Home Puisi Umum Tetamu Kami Seorang Manusia
Tetamu Kami Seorang Manusia
30/4/2016 00:30:08
610
Kategori: Puisi
Genre: Umum

Tiba-tiba kampung kami menerima tetamu

Seorang manusia

Berkerumunlah kami kekagetan

Kata sebahagian kami;

Oh begini rupanya manusia

Kepalanya di atas tetapi fikirnya di bawah

Terkadang manusia hanya punya kepala kosong

Yang akalnya dicampak merata-rata lorong

Kakinya dua, tangannya dua

Nampak seimbang tetapi selalu senget dalam pertimbangan

Jalan tak seriring, kanan kiri bertelagah sering

Oh beruntungnya manusia

Punya mata dua, punya telinga dua

Tetapi sering melihat yang salah dari memandang yang benar

Sering mendengar keji daripada puji

Kata sebahagian kami lagi;

Tahukah kamu, manusia makhluk yang mampu berjalan tegak

Namun sering lupa merendah diri kala di puncak

Manusia pandai mencipta pakaian menutup segala yang malu

Tapi telanjang akhlaknya jika tidak diturut apa yang dimahu

Manusia pandai mencipta api kerna itu tamadunnya lagi tinggi

Juga boleh menjadi batu api melagakan yang sana yang sini

Tahukah kamu, uniknya manusia mampu merah mukanya saat tersipu

Namun hitam hatinya saat amarahnya dipalu

Kampung kami menerima tetamu

Seorang manusia

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.