Home Novel Fantasi Hero Empayar
Hero Empayar
Helmi Effendy
12/11/2012 18:02:55
4,570
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 2 Serigala Jadian

“Beta arahkan kamu berdua kembali ke istana,” kata Ryan dingin di atas kudanya kepada dua orang askar yang telah diarahkan untuk mengirinya ke sebuah hutan tebal yang yang terletak di tepi tasik yang mengelilingi Mahligai Emas.

“Tapi, kami diarahkan oleh Yang Mulia untuk...” salah seorang daripada skar tadi cuba membantah.

“Kamu tak percayakan beta? Cukuplah gadis comel ini di sisi beta. Beta yakin dia boleh lindungi beta,” tambah Ryan lagi. Merah wajah Erica ketika dipanggil comel oleh Ryan.

“Tapi Ryan...” Erica cuba membantah namun Ryan terlebih dahulu menunjukkan isyarat dengan jari telunjuknya supaya Erica sekadar membisu, tidak menyampuk perbualannya.

“Kalau macam tu, pasti Yang Mulia akan bunuh kami nanti, kalau sesuatu terjadi pada putera,” tutur askar yang lain pula.

“Kalau macam tu, biar beta bertarung dengan kamu berdua. Kalau beta kalah, kamu boleh buat apa sahaja, tetapi kalau beta yang menang, kamu harus tinggalkan beta dengan Erica?”

Kedua-dua orang askar tadi saling berpandangan sebelum mengangguk setuju dengan cadangan Ryan.

“Sekurang-kurangnya kami mempunyai alasan jika ditanya oleh Yang Mulia nanti,” gumam askar tadi sambil melompat turun dari kudanya. Ryan turut melakukan hal yang sama dengan dua orang askar pengiringnya.

Ryan kelihatan sedang meliang-liukkan badannya bagi sesi memanas badan sebelum memulakan pertarungan. Pedang Naga ialah sejenis pedang jenawi. Ianya perlu dipegang dengan kedua-dua belah tangan melainkan pemegangnya merupakan seorang yang kuat. Pedang ini biasanya digunakan untuk menikam dan bertahan. Hulu Pedang Naganya dipegang erat oleh Ryan sambil melontarkan renungan tajam ke arah dua orang askar itu.

Dua orang askar yang juga bersenjatakan pedang menyerang serentak Ryan dari arah kiri dan kanan. Mujurlah kepantasan Ryan menghayunkan pedangnya berjaya menepis serangan dua orang askar tadi. Berundur mereka berdua dibuat Ryan.

“Seranglah lagi,” provok Ryan sambil melontarkan renungan sinis.

Salah seorang daripada askar tadi berlari dengan sangat deras ke arah Ryan lalu cuba menjatuhkan senjata Ryan dengan pedangnya. Namun, Ryan lebih pantas apabila berjaya mengelak lalu menghulurkan kakinya membuatkan askar tadi tersembam jatuh. Kemudian, Ryan menendang pedang askar tadi lalu menghunus pedangnya tepat di leher askar itu.

“Kau dah kalah. Tinggal kawan kau itu,” gumam Ryan.

Askar tadi menumbuk-numbuk tanah seperti menyalahkan dirinya di atas kecuaian tadi. Putera Ryan Alhazred memang seorang pahlawan pedang yang sangat hebat. Askar yang masih bertahan kelihatan menggigil lututnya ketika Ryan menghampiri setapak demi setapak.

“Beta terfikir untuk menguji ketajaman pedang beta. Sudikah kamu berkorban untuk hobi baru beta ini?” kata Ryan sambil menghayunkan pedangnya ke kiri dan kanan sambil menghampiri askar yang ketakutan itu.

Tiba-tiba, askar tadi melutut sambil melepaskan senjatanya.

“Patik menyerahkan kalah. Patik bukan tandingan putera...” tutur askar tadi sambil menundukkan wajahnya. Pedang Ryan pula hanya seinci sahaja dari memamah batang hidungnya.

“Terima kasih. Kali ini sahaja beta merayu pada kamu, beta mahu rasa apa itu kebebasan,” kata Ryan lalu menjauhkan pedangnya daripada askar tadi lalu kembali menyarungkan di sebuah sarung yang tersadang di belakang tubuhnya.

“Baik...” balas lelaki itu tergagap-gagap.

***

Permaisuri Inoue kelihatan tidak senang duduk dengan berita baru yang ditemuinya. Anaknya yang baru mencecah umur 18 tahun itu semakin melampau. Erica yang diharapkannya pula tidak berani berbuat apa-apa.

“Ini semua salah kanda. Kanda terlalu memanjakan budak tu,” rungut Permaisuri Inoue sambil berpeluk tubuh di atas katil emas. Maharaja Alexander hanya tersenyum kecil.

“Biasalah tu budak-budak. Jiwa remaja ialah jiwa yang memberontak. Biarlah dia buat apa yang dia suka. Budak tu selama ni terikat dengan peraturan istana dan adat-istiadat. Sekali-sekala, kita berikan kebebasan kepadanya. Apa-apa pun, kita tangguhkan dulu misi kita,” jelas Maharaja Alexander.

“Kanda... dinda risau bahawa sesuatu yang buruk mungkin terjadi pada Ryan,” luah Permaisuri Inoue tiba-tiba. Maharaja Alexander yang berkira-kira mahu meneruskan tidurnya menoleh ke arah isterinya.

“Dahlah, jangan dilayan perasana dinda. Dia anak yang kuat. Lagipun, kanda percaya yang Panglima Syakir dah mengajar budak itu ilmu pertempuran yang cukup. Dia pasti selamat di dalam hutan tu,” jelas Maharaja Alexander lagi.

Ratu Inoe sekadar mengangguk pendek.

***

Kuda hitam milik Ryan bertungkus-lumus mengejar kuda Erica yang sedang mengejar seekor rusa yang sedang melarikan diri. Sudah dua busur panah Erica tersasar namun itu tidak langsung mematikan hasrat Erica. Malah, gadis itu kelihatan sangat bersemangat.

“Belok ke tepi,” teriak Erica memberi arahan. Mata gadis itu sangat tajam menangkap penggerakan rusa walaupun hari sudah menjengah malam. Ryan sekadar tersenyum yang penuh dengan perasaan kagum.

Siapa yang tidak kenal Panglima Erica. Salah satu daripada 7 Pelindung Exathus. Gadis yang selalu diamanahkan untuk melatih pasukan memanah Exathus itu dikatakan antara pemanah terhebat yang pernah dimiliki oleh Exathus.

Mereka semua pasti mengingati ketika peperangan antara Exathus dan Cloudyst dahulu. Mendiang Raja Zakry III mati kerana busur panah Erica yang menembusi tekaknya. Malah, ketika menyertai peperangan itu, Erica hanya berusia 15 tahun. Sepuluh tahun sudah berlalu, kebolehan Erica semakin bertambah hebat sehinggakan orang menyamakan Erica dengan Lady Deana, pemimpin kaum elf hutan, pemanah legenda yang mampu memanah dengan mata yang tertutup.

“Dapat!” teriak Erica kegembiraan.

Serentak itu Erica terus melompat dari kudanya dan berlari ke arah rusa yang sedang menggelupur menghadapi maut. Panah Erica yang disalut racun daripada lidah naga itu mampu membunuh dua kali lebih pantas daripada bisa ular tedung.

“Benda ini akan jadi makanan malam kita,” tutur Erica kegembiraan. Dia sedang duduk bercangkung sambil mengamati bangkai rusa tersebut. Ryan menghampirinya.

“Awak memang hebat, Cik Erica Forestone,” tutur Ryan sambil menepuk-nepuk bahu Erica. “Tapi, awak tahu tak kita kat mana ni?” Erica terdiam. Tiba-tiba sahaja air liur terasa mengental di kerongkongnya.

Baru dia sedar dia terlalu jauh meneroka ke dalam Royal Hunter Craft. Erica menatap dada langit yang sedikit terlindung oleh pokok-pokok oak. Bulan sedang mengambang penuh pada malam itu. Laungan serigala tiba-tiba bergema di dada angkasa.

“Puak Wolfox,” gumam Ryan. Namun, tidak sedikit pun kedengaran gerun nada suaranya. Malah, wajah Ryan yang sedikit disuluh oleh cahaya bulan itu kelihatan sangat teruja. “Mereka lapar. Rasanya dah lama mereka tidur sampai malam ini. Kita salah pilih hari.”

“Kita kena pergi dari sini. Keselamatan Ryan terletak di tangan Erica,” kata Erica cemas.

“Jangan risau. Sebenarnya dah lama Ryan tunggu saat ini. Puak Wolfox ya? Menarik...”

“Janganlah buat gila! Kita kena pergi dari sini!” marah Erica.

“Auuuuu........” laungan yang bergema buat kali kedua membuatkan Erica dan Ryan terdiam. Angin tiba-tiba berhembus di sekeliling mereka. Kedengaran bunyi sesuatu menghampiri mereka. Semak-samun turut terjaga mendengarkan bunyi itu.

“Mardock!” gumam Erica sambil mengeluarkan panahnya. Seekor manusia separuh serigala sedang berdiri di hadapan mereka. Kelihatan matanya merah, giginya tajam dan besar-besar belaka. Separuh daripada badan mereka pula berbulu lebat yang bewarna kelabu.

“Awak kenal dia?” tanya Ryan tidak percaya.

Erica sekadar mengangguk.

Kemudian, keluar lagi beberapa ekor serigala jadian di sekeliling mereka. Mereka berdua terkepung. Ryan pula sudah bersiap sedia dengan pedangnya sebaik sahaja Mardock menampakkan diri.

“Selamat bertemu kembali anak jagaan Elf Hutan,” ujar Mardock dengan suara garaunya itu. Ryan tidak percaya mendengarkan kata-kata Mardock itu. Sempat juga Ryan menoleh ke arah Erica, cuba mendapatkan kepastian gadis itu.

“Jangan kau ungkitkan kisah lama. Tinggalkan aku dan lelaki ni,” balas Erica. “Kalau tidak, kau akan merasa betapa siksanya penangan busur panah beracun aku.”

Mardock ketawa besar mendengarkan ugutan Erica. Tidak sedikit pun terasa gentar dengan ugutan Erica.

“Kau fikir aku bodoh? Hey Erica. Bangsa kami ini sudah lali dengan racun kaum elf itu. Air liur dari lidah naga tidak akan dapat mengapa-apakan kami,” kata Mardock sinis. Dahi Erica berkerut mendengarkan jawapan Mardock .

“Apa yang kau nak daripada kami?” Kali ini Ryan memutuskan untuk bersuara. “Lepaskan kami atau kau akan merasa belahan pedang aku ini.”

Mardock ketawa lagi. Anak-anak buahnya hanya berdiri tidak jauh daripada tempat Ryan dan Erica berdiri. Kemudian, Mardock menepuk-menepuk perutnya. Dia melolong lagi kemudian disambut oleh anak-anak buahnya.

“Kami dah tidur lama. Malam ini, kami mahu mencari makanan. Lagipun dah lama kami tak merasai daging manusia,” tutur Mardock . Dia kelihatan sedang menjilat kuku-kukunya yang panjang itu.

“Kalau macam tu, kita bertempur,” gumam Ryan sambil menjulang pedang gergasinya itu dengan hanya satu tangan. Mardock tidak lagi berkata-kata sebaliknya berlari deras ke arah Ryan. Lariannya lain daripada yang lain. Sekelip mata Mardock berada di belakang Ryan.

Bam! Ryan terpelanting jauh. Tubuhnya menghempas sebatang pokok oak. Erica cuba mendekati Ryan tetapi malangnya tangan Mardock yang dua kali ganda daripada batang tubuhnya menyambar leher Erica.

“Aku dah lama berdendam dengan kau Erica!” tutur Mardock sambil mencengkam tubuh Erica. Terangkat Erica di udara manakala panah yang dipegang oleh Erica terjatuh di atas tanah.

“Tolong jangan apa-apakan.... Yang Mulia Putera Ryan Alhazred...” terpututs-putus suara Erica. “Kau berdendam... dengan aku. Bunuh aje aku... bukan dia...” Mardock kelihatan terkejut dengan pengakuan Erica itu.

“Kau bawa anak Alexander dan Inoue ya masuk dalam hutan ni? Pada malam bulan mengambang pula? Kau memang bodoh...” ujar Mardock sinis. Ryan pula sedang berusaha untuk bangkit. Dalam kelalaian Mardock berbual dengan Erica, Ryan mengumpul seluruh tenaganya lalu menusukkan pedangnya, menembusi perut Mardock .

“Aku... rasa sakit yang teramat sangat...” tutur Mardock . Anak buahnya yang lain melolong melihat keadaan ketua mereka itu. Mardock terlepas pegangan tangannya dan tubuh Erica jatuh terlentang di atas tanah.

Ryan sempat menarik pedangnya yang menembusi perut Mardock lalu. Kemudian, dia menyarungkan kembali pedang itu di sarung yang tersadang di belakang tubuhnya. Pergelangan tangan Erica dicapai oleh Ryan.

“Naik kuda dengan saya. Kuda saya yang paling pantas,” bisik Ryan. Dia membantu Erica untuk memanjat kuda hitam yang diberi nama Blachert itu. Kemudian, Ryan melompat sendiri ke atas Blachert.

“Blachert! Jalan!” teriak Ryan. Kuda tadi berteriak aneh lalu memulakan larian derasnya. Kelihatan beberapa ekor serigala jadian mengejar mereka dari belakang. Manakala serigala jadian yang lain pula kelihatan sedang membantu Mardock yang cedera parah.

“Awak peluk tubuh saya erat-erat,” tutur Ryan.

Entah kenapa, baru hari ini Erica menyedari betapa kacak dan tampannya anak muda itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.