Home Novel Thriller/Aksi Dementia
Dementia
Helmi Effendy
3/6/2016 20:28:01
71,538
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 9: The Great Sewer

Tuhan, kalau kau mampu mendengar doa ini, maka dengarlah dengan begitu bersungguh-sungguh. Sesungguhnya hambamu ini, tidak pernah meminta apa-apa pun sepanjang hayatnya sehinggalah detik ini. Selamatkanlah belahan jiwaku, Nurul Amiratul Lyana binti Syazwan. Selamatkanlah insan yang telah mengajarkan aku erti kehidupan dan menghalau rasa sunyi yang dahulunya bersahabat dengan aku. Ya TUHAN, aku tahu aku bukanlah hambamu yang setia sepertimana Faezal dan Semantani. Aku tahu aku adalah hamba yang derhaka. Namun, untuk hari ini, hambamu yang derhaka ini akhirnya sujud meminta pada kau. Ego aku runtuh! Angkuh aku melayang! Aku sedar bahawa aku bukanlah sesiapa dalam duniamu TUHAN…

Kalau mampu isi hati Ben Mazalan yang sedang berdoa ketika itu didengari oleh seluruh isi bas yang sudah mampu kembali bergerak itulah, ianya saling tak tumpah seperti apa yang diungkapkan tadi. Cumanya, hanya Ben Mazalan sahaja yang mengetahui apa yang didoakan. Oh ya sudah tentu, ALLAH yang Maha Mendengar yang menjadi tempat kebergantungan Ben Mazalan.

Rasa menyesal mula kembali menyelinap jauh ke dalam jiwanya. Kalaulah dia menegah Amira daripada menyertai misi bunuh diri yang diketuai oleh Faris, pastinya sekarang Amira sedang tersenyum disebelahnya. Ahh senyuman itu… senyuman yang telah mencuri hatinya belasan tahun yang lepas ketika diperkenalkan dengan Amira. Gadis itu, atau ketika imbasan memori Ben Mazalan, Amira masih lagi bergelar seorang budak, enam tahun usianya. Amira ialah orang pertama yang tersenyum ke arahnya. Dan sejak itu, Ben Mazalan akan menjadi rindu pada senyuman itu. Semoga nanti, dia punya kekuatan untuk mengembalikan senyuman itu pada wajah Amira kalau mereka berkesempatan untuk berjumpa lagi.

“Kau punya pasal yang kita semua kena buat kerja bodoh ni!” Kedengaran suara Aidi bertempik dalam bas sekolah itu sambil memegang koler baju Zul. Ben Mazalan terus menoleh ke arah mereka berdua.

“Korang dua lagi….” Ben Mazalan jadi malas dengan gelagat Aidi dan Zul.

“Bukan aku! Siapa yang menjerit nampak lipas tu sampai buat diaorang tangkap kita?” soal Zul pula bengang.

“Kau yang nak berlagak hero selamatkan Bait! Celaka aku pula jadi mangsa!” Aidi membalas bengang.

“Sekurang-kurangnya aku berlagak wira! Bukan berlagak pondan! Dengan lipas sampai pun menjerit!”

Bam! Tubuh Zul terlentang diatas kerusi empuk bas sekolah yang baru sahaja selesai pembaikiannya selepas RAD berjaya diselamatkan. Aidi terus melompat ke atas tubuh Zul sebelum mereka berdua bergelut. Ketika Shakila berkira-kira mahu meleraikan dua orang sahabat yang saling tak tumpah seperti anjing dan kucing itu, Ben Mazalan tiba-tiba bangkit sambil menghampiri Zul dan Aidi sebelum dua orang itu menjadi mangsa hadiah tumbukan daripada Ben Mazalan.

“Amira tengah terperangkap dengan Alpha dan pada waktu yang macam ni, benda yang paling penting ialah kita semua kena saling bekerjasama untuk teroka Pusat Sains Negara… yang hanya ALLAH jer yang tahu sedang menanti kita kat dalam tu, korang dua boleh bergaduh pulak tentang siapa antara korang yang salah? Nak tahu siapa yang salah dalam hal ni? Aku! Aku! Faris amanahkan aku untuk jaga second squad kat belakang sementara dia pergi berurusan dengan bangsat-bangsat Shafrizal tu semua, tapi aku gagal! Aku gagal! Berhenti salahkan diri korang!” tempik Ben Mazalan sekuat hatinya sebelum menumbuk kuat tempat pemegang bas sekolah itu sehingga luka tangannya. Zul dan Aidi yang sedang bergaduh itu tergamam dengan ledakan emosi yang sedang dipamerkan oleh Ben Mazalan.

“Ben…” Zul hilang kata-kata manakala Aidi terus menjauhi diri daripada Zul.

“Salah aku… bukan korang…” gumam Ben Mazalan sebelum menjauhi diri daripada Aidi dan Zul sebelum menyendiri di satu sudut di belakang bas sekolah itu. Dia kembali melontarkan renungan kosong ke arah luar bas sekolah yang sedang dipandu oleh Faris itu.

“Salah aku… aku ketua korang. Aku bahayakan nyawa korang!” gumam Ben Mazalan lagi.

***

Imbas Kembali…

Faris berpaling ke arah Ben Mazalan yang sedang mengapitnya dari kiri sementara Shakila yang sedang memegang erat dua bilah sundang yang tersarung ditepi seluar jeansnya mengapit Faris dari arah kanan. Di tangan lelaki itu, kelihatan sebuah binocular. Untuk seketika, dia menggunakan binocular itu mengintai kawasan diatas tembok batu yang mengitari sebelum berpaling pada Ben Mazalan lagi sekali.

“Kau ambil ni, dan tengok atas tu Ben,” arah Faris. Ben Mazalan mengganguk sambil mencapai binocular itu, sambil mengarahkan mata binocular itu ke arah tembok batu yang memagari sebuah kem lama yang dahulu milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Ada orang atas tu. Ada sniper… dengan… beberapa orang bersenjatakan AK-47,” balas Ben Mazalan.

“Aku akan bawa Shakila, Helmi, Faezal dengan Semantani untuk masuk ke dalam sana. Aku akan datang dengan cara baik, cuba curi masa diaorang sementara kau Ben, akan lead second squad untuk pecah masuk melalui pembentungan yang terus bersambung ke bawah jalan raya dalam kem tu macam yang dijelaskan oleh Semantani semalam yang bawah Kuala Lumpur ni ada The Great Sewer,” terang Faris.

“Aku lead second squad? Kau biar betul!” Ben tidak percaya.

“Selain Shakila, kau orang kedua paling aku percaya kat sini Ben. Tolong ya?” pinta Faris sebelum Ben Mazalan terpaksa mengangguk dengan hati yang berat.

“Zul… Aidi… Amira, kau orang dengan aku,” ucap Ben dengan penuh keberatan.

“Kita nak masuk kat pembentungan? Euw. Gelinya…” ucap Amira namun Ben Mazalan langsung tidak mengendahkannya. Selepas bersalaman dengan Faris yang sedang menuju ke arah tembok batu, Ben Mazalan terus berpaling ke arah ahli kumpulannya.

“Cik Mira,” panggil Ben Mazalan.

“Ya awak?”

“Saya nak awak tinggal kat sini. Berlindung kat balik kereta ni sampai saya datang. Bawah pembentungan tu bahaya. Tunggu sampai saya datang balik bawak RAD!” ucap Ben Mazalan. Reaksi bersahaja Amira tadi terus berubah terkejut.

“Habis kalau awak tak balik langsung?” tanya Amira.

“Balik ke Bukit Bintang. Jumpa ayah awak dan minta maaf kat dia. Lupakan saya dengan yang lain!” balas Ben Mazalan.

“Ingat tak kata-kata saya masa ambil keputusan untuk ikut awak? Sampai ke neraka pun saya sanggup! Apalah sangat pembentungan tu!” balas Amira lalu terus bangkit, tetapi tidak terlalu tegak, dalam posisi yang bongoknya, bergerak perlahan meninggalkan Ben Mazalan dan ahli kumpulannya yang lain.

“Ikut Amira. Korang ingatkan laluan pembentungan yang Semantani cakapkan tu?” soal Ben Mazalan pada Zul dan Aidi. Dua sahabatnya itu sekadar mengangguk sebelum bergerak menuju ke arah Amira yang sudah jauh menjauhi mereka.

“Panggil ketua korang. Kami datang secara aman! Kami nak buat negotiation untuk korang lepaskan RAD!” Kedengaran Suara Faris melaung dari jauh membuatkan Ben Mazalan menoleh untuk seketika. Dia tersenyum melihat bagaimana Faris mengangkat senjata apinya diudara. Begitu juga dengan Shakila yang kelihatan agak terganggu apabila terpaksa meletakkan busur dan anak panahnya di atas tanah. Cuma, anak matanya tidak mampu menangkap bagaimana reaksi Semantani dan Faezal.

“Cepat sikit!” Kedengaran suara Amira memanggil dari jauh.

“Sekejap…. sekejap!” balas Faris sepatah.

***

Penutup besi bulat yang berwarna hitam yang terletak ditengah jalan raya itu dicabut dari kedudukan asalnya. Kedudukannya memang agak terpencil dan dikelilingi oleh banyak kereta buruk. Tetapi peta lama Kuala Lumpur yang berada pada tangan Semantani memaparkan setiap jalan masuk dan jalan keluar ke dalam Kem Tentera Udara Sungai Besi yang terlindung dibalik tembok batu itu.

“Pelik…” gumam Aidi ketika memegang penutup pintu itu.

“Sepatutnya ada orang jaga kat bawah ni, dan sekitar sini. Kenapa senyap jer?” tambah Zul pula.

Dahi Ben Mazalan berkerut tatkala mendengarkan luahan rasa tidak sedap hati rakannya.

“Nak masuk atau tak nak?”

“TO…LONG….”

Kedengaran satu lolongan suara yang bergema dibawah pembentungan itu. Untuk seketika, mereka semua saling berpandangan sebelum tiba-tiba Zul melompat terus ke dasar pembentungan itu tanpa langsung menggunakan tangga yang tersedia. IM Uzi yang menjadi senjata asasi lelaki itu terpegang erat ditangannya.

“Ikut dia!” arah Ben Mazalan sambil turut melompat sementara Aidi dan Amira menggunakan tangga yang mengarah ke dasar pembentungan itu. Sampai sahaja Amira dibawah, dia terus menutup hidungnya cuba menghalang bau busuk dan hancing pembentungan menyapa deria baunya.

“TO…LONG…”

Suara jeritan meminta tolong itu bergema lagi di bawah pembentungan itu. Zul terus menoleh ke arah Ben Mazalan, sebelum dia terus membuka langkah kakinya, bergerak sederas mungkin tanpa menghasilkan sebarang bunyi bising. Air yang setakat paras pergelangan kaki itu agak berkocak, seiring dengan langkah kaki Zul.

“Zul! Perlahan sikit!” panggil Ben Mazalan.

Namun, Zul seperti tenggelam mencari punca laungan menjerit meminta tolong itu. Dia seperti orang yang mencari seseorang yang hilang kekasihnya. Pencariannya di bawah pembentungan yang berselirat itu tidak bertahan lama apabila dari kejauhan, kelihatan seorang wanita dalam pakaian baju kurung yang berlumuran darah sedang menangis teresak-esak. Rambut hitam basahnya sedang menutupi wajahnya. Namun, mulutnya tidak habis-habis meratip meminta tolong meski ketika itu Zul sudah muncul dalam keadaan yang termengah-mengah.

“Cik… cik tak apa-apa ke?” soal Zul jauh dari belakang. Kelihatan juga sekurang-kurangnya, lima buah tubuh yang berbalut kain merah dilengannya sedang terbentang. Air yang memenuhi lantai pembentungan itu kini sedang bertukar merah. Mungkin perempuan yang sedang meminta tolong itu kenalan kepada tubuh-tubuh yang bergelimpangan itu, yang kalau tidak salah Zul melalui pengamatannya, adalah mungkin orang-orang kepercayaan Shafrizal Azmi sendiri berdasarkan kain merah yang berlambangkan penumbuk berserta gari yang putus itu.

“TO…LONG!” ucap lagi wanita itu membuatkan Zul menjadi semakin serba-salah. Apakah dia sedang dalam keadaan trauma? Tetapi boleh jadi. Melihatkan lima orang lelaki mati dalam keadaan yang paling menyedihkan bukanlah sebuah pemandangan biasa. Bahkan tidak untuk seorang lelaki. Pemerhatian Zul mendapati bahawa tubuh wanita itu turut lencun dengan air dibawahnya. Simpati yang sedang menjalar dalam setiap saraf tubuhnya semakin menebal, lalu memandunya menanggalkan baju sejuk berbulu yang dipakaikan seperti jaket membaluti baju-T hitam lengan pendeknya.

“Saya tahu cik tengah kesejukan…” ucap Zul menghampiri wanita itu, cuba menyelimuti tubuhnya dengan baju sejuk itu. Namun, ketika Zul hanya beberapa inci sahaja dari tubuhnya, wanita tadi terus mendongak dengan mulut yang ternganga luas. Patutlah rambut hitam basahnya tadi menutupi wajahnya tadi. Rupa-rupanya dia ialah seekor zombie. Wajahnya yang berkudis dan kusam itu pastinya membuatkan manusia biasa meremang bulu roma. Lagi-lagi dengan sisa-sisa tali perut masih bergayut dicelahan giginya yang jarang-jarang itu. Tangannya yang panjang itu terus dihulurkan ke arah leher Zul yang dalam posisi menunduk itu. Apa lagi, tubuh Zul terus terlentang dan wanita tadi terus berada di atas tubuhnya lalu cuba membenamkan giginya di leher Zul. Tali perut yang putus tadi terus jatuh menyembah wajah Zul.

“Bangsat kau! TOLONG!” Kali ini, jeritan meminta tolong bukanlah ajukan lagi tetapi benar-benar datang daripada seseorang yang memerlukan.

Serentak itu juga, Ben Mazalan muncul bersama Amira dan Aidi. Reaksi mereka turut berubah sebaik sahaja melihat apa yang terjadi pada Zul. Ketika Ben Mazalan berkira-kira mahu melepaskan tembakan ke arah zombie yang sedang bergelut dengan Zul, Aidi tiba-tiba menghalang sambil tersenyum sinis.

“Biar aku yang selamatkan dia. Nanti kuranglah sikit perangai bahan dia. Biar dia rasa terhutang budi dengan aku,” ucap Aidi sebelum melepaskan tembakan tepat didahi wanita tadi. Seorang penembak tepat seperti Aidi, hanya memerlukan satu peluru untuk membuatkan otak zombie perempuan tadi terkeluar dari tempurung yang baru sahaja pecah sebelum jatuh tepat di atas wajah Zul.

“Padan muka kau!” ucap Aidi yang ketawa terbahak-bahak melihat Zul menolak tubuh wanita tadi. Sempat dia menolak otak yang sedang membusuk yang jatuh ke atas wajahnya.

Namun, ketawa Aidi mati apabila entah dari mana, kedengaran bunyi seperti penggera sedang memenuhi kawasan pembentungan itu. Untuk seketika, masing-masing terus mengacukan senjata mereka ke arah yang berlainan. Serentak itu juga, kedengaran suara seseorang menyahut dari kejauhan sambil diiringi bunyi derapan tapak kaki.

“Aku rasa diaorang ada pasang penggera yang mampu detect bunyi tembakan,” kata Zul membuat kesimpulannya tersendiri.

“Ada ke penggera macam tu?” soal Aidi dengan riak wajah keliru.

“Diaorang dah dekat!” ucap Amira pula penuh keresahan.

“Sini… sana kosong. Bunyi derapan datang dari lorong belakang kita!”

Lalu mereka berempat pun berlari sepantas mungkin, meneroka setiap koridor yang berselirat dibawah pembentungan. Masing-masing berlari dipandukan oleh naluri sendiri. Selepas lama berjalan, mereka terjumpa sebuah bilik yang agak terpencil.

“Sini!” panggil Ben Mazalan.

Dia terus membuka pintu itu, lalu selepas memastikan setiap rakannya berada di dalam bilik itu, barulah dia masuk sebelum menutup pintu itu. Namun, sepertinya, apa yang sedang menanti mereka di dalam bilik itu pastinya akan membuatkan mereka didalam itu dalam dilemma untuk menyerahkan diri pada orang-orang Shafrizal yang sedang mencari mereka.

Ya, kalau sekali imbas, mereka sedang berada dalam sebuah bilik yang terdapat sesuatu yang kelihatan seperti paip sebesar tubuh mereka yang berselirat bersambung dengan sebuah mesin yang kelihatan seperti penjana. Namun, yang turut mendiami bilik itu ialah kelihatan ribuan lipas yang sedang berkampung di siling bilik tersebut. Serentak itu juga, lengan Ben Mazalan terus dicapai oleh Amira yang kelihatan jijik.

“Aidi… kau okey ke?” soal Zul tatkala melihat wajah Aidi sedang pucat lesi.

“Aku… aku takut lipas!” luah Aidi jujur.

Serentak itu juga, seekor lipas jatuh dari siling lalu mendarat di atas kepala Aidi. Apa lagi, jeritan lelaki itu berkumandang sebelum dia berlari keluar dari bilik itu cuba menghalau lipas yang bersarang di atas kepalanya.

“Jangan bergerak atau kami akan tembak kau!” teriak satu suara dari luar membuatkan Ben Mazalan di dalam bilik sekadar menggeleng.

“Bang… atas kepala saya ada lipas.” Kedengaran suara Aidi membalas. Ada getar dalam nada suaranya. 

“Melutut! Lipas atau tidak, kau dah ceroboh tempat yang tak sepatutnya!”

"Habislah..." ucap Ben Mazalan sambil meraup wajahnya. 

***

"Kita dah sampai dah ni bro!" ucap Helmi sambil menepuk belakang tubuh Ben Mazalan. Lamunannya terus dibawa angin. Kelihatan hampir seluruh isi bas sekolah itu sudah keluar meninggalkan dirinya yang masih termenung. 

"Sorry, aku mengelamun tadi," balas Ben Mazalan. 

"Dengar sini bro. Aku akan tolong kau untuk dapatkan Mira, meski dengan nyawa aku sendiri!" 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.