Home Novel Thriller/Aksi Hello, Abang Bodyguard!
Hello, Abang Bodyguard!
Angel_k20
11/5/2020 15:51:47
205,660
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5

Dush!


Hana terasa dirinya ditolak dan dia terperosok ke dinding. Efek tolakan yang agak kuat dan tidak diketahui dari arah mana datangnya itu sungguh menyakitkan dirinya yang terhentak padu ke dinding, tetapi jiwanya lebih bersyukur apabila dirinya terselamat dari ditetak dengan parang.


Bum!


Parang yang dilibas tadi selamat mendarat di meja belakang tempat betul-betul dia berdiri tadi dan senjata dari yang diperbuat dari besi tebal lagi keras itu terpacak kukuh tanpa goyangan. Sangat kukuh sampai meja kayu itu terbelah dua!


Hana mengigil ketakutan dan perasaan ngeri yang bersarang kukuh di hati semakin menebal. Tambah lagi, otaknya membayangkan jika dia betul-betul terkena parang tadi, memang boleh arwah sudah seorang Hana Mikayla. Memang makan hati berulam jantunglah ibunya Dr. Maria menangisi pemergiannya ke alam baqa' sana dan berjumpa dengan arwah ayahnya.


Dalam takutnya, matanya melilau mencari siapakah gerangan yang menolaknya sekali gus menyelamatkannya tadi. Terzahir jelas lagi terang di matanya figura seorang lelaki setinggi 180 cm, berkulit cerah dan berpakaian kemas berkot hitam dengan kemeja berwarna kelabu gelap tersarung di tubuh kini berdiri di hadapannya dalam posisi melindungi.


'Lelaki handsome tu?' soal hatinya dengan bergetar hebat.


Hana kemudiannya bingkas bangun lalu mengengsot ke belakang. Dalam mengengsot, dia berusaha mengumpulkan semula segala sisa keberanian yang telah agak hilang dan dirinya dipujuk agar bertenang. Setelah dirinya berasa agak tenang, dia kemudiannya mencari kelibat wanita tadi iaitu isteri si lelaki pengamuk melalui ekor matanya. Setelah dapat menangkap kedudukan wanita itu, dengan berhati-hati dia merangkak ke arah sana.


"Kau siapa nak masuk campur urusan aku?" bentak lelaki itu garang sambil jari telunjuknya dituding ke arah Rayyan.


"Kau tahu tak kau dah merosakkan harta benda orang?" Bentakan dibalas dengan soalan. Rayyan betul-betul bengang dengan lelaki sememeh di hadapannya ini yang baginya tidak tahu malu dan kurang ajar. Dayus pun ada dengan kelakuan suka memukul isteri sendiri.


"Ada aku kisah?" balas penyerang itu sambil merengus marah.


"Perbuatan kau ni gila. Kau nak bunuh orang ke?" Rayyan cuba bersabar.


Jika diikutkan hatinya, mahu juga dikerjakan lelaki selekeh di depannya ini. Sudahlah selekeh, buat hal pula. Pasti banyak belanja si Himura kena keluarkan untuk membaiki kedai bukunya yang sudah kelihatan seperti tongkang pecah.


"Aku nak bunuh orang ke, nak apa ke, itu bukan urusan kau. Ke tepi!" jerkah penyerang itu dengan garang lalu cuba menolak Rayyan yang berada di depannya. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang ialah isterinya mesti dipukul. Wanita itu curang kepadanya dan wanita itu juga tidak meminta izin suami untuk keluar dari rumah. Pada hematnya, isterinya itu mahu melarikan diri darinya!


Melihatkan kepada situasi yang semakin tidak terkawal dengan lagak si penyerang yang seperti gajah naik minyak, Rayyan bertindak pantas dengan menyenteng kaki serta menumbuk muka lelaki itu tanpa menunggunya membuat serangan terlebih dahulu.


Dengan sekali tumbukan, lelaki selekeh itu tersungkur ke bawah lalu terjadilah pergelutan yang sememangnya berat sebelah. Dalam pergelutan itu, Rayyan terlebih dahulu tangkas bertindak dengan menindih kaki si penyerang lalu menyilang kedua belah tangannya lantas muka lelaki itu dibenamkan ke lantai.


"Lepaskan aku woi. Aku tak puas hati! Aku nak bunuh perempuan tu!" laung si penyerang dengan sekuat hati dan menjerit marah bagaikan orang gila serta meronta-ronta ingin melepaskan diri. Namun, Rayyan tidak menghiraukan jeritan si penyerang tetapi bertindak lebih cekap dengan mengemaskan lagi cekupan.


Melihatkan situasi yang hampir kelihatan reda, Himura yang bersembunyi di sebalik pintu belakang kedainya kemudiannya keluar dengan berhati-hati sambil membawa seutas tali panjang untuk mengikat si penyerang di tiang tengah kedai. Himura ni, harapkan badan sahaja gempal namun penakut orangnya.


"Rayyan, kau..." Himura memandang Rayyan dengan kagum lalu tanpa sedar, tangannya tertepuk sendiri.


Sepanjang dia mengenali sahabatnya itu, tidak sekali pun Rayyan menunjukkan skil seni bela diri di hadapannya. Pada kali ini, dia mengakui yang dirinya masih lagi belum mengenali Rayyan sepenuhnya walaupun empat tahun mereka berdua pernah tinggal serumah di Tokyo.


"Sudah panggil polis?" tanya Rayyan sambil menarik nafas panjang.


Nafasnya sesak, dadanya berasa semakin sakit! Dalam diam, dia termengaduh sendirian sambil matanya mengerling kepada jam tangan pintar yang terlilit di pergelangan tangan kanannya. Seperti dijangka, bacaan ritma jantungnya meningkat mendadak kepada 140 bpm.


"Saya sudah maklumkan pada pihak polis," jawab salah seorang pelanggan kedai dengan tangannya masih memegang telefon pintar.


Jawapan daripada pelanggan itu hanya dibalas dengan anggukan oleh Rayyan lalu tanpa bicara, dia menegangkan lagi ikatan tali pada badan si penyerang di tiang tengah. Si penyerang masih lagi meronta-ronta dan mulutnya menghamburkan sumpah seranah, namun perbuatannya itu tidak dihiraukan langsung oleh Rayyan.


Selang sebeberapa ketika, bunyi siren polis kedengaran dan kesemua pelanggan yang berada di situ menarik nafas lega. Apabila penyerang itu digari dan dibawa masuk ke kereta polis, kesemua mereka yang bersembunyi di sebalik meja dan kerusi kedai masing-masing keluar dari tempat persembunyian mereka dengan takut-takut dan tidak kurang juga yang mengucapkan terima kasih kepada Rayyan atas kecekapan dan keberaniannya.


Setelah melihat keadaan sudah reda dan tiada lagi ancaman, Hana kemudiannya membantu wanita tersebut bangun dan duduk di kerusi. Kesemua orang yang berada di dalam kedai buku itu diambil keterangan oleh pihak polis dan syukur kepada Allah SWT mereka semuanya memberikan kerjasama yang baik.


Pada Hana, sungguh hatinya sayu melihatkan keadaan tidak terurus wanita isterinya si penyerang tadi. Wanita itu hanya menemuinya untuk memberikan informasi mengenai kes pembunuhan anggota polis pada 15 tahun yang lepas sahaja memandangkan wanita itu adalah saksi kejadian, bukannya wanita itu mahu memberitahu perihal pembengis suaminya itu.




"Cik Hana, maafkan suami saya," ujar wanita itu sambil menekur lantai. Tidak sanggup dia memandang wajah polos Hana kerana disebabkan dirinya, Hana hampir mati ditetak jika tidak ditolong oleh seorang jejaka tadi.


"Lupakan sahaja hal tadi puan," balas Hana sambil mengukir senyuman manis walaupun dirinya sendiri masih terkejut. Dalam dirinya masih lagi cuba bertenang, sempat matanya melilau mencari kelibat lelaki handsome yang menyelamatkannya tadi. Sumpah, lelaki itu sangat berkarisma, macho dan handsome walaupun tengah bergasak!


"Hana!" panggil si wanita informan kepada Hana yang nampak termenung jauh.


"Ya, ya puan. Maaf," jawab Hana sambil tersengih-sengih. Malu pula berasa apabila dirinya terkantoi termenung di hadapan informannya itu.


"Saya harap maklumat yang saya bagi tadi itu membantu awak untuk mencari kebenaran kes 15 tahun lalu dan saya doakan semoga awak berjaya," ujar wanita itu lagi dengan suara penuh pengharapan tetapi mukanya masih menunduk ke bawah.


"Baik puan. Terima kasih banyak, semoga hidup puan juga akan lebih baik lagi selepas ini," balas Hana sambil memandang wanita itu dengan penuh simpati.


Tidak menunggu lama, wanita itu kemudianya mengukir senyuman hambar lalu dia beredar keluar dari kedai. Hana kemudiannya kembali duduk dan termenung mencerna maklumat yang baru diperoleh. Dari maklumat awal yang diperolehinya, dia mengetahui yang hidup wanita itu amat sengsara sejak kematian anaknya.


Nama wanita itu Puan Gayah. Wanita itu hidup bersama suami yang tidak pernah menunaikan kewajipan solat lima waktu sehari semalam walaupun sudah berbuih mulutnya menasihati. Dahulu, suaminya itu bekerja sebagai seorang pemandu teksi. Namun,  setelah anaknya meninggal dunia kerana leukemia, dia berhenti bekerja kerana dia tidak dapat menerima kenyataan kenapa anaknya mati.


Dia menyalahkan takdir Allah. Dari situlah, dia berubah karakter menjadi seperti hari ini iaitu seorang penganggur, pemarah dan pembengis. Hidupnya sendiri ditampung oleh Puan Gayah yang bekerja sebagai penjual nasi lemak. Sejak dari itu, hidup Puan Gayah sangat sengsara kerana terpaksa menanggung suami tak guna ibarat mendukung biawak hidup.




Hana kemudiannya membuka buku nota lalu mencatat semula apa yang didengarnya daripada Puan Gayah. Puan Gayah dikenal pasti sebagai saksi kejadian 15 tahun lepas yang melibatkan pembunuhan ayahnya, Inspektor Khalid. Namun begitu, sehingga kini kes tersebut masih belum selesai dan penjenayah itu tetap terlepas bebas tetapi dia tidak menyalahkan pihak polis kerana dia mengetahui bahawa penjenayah itu terlalu licik. Kes itu berprofil tinggi jadi tidak hairanlah jika sampai sekarang penjenayah itu masih bebas bergerak di mana-mana.


"Maafkan saya cik, pihak kami terpaksa tutup kedai awal hari ini," beritahu Nanako dengan sopan kepada Hana yang masih ralit dengan buku notanya.


Hana yang sedang khusyuk menulis di buku nota lantas tersedar lalu memerhatikan keadaan sekeliling. Pada ketika itu jugalah, dia mengetuk kepalanya dengan pen. Itulah, bila perkara yang mengejutkan berlaku secara tiba-tiba, dia akan menjadi 'blur' dan tidak ingat bahawa dia sekarang masih lagi berada di tempat yang baru sahaja berlaku kes jenayah. Bagai tongkang pecah dan kampung dilanggar garuda, itu adalah deskripsi yang tepat untuk kedai buku itu sekarang ini.


"Maaf ya, saya blur," ujar Hana kepada Nanako sambil tersengih. Tanpa disuruh, cepat-cepat dia bangun dari duduknya lalu menyimpan pen serta buku nota lantas menggalas beg sandang dan meminta diri untuk pulang. Sekarang ini, sudah tiada seorang pelanggan pun di dalam kedai buku itu kecuali penyelamatnya tadi yang masih setia menunduk di kerusi.


Sambil kakinya mengatur langkah menuju ke pintu, Hana melangkah perlahan dengan kepalanya menunduk ke bawah. Fikirannya ketika ini bersimpang siur dan penuh berselirat bagaikan wayar yang bersimpul mati dengan maklumat yang baru diterima daripada Puan Gayah serta kejadian yang baru sahaja dihadapinya sebentar tadi.


'Hana, kau perlu tidur dulu ni, biarkan memori tadi dikuburkan dalam tidur saja,' monolog hatinya sendirian.


Dalam kakinya melangkah, langkahnya tiba-tiba terhenti apabila pintu kedai yang telah dibukanya separuh ditutup kasar oleh satu figura yang berdiri betul-betul di hadapannya. Tinggi, 180 cm. Hana terpaksa mendongakkan kepalanya sedikit untuk memandang figura yang menghalang laluan pintu keluar.


"Kau, kita perlu berbincang," kata figura itu dengan tegas.


"Hah?" Hana kaget. Sudah kenapa si handsome yang menyelamatkannya tadi tiba-tiba menghalang laluannya untuk keluar? Oh lupa, dia masih belum mengucapkan terima kasih kepada jejaka itu.


"Er... awak. Terima kasih kerana menyelamatkan saya," ujar Hana sambil memandang tepat kepada wajah hero penyelamatnya. Ya Allah, makhluk ciptaan-Mu ini memang sangat sempurna handsomenya!


Ucapan terima kasih daripada Hana dibiarkan sepi dibawa angin lalu. Bagi Rayyan, gadis kecil molek yang bernama Hana Mikayla ini... dia perlu menuntut penjelasan daripada gadis itu. Rayyan kemudiannya memandang tepat ke arah Hana lalu merenung mata gadis itu. Hana Mikayla sangat cantik dan kecantikannya itu lebih terserlah pada matanya yang kelihatan seperti sentiasa tersenyum.


Namun, apa yang membuatkannya lebih tertarik adalah... warna anak mata gadis itu sama seperti anak matanya. Seketika, dia terpaku memandang raut wajah lembut gadis itu walaupun ritma jantungnya sekarang sudah berdegup melebihi kadar paras bahaya.


"Kayla, anak ayah. Belajar rajin-rajin tau, nanti boleh jadi polis seperti ayah," ungkap Rayyan tanpa sedar. Entah kenapa, apabila melihat kepada anak mata gadis itu, dia terasa seperti sudah mengenalinya sejak sekian lama.


Hana terpaku apabila mendengar bait-bait ayat yang keluar daripada mulut si handsome. Ayat tu... macam mana lelaki ini boleh tahu? Itu adalah memorinya bersama si ayah ketika dia berusia 10 tahun!


"Encik..." Hana terjeda. Ayat yang ingin diluahkan tersekat di kerongkong apabila terpandangkan pandangan redup si jejaka di hadapan. Jantungnya sendiri tiba-tiba berdebar rancak.


"Kayla, cara nak baca ayat ni ialah 'lakumdiinukum waliyadiin' bukannya'lakomdiinukom waliyadiin'. Sebut, 'kum' bukannya 'kom'. Ingat tu." Rayyan menuturkan lagi ayat tanpa sedar dengan pandangan matanya masih lagi terkunci di wajah si gadis.


Hana memandang Rayyan dengan pandangan semakin kaget. Kenapa Rayyan boleh tahu memorinya membaca surah al-Kafirun bersama ayahnya semasa dia berumur 9 tahun? Lelaki handsome ini seorang psikik ke? Dia buntu!


"Encik, helo?" Hana menggawang-gawangkan tangannya ke muka Rayyan namun seperti tadi, jejaka itu masih statik memandangnya tanpa berkelip dan itu cukup untuk membuatkannya berasa serba salah dan tidak selesa ditenung sebegitu.


"Encik, saya nak keluar," pinta Hana lalu cuba melangkah setapak ke hadapan.


Namun begitu, langkahnya sekali lagi disekat lagi oleh Rayyan dan dia terbejat di muka pintu. Rayyan... memandangnya dengan pandangan redup sama seperti tadi cuma mulutnya sahaja bergerak-gerak kecil seakan mahu menuturkan sesuatu.


"Awak nak bagitahu apa?" tanya Hana dengan dahi berkerut. Sungguh, dia tidak faham isi bicara yang mahu dituturkan oleh si jejaka di hadapannya ini sekarang.


"Siapa... kau... se... benarnya...?" Tanpa sempat menghabiskan ayat, Rayyan tiba-tiba tumbang ke lantai dan itu sudah cukup untuk membuatkan seorang Hana Mikayla terjerit nyaring. Dia terkejut!


"Encik!" jerit Hana sambil memanggil-manggil dan menggoncang-goncang badan Rayyan.


"Ray-san!" Nanako yang sedang menyapu kaca pecah di lantai juga turut berlari mendapatkan Rayyan yang tergeletak kaku di lantai.


"Ya Allah!" Himura yang sedang mendukung Mika juga pantas meletakkan anaknya itu ke kerusi lantas dia berlari mendapatkan Rayyan. Sempat pipi jejaka itu ditepuk-tepuk beberapa kali namun Rayyan tetap tidak sedarkan diri. Suasana yang baru sahaja aman sebentar tadi kini bertukar pula menjadi panik.


Kenapa dengan Rayyan? Mereka semua buntu!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.