003
HQ APG, Putrajaya
Jam 1545
Jade sudah mengambil beberapa dokumen yang
diperlukannya untuk ke negara China.
Segala-gala telah tersedia; matawang, pasport dan visa malah maklumat
yang diperlukannya juga telah disimpannya rapi. Selebihnya keperluan lain jika
dia memerlukannya, akan didapatkan semasa di Beijing saja nanti.
Jade masuk ke dalam kereta bersama-sama
keperluannya tadi tetapi kepalanya berserabut. Kepalanya ligat memproses
maklumat-maklumat yang baru dia dapat. Pertama kali ini dia dalam dua misi
sekaligus. Dia bukannya Superman yang boleh berada di beberapa lokasi untuk
menyelamatkan dunia. Dia hanyalah seorang ejen yang kini terbahagi fokusnya.
"Bagus sangat!" Jade marah sendiri sebaik
membaca kiriman emel daripada informer
yang mahu berjumpa dengannya lagi tiga hari itu. Dia baru bercadang menunda
pertemuan tetapi informer itu mahu
berjumpanya esok pula.
Tadi dia sudah diberi misi untuk ke Beijing. Seingatnya
dia boleh menunda seketika pertemuannya dengan informer yang baru 'berjinak-jinak' dengannya itu sehingga dia
pulang dari Beijing. Dia sesekali tidak akan melepaskan seorang informer yang menawarkan maklumat
berharga kepada seorang ejen lain, hatta ejen itu adalah rakan setugasnya Zed. No way!
"Tangguhkan
dulu pemergian tu. Kalau penting, minta Zed yang mengambil alih tugasan tu.
" Arahan KP tadi terngiang-ngiang di telinganya mengganggu 'keputusan'
yang awalnya sudah bulat. Mana-mana ejen sudah pasti tidak akan mendedahkan
identiti informer mereka kepada
pesaingnya.
Zed
pesaingnya? Bukankah Zed rakan setugas yang banyak membantunya semasa di
lapangan? Jade patut memberikan kepercayaan melebihi 100% kepada seorang rakan
yang selalu menjadi penyelamat nyawanya, bisik hatinya. Alah... Diapun banyak juga menyelamatkan Zed, apa nak berkira
sangat? Rasanya dia lebih hebat daripada Zed kalau melihatkan sejarah
perkhidmatannya yang cemerlang. Dia lebih senior
dan Zed itu adalah ejen yang dibimbingnya, perantisnya. Namun dia tahu, hanya ego
yang telah membataskan dia untuk meletakkan kepercayaan 100% itu kepada seorang
Zed.
SMS yang baru dia terima daripada informer itu dibaca lagi sekali. Dia
jelas dan faham kehendak orang itu. Sekalipun belum pernah berjumpa, Jade sedia
maklum yang informeritu liat untuk
dibawa berunding. Ini kali yang ketiga mereka membuat temujanji tetapi asyik
tidak menjadi. Mungkin informeritu
mahu menguji setakat mana kesabaran dan kemahuannya terhadap maklumat yang
ditawarkan.
ESOK.
MERLION. ONE.
Jade membelek tiket kapal terbang ke Beijing yang
ada di tangannya. Kalau mengikut tiket penerbangan MAS yang dipegangnya, dia
akan berlepas ke Beijing jam 6.25 petang nanti. Kalau dia menaiki pesawat itu
bermakna dia akan terlepas pertemuan dengan informer
esok. Sekarang pun dia hanya ada kira-kira tak sampai 30 minit untuk tiba di
KLIA untuk mengejar kapal terbang ke Beijing. Dia harus pantas membuat
keputusan.
Jade jadi serba salah. Wajah Olga bergentayangan di mata. Dia
membayangkan gadis itu dalam keadaan yang sangat mengerikan jika masih dapat
bertahan sebegitu lama. Dia kesal kerana baru hari ini dia diberitahu tentang
Olga. Sesi soal siasat oleh komunis pastinya sangat menyiksakan. Dia sudahpun
membayangkan betapa tubuh yang tinggi lampai itu sedang tersepuk di lantai. Dia
harus menyediakan diri untuk menyelinap masuk ke dalam penjara Qincheng;
penjara yang dilabel sebagai maximum-security
di China.
Di antara nyawa Olga dan tawaran maklumat yang
berharga, Jade harus bijak memiih di antara keduanya dalam masa singkat yang
dia ada. Dia menekan pedal minyak. Sebagaimana lajunya kereta itu bergerak,
fikirannya juga turut sama bergerak. Dia harus buat keputusan yang tepat. Olga
atau informer di Singapura!