Home Cerpen Thriller/Aksi CERPEN THRILLER - POTRET
CERPEN THRILLER - POTRET
S.Kausari
14/5/2016 18:26:24
6,238
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

PENAFIAN: 

Kisah ini adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan sesiapa atau apa-apa isu. Walaupun penulis telah cuba sedaya upaya untuk mengelakkan daripada pertembungan dengan realiti, sebarang persamaan harap dimaafkan. 

Apa yang dikongsi adalah semata-mata untuk dijadikan iktibar oleh penulisnya dan sesiapa yang merasakan ia perlu.

Harap maklum.


POTRET

Sebuah cerpen thriller oleh Salleh Kausari

MAYA memarkir kereta di pekarangan sebuah rumah banglo dua tingkat. Kemudian dia masuk menerusi pintu pagar yang tidak berkunci.

“Assalamualaikum.”

Tidak lama kemudian pintu dibuka.

“Waalaikumussalam. Oh, Maya.” jawab wanita di muka pintu.

“Kau okey Qad?” tanya wanita bernama Maya.

Riak wajah Qadriya suram, seperti kehilangan mood dengan rupa yang tidak disolek atau terurus.

“Aku risaukan kau. Sebab tu aku datang ke sini. Facebook dan WhatsApp dah lama tak masuk. Instagram pun dah lama tak up gambar. Kenapa Qad?”

Qadriya mendengus. “Kau tanya soalan macam tu? Kau macam tak tahu career aku dah hancur. Dah ranap Maya. Dah lebur!”

Maya memegang bahu rakannya. “Sabar Qad. Ini dugaan Tuhan.”

Itu bukan kali pertama dia menasihat Qadriya. Sudah beberapa kali termasuk sebelum kemelut yang melanda hidupnya.

“Sekarang baru aku sedar semuanya. Sabar tu patutnya aku tanamkan masa kena buli dengan minah tu. Tapi aku degil. Sekarang apa dah jadi.” Suara Qadriya mula bernada sebak. Bila-bila masa air matanya akan tumpah.

“Masih belum terlambat Qad. Tuhan sentiasa uji kita. Lagi besar ujian, lagi besar ganjarannya kalau kita sabar.”

Kata-kata Maya menyebabkan airmata Qadriya tumpah. Seolah-olah beban yang ditanggung terlalu berat untuk dipikul.

“Aku dah nekad Maya. Aku nak tinggalkan dunia penulisan. Mungkin ini bukan untuk aku. Masih banyak cara untuk dapatkan pendapatan dalam dunia ni. Aku dah tak sanggup nak hadapi semuanya. Biarlah aku mengalah dan mengundur diri.” Qadriya benar-benar putus asa.

“Qad, ini bukan kau. Kau yang aku kenal adalah pejuang. Kau selalu dapat apa yang kau nak. Takkan dengan masalah yang dibuat minah tu kau nak angkat bendera putih. Aku rasa kau macam bukan kawan aku yang dulu.”

Tiada ekspresi di wajah Qadriya. Seolah-olah apa yang dia dengar tidak mengesankan hatinya.

“Aku dah nekad Maya. Tak ada apa yang kau boleh buat untuk ubah fikiran aku.”

Maya tergamam. Tapi dia masih belum berputus asa lagi. Hanya melayan kerenah rakannya ketika itu.

~~****~~

ADRELIA menyedut coconut shake melalui straw dengan berselera. Suasana di Kafe Coco Latte cukup menyenangkan dengan ambien yang melapangkan fikiran. Bersama nikmat air yang diminum. Gabungan air kelapa, susu dan aiskrim. Bersama hirisan strawberi merah dan segar yang menari-nari di atas deria rasanya. Dia rasa begitu gembira. Sebagaimana gembiranya dia meneliti satu demi satu komen di status yang dimuatnaik. Ada di Facebook, WhatsApp, Twitter dan Instagram. Senyumannya melebar. Sinis dan menjengkelkan.

“Lia, apa yang kau dah buat ni?” Suara rakannya Shawna di meja yang sama dengan nada serius.

“Apa?” Dahi Adrelia berkerut sambil matanya terpaku di skrin tabphone.

“Kau baca status Qadriya Qasha. Sekarang!” Ada nada seperti arahan dalam suara Shawna.

Segera Adrelia mencari status yang dimaksudkan.

Qadriya Qasha:

Hari ini aku telah buat tindakan nekad untuk meninggalkan dunia penulisan yang penuh onak duri dan ranjau. Walaupun nikmat mendaki tangga kerjaya dalam bidang ini hanya sementara, tapi aku redha.

Walaupun aku hanya dapat tinggalkan tiga novel untuk tatapan kalian, biarlah ia menjadi khazanah berharga. Dulu aku sangka dunia penulisan ini penuh warna-warni, tapi rupa-rupanya ia dipenuhi dengan pelbagai tipu muslihat. Akhirnya aku tewas dan aku mohon izin mengundur diri.

Selamat tinggal dunia yang kejam. Biarlah nama ini abadi di atas novel yang telah kalian miliki.

~ Qadriya Qasha.

“So,” kata Adrelia dengan nada angkuh.

“Hah?” Jerkah Shawna dengan nyaring. “Kau yang menyebabkan dia jadi macam ni, kau tak ada rasa apa-apa?”

“Hei! Jaga sikit mulut kau! Bukan salah aku. Dia yang termakan perangkap aku.”

Mulut Shawna terlopong dengan rasa tidak puas hati yang teramat. “Lepas apa yang kau dah buat pada dia, kau kata ini salah dia?”

Adrelia menyedut air coconut shake sebelum bersedia mengemukakan hujahnya. “Shawna, kau dengar ni baik-baik. Aku cuma up status nak provok dia untuk suka-suka. Siapa suruh dia maki hamun aku? Lepas tu aku dah tak buat apa-apa, geng aku yang serang dia. Kau masih nak salahkan aku?”

Shawna geleng dengan rasa kesal. “Kau langsung tak ada rasa bersalah atau nak pujuk Qadriya supaya jangan tinggalkan kerjaya penulisan ni. Apa salahnya kalau kau minta maaf?”

Adrelia ketawa sinis. “Excuse me. No way Jose!” Dia buat gaya head bobbing.

“Kau tak patut buat dia macam tu.” Shawna masih belum sedia untuk mengalah.

“Salah dia, kau tahu tak? Dulu aku komen pasal novel dia, dia tak terima. Dia kutuk aku pulak. Dia kata aku ni tak reti menulis, so jangan nak berlagak macam terer sangat. Aku pun menulis juga, okey! Cuma novel aku belum diterbitkan lagi. Itu je.”

Adrelia berhenti untuk menjamah hirisan strawberi.

“Selagi ada geng kaki bakar aku, selagi tu aku boleh buat apa yang aku suka. Aku boleh kenakan sesiapa dan lepas tangan macam tu je. Aku macam permaisuri dengan orang suruhan yang ramai. Biar dia orang yang buat kerja kotor untuk aku. Pencacai aku ramai!”

Shawna memicingkan mata mendengar kata-kata Adrelia. “Aku pun tak tahu kenapa aku masih nak berkawan dengan manusia yang tak berhati perut macam kau.”

“Kalau dah tak suka, tunggu apa lagi. Blah lah!” Nada angkuh Adrelia.

Telefon bimbit berdenting. Ada emel masuk. Segera Adrelia memeriksa tabphone.

“Wow! Best-nya! Manuskrip aku diterima penerbit!” Adrelia separuh menjerit kerana terlalu gembira.

“Ya ke? Congratz wei!” Shawna tumpang gembira, seolah-olah dia sudah lupa apa yang mereka bincangkan tadi.

Status yang ditulis oleh Qadriya Qasha itu adalah yang terakhir, sebelum akaun Facebook itu tidak diaktifkan lagi.

~~****~~

5 tahun kemudian

ADRELIA memandang dinding dengan rasa takjub dan bangga. Kertas dinding eksklusif itu adalah bersempena kejayaan novel sulungnya yang masih tidak dapat ditandingi novel-novelnya selepas itu.

Adrelia tersenyum bangga. “Novel Potret tulisan Riella Syamel adalah mercu kejayaan aku dalam bidang ini. Aku tak sangka kisah ini akan dapat sambutan yang tidak pernah aku bayangkan selama ini. Kisah manusia yang melakukan jenayah setelah terdengar bisikan oleh gambar-gambar potret yang menghiasi dinding rumahnya. Aku sendiri terkejut dengan kejayaan aku sendiri.”

Adrelia telah mendapat anugerah khas dari syarikat dia bernaung kerana jualan novel yang begitu luar biasa sepanjang sejarah penubuhan syarikat itu.

“Aku tak sangka idea yang aku dapat lepas berkunjung ke kedai menjual bingkai gambar boleh mencetuskan idea meletup ni. Sambil melihat gambar-gambar sampel dalam bingkai, aku terasa seperti mereka berbicara dengan aku. Eiii… seram! Tapi inilah yang menjadi penyebab kejayaan aku.”

Adrelia khayal dengan kejayaannya sendiri, persis seorang narsisistik.

Setelah puas hati, dia membancuh secawan kopi. Air panas dari mesin dispenser dituangkan ke dalam cawan berisi serbuk kopi segera 3 dalam 1. Aromanya menyegarkan dan wapnya terasa seperti terapi di wajahnya.

Sambil minum dia melayan kerenah peminat di Facebook.

Amirul Hafiq: Tahniah Riella dengan kejayaan Potret. Novel tu memang ohsem!

Adrelia menekan butang like, kemudian dia membalas.

Riella Syamel: Terima kasih. Kejayaan saya atas sokongan kalian juga.

Kemudian dia membaca komen seterusnya.

Ann Deux: Potret memang best. Kalau buat Potret 2 mesti gempak kan? Tak sabar rasanya.

Adrelia membalas.

Riella Syamel: Buat masa ni saya sedang sibuk dengan perbincangan tentang adaptasi cerita itu menjadi filem. Doakan kejayaan saya.

Dia membaca balasan komennya.

Ann Deux: Insyaallah…

Komen itu disertai dengan emotikon bertepuk tangan.

Telefon berdenting. Ada mesej peribadi masuk. Daripada seseorang yang tidak dia kenali bernama Katrina Love.

“Pergh… nama FB bukan main.” Dia tersenyum sendirian.

Katrina Love: Salam Riella. Saya peminat semua novel-novel awak. Tahniah atas kejayaan Potret. You deserve it!

Adrelia rasa terharu. Dia membalas.

Riella Syamel: Terima kasih atas sokongan awak. Terharu saya.

Skrin menunjukkan Katrina sedang menaip. Begitu lama dia menunggu.

“Mesti panjang apa yang dia taip ni.” Adrelia terasa digeletek.

Kemudian mesej muncul.

Katrina Love: Saya memang minat dengan Riella. Membaca tulisan Riella menyebabkan saya pun teringin jadi penulis. Penulis thriller juga. Potret memang best. Tapi saya nak buat cerita lain sikit.

Riella melayan peminatnya itu.

Riella Syamel: Kalau nak menulis novel kena ada cerita yang mantap. Kena banyak membaca. Zaman ni penulis dah ramai. Kalau semua berfikir nak tulis benda yang sama, haru jadinya. Pada hal tak ada pun yang menciplak sesiapa.

Katrina Love: Saya dah ada cerita yang saya nak buat. Macam potret, tapi lain. Kisah ni melibatkan seorang penulis.

Adrelia menunggu mesej seterusnya.

Katrina Love: Penulis ni pernah buat taik dengan seseorang. Kerana dendam, insan itu menjejaknya di kemuncak kejayaannya.

Bulu roma Adrelia meremang dengan tiba-tiba. Seperti dia sedang diburu bayangan dari kisah silamnya.

Katrina Love: Penulis itu mengalami satu demi satu detik ngeri dan kemalangan. Semuanya seperti satu kebetulan, tapi sebenarnya telah dirancang oleh pemburunya.

Peluh Adrelia mula merecik keluar. Dadanya berdebar dengan rasa yang amat tidak selesa.

Katrina Love: Saya dah pilih nama yang sesuai untuk watak-watak cerita saya. Watak jahat itu saya beri nama Qadriya Qasha. Mangsa pembunuhan kejam itu… A.D.R.E.L.I.A

HA HA HA HA HA HA HA HA

Adrelia menelangkupkan telefon ke meja. Dentingan dan gegaran telefon diabaikan. Rasa ngilu terasa hingga ke sumsum tulangnya.

Adakah Katrina Love sebenarnya Qadriya Qasha yang ingin membalas dendam ke atas aku? Bisik hatinya sambil mematah-matahkan jari dalam resah gelisah.

Dentingan dan gegaran telefon masih berterusan. Dalam keadaan cemas, dia memasukkan telefon ke dalam kabinet. Dengan harapan dia tidak dengar dentingan dan gegaran telefon itu lagi.

Adrelia lari menuju ke arah feature wall dengan gambar pelbagai potret memenuhi dinding itu.

“Benarkah itu Qadriya Qasha? Mungkin selama ini dia mencari peluang untuk membalas dendam terhadap apa yang telah aku buat dulu. Lima tahun dah berlalu… dan sekarang dia datang untuk melunaskan perhitungan dengan aku.”

Adrelia mundar-mandir dalam keadaan tidak tentu hala. Tangannya sudah terasa dingin dan lembab dengan tiba-tiba.

Tiba-tiba dia terdengar bisikan di telinga. “Kau tak boleh biarkan ini semua berlaku.”

Nafasnya seperti tersekat buat seketika. Dia menepis-nepis telinga seolah-olah ada serangga sedang menyerang.

“Kau tak boleh biarkan Riella!”

“Kau dalam bahaya.”

“Kau kena bertindak!”

“Cepat! Kau tak boleh berlengah! Cepat! Cepat! Cepat!”

Suara demi suara bergema di telinga. Tetapi tiada siapa di situ.

Apabila dia terpandang kertas dinding, dia bertambah kaget.

“Nyawa kau dalam bahaya! Kau kena hapuskan dia sebelum dia hapuskan kau!”

Salah satu gambar di dalam potret seolah-olah bernyawa. Begitu juga beberapa yang lain. Ekspresi wajah mereka seperti sedang memarahi Adrelia.

“Kau kena bunuh dia, sebelum dia bunuh kau!”

“Bunuh dia!”

“Bunuh dia!!!”

“BUNUH DIA! BUNUH DIA! BUNUH DIA!”

Adrelia meluru ke bilik tidur. Dia mencampakkan diri ke atas katil. Telinga ditekup kuat-kuat dengan bantal hingga telinganya berdesing kerana terlalu sunyi.

Seluruh tubuhnya menggigil. Tangisannya begitu teruk hingga tubuhnya terkujat-kujat kerana esakannya terlalu kuat.

Semalaman dia tidak boleh tidur hingga matanya bengkak dan lebam pagi itu. Ketika mentari mula memunculkan diri, wajahnya pucat dan keliru. Rambutnya berserabut.

Dia menghidupkan televisyen dan menonton kosong berita yang sedang dipaparkan. Berita tentang gerhana matahari yang akan terjadi dalam masa beberapa hari lagi.

Suara-suara halimunan tadi sudah tidak kedengaran, tetapi apa yang disampaikan masih berlegar dalam fikiran Adrelia.

Dalam keadaan buntu dan keliru itu dia mengatur rancangan.

~~****~~

Qadriya pulang agak lewat hari itu. Kerja-kerja di pejabat terpaksa dibawa pulang. Hujung bulan memang agak sibuk bagi seorang eksekutif akaun seperti dirinya.

Qadriya bermula dalam bidang penulisan semasa di universiti. Seorang penulis mengadakan bengkel sehari sambil mempromosi novel terbarunya. Semenjak itu Qadriya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Genre cinta dan thriller menjadi pilihannya. Setelah membaca beberapa naskhah novel pilihannya, dia mula menggarap novelnya sendiri. Malangnya ia telah ditolak dan semangatnya mula menurun.

Selepas mula bekerja, Qadriya ingin mencuba sekali lagi. Pengalaman bekerja banyak digunakan dalam karya hingga novel cinta yang pertama telah dilamar sebuah syarikat penerbitan. Hasil tulisannya diterima peminat hingga namanya mula meningkat naik.

Qadriya bercita-cita ingin menulis novel thriller. Malangnya kemahirannya masih belum cukup. Semasa kemelut dengan pembaca bernama Adrelia, dia sedang menulis beberapa bab pertama novel thriller yang masih belum bertajuk. Setelah namanya menjunam jatuh, novel itu terbengkalai hingga kini.

Qadriya tercegat di depan rumah. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia pasti pada kebiasaannya dia merantai pagar dengan mangganya disembunyikan ke bahagian dalam.

“Kenapa nampak lain? Macam ada orang yang dah alihkan.” Setelah berdiri buat seketika, dia membuka mangga.

Dia menuju ke pintu hadapan sambil memerhati keadaan sekeliling. Tiada yang mencurigakan. Kemudian dia membuka kunci gril pintu. Ketika itu dia perasan ada tanda pintu diumpil walaupun pintu berkunci.

Dia tidak mengendahkannya dan terus masuk ke rumah. Ketika itu dia ternampak kelibat seseorang melintas di dapur.

Tangan Qadriya menggigil sambil mencapai telefon. Baru saja dia hendak mendail, dia terlihat seseorang di dapur bersama pisau pemotong daging di tangan.

Qadriya ingin memekik tetapi tiada suara yang keluar. Dia terus berlari ke tingkat atas. Dia masuk ke bilik tidur dan mengunci pintu.

Dia cuba menekan skrin untuk mendail nombor kecemasan, tetapi dia tersalah tekan beberapa kali kerana tangan yang menggigil.

Tombol pintu dipulas-pulas dengan kasar. Kemudian pintu dihentak dengan kasar.

DAM! DAM! DAM!

Qadriya semakin menggigil. Dia berlari ke bilik air dengan keadaan cemas dan kelam kabut dan mengunci pintu.

DAM! DAM! DAM!

Pintu bilik terus dihentak.

DAM!

Suasana sunyi. Qadriya pasti pintu sudah berjaya dibuka. Dia cuba mendail nombor kecemasan dan kali ini berjaya.

“Helo,” suara di talian.

DAM! DAM! DAM!

Qadriya sukar mendengar suara di talian. Hentakan di pintu cukup kuat.

DAM! DAM! DAM!

Bunyi itu berdengung di ruang kecil bilik air. Qadriya terjelepuk di sudut dalam keadaan ketakutan.

DAM!

Pintu terbuka.

Qadriya menjerit sekuat-kuat hati seolah-olah ajal sudahpun berada di depan matanya. Dia pasti manusia psiko yang berjaya masuk ke rumah itu akan berjaya menetaknya dengan pisau. Mungkin di kepala hingga terbelah dua. Otaknya akan meleleh keluar dengan darah likat merah.

Mungkin juga bahunya akan ditetak hingga terkulai. Ditetak lagi hingga putus. Atau mungkin dadanya akan ditetak hingga terbelah. Kemudian jantungnya ditarik keluar tanpa belas ketika rohnya terbang meninggalkan jasad.

Qadriya menggigil dalam keadaan berpeluh. Menunggu ajal yang sudah berada beberapa inci di depannya. Dia menunggu dan menunggu, tetapi tiada apa yang berlaku.

“Cik okey?” suara anggota polis yang berdiri di depan pintu bilik air yang terbuka.

Qadriya masih menggigil dengan mulut terketar-ketar. Dia tidak menjawab soalan. Anggota polis itu kemudiannya mencapai selimut dan menyelimutkan tubuh Qadriya.

Anggota polis itu melihat Qadriya bangun meninggalkan bilik air dalam keadaan yang begitu trauma.

Setelah perasaannya mula tenang, Qadriya bertanya. “Macam mana encik boleh datang ke sini? Sedangkan saya tak sempat beritahu lagi lepas telefon nombor kecemasan tadi?”

Polis itu menjawab, “Ada orang telefon kami dulu tadi. Mungkin jiran awak yang ternampak ada orang mencurigakan. Untung awak ada jiran yang prihatin.”

Qadriya mengangguk. Gigil tubuhnya sudah mula reda.

“Kami dah berkas penceroboh di rumah awak.” Kata polis itu sebelum mereka berdua turun menuju ke kereta polis yang terparkir di luar.

Melihat insan di dalam kereta itu menyebabkan Qadriya seperti ingin rebah kerana lutut yang terasa lemah. Matanya buntang melihat insan dengan rambut tak tersisir berjuntai menutupi sebahagian matanya.

“Awak kenal orang ni?” tanya polis itu.

Qadriya angguk dengan bibir bergetar.

“Siapa dia ni?”

“A-A-Adre…lia.”

Dia terus merenung wajah Qadriya seperti ada hutang yang belum dilunaskan.

~~****~~

Qadriya khusyuk mengadap komputer hingga tidak sedar lebih sejam telah berlalu. Dia asyik membalas komen dan mesej yang tidak henti-henti sejak tadi.

Amirul Hafiq: Takziah kak atas apa yang berlaku. Tak sangka Riella boleh jadi gila sampai macam tu sekali.

Ann Deux: Akhirnya Riella dah terima balasan atas apa yang dia buat terhadap kakak.

Qadriya Qasha: Terima kasih semua. Ini adalah pengalaman paling buruk dalam hidup kakak.

Tiba-tiba komputer berdenting dengan satu mesej yang masuk.

Suri Hani: Kami dari syarikat penerbitan Mawarnis mengucapkan takziah atas apa yang berlaku. Kami ingin jemput awak menulis bersama kami semula. Hantar saja manuskrip yang dah siap. Nanti kami akan terbitkan.

Qadriya menjawab.

Qadriya Qasha: Terima kasih puan. Saya akan siapkan secepat mungkin.

Dia buat keputusan untuk mengakhiri sesi di media sosial malam itu. Komputer dipadamkan dan dia duduk bersandar di sofa dengan senyuman lebar. Begitu lebar. Televisyen terpasang ketika itu. Liputan tentang gerhana matahari yang berlaku siang tadi.

Qadriya menghela nafas sedalam-dalamnya. Kemudian dihembus lega dengan tawa yang menjengkelkan.

“Aaah!... Leganya aku sebab dah dapat balik hidup aku yang kau rampas dulu Adrelia, atau nama yang amat menyampah aku dengar… Riella Syamel.”

Dia mencapai botol plastik berwarna putih.

“Terima kasih atas ilham yang kau kongsikan dalam Potret. Kisah penjenayah psiko yang mendengar bisikan dari potret di dinding rumahnya telah menjadi realiti dalam hidup kau. Semuanya dengan magis pil ajaib ni. Pil yang aku beli di pasar gelap dengan harga yang cukup mahal untuk melunaskan dendam aku. Aku lumatkan dan aku masukkan ke dalam takungan dispenser di rumah kau. Dengan pil ini, seseorang akan mengalami kesan skizofrenia walaupun dia sebenarnya sihat seperti kau!”

Botol itu dipusing-pusing dengan bunyi pil bergolek-golek.

“Aku tak sangka kesannya begitu cepat. Setelah hampir setahun aku intip kehidupan kau untuk memastikan rancangan yang sesuai, semuanya beres dalam beberapa hari. Walaupun aku terpaksa ambil risiko kau mungkin akan berjaya mencederakan aku. Tapi tak sempat kan? Segala pergerakan kau dalam rumah aku dipantau melalui skrin telefon aku. Aku dah telefon polis awal-awal supaya mereka dah standby. Bijak tak aku?”

Dia ketawa dengan nyaring.

“Kau fikir lima tahun lepas begitu mudah untuk aku? Aku lihat manusia seperti kau mendaki naik dengan begitu mudah setelah segala onar jijik yang kau lakukan pada aku. Aku dah bosan dengan cara bersih dan jujur. Manusia seperti kau telah ajar aku untuk lihat jauh ke dalam sisi gelap aku. Dan akhirnya aku telah jumpa dan memanipulasinya sebaik mungkin. Terima kasih dari aku buat kau Adrelia… atau Riella Syamel.”

Qadriya mencapai buku nota.

“Cerita apa aku nak tulis ya? Hmm… apa kata aku buat sambungan Potret, tapi aku ubah sebahagian besar ceritanya. Supaya orang tak boleh kaitkan kedua-dua cerita. Kisah penulis yang menjadi mangsa apa yang ditulis. Judulnya? Err… hah! Bersempena gerhana yang baru terjadi ni, aku beri judul novel thriller aku yang terbaru… Gerhana!”

Qadriya melayan apa yang bermain di fikiran. Sisi gelapnya sudah mula mendiskriminasi sisi cerahnya. Sebagaimana bulan bergerak melitupi permukaan matahari hingga hilang seri cahaya ketika gerhana.

~ S E K I A N ~


Nota Penulis:

Pemangsa atau mangsa, dunia media sosial ini terlalu luas dengan pembahagi yang tidak begitu ketara. Buatlah yang terbaik dan jangan sampai terlajak hingga memasuki Zon Thriller SK


Kembali ke indeks Zon Thriller SK...

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=6778&idc=35908

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.