Home Cerpen Islamik Raja dan Empat Isterinya
Raja dan Empat Isterinya
3/9/2015 13:26:47
1,036
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik


Pada suatu ketika dahulu ada seorang raja yang berkuasa, kaya dan mempunyai empat isteri. Dia sangat menyayangi isteri keempatnya. Dia selalu memanjakan isteri keempatnya dengan perhiasan mewah dan cantik. Pendek kata, semua kemewahan dan perhiasan dilimpahkan untuk isteri keempatnya.

Raja juga menyayangi isteri ketiganya. Raja selalu menunjuk-nunjuk isteri ketiganya kepada kerajaan-kerajaan sekelilingnya. Namun, dalam hatinya, raja bimbang, akan isteri ketiganya itu akan meninggalkannya.

Raja juga sayang akan isteri keduanya. Isterinya itu sangat mengambil berat tentangnya dan selalu menjaganya. Apabila raja menghadapi masalah, isteri keduanya akan membantunya pada masa getirnya itu.

Isteri pertama raja ialah isteri yang sangat taat akan baginda dan juga kerajaan pemerintahannya. Isteri pertama banyak membantu dan memberikan sumbangan kepada raja untuk memerintah negara. Bagaimanapun, raja tidak begitu menyayangi isteri pertama sepenuh hati dan jarang-jarang memberikan perhatian kepadanya.

Pada suatu hari, raja jatuh sakit.

Raja tahu, dia akan mati. “Sekarang aku mempunyai empat orang isteri. Namun apabila aku mati nanti, aku akan keseorangan,” kata raja itu. Dia bertanya kepada isteri keempatnya. “Aku sayang kamu lebih daripada yang lain. Aku pakaikan kamu pakaian yang bagus-bagus, perhiasan yang indah-indah. Sekarang, aku akan mati. Sudikah kamu menemani aku, bersama-sama dengan aku menuju kematian?” tanya raja.

“Tidak!” ujar isteri keempat raja itu sambil berlalu pergi tanpa berkata apa-apa lagi. Kata-kata isteri keempatnya itu bagai pisau menghiris hati raja. Pedih dan pilu.

Raja berpaling ke arah isteri ketiganya.

“Aku akan mati. Sudikah kamu menemaniku?” soalnya.

“Tidak! Aku mahu hidup lagi. Jika kamu mati, aku akan kahwin lagi,” bentaknya.

Raja memandang isteri keduanya. “kamu selalu menolong aku ketika dalam kesusahan dan selalu berada bersama-sama aku. Sudikah kamu menemani aku,” tanya raja memohon simpati.

“Maafkan saya. Kali ini saya tidak dapat menolong tuanku. Adapun, saya hanya dapat menolong menghantar jenazah tuanku ke kuburan sahaja.”

Kata-kata isteri keduanya umpama halilintar yang memanah perasaan raja. Isteri yang banyak membantunya pun tidak sudi membantunya buat kali ini.

Raja terpaksa memandang isteri pertamanya, yang cengkung dan kelihatan tidak terurus itu. “Sekiranya diberi peluang hidup sekali lagi. Aku akan menjagamu sepenuh hatiku. Sepenuh cintaku,”

Dalam kehidupan kita, kita mempunyai ‘empat isteri’ ini. Isteri pertama kita ialah badan kita. Sejauh mana kita berusaha untuk mencantikkannya, menghiasinya supaya kelihatan baik, lambat laun ia akan meninggalkan kita setelah kita mati.

“Isteri ketiga” kita pula ialah kedudukan, status dan kekayaan kita. Apabila kita mati, semuanya akan kita tinggalkan.

“isteri kedua” kita ialah isteri, anak-anak dan keluarga yang banyak membantu kita. Sebanyak mana mereka membantu kita, hanya doa mereka yang dapat membantu kita sebaik sahaja kita mati. Selainnya, mereka akan hanya menghantar kita ke kuburan sahaja.

“Isteri pertama” yang sering kita abaikan, ketepikan dan tidak menguruskannya dengan baik ialah iman dan amal kita. Iman dan amal kita yang akan terus mengikut kita, kemana jua kita pergi, hatta kedunia sana yang abadi. Hanya itu bekal kita.

“Isteri pertama” sering kita lupakan.

Kisah ini dipetik dari buku 'caught in the net' dan diterjemahkan secara bebas dan mengikut situasi sebagai insan muslim.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.