingga ratusan pasang mata tidak jemu memberikan tumpuan. Pastilah senang saja si gadis mengalih perhatian orang dengan 'tugas sebenarnya'.

Agh! Mudahnya menjadi ejen perempuan! Jade mencebir. Tiada sekelumitpun rasa kagum. Mata Jade terus memberikan tumpuan sama seperti mata ratusan tetamu yang lain tetapi dia tetap berwaspada. Olga sedang menari bersama seorang lelaki yang tidaklah sekacak mana pada pandangan mata Jade. Entah dari mana dirembat Olga, macam main tangkap muat! Jade mengumpat sendiri.

Sasarannya bukan lelaki yang sedang menari dengan Olga tetapi lelaki yang sedang menari di sebelah Olga itu. Lelaki Inggeris yang memakai sut hitam yang tentunya dari pereka jenama mahal itu sekalipun menari dengan pasangannya yang tidak kurang menawan, tetapi tetap menjeling Olga. Dasar mata keranjang! Macam Jade tak boleh baca fikirannya! Jade membuat analisa sendiri.

Jade turun ke ruang tari yang semakin meriah dan riuh rendah. Dia menjemput seorang gadis yang sedang berdiri memerhati sejak tadi untuk sama menari dengannya. Pelawaannya disambut lalu dia turut sama berdansa di lantai dewan itu dengan wajah gembira.

Muzik bertukar rentak lalu mereka bertukar pasangan juga. Kini Olga sedang berada di dakapan lelaki Inggeris tadi. Olga sedang memainkan peranannya dan sebentar nanti Jade yakin lelaki itu akan dapat 'ditaklukinya'. Pekerjaan yang sangat mudah bukan? Jade rasa hendak hantuk kepalanya ke dinding saja mengenangkan kelemahan lelaki pastilah kepada kejelitaan wanita. Tak perlu ribut-ribut mahu memikir strategi itu ini atau membahayakan nyawa dengan peluru di sini sana. Agh! Jade meroyan yang bukan-bukan!

Lagu bertukar rentak lalu sekali lagi mereka bertukar pasangan. Kali ini giliran Jade di sisi Olga. Mata bertentangan lalu senyuman bertukar dalam bahasanya sendiri. Tanpa pengenalan diri, Olga mudah mengenalinya.

"Gembira bertemu kamu, Jade." Olga membisikkan di telinga.

"Kamu menawan sekali Olga!" Bisik Jade kembali. Dan senyuman sekali lagi memberikan maknanya sendiri...

Hotel New Century Xiaoshan, Beijing, China

Jam 0059

Baru mata Jade hendak terlena mimpikan kenangannya dengan Olga, telefon bimbitnya bergegar. Hanya dengan sekali capai, telefon bimbit yang ada di atas katil terus dibawa ke hadapan mata. Matanya terbeliak seketika. Dia mengenyeh matanya dengan hujung jari. Biar betik!

SORRY. AKU TAK SEMPAT SAMPAI ESOK PAGI. AKU DAH BACA FAIL YANG KAU BAGI. ADA SIDANG KEDUA KONFEREN MARITIM DI TEMPAT SAMA 3 HARI LAGI. JIKA ADA YANG AKAN MATI KALAU AKU TAK PERGI ESOK, BAGITAHU SEGERA. AKU AKAN FIKIRKAN SESUATU!

Amboi! Lain macam saja bunyi SMS daripada Zed kali ni! Jade memegang dagu sedang mengira bilakah ayat-ayat Zed sudah ada bau-bau ingkar. Hmm... rasanya belum pernah. Agh! Tidak! Dia harus membanterasnya awal-awal lagi sekalipun dia sedar, misi Zed ke Hong Kong tidaklah melibatkan nyawa orang. Memang tak berapa nak mustahak! Tapi sebagai seorang yang selalu dominan, dia tidak akan senang-senang berkompromi dengan Zed. Tak boleh dibiarkan 'pengkhianatan'. Ewah! Teruk betul Jade melabel keingkaran Zed kepada pematuhan arahan.

Tiba-tiba Jade teringat pula tentang kedudukan Zed yang berada di US. Dia harus rasional. Sekalipun Zed harus akur permintaannya, dia perlu mempertimbangkan faktor kekangan lokasi terkini pasangan perisiknya itu. Sementelah, dia yang memberikan pelepasan kepada Zed untuk bercuti selama sebulan. Jade cuba memberi rasional kepada ego yang mencabar.

Baru dia mahu membalas SMS Zed, satu panggilan masuk. Dia segera menjawab. Dahinya berkerut sebaik menerima berita yang baru disampaikan. Semerta badannya tegak! Olga memang selalu buat dia sesak!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.