Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
38,839
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4
RAMUAN rahsia itu merupakan rahsia utamanya dalam menghasilkan tembikar yang terbaik. Tiada siapa yang mengetahui rahsia disebalik penghasilan ramuan itu melainkan dirinya dan orang-orang tertentu. Sejak dari zaman muda lagi dia sudah menggunakan ramuan itu. Namun tidak semua tembikar yang dihasilkannya itu mengandungi ramuan rahsia itu. Dan tidak semua orang mampu memiliki tembikar yang dihasilkan menggunakan ramuan rahsianya. Banyak benda yang perlu dia korbankan untuk mendapatkan ramuan rahsia itu sebelum menghasilkan sebiji tembikar. Tidak semua orang seberaninya untuk menghasilkan ramuan rahsia itu.

    Darah seni membuat tembikar sudah lama mengalir di dalam dirinya. Keluarganya sudah lama menghasilkan tembikar sejak dari zaman moyangnya lagi. Dia dan abangnya sudah dilatih teknik menghasilkan tembikar sejak kecil lagi. Namun dia yang paling cepat belajar. Pada usia yang muda, dia sudah mahir dalam menghasilkan tembikar. Ramai pelanggan yang memuji hasil sentuhannya. Ayahnya sangat bangga dengan kebolehannya itu. Dirinya seringkali dipuji-puji di hadapan abangnya sehingga membuatkan dirinya dicemburui.

    Pepatah ada mengatakan panas yang disangkakan hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Dia tidak akan lupa kejadian yang menimpa dirinya sewaktu dia berusia 17 tahun. Kejadian yang mengubah hidupnya sehingga ke hari ini. Kejadian itu berlaku sekitar tahun 70-an.

Ketika itu dia sedang mengalin tanah liat di atas roda pemutar untuk dijadikan tembikar seorang diri di bengkel. Sedang dia asyik dengan kerjanya tiba-tiba mulutnya ditekup dari belakang. Dia cuba meronta tetapi tidak berjaya kerana keduanya tangannya telah diikat ke belakang. Kepalanya dibungkus dengan karung guni sebelum diheret keluar dari bengkel tempat dia membuat tembikar.

    Dia tidak tahu ke mana mereka membawa dirinya pergi. Ketika itu dia dan mereka yang menculiknya berada di dalam sebuah kenderaan. Dia terpaksa duduk berhimpit-himpit dengan mereka di dalam kenderaan itu. Jalan yang mereka lalui berbonggol-bonggol. Dia sesak nafas kerana tiada satu pun ruang udara pada karung guni itu. Setelah lama duduk berhimpit di dalam kenderaan, akhirnya kenderaan itu berhenti. Dirinya ditolak keluar lalu dibawa ke satu tempat. Sebaik sahaja tiba ditempat yang dituju, tubuhnya ditolak hingga terjatuh di atas tanah. Dia terdengar beberapa suara bercakap di situ. Salah satu daripada suara itu sangat biasa dia dengari. Dia meronta-ronta cuba melepaskan diri. Ikatan pada tubuhnya sangat ketat.

    Sewaktu dia sedang meronta-ronta ingin melepaskan diri, tiba-tiba satu tendangan hinggap ke tubuhnya. Dia mengerang kesakitan. Dia tercungap-cungap untuk bernafas. Tendangan itu tidak berhenti di situ sahaja, tubuhnya ditendang berkali-kali sehingga membuatkan dia meraung kesakitan. Tidak cukup dengan itu, kepalanya dipukul dengan benda keras sehingga membuatkan darah tersembur dari mulutnya. Dia terkulai layu dengan kepala masih lagi bertutup dengan karung guni. Dia semakin sesak nafas.
    “Bukak ikatan kat kepala dia tu!” arah satu suara.

    Dia cam suara itu. Dia tiada tenaga hendak melawan setelah dikerjakan teruk-teruk oleh mereka yang menculiknya. Sebaik sahaja karung guni yang membaluti kepalanya ditanggalkan, dia mendongak kepala memandang mereka yang mengelilingi ketika itu. Wajah pertama yang dia lihat adalah wajah abangnya. Abangnya tersenyum sinis memandangnya.

    “Abang...” ujarnya lemah. Dia masih lagi terbaring lemah di atas tanah.

    Abangnya mencangkung di hadapannya sambil memandangnya denga wajah yang sinis. Kepalanya ditunjal berkali-kali oleh abangnya. Rakan-rakan abangnya yang lain hanya ketawa melihat dirinya diperlakukan sedemikian rupa. Abangnya meludah ke mukanya.

    “Mesti kau terkejut tengok aku ada kat depan kau?”

    “Abangkan sepatutnya ikut kem keusahawanan kat Melaka. Macam mana abang boleh ada kat sini?”

    Setahunya abangnya itu sedang mengikuti kem keusahawan selama seminggu di Melaka. Bagaimana abangnya boleh ada di situ?

    “Aku saja tipu ibu dan ayah... kononnya kem tu diadakan selama seminggu padahal cuma tiga hari aje. Hahaha!”

    Dia memandang wajah abangnya dengan perasaan takut dan gerun. Dia tahu abangnya selalu keluar dengan budak nakal di tempat mereka, tetapi dia tidak menyangka abangnya sanggup berbohong dengan orang tua mereka. Dia memandang di sekelilingnya. Mereka berada di dalam kebun kelapa sawit. Dia berharap ada orang yang melalui kawasan itu.

    “Kau mesti nak tahu kenapa aku buat semua ni?” ujar abangnya lagi.

Dia terdiam. Di dalam kepalanya ketika itu hanya memikirkan bagaimana hendak lari dari situ. Hatinya dihurung rasa tidak enak apabila melihat wajah sinis abangnya.

“Kau anak emas ayah. Apa yang kau nak semuanya ayah tunaikan. Bila kau mahir hasilkan tembikar... ayah puji kau. Ayah banggakan kau kat depan semua orang...” Abangnya terhenti daripada berkata-kata. Abangnya mengesat air mata yang bertakung di mata.

    Dia melihat wajah suram abangnya. Dia tahu abangnya terasa hati sebab dia menjadi kebanggaan dalam keluarga. Ayahnya selalu membanding-bandingkan mereka. Dia pernah melihat abangnya dimarahi oleh ayah mereka kerana masih lagi tidak mampu menghasilkan tembikar yang menjadi kebanggaan keluarga mereka. Sebab itu abangnya selalu keluar rumah dan berkawan dengan budak-budak nakal di tempat mereka untuk melepaskan rasa tidak puas hati.

    “Tapi aku... apa yang aku nak semuanya ayah tolak. Kononnya aku tak pandai buat tembikar sebab tu aku tak layak dapat apa-apa. Ayh selalu banding-bandingkan aku dengan kau. Kononnya kaulah yang paling hebat di kalangan adik beradik kita. Kaulah itu... kaulah ini... sampai naik jelak aku dengar,” ucap abangnya dengan sinis.
    “Abang, ak... aku minta maaf kalau buatkan kau tak senang hati. Aku akan cakap kat ayah supaya jangan marah kau lagi. Tolong, bang. Jangan buat aku macam ni...”rayunya sambil menangis teresak-esak.

    “Heh! Kau nak cakap yang ayah akan dengar cakap kau... kalau aku lepaskan kau?” soal abangnya lagi dengan pandangan mata yang dingin.

    Abangnya menampar mukanya berkali-kali dengan sekuat hati. Dia mengaduh kesakitan. Bibirnya terluka dek tamparan itu. Rakan-rakan abangnya ketawa terbahak-bahak mentertawakannya. Dia diperlakukan tidak ubah seperti badut. Ditendang dan dipijak berkali-kali oleh abangnya sendiri. Dia terbatuk-batuk sehingga tersembur darah. Dia rasa giginya seperti ada yang tertanggal.

    “Kau ingat ayah akan lepaskan aku... lepas apa yang aku dah buat kat kau ni?” jerkah abangnya lagi sambil memijak-mijak tubuhnya.

    Dia rasa tulang rusuknya seperti nak patah dibuatnya apabila dipijak oleh abangnya berkali-kali. Dia hanya mampu mengerang kesakitan. Dia tidak dapat melawan kerana tangannya masih lagi terikat. Dia terkulai di atas tanah. Dia sudah tidak bermaya lagi. Abangnya benar-benar sudah gila. Dia terdengar abangnya menyuruh salah seorang rakannya membuka ikatan di tangannya. Dengan pandangan yang berbalam-balam, dia melihat abangnya mengeluarkan sesuatu dari seluarnya.

    Abangnya bercangkung semula sambil menayangkan sesuatu di hadapannya. Dia cuba menajamkan pandangannya untuk melihat barang yang dipegang oleh abangnya itu. Terbeliak matanya apabila melihat abangnya sedang bermain-main dengan spanar. Jantungnya berdegup dengan kencang.

    “Kau nak tahu apa yang aku nak buat dengan spanar ni?” tanya abangnya sambil memusing-musingkan spanar itu.

    Dia menggeleng laju. Wajahnya semakin pucat. Gerak hatinya dapat merasakan yang abangnya itu hendak melakukan sesuatu yang lebih teruk terhadapanya menggunakan spanar itu.

    “Aku nak ambil jari kau!” jerit abangnya sambil merentap tangan kanannya lalu diletakkan ke atas tanah.
 
    “Ab... abang apa yang kau nak buat ni?” jeritnya pula. Ketakutan mula menyelubungi diri. Dia cuba meronta minta dilepaskan.

    Abangnya menyuruh rakan-rakannya memegang tubuhnya daripada terus bergerak. Ada yang menahan tubuhnya dan ada juga yang turut memegang tangan kanannya dengan kuat. Dia menyumpah-nyumpah mereka dengan kata-kata kesat. Abangnya ketawa terbahak-bahak melihat dia terjerit-jerit meminta tolong.

    “Ini aje caranya untuk aku ajar kau. Abang minta maaf, dik.” Ujar abangnya sambil tersenyum sinis.

    “Abang, jangan bang! Tolong, bang! Jangan.... arghhh!” jeritnya sehingga ke puncak suara.

    Si abang mengepit spanar itu ke jari telunjuk si adik. Dengan sepenuh tenaga spanar itu dipulas sehingga terdengar bunyi tulang patah. Si adik terdiam. Semua yang ada di situ juga turut terdiam. Si abang tersenyum puas. Konco-konco si abang terus melepaskan pegangan mereka. Si abang memusingkan spanar itu sekali lagi sebelum merentapnya sehingga menyebabkan jari telunjuk si adik tercabut dari tempatnya. Dengan tidak semena-mena si adik menjerit kesakitan.

    “Arghhhh....” raungnya sambil berguling-guling di atas tanah.

    Jari telunjuk tangan kanannya terkulai layu di atas tanah. Darah memancut-mancut membasahi tangannya. Dia meraung kesakitan. Berguling-guling dia di atas tanah. Azab sakit itu tidak terkata. Tiba-tiba dia merasakan semua yang berada disekelilingnya berpusing dengan laju. Dia terus terbaring kaku. Nafasnya turun naik dengan kencang. Wajahnya berkerut menahan kesakitan. Abangnya pula tertawa puas apabila apa yang dihajati bakal tercapai. Ayahnya tidak akan menerima anak yang cacat sebagai pewarisnya.

    “Jom blah!” ujar abangnya kepada rakan-rakannya.

    “Adik kau macam mana?” tanya salah seorang rakannya.

    “Biarkan dia kat situ. Aku nak tengok sampai bila dia boleh bertahan. Kalau dia mampus terus pun lagi bagus!” balas abangnya sambil memandangnya dengan sinis.

    Mereka semua meninggalkan dia terbujur kaku di dalam kebun kelapa sawit itu seorang diri. Dia merintih seorang diri. Apakah silapnya sehinggakan abang sendiri sanggup perlakukan dirinya sedemikian rupa? Tiba-tiba timbul satu perasaan benci di dalam hati terhadap abangnya. Tunas-tunas kebencian mula membunga sekaligus menerbitkan rasa dendam. Dia akan membalas penganiayaan yang dilakukan oleh abangnya itu. Pandangannya semakin lama semakin gelap. Dia tidak akan mengalah selagi dendamnya tidak terbalas.

    “Aku akan balas dendam,” gumamnya perlahan.

Dia tidak ingat bagaimana dia boleh berada di situ. Sedar-sedar sahaja dia melihat dirinya sedang terbaring di atas katil hospital. Pada mulanya dia kebingungan apabila melihat ibu dan ayahnya berdiri memandangnya di tepi katil tetapi apabila dia melihat tangan kanannya berbungkus barulah dia teringat akan kejadian di kebun kelapa sawit. Terbayang di kepalanya wajah sinis abangnya sewaktu merentap jari telunjuknya menggunakan spanar. Dengan tidak semena-mena dia meraung apabila melihat tangannya berbalut.

Sedarlah dia kini dirinya sudah kehilangan satu jari. Dia meronta-ronta minta dilepaskan. Dia ingin mencari abangnya. Dia ingin membalas dendam.

    Ibunya sudah menangis teresak-esak melihat keadaannya yang tidak ubah seperti orang gila. Ayahnya pula hanya berdiam diri. Wajahnya sudah merah padam. Beberapa orang jururawat cuba menenangkannya. Apabila melihat keadaannya yang tidak terkawal, doktor terpaksa menyuntiknya dengan ubat penenang. Tidak lama kemudian, tubuhnya terkulai di atas katil. Hanya bunyi nafasnya yang kuat sahaja yang kedengaran.

    Ayahnya merengus tanda marah sebelum keluar dari bilik wad itu. Dia terlena apabila efek ubat bius mula bertindak balas. Dia tidak tahu berapa lama dia tertidur, sedar-sedar sahaja dia melihat ibunya sedang duduk termenung di tepi katil.

    “Macam mana saya boleh ada kat hospital?” ujarnya dengan lemah.

    “Ada orang jumpa kamu terbaring di tepi jalan raya. Ibu risau bila kamu tak balik rumah selama tiga hari. Ada orang nampak kamu ikut orang ke kebun kelapa sawit kat hujung kampung. Apa yang kamu buat kat situ?” soal ibunya pula.

    Dia terkejut apabila ibunya mengatakan dia mengikut seseorang ke kebun kelapa sawit.

    “Siapa yang beritahu ibu?”

    “Kamil, anak si Atan Motor.”

    Dia terdiam. Nama yang disebutkan oleh ibunya itu merupakan salah seorang rakan abangnya yang turut sama-sama bersekongkol dalam kejadian tempoh hari. Hatinya tiba-tiba membara apabila teringatkan akan abangnya itu.

    “Abang kat mana?”

    “Abang kan ikut kem keusahawan selama seminggu kat Melaka. Kamu dah lupa ke?”

    Dia baru teringat yang abangnya berbohong dengan orang tua mereka kononnya terpaksa ke Melaka selama seminggu untuk menghadiri kem keusahawanan. Hakikatnya, abangnya itu sudah merancang untuk menganiayanya. Tetapi nasibnya baik kerana masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas lagi. Dia akan menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap apa yang telah abangnya lakukan. Dia terlupa yang dia sepatutnya menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

    Selepas daripada kejadian itu, sikapnya berubah secara mendadak seratus peratus. Dia tidak lagi berminat untuk menghasilkan tembikar. Dia selalu marah-marah dan memberontak tanpa sebab. Jiwanya terseksa apabila orang sekeliling melihatnya seperti seorang yang tidak berguna. Dan lebih menyayat hatinya apabila ayahnya tidak lagi menghiraukannya. Masih terngiang-ngiang di telinganya apabila dia terdengar kata-kata ayahnya sewaktu berbual dengan ibunya.  

    “Aku tidak memerlukan anak yang cacat sebagai pewaris aku!” bentak ayahnya.

    Semenjak daripada itu, ayahnya memberikan sepenuh perhatian kepada abangnya. Abangnya dilayan seperti anak emas manakala dirinya semakin dipinggirkan. Apa yang abangnya hajati selama ini tercapai. Abangnya mula menjadi kebanggaan keluarga apabila tembikar yang dihasilkannya mendapat sambutan. Dia dapat melihat abangnya tersenyum puas melihat kejatuhannya. Kecacatan yang ada padanya membuatkan dirinya semakin lemah dan kerdil. Dia seperti mahu berputus asa. Tiba-tiba muncul satu suara dari dalam kepalanya.

    ‘Kau dah lupa ke apa yang abang kau dah buat kat kau?’

    ‘Abang kau penyebab kau hilang satu jari. Kau kena balas dendam!’

    ‘Kau kena balas balik apa yang dah abang kau buat kat kau. Kau ambil balik kelebihan yang dia dapat tu!’

    ‘Biar dia rasa apa yang kau rasa! Kau kena balas dendam!’

    ‘Balas dendam! Balas dendam! Balas dendam!”

    “Aku akan balas dendam!” terlontar kata-kata itu dari mulutnya.

    Suara dari dalam kepalanya itu berulang kali mengulang ayat yang sama. Dia juga turut mengulangi perkataan yang sama berkali-kali. Kelakuannya itu tidak ubah seperti orang yang kurang siuman. Bercakap seorang diri. Ibunya yang melihat kelakuannya itu mula dihurung kerisauan.

    Dia sentiasa mencari peluang untuk membalas dendam terhadap abangnya. Satu hari sewaktu abangnya sedang berehat di bengkel seorang diri, dia menyelinap masuk ke dalam bengkel itu lalu mengunci pintu dari dalam. Dia sempat menyelitkan parang pendek di belakang bajunya sebelum menghampiri abangnya yang sedang tidur di kerusi. Dia terus menendang kerusi itu sehingga membuatkan abangnya terjatuh ke lantai. Abangnya terus terjaga. Kepalanya berada pening kerana terhantuk pada bucu meja.
    “Woi! Apa yang kau buat ni, hah?” herdik abangnya dalam mamai.

    Dia hanya tersenyum sinis. Matanya tajam memandang abangnya yang masih lagi terduduk di atas lantai. Dia terus menendang dada abangnya sehingga membuatkan abangnya itu terdorong ke belakang. Terbatuk-batuk si abang apabila dihentak oleh si adik tanpa sebarang amaran.

    “Kau dah gila ke?” bentak abangnya sambil terbatuk-batuk.

    “Memang aku dah gila! Kau nak tahu kenapa aku boleh gila? Semuanya sebab kau!” ujarnya dengan mata yang bersinar. Dia melentur-lenturkan batang lehernya sambil membeliakkan mata.

    “Kau jangan macam-macam. Aku panggil ayah baru kau tahu...” ugut abangnya.

    “Kau nak cakap apa kalau ayah datang? Kau nak cakap yang kau penyebab tangan aku cacat? Atau kau nak cakap yang kau ada rancangan nak bunuh aku sebab tu kau tipu ayah dan ibu?”

    Dia melihat wajah abangnya pucat serta-merta. Dia ketawa sinis. Dengan perlahan-lahan dia mengeluarkan parang dari belakang bajunya. Wajah abangnya bertambah pucat.

    “Kau nak buat apa dengan parang tu?” tanya abangnya terketar-ketar.

    “Kau rasa aku nak buat apa dengan parang ni?” soalnya balik sambil menjilat mata parang itu.

    Tiba-tiba abangnya menerkam ke arahnya sehingga membuatkan dia terjatuh. Parang pendek itu terlepas dari pegangannya. Abangnya cuba merampas parang itu mujur dia pantas bertindak. Dia tidak akan membiarkan parang itu jatuh ke tangan abangnya. Berlaku satu pergelutan di antara mereka untuk memiliki parang pendek itu. Mereka saling bertumbuk. Walaupun tubuhnya kecil sedikit daripada abangnya, dia tidak mengalah. Dia menggunakan sepenuh tenaganya melawan abangnya.

Kini dia berada di atas abangnya. Dia mengambil peluang itu menumbuk muka abangnya berkali-kali hingga hidung abangnya patah. Apabila dia melihat abangnya tidak mampu untuk bangun, dia terus mengambil parang pendek itu lalu di acukan ke tangan kanan abangnya. Seperti dirasuk sesuatu dia terus menetak tangan abangnya berkali-kali sehingga terputus dua. Abangnya meraung sekuat hati apabila melihat tangannya kini telah kudung. Jeritan abangnya itu sampai ke rumah mereka. Ibu dan ayah mereka berlari menuju ke bengkel. Mereka cuba membuka pintu bengkel itu tetapi tidak berjaya kerana telah dikunci dari dalam.

    Dia berasa puas kerana dapat membalas dendam atas apa yang telah abangnya lakukan terhadapnya. Muka dan tangannya berlumuran dengan darah abangnya. Dia tersenyum puas melihat abangnya terguling-guling di atas lantai. Dia memandang ke arah tanur yang masih lagi bernyala apinya. Dia mengambil tangan abangnya yang telah terputus itu lalu dicampak ke dalam tanur itu. Api marak membakar tangan abangnya. Ketika itu jugalah pintu bengkel berjaya dipecahkan oleh ayah mereka.

Ibu dan ayahnya terkejut melihat pemandangan di hadapan mereka. Seorang anak mereka meraung kesakitan di atas lantai manakala seorang lagi hanya berdiri kaku di hadapan tanur. Tiada sebarang reaksi di wajah anaknya yang berlumuran dengan darah. Dengan pantas si ayah membalut tangan si abang dengan kain lalu dibawa keluar untuk dihantar ke hospital. Si ibu turut ikut sekali. Si ayah sempat memberi satu pandangan yang tajam kepada si adik.

Dia tiada ada rasa bersalah ketika itu. Apa yang dia tahu, hatinya puas kerana dendamnya telah terbalas. Abangnya juga tidak akan menjadi pewaris ayah mereka di dalam perusahaan warisan pembuatan tembikar keluarga mereka. Pada hari yang itu juga dia meninggalkan tempat dia membesar. Dia tidak rasa dia ada lagi kepentingan di dalam keluarganya. Dia akan membuat haluannya sendiri. Suara di dalam kepalanya bersorak di atas kejayaannya membalas dendam. Dirinya yang kini bukan lagi dirinya yang dahulu.

 Dia tidak akan sesekali membiarkan orang memperkotak-katikkan dirinya lagi.



Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill