Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
4,774
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

PADA hari itu kedai runcit Harlina tidak henti-henti dibanjiri pelanggan sejak awal pagi lagi. Rata-rata pelanggan Harlina terdiri daripada penduduk kampungnya juga. Ada juga pelanggan dari kampung yang berdekatan turut singgah membeli barang di situ. Harlina sibuk melayan pelanggannya sampai tidak menang tangan dia dibuatnya. Kebetulan pula, Halim satu-satunya pekerja di kedai itu tidak datang kerja pada hari itu kerana diserang demam panas. Terpaksalah Harlina seorang diri menjaga kedai pada hari itu.

Apabila waktu menjengah ke tengah hari, barulah kedainya sedikit lengang. Harlina terduduk di kaunter sambil melepaskan lelah. Dia mengurut-urut bahunya yang sakit. Terasa lenguh bahu dan kakinya apabila melayan pelbagai kerenah pelanggan yang datang pada hari itu. Badannya juga sudah berbau hamis dan hanyir. Pagi tadi lori yang membawa ikan sampai ke kedainya. Dia terpaksa menyusun ikan-ikan yang dihantar ke tempat yang disediakan seorang diri. Selalunya Halim yang membantunya menyusun barang-barang basah apabila pembekal datang menghantar bekalan yang diminta.

“Letihnya hari ni...” keluh Harlina sambil melentur-lenturkan badannya.

Walaupun badan terasa letih tetapi dia tetap berasa sangat bersyukur kerana rezekinya murah pada hari itu. Pelanggan banyak menyerbu ke kedainya pada hari itu kerana hanya kedainya sahaja yang buka ketika itu. Kedai uncle Ah Seng pula bertutup sejak semalam. Menurut anaknya,uncle Ah Seng masuk hospital kerana penyakit kencing manis. Bacaan gulanya sangat tinggi sebab itu doktor terpaksa menahan lelaki tuaitu ke dalam wad. Harlina berkira-kira hendak melawat jiran niaganya itu apabila ada masa lapang nanti.

Gruuu... perut Harlina berbunyi tiba-tiba. Baru dia sedar yang dia tidak mengisi perut sejak awal pagi lagi. Dia memandang jam di dinding. Waktu makannya sudah lama berlalu. Hendak keluar mencari makanan dia malas tambahan pula tiada siapa yang nak jaga kedainya. Harlina mengambil roti berjem strawberry dan juga air kotak dari kedainya untuk mengisi perut. Harlina makan dengan lahapnya kerana terlalu lapar. Mujur tiada pelanggan yang masuk ke kedainya ketika itu. Dia berkira-kira hendak menutup kedai lebih awal pada hari itu kerana badannya benar-benar sangat letih.

“Berapa harga plastik ni?”

Tersembur roti di dalam mulut Harlina apabila disapa sewaktu dia sedang enak menikmati makanannya. Seorang lelaki memakai hoodie berwarnahitam berdiri di hadapan kaunter. Harlina terus mengelap bibirnya yang comot sebelum mengambil barang yang diletakkan oleh lelaki itu di kaunter.

“RM5 harganya,” ujar Harlina selepas menyemak tanda harga barang tersebut.

“Bagi sekali sekotak rokok Dunhill.” Pinta lelaki itu lagi.

Harlina mengambil rokok yang diminta oleh lelaki itu di rak belakangnya. Dia cuba memandang wajah lelaki tersebut tetapi terlindung dek topi yang menutupi hampir separuh wajah lelaki itu.

“Encik baru sampai kat kampung ni ke?” tanya Harlina ramah sambil mengira jumlah harga barang yang dibeli oleh lelaki itu.

Lelaki itu tidak membalas pertanyaan Harlina. Harlina tidak berputus asa. Dia tidak pernah melihat lelaki itu di kampungnya sebelum ini.Bukannya dia bermaksud hendak busybody,dia hanya ingin bersikap lebih peka dengan hal ehwal di kampungnya.Itu sahaja. Manalah tahu lelaki di hadapannya itu baru berpindah ke situ dan ingin mencari tempat tinggal, boleh dia rekemenkan beberapa orang penduduk kampung yang membuat perkhidmatan rumah sewa kepada lelaki itu.

“Encik jangan salah faham pulak. Saya tak pernah nampak encik sebelum ni...itu yang saya tanya. Manalah tahu encik nak cari rumah sewa, boleh saya rekemen kat encik beberapa orang kampung yang ada rumah sewa,” ujar Harlina lagi sambil memasukkan barang ke dalam beg plastik.

Lelaki itu masih lagi tidak membalas kata-kata Harlina sebaliknya lelaki itu merenung wajah Harlina tidak berkelip sehingga membuatkan wanita itu pula yang tidak selesa dengan renungan itu. Apabila menyedari Harlina tidak selesa dengan renungannya, lelaki itu terus mengalihkan pandangannya. Sebaik sahaja membayar harga barang yang dibeli lelaki itu terus keluar dari kedai dan menuju ke kereta yang diparkir di hadapan kedai.

Sewaktu lelaki itu ingin menghidupkan enjin kereta, lelaki itu melihat Harlina berlari keluar dari kedai dan menuju ke arah keretanya. Harlina mengetuk tingkap kereta lelaki itu berkali-kali sambil menunjukkan isyarat supaya menurunkan cermin kereta. Dengan terpaksa lelaki itu menurunkan juga cermin keretanya.

“Encik lupa nak ambil duit baki tadi. Nah, ini duit encik!” kata Harlina sambil menghulurkan wang baki kepada lelaki itu.

Dengan teragak-agak lelaki itu mengambil juga huluran itu. Sewaktu lelaki itu mengambil wang baki dari tangan Harlina, lelaki itu melihat ada gula-gula lollipop di celah wang baki itu. Lelaki itu memandang kearah Harlina yang masih tersengih di luar kereta.

“Lolipop tu tanda sagu hati dari saya sebab encik beli barang kat kedai saya. Kalau encik datang lagi ke sini jangan lupa singgah ke kedai saya.Nanti saya bagi harga diskaun kat encik,” ujar Harlina dengan nada yang ceria.

Lelaki itu tercengang. Harlina tidak menunggu lama dia melambai tangan kearah lelaki itu sebelum masuk ke kedainya semula. Lelaki itu memandang gula-gula lollipop di tangannya. Tiba-tiba lelaki itu tersenyum. Dia membuka dashboard lalu mengambil satu kotak kecil dari dalamnya. Kotak itu dibuka. Di dalam kotak itu penuh dengan gula-gula lollipop. Lelaki itu memasukkan lollipop yang Harlina berikan kepadanya tadi ke dalam kotak itu.

.
.

Trak pikap yang dipandu olehnya meluncur laju membelah jalan kampung itu. Jebat meneruskan pemanduan sehingga ke hujung kampung. Di hujung kampung itu ada sebuah hutan yang merupakan milik keluarganya. Dia masuk ke dalam hutan itu melalui jalan yang sedia ada untuk ke rumah hutannya. Dia memberi sepenuh perhatian kepada pemanduan memandangkan jalan untuk ke rumah hutan agak berbonggol-bonggol.

Jebat sempat melayan perasaan apabila terkenangkan kejadian sewaktu dia singgah ke kampung sebelah tadi. Tersenyum lebar bibirnya apabila terkenang akan wajah tauke kedai itu. Sebenarnya sudah banyak kali dia ke kedai itu semata-mata ingin melihat tauke kedai yang comel itu. Tetapi tauke yang tidak dia kenali namanya itu tidak ingat langsung akan wajahnya. Sedang dia melayan perasaan tiba-tiba ada sesuatu melintas dihadapannya. Jebat tidak sempat menekan brek lalu melanggar benda yang melintas itu.

Jebat terus memberhentikan trak pikapnya. Jantungnya berdetak dengan kencang. Dia teragak-agak sama ada hendak keluar untuk melihat benda yang dia langgar itu atau meneruskan sahaja perjalananya ke rumah hutan. Hatinya berbolak-balik. Lama dia berdiam diri. Akhirnya Jebat membuat keputusan untuk melihat benda yang dia langgar tadi. Sebaik sahaja dia keluar dari kereta dia perlahan-lahan menuju ke belakang trak pikap. Dia terkejut melihat ‘benda’ yang dia langgar itu. Dia terus berpaling dari benda itu. Wajahnya pucat tiba-tiba. Dia tidak mahu melihat ‘benda’ itu lagi. Dia terus kembali ke trak pikapnya. Tiba-tiba...

‘Kau nak larikan diri lepas apa yang kau dah buat?’

Satu suara berbisik di dalam kepalanya. Jebat menggelengkan kepalanya berkali-kali. Dia tidak suka mendengar suara itu. Sudah lama dia tidak mendengarnya tetapi hari itu...

‘Jangan jadi pengecut. Bukannya kau tak pernah tengok benda tu sebelum ini!’

Suara itu seperti mengejeknya. Dia menutup telinganya. Tidak mahu mendengar suara itu lagi. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.