Hari semakin beransur pekat
malamnya. Di sekeliling bebayang pepohon berbalam-balam di pandangan mata.
Telinganya menangkap bunyi cengkerik di kiri-kanan jalan raya. Sesekala terdengar juga sahutan anjing
membelah kesunyian di kawasan hutan rimba yang dilaluinya.
Dia merenung jam di tangan. Dalam
samar-samar cahaya bulan, dia nampak jarum jam sudah menunjukkan angka lapan.
Sudah beberapa kali dia berpusing-pusing di sekitarnya tetapi kesudahannya dia
pasti ke jalan yang sama. Rasanya sudah hampir semua jalan telah dilaluinya
tetapi entah kenapa dia masih tidak bertemu dengan jalan keluar. Dia melepas
nafas panjang, hampir berputus asa.
Lampu penunjuk meter minyak yang
berkelip-kelip menarik perhatiannya. Hatinya semakin cemas. Dia tahu pada bila-bila
masa, tangki minyak motorsikalnya pasti akan kontang. Telahannya tepat bila
dengan tidak semena-mena enjin motorsikalnya berhenti tidak berapa lama selepas
itu. Dia turun dari motorsikalnya menjenguk ke tangki minyak. Apa yang
dirisaukan telahpun menjadi nyata.
Matanya membelingas ke kiri kanan memerhatikan sekeliling untuk meminta
pertolongan. Namun tiada satu pun kelibat rumah yang kelihatan di kawasan
tersebut. Jalan yang dilaluinya ternyata lengang tanpa kenderaan. Rimbunan
hutan yang berdiri gagah di tepi jalan tempat dia berhenti hanya memberikan
gerun di hatinya. Jelas, dia telah membuat perkiraan yang salah semasa membuat
keputusan untuk menyusuri jalan ini yang disangkanya adalah jalan pintas ke
rumahnya. Memang dia langsung tidak pernah melalui jalan itu sebelum ini,
sekadar mendengar tentang jalan pintas itu dari teman-temannya despatchnya.
Dia menarik telefon bimbitnya dari kocek seluar tapi… walau ditekan
berkali-kali, telefon bimbitnya langsung tidak memberi maklum balas. Habis
bateri? Dia membawa telefon itu betul-betul di hadapan mukanya. Dia memandang
telefon bimbit itu dengan riak tidak percaya. Pada waktu genting sebegini,
telefon yang canggih dengan teknologi terkini itu boleh membuat pasal. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya bagai tidak percaya. Telefon bimbitnya kemudian
dimasukkan semula ke dalam kocek seluar. Dia merengus marah kepada dirinya
sendiri. Jika dia tidak memandai-mandai mahu mencuba jalan ini tadi, sudah lama
dia enak berbaring di atas katil bujang di biliknya pada waktu ini.
Dengan geram, dia menarik helmet yang menyaluti kepalanya lalu
dicampakkannya ke dalam bakul
motorsikal. Jaket yang membalut tubuhnya juga turut dicampakkan kasar. Tubuhnya
sudah mula dibasahi dengan peluh. Dia kepanasan. Tanpa berlengah lagi dia terbongkok-bongkok menyorong motorsikalnya.
Hari semakin gelap. Sudah agak jauh
dia menyorong motorsikal menyusuri jalan tidak berturap itu. Peluh semakin laju
merembes membasahi seluruh tubuhnya namun tidak lagi dipedulikannya. Di
kepalanya cuma mahu segera sampai ke rumah. Nafasnya turun naik. Sesak. Dia
sudah begitu penat dan tekaknya sudah kering. Dia menguatkan kudrat untuk
menyorong motorsikal itu namun semakin lama dia merasakan tolakannya semakin
memberat. Dia berhenti lalu menundukkan kepalanya untuk memerhatikan tayar
motorsikalnya. Mencari punca pergerakannya terganggu.
“Ya Allah…kempis pulak…” Dia menepuk
dahi sebagai tanda begitu kecewa. Dia memandang motorsikal kapcai Honda EX5 di
hadapannya dengan rasa tidak percaya. Dia tahu, dia tidak boleh berbuat apa-apa
kerana peralatan menukar tayar yang selalunya ada tersimpan di bawah tempat
duduk motorsikal itu telah dipinjam oleh Mazlan semalam.
Dia melepaskan keluhan yang berat.
Dia tiada pilihan selain terus menyorong motorsikalnya melalui jalan yang hanya
dilapisi batu-batu kerikil. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak puas
hati dengan apa yang sedang dirasakannya saat ini. Marah, menyesal dan penat.
Sejak bangun tidur pagi tadi lagi, lepas satu, satu masalah yang menimpa dirinya. Dan ini adalah pelengkap
kepada segala yang telah bermula pagi tadi.
Sah! Hari ini memang merupakan hari yang paling malang dalam sejarah
hidupnya selepas hari dia terkantoi ditangkap Cikgu Fareez sebelas tahun lepas.
Walaupun peristiwa itu sudah terlalu lama berlalu, ia telah meninggalkan impak
yang sangat besar dalam hidupnya. Kerana peristiwa sebelas tahun lepas,
sehingga kini dia masih tidak dapat meraih kepercayaan ayahnya. Hinggakan dia
terpaksa memilih cara hidup yang sebegini semata-mata untuk mengembalikan
maruahnya.
Dia mendengus. Segala yang berlaku
hari ini juga adalah kerana rentetan kesilapannya sebelas tahun lalu. Hari ini
dia mengakui untuk ke sekelian kalinya bahawa harga sebuah kepercayaan itu
tiada ternilai. Sekali tergadai, harta seluruh dunia tidak dapat menebusnya
kembali.
Dia mengucap istighfar tidak
berhenti-henti di bibirnya, mengingatkan diri supaya bertenang, mengingatkan
hati supaya tidak menyalahkan Tuhan dengan ujian yang diberikan. Dia memandang
jam di pergelangan tangan. Dia tidak pasti jam berapakah nanti dia akan sampai
ke rumah malam ini atau mungkinkah dia sedang melalui malam-malam terakhir
dalam kehidupannya.