Amir berjalan
seorang diri menuju ke kawasan Kawah Maut. Berjalan di kawasan bangunan
terbengkalai di kawasan hutan Pahang adalah seperti melawat tapak penggambaran
filem bencana alam. Ada bangunan yang masih teguh berdiri. Ada juga yang sudah
runtuh dek serpihan letupan bom nuklear ataupun akibat hakisan cuaca. Kelihatan
pokok-pokok liar telah tumbuh memanjat bangunan yang lusuh dimakan usia.
Entah mengapa
Amir tidak berasa gerun atau cuak berjalan di kawasan itu seorang diri. Adakala
dia merasakan semua ini seperti sebuah mimpi. Dia berjalan di tengah-tengah
lokasi di mana pertempuran pejuang negara dan Amerika pernah berlangsung. Tapak
sejarah yang akan termaktub dalam hikayat dunia sampai bila-bila.
Tiba-tiba Amir
teringat akan bebola kristal di dalam kocek. Bebola itu dikeluarkan dan
dibelek.
'Apa bendanya
ni? Entah kenapa aku tertarik sampai membawanya keluar dari makmal Gen-X. Ah!
Asalkan tiada siapa yang tahu, cukup.' Amir dihantui rasa bersalah kerana
mengambil benda itu tenapa izin.
'Boleh
menambahkan koleksi batu-batu pelik yang aku miliki.' Amir mengingat kembali
tentang hobi peliknya. Bebola kristal akuamarin in adalah yang paling istimewa
sekali bagi Amir.
Setelah
menyimpan kembali bebola itu, Amir menapak semula di jalan raya yang sudah
hampir sama dengan tanah di kawasan itu. Hanya saki-baki bitumen dan tar yang
masih kelihatan.
Ada ketika Amir
rasa dirinya diperhatikan dari bangunan-bangunan tinggal yang tidak berpenghuni
itu. Seolah-olah ada sepasang mata yang meneliti setiap gerak-gerinya.
Mentari sudah
mula meninggi dengan cahaya yang menyilaukan. Amir merasakan seperti ada
sesuatu melintas di depannya, namun dia tidak dapat melihat sesiapa atau
sesuatu yang ada di situ. Hanya perasaan yang dapat memastikan perkara itu.
Amir cuba
menepis rasa seram dengan memikirkan tentang perang yang pernah tercetus satu
masa dahulu di kawasan itu.
'Aku tak sangka
Malaysia boleh jadi mangsa dalam perang anti-Islam ni. Selama ni Malaysia
adalah negara yang aman makmur. Tak ada bencana alam yang dahsyat seperti gempa
bumi, gunung berapi atau banjir besar-besaran. Tapi disebabkan oleh kesilapan
yang menyebabkan kuasa besar menyangka negara ni terlibat dengan aktivis Islam,
ia jadi mangsa akhirnya. Ini boleh dijadikan pengajaran supaya kita tak boleh
ambil sambil lewa tentang keamanan negara. Akibatnya terpaksa ditanggung oleh
penduduk di kawasan macam ini.'
Amir sudah
menghampiri lubang cengkung dengan lebarnya beberapa kilometer. Tumbuh-tumbuhan
sudah mula menghijau di kawasan yang menjadi takungan hujan itu.
'Keganasan
selalunya akan memberikan akibat yang buruk. Lebih teruk lagi apabila bukan
mereka yang terlibat secara langsung yang menderita. Kaum yang lemah dan
kanak-kanak yang tak berdosa biasanya adalah yang paling teruk menjadi mangsa
peperangan akibat keganasan.' Refleksi Amir dalam diam.
Pandangan Amir
menangkap sesuatu di dalam bangunan yang gelap. Kelihatan sesorang atau sesuatu
sedang melintas tingkap dengan cahaya yang terang. Anehnya lembaga itu memiliki
susuk tubuh manusia yang sedang terapung. Dengan sekelip mata lembaga bercahaya
terang itu hilang.
'Takkan
siang-siang macam ni ada makhluk halus.' Amir cuba menguatkan semangatnya.
'Mana Halim ni?
Dari tadi aku tak nampak kelibat dia. Betul ke apa yang Kamelia cakapkan tadi?'
Amir melihat sekeliling dengan rasa curiga.
Amir sudah
nekad. Dia tidak mahu dibelenggu rasa takut ini lagi.
'Apa yang aku
nak takut? Aku dah lihat manusia kelawar. Aku dah nampak mayat hidup yang
diberi nafas baru dengan kuasa bionik. Apa lagi yang boleh menambah rasa takut
ini?' Amir menukar haluan tapak kakinya. Dia menuju ke bangunan di mana dia
melihat lembaga bercahaya itu tadi.
"Siapa kau?
Apa yang kau nak?" Suara lantang Amir bergema di ruang lompang dan suram
itu.
"Tunjukkanlah
rupa kau!" Amir memberanikan diri, walaupun jauh di sudut hatinya masih
ada rasa kecut.
Tidak lama
kemudian Amir terdengar derap tapak kaki di kawasan itu. Amir meneguk liur
sebagai tindakan spontan dalam keadaan begitu.
Lutut Amir
terasa lemah. Tetapi dia tidak mahu dikuasai ketakutan lagi.
Sekonyong-konyong
itu satu bayangan manusia muncul. Sesusuk tubuh dalam keadaan samar dan suram
itu. Amir cuba mengamati kelibat itu. Seorang manusia. Pemuda yang pernah dia
lihat.
"Halim? Kau
buat apa di sini?" Amir terasa lega, walaupun rasa takut tadi masih
bersisa.
"Sepatutnya
aku yang tanya kau. Apa yang kau buat di tempat lengang macam ni?" Halim
bertanya kembali.
"Aku cari
kau. Kata Kamelia kau ada di sini." Amir rasa tidak selesa dengan cara
Halim merenung tajam wajahnya.
Halim
mengalihkan pandangan. Dia berjalan ke tepi tingkap dan menongkat lengannya di
situ. Amir mengekor Halim.
"Aku
sebenarnya rasa cuak masa kau mula-mula sampai kat sini. Aku ingat kau
pengintip yang dihantar oleh Byron."
"Pengintip?
Kenapa kau sangka macam tu?" Amir terkejut mendengar kata-kata Halim.
"Lepas kami
lari, sampai sekarang dia belum berjaya berkas kami semula. Walaupun beberapa
kali dia cuba bongkar tempat persembunyian kami. Aquilar dan Seri Dewi dah
dapat kesan dari awal."
"Apa latar
hidup kau?" Soalan Amir telus tanpa berkias.
"Siapa lagi
yang kau dah tanya?" Halim tersenyum sinis sambil memerhatikan kawasan
Kawah Maut yang nampak begitu gah dari situ.
"Kamelia,
Aquilar dan Zombion. Kenapa? Kau tak suka aku tanya?" Amir rasa tidak
selesa.
"Aku
sebenarnya malas nak fikir tentang masa silam. Kebanyakannya cuma menyempitkan
dada aku. Tapi sebab kau tanya, aku akan ceritakan." Halim kini bersandar
ke tepi tingkap.
"Aku
pelajar U. Bapa aku orang ternama. Usahawan terkenal, Dato' Khairil. Tapi aku
tak dapat kasih-sayang seorang ayah semenjak kematian ibu aku. Aku tak pasti
sama ada dia sengaja menyibukkan diri dengan kerja, sebab nak lupakan kepedihan
selepas kehilangan ibu aku. Aku rasa terabai. Dia seolah-olah mementingkan
kerja lebih daripada aku." Ada nada sayu dalam kata-kata Halim.
"Sampai
masa aku nak masuk kolej, dia suruh aku pilih kursus yang sesuai dengan
kehendak dia. Untuk sambung legasi perniagaan. Tapi aku minat bidang Biologi.
Bila dia tahu aku ambil kursus yang bukan dia suruh, dia naik berang. Dia ugut
aku. Dia kata kalau aku teruskan kursus ini, aku tak akan dapat satu sen pun harta
peninggalan dia. Aku nekad. Akhirnya hubungan kami makin renggang. Bila aku ada
di rumah, aku rasa macam halimunan. Aku rasa aku tak wujud di sisi dia."
Amir hanya
mendengar luahan hati Halim yang penuh emosi.
"Satu hari
aku kemalangan. Muka aku rosak akibat terseret atas jalan. Sejak tu aku selalu
ke kelas dengan hud untuk tutup muka aku yang dah cacat. Aku nampak sinar
harapan masa lawatan ke Makmal Gen-X. Byron beritahu aku dia ada prosedur untuk
ubah wajah aku supaya jadi seperti asal. Tapi dia beri syarat. Aku kena jadi
bahan ujikaji dia."
"Kau
setuju?" Amir tidak sabar menunggu cerita seterusnya.
"Kalau kau
jadi aku, aku rasa kau pun akan setuju. Kau boleh bayangkan tak perasaan bila
orang tenung muka kau dengan pandangan yang pelik? Kadang-kadang aku rasa macam
dia orang tu tengah nampak hantu."
Halim terdiam
seketika sebelum menyambung.
"Akhirnya
muka aku jadi seperti asal. Seperti sekarang ni. Kerana terikat dengan janji,
aku jalani eksperimen yang diatur oleh Byron. Dia beritahu DNA aku akan diubah
suai dengan elemen kromatik. Cahaya."
Dengan
serta-merta Amir teringat kelibat lembaga bercahaya yang dia lihat tadi.
"Teknologi
Byron memang luar biasa. Dengan kawalan minda, seseorang boleh mengubah
struktur DNA tubuhnya. Macam sesumpah yang boleh bersembunyi mengikut keadaan
sekeliling. Tapi itu adalah kebolehan Kamelia, seperti yang kau dah tahu. Nasib
baik aku dan Kamelia ada suit senyawa yang boleh berubah mengikut struktur DNA
kami. Kalau tak...," Halim tersenyum dalam berseloroh.
"Jadi apa
kelebihan kau?" Amir terlalu ingin tahu.
"Daripada
aku beritahu, lebih baik aku tunjuk." Halim menanggalkan jeket berhud
dengan seluar yang dipakai.
Amir dapat
melihat pakaian yang dimaksudkan. Kelihatan seperti suit skuba.
"Kau tak
rasa panas pakai dalam keadaan macam ni?" Amir kehairanan.
"Suit ni
boleh mengawal keadaan suhu badan aku. Ia dibuat daripada gentian berteknologi
tinggi. Kau dah bersedia?"
Amir hanya
mengangguk.
Dengan sekelip
mata Halim bertukar menjadi lembaga cahaya yang dilihat tadi. Halim hilang dan
kemudian muncul semula. Halim berubah menjadi bentuk asalnya.
"Apa yang
kau buat tadi?"
"Struktur
DNA aku berubah menjadi bentuk cahaya. Kemudian aku bergerak dengan kelajuan
cahaya. Lebih laju daripada Flash Gordon."
"Menakjubkan!"
Amir teruja.
"Bagi kau
mungkin. Bagi aku ini umpama satu sumpahan. Aku risau kalau-kalau keadaan minda
aku tak stabil hingga aku berubah di depan khalayak ramai. Sebab tu aku memilih
untuk tinggal di makmal. Aku anggap diri aku sebagai anak yatim. Aku rasa aku
dah tak ada ayah lagi. Aku adalah manusia yang baru."
"Tapi kau
tak ada nama gelaran macam Kamelia atau Zombion." Komen Amir. Naif.
"Nasib aku
berlainan sedikit. Halim adalah nama sebenar dan samaran aku."
"Macam
mana?"
Halim ketawa
kecil dengan telatah Amir.
"Bila aku
berubah, aku tak kelihatan di mata manusia. Aku halimunan. Kau masih belum
dapat tangkap. Halim... munan."
"Oooh, baru
aku faham." Amir menggaru kepala yang tidak gatal.
Akhirnya Amir
tahu kelebihan Halim. Manusia yang boleh berubah menjadi cahaya itu sebenarnya
adalah halimunan. Cuma dalam keadaan gelap dia akan kelihatan seperti lembaga
yang bersinar terang.
"Dalam
keadaan seperti ini aku boleh tembus menerusi apa jua yang lutsinar atau
lutcahaya. Aku tak boleh tembus menerusi benda legap atau yang membalikkan
cahaya secara mutlak. Biasalah, seperti Superman dengan batu Kryptonite."
"Kau tak
kena kurung seperti yang lain. Tapi kenapa kau sertai kumpulan ini?" Amir
sedar apa yang diceritakan oleh Halim.
"Aku dapat
tahu rancangan Byron untuk menggunakan kami sebagai tentera berkuasa X miliknya.
Aku tak sanggup menjadi alat dia mencapai cita-cita gila dia tu. Lagipun aku
dah tunaikan janji aku. Aku tak pernah berjanji untuk terus bersama dengan
dia."
Amir mengelamun
memikirkan keadaan Byron dan rancangan masa depannya. 'Bagaimana kalau
hasratnya menjadi kenyataan?'
"Eh, jomlah
kita balik. Mungkin Zombion ada perkara yang nak disampaikan tentang rancangan
kita malam ni. Lagipun kita perlu berehat, supaya dapat fokus malam ni."
Amir akur. Dia
mengiringi Halim meninggalkan kawasan Kawah Maut.