Home Novel Seram/Misteri PROJEK SERAM : HOTEL (HOTEL SANS DEVILY)
PROJEK SERAM : HOTEL (HOTEL SANS DEVILY)
Eqbal Mohaydeen
18/3/2016 21:04:28
6,850
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 1

Semuanya bermula pada hari ini...

AKUmemuatkan bagasi kecil berisi pakaian dan beg galas ke dalam bonet kereta Inspira. Hanya barangan yang penting sahaja dibawaku. Sebaik sahaja selesai, bonet ditutup semula. Tatkala itu Iphone 5 yang berada di dalam poket seluar berbunyi. Segera aku menyeluk poket. Skrin telefon dilihat seketika. Lalu panggilan dijawab.

“Kau dah gerak ke belum?” soal Faiz dalam talian.

“Belum lagi. Baru masukkan barang dalam bonet,” jawabku.

“Orait. Aku tunggu kau kat rumah.”

“Dalam 15 minit aku sampai,” beritahu aku lantas menamatkan panggilan telefon.

Telefon bimbit dimuatkan semula ke dalam poket. Hari ini aku merancang untuk bercuti setelah saban hari fikiran disesakkan dengan masalah-masalah yang merenggut semangatku untuk meneruskan kehidupan. Itu pun setelah dinasihati Faiz yang merupakan rakan sekerja dan merangkap rakan baik aku. Mungkin dia melihat produktiviti kerja aku yang semakin merosot dari hari ke hari.

Setiap hari datang lewat ke pejabat, dimarahi bos, kerja yang diberikan gagal disiapkan dalam masa yang terdekat, bertengkar dengan rakan sepejabat dan lain-lain lagi. Apa yang pasti segalanya bermula setelah berpisah dengan Carenne, kekasihku. Aku ditinggalkan kerana seorang lelaki lain yang kononnya lebih baik. Benarlah, setiap pengkhianatan dilakukan orang yang kita percaya. Sejak itu kehidupan yang aku lalui berbeza 360 darjah daripada hari-hari biasa.

Aku berharap keputusan untuk bercuti ini dapat menghilangkan segala kekusutan dan rasa galau yang bergelumang di jiwa. Kadang-kadang tidak semua masalah akan selesai hanya dengan memendamnya sahaja. Mujur permohonan untuk bercuti telah diluluskan pihak atasan. Faiz turut dengan rela hati untuk menemani diriku.

Aku memuatkan diri dalam perut kereta. Enjin dihidupkan. Sesuatu menjengah fikiran. Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket. Nombor telefon Sherry dicari sebelum panggilan dilakukan. Sherry merupakan rakan baik aku sewaktu menuntut di Universiti Malaya lima tahun lalu. Setahu aku, hanya Sherry satu-satunya rakanku yang tinggal di Melaka. Aku menunggu dengan penuh sabar panggilan berjawab. Tidak sampai beberapa saat, suara seorang wanita berada di hujung panggilan. Serak dan kedengaran malas.

“Kau jangan cakap kat aku yang kau baru bangun tidur,” sapaku terus.

Sherry tertawa kecil.

“Mimpi apa pagi-pagi telefon aku ni, Eric?”

Aku mendengus sambil menggeleng-geleng.

“Hari ni aku nak turun Melaka. Kau free tak? Teman aku dan kawan aku ronda Melaka hari ni. Kau jadi tour guide tak bertauliah kami hari ni,” ajakku.

Sekurang-kurangnya tidak perlu tersesat kerana ada Sherry menemani. Wanita Melayu itu aku akui sememangnya sangat cekap dalam menghafal jalan.

“Boleh aje. Pukul berapa kau sampai?” soal Sherry.

Kedengaran dia menguap kecil seketika kemudian.“Mungkin dalam pukul 12.00 lebih atau 1.00. Tapi, kau tak kerja ke hari ni?”soalku, kehairanan.

“Baru lepas berhenti minggu lepas,” jawab Sherry ringkas.

“Hisy, kau ni! Aku rasa masuk ni dah dekat tujuh kali kau berhenti kerja.”

“Enamlah,” sangkal Sherry, membetulkan.

“Lebih kuranglah tu. Kejap lagi aku sampai, aku beritahu kau.”

“Orait. Tapi sehari suntuk ni kau kenalah belanja aku ya. Aku kan baru berhenti kerja,” ujar Sherry dengan suara yang sengaja dimanjakan.

“Yalah, yalah. Aku tahu. Dahlah! Pergi bangun dan mandi. Aku dah bau busuk ni.”

Aku menggeleng-geleng sambil tersenyum. Panggilan ditamatkan. Perangai nakal dia masih tidak berubah sejak dari zaman universiti. Aku meletakkan telefon bimbit di ruangan kecil berdekatan kotak gear. Lalu klac dipijak dan gear satu dimasukkan. Pedal minyak diseimbangkan sebelum perlahan-lahan kereta bergerak menuju ke destinasi.



AKU tiba di Bandar Hilir setelah menempuh halangan lalu lintas yang menyesakkan jiwa.Tambahan dengan jerebu yang menyelubungi persekitaran. Mata mengerling dashboard. Tepat pukul 1.00 petang. Aku menggeliat kecil melegakan urat darah yang terasa lenguh kerana duduk dalam tempoh yang lama. Enjin kereta dibiarkan hidup beberapa minit sebelum dimatikan.

Aku dan Faiz melangkah keluar dari kereta. Rayban bercermin gelap dipakai. Cuaca berada dalam keadaan baik. Tidak begitu panas dan tidak terlihat juga tanda-tanda hari akan hujan. Matahari masih memancarkan cahaya, tetapi bahangnya tidak begitu terasa. Aku menekan punat alarmsebelum melangkah menuju ke arah sebuah kedai makan berkonsepkan kafe. Sherry telah berjanji untuk bertemu aku dan Faiz di situ pada pukul 1.15 minit petang.

Sebuah meja berbentuk bulat yang terletak di penjuru kafe menjadi pilihan. Aku dan Faiz duduk bertentangan di antara satu sama lain. Kaca mata hitam ditanggalkan dan disangkutkan di tengah-tengah kolar baju. Kafe itu dipenuhi para pelanggan yang sedang menjamu selera. Seorang pelayan tiba lalu mengambil pesanan sebelum berlalu. Tidak lama kemudian, pelayan itu muncul semula sambil membawa pesanan yang dipinta. Segelas kopi hazelnut ais bersama teh o ais limau. Aku dan Faiz menunggu kedatangan Sherry di situ seperti yang telah dijanjikan.

“Aku pelik betul. Dalam banyak-banyak tempat, Melaka jugak yang kau pilih. Banyak lagi kawasan yang menarik. Genting Highland ke,” ujar Faiz.

Aku tersengih.

“Melaka kaya dengan sejarah tau. Misalnya sejarah kesultanan Melayu Melaka yang agung, hikayat Hang Tuah Lima Bersaudara dan lain lain lagi. Bahkan banyak lagi sejarah yang tidak diketahui ramai masih belum dibongkarkan secara ilmiah oleh para pengkaji dan sarjana. Lagipun aku dah lama sangat tak datang ke sini. Rasa rindu pulak. Lastaku datang pun kalau tak salah beberapa tahun yang lepas,” jelasku secara panjang lebar.

Kopi hazelnut disedut menggunakan straw. Tatkala itu lagu Hotel California menjadi halwa telinga. Meskipun aku tidak begitu berminat dengan lagu itu, tetapi entah mengapa pada hari ini aku boleh melayani lagu itu sehingga tamat. Mungkin juga kerana aku tiada pilihan untuk menukarnya. Apabila dihayati secara mendalam liriknya, kedengaran agak misteri. Seolah-olah mempunyai mesej tersirat yang cuba disampaikan. Tetapi aku tidak begitu mengendahkannya. Aku sedar setiap pengkarya muzik lazimnya cuba menyampaikan sesuatu melalui adunan lagu dan melodi dalam bahasa yang halus.Baru sahaja jam hampir menunjukkan pukul 1.30 minit petang, sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah berhenti di hadapan kafe itu. Seorang wanita mengenakan skirt paras lutut, blaus tanpa lengan dan berambut perang melepasi bahu melangkah keluar dari perut kereta. Dia berjalan menuju ke arah aku. Hampir kesemua mata terutamanya lelaki yang berada di sekitar kafe memandang ke arah Sherry. Mungkin penampilan Sherry yang agak seksi menarik perhatian mereka.

“Hai,” sapa Sherry sambil melambai tangan dan tersenyum.

Menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya. Dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan aku.

“Awal kau sampai?” tegur aku, sinis.

Sherry tertawa kecil.

“Maaf terlambat. Jammed masa nak datang tadi. Jangan marah ya,” balas Sherry.

“Tak marah, cuma geram aje,” balasku sambil mendengus kecil.

Sherry tertawa lagi.

“Dah lama gila tak jumpa kau. Apa khabar? Kenapa kau simpan rambut panjang macam tu? Tapi smart jugak. Macam Antonio Banderas. Dah tak nampak macam lelaki Chinese dah,” puji Sherry lalu tertawa kecil lagi.

Sempat dia menyentuh hujung rambut aku yang dibiarkan terbuai-buai dihembus angin.

Aku hanya tersengih menerima pujiannya.

“Sihat aje. Saja nak ubah penampilan sikit. Oh, terlupa pulak aku nak kenalkan! Ini kawan aku, Faiz. Faiz, ni Sherry. Aku kenal dia sejak sama-sama menuntut di UM dulu,” ujar aku, memperkenalkan kedua-dua mereka.

Mereka berdua saling bertukar senyuman sebelum Sherry mengalihkan pandangan ke arah aku dan Faiz silih berganti.

“Jadi, kau orang nak pergi mana ni? Kat Melaka ni banyak sangat tempat menarik. Kalau pusing dalam masa sehari pun tentu habis,” ujar Sherry.

Aku menjongketkan bahu.

“Entah. Kau bawa aje kami ke tempat yang best-bestdalam Melaka ni. Aku tak ada idea. Lagipun dah ingat-ingat lupa jalan sekitar bandar ni. Dah banyak tahun aku tak datang sini,” balas ku.

Sherry mengangguk kecil. Dia melihat kaki langit.

“Jom kita gerak sekarang. Cuaca pun nampaknya elok,” ajak Sherry.

Aku akur lalu menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran. Penjaga kaunter memberikan bil dan aku mengeluarkan beberapa keping wang dari dompet lalu diserahkan kepadanya. Tatkala itu pandangan mataku tertancap ke arah sekeping Surat Khabar Sinar Harian yang terletak di atas kaunter bayaran.

Kehilangan Misteri

Bandar Melaka: Nasib sepasang pelancong asing yang dilaporkan hilang sejak tiga hari yang lalu masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Pihak polis masih gagal mendapatkan sebarang petunjuk khusus dalam menjejaki kedua-dua orang pelancong itu.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri berusia lingkungan 30-an berwarganegara Britain dilaporkan hilang setelah kali terakhir mereka dilihat berada di bandaraya bersejarah tersebut pada hari Khamis yang lalu. Kehilangan mereka melengkapi 15 kes kehilangan pelancong tempatan dan asing di negeri Melaka sepanjang tahun 2015 yang masih gagal diselesaikan sehingga ke hari ini.

Ketua Polis, Supt Manoharan Apparu tidak menolak kes kehilangan pelancong ini mempunyai kaitan dengan kes jenayah. Tetapi bukti kukuh bagi mengesahkan tuduhan tersebut masih belum diperolehi. Beliau berkata pihak polis memandang serius perkara tersebut dan operasi pencarian akan diteruskan bagi mengesan pelancong yang masih hilang itu.

Aku merayapi pandangan ke arah dua wajah yang terpapar. Aku tertelan liur sebaik sahaja mengetahui lokasi itu…

Aku tertelan liur sebaik sahaja mengetahui lokasi itu. Segera aku menyingkirkan andaian buruk yang mula bertandang di fikiran. Setahu aku, kes begitu telah kedengaran beberapa kali bahkan melibatkan penduduk tempatan, tetapi sehingga hari ini masih belum ada penyelesaiannya.

Mungkin ia kes penculikan. Lagipun aku rasakan manusia sekarang ini semakin gila. Abnormal! Sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat apa yang dihajati.

“Asal mana?” tegur lelaki penjaga kaunter itu sambil mengira wang sebelum diserahkan kepada aku.

“Selangor. Saja datang sini jalan-jalan,” balasku.

Melihat pada raut wajahnya, aku menganggak dia berusia dalam lingkungan 30-an. Ataupun sebaya dengan usia aku 28 tahun.

Lelaki itu mengangguk kecil.

“Tidur hotel mana?” soal lelaki itu lagi.“Belum tahu lagi. Tak fikir lagi pun,” jawabku acuh tak acuh.

Aku tidak begitu menggemari sikapnya yang menyoal sedemikian. Seolah-olah cuba menyibukkan diri dengan urusan diriku.

“Hati-hati pilih hotel kat kawasan sini. Banyak hotel yang mengusik,” pesan lelaki itu lagi.

Dia merenung aku dengan wajah serius. Tangannya mengunjuk baki bayaran.

“Mengusik? Maksud encik apa?” soalku, tidak mengerti.

“Gangguan hantu. Kat sini banyak hotel yang kurang selamat. Ada seorang pelanggan saya mengadu pernah menginap sebuah hotel kat kawasan sini jugak. Malam tu dia nampak seorang perempuan terjun dari bumbung hotel tu. Bila dia pergi tengok, mayat perempuan tu tak ada pun. Ada jugak yang pernah nampak perempuan tikam perutnya sendiri dengan gunting berulang kali. Bila tanya penjaga kaunter, baru tahu yang hotel tu berhantu. Dah banyak pelanggan yang kena usik macam tu. Hotel tu hujung jalan ni aje,” jelas lelaki itu sambil menjuihkan mulut ke hadapan.

Aku menoleh. Terlihat sebuah bangunan hotel yang tersergam di hujung jalan itu. Dari luar kelihatan seperti mana-mana hotel biasa dan tidak kelihatan menyeramkan.

Aku terdiam mendengar cerita lelaki itu. Perkataan hantu terlalu asing dalam kamus hidup aku. Bukan tidak mempercayai kewujudannya. Cuma tidak mahu terlalu taksub mempercayainya. Aku menyambut lambat-lambat baki wang bayaran tadi.

“Ada sebuah hotel lagi yang agak misteri. Tapi saya sendiri tak tahu sama ada cerita ni betul atau tak,” ujar lelaki itu lagi.

“Ada apa yang tak kena dengan hotel tu?” soalku, ingin tahu.

“Setiap pelanggan yang menginap di hotel tu akan hilang begitu aje. Orang pun tak tahu apa nasib mereka. Ghaib dan terus lesap,” terang lelaki itu.

Aku mengerling ke arah akhbar tadi. Entah mengapa kisah lelaki itu membuatkan aku terpanggil melihat semula Akhbar Sinar Harian itu. Sama ada wujud hubung kait antara kedua-duanya, aku sendiri tidak pasti. Mungkin ya dan mungkin tidak. Lagi pula lelaki itu sendiri tidak pasti akan kesahihan cerita yang disampaikan kepada aku itu.

“Terima kasih untuk info tu,” ucapku.

Sempat aku mengukir senyuman sebelum terus berlalu. Enggan membejatkan fikiran memikirkan perkara yang tidak masuk akal sedemikian. Aku kembali mendapatkan mereka berdua.

“Naik kereta siapa ni?”soal Sherry.

“Kereta akulah,” balasku.

Aku mengorak langkah mendahului mereka berdua mendapatkan kereta. Aku mencapai pemegang pintu. Tiba-tiba satu rasa aneh muncul di hati. Aku terkaku seketika.

“Kenapa Eric?” tegur Sherry yang telah berdiri di pintu penumpang belakang.

Aku tersentak lalu menggeleng. Pintu dibuka dan aku menyelit masuk. Sesuatu yang tidak enak terasa bermain-main di tangkai hati.

Mungkin perasaan aku aje agaknya, pujukku dalam hati.


JAM telah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam. Beberapa kawasan di Melaka telah dijelajahi dalam masa beberapa jam. Dari tempat yang diketahui namanya sehinggalah tempat yang tidak pernah didengar sama sekali sebelum ini. Walaupun agak letih, tetapi sebenarnya agak menghiburkan hati ditambah dengan kerenah Sherry yang gila-gila. Sekurang-kurangnya rasa tertekan yang memberat di pundak terasa menyusup keluar.

“Kau rancang nak bawa kami pergi mana pulak ni?” tanyaku.

Sempat aku mengerling ke arah tempat duduk belakang melihat Sherry.“Aku rasa semua tempat kita dah pergi. Sekarang tinggal nak balik ajelah. Kau orang tidur hotel mana?” tanya Sherry.

Aku menjongketkan bahu.

“Tak tahu. Kami tak cari lagi.”

Sheery terlopong mendengar jawapan yang terpacul keluar dari bibirku. Matanya terbuntang merenung aku.

“Kau orang datang main redah aje? Dari tadi tak mandi? Patut aku bau tengik aje. Teruk betullah kau orang berdua ni,” omel Sherry.

“Kau bukan tak kenal Eric ni. Dari hari tu aku dah pesan kat dia suruh tempah hotel awal-awal, tapi dia buat tak tahu aje. Kena hotel penuh nanti, tidur dalam keretalah jawabnya kami berdua,” rungut Faiz pula.

Aku tergelak kecil mendengar bebelan mereka berdua.

“Kau orang berdua macam tak kenal aku pulak. Tambah kau Sherry. Kau kenal aku sejak dari zaman universiti lagi. Aku mana pernah buat perancangan dalam apa-apa hal. Main redah aje.”

“Redah pun agak-agak jugak. Pakai helmet lain kali,” tingkah Sherry.

“Kebiasaan lama-lama akan menjadi tabiat. Tabiat akan sebati menjadi tingkah laku. Lagipun kalau kita asyik merancang dalam setiap hal, di mana kita dapat nikmati keindahan dalam kehidupan ni,” balasku.

Sherry mencebik.

“Itu aku tahu. Tapi yang penting sekarang kau orang nak tidur mana malam ni?”

“Aku tidur rumah kau boleh?” usikku sambil mengerling ke arah Sherry di kerusi belakang.

Faiz yang sedang memandu menutup mulut menahan tawa.

Sherry mengepalkan penumbuknya lalu menunjuk ke arah aku. Aku tertawa. Aku kenal dengan sikapnya. Meskipun berpakaian seksi, tetapi dia bijak menjaga batas-batas pergaulan. Setahu aku dia bukan seorang yang gemar bersosial, cuma suka berpakaian menjolok mata. 

“Kita pergi makan dulu. Nanti lepas hantar kau, pandai-pandailah kami cari hotel kat kawasan ni,” ujarku.

Jalan raya kelihatan agak lengang. Hanya beberapa buah kenderaan yang menggunakan jalan raya dari arah bertentangan.

“Ikut suka kaulah sayang. Mengantuk pulak aku rasa,” keluh Sherry sambil menguap kecil.

Matanya aku lihat agak layu dan kuyu.

“Laju sikit Faiz. Kita pergi makan lepas tu hantar si Sherry balik,” pintaku.

Faiz akur lalu menekan pedal minyak. Sambil itu, mataku melilau mencari-cari gerai makan atau restoran yang terdapat di sekitar kawasan itu bagi menjamu selera lantaran perut mula berkeroncong.

Selesai makan di sebuah kedai, kereta akhirnya diberhentikan berhadapan kafe yang dikunjungi siang tadi. Beberapa orang pekerja di dalam kafe kelihatan sedang sibuk melayan pelanggan yang masih berkunjung. Tali pinggang keledar ditanggalkan. Aku mengilas pandangan ke arah Sherry. Wanita itu telah tertidur. Aku menggoncangkan pahanya beberapa kali. Sherry terjaga. Terpisat-pisat dia memandang aku sambil menenyeh-nenyeh matanya.

“Kita dah sampai ni,” beritahuku.

Sherry menggeliat kemalasan. Matanya masih kelihatan kuyu.

“Kau boleh memandu ke? Nampak macam dah mengantuk sangat aje. Kalau tak boleh, kami hantarkan kau terus ke rumah. Esok pagi kita datang ambil kereta kau,” saranku.

Sherry menggeleng. Dia meraup wajah lalu menyelak rambut ke belakang. Lehernya diurut beberapa kali.

“Aku okey aje. Cuma rasa pening sikit, tapi masih boleh memandu lagi. Apa pun terima kasih sebab sudi belanja aku sehari suntuk ni,” ucap Sherry.

“Aku sepatutnya ucap terima kasih dekat kau. Sudi jadi radio karat aku dalam kereta ni,” usikku. Sherry mendengus lalu mencubit lengan aku. Aku mengaduh kesakitan sambil tertawa kecil.

“Padan muka kau. Suka sangat sakat aku,” ujar Sherry.

Dia menanggalkan tali pinggang keledar lalu membuka pintu dan melangkah keluar.

“Esok dalam pukul 1.00 atau 2.00 petang aku datang ambil kau kat rumah,” pesanku.

“Orait. Sebelum datang kau mesej aku dulu. Faiz, hati-hati memandu kereta. Apa-apa kay orang jangan lupa telefon atau mesej aku,” pesan Sherry.

Aku hanya mengangkat ibu jari sebagai tanda faham. Lalu kami berdua saling berbalas lambaian sebelum Sherry menapak mendapatkan keretanya. Aku memerhati Sherry sehinggalah Mini Copper yang dipandu lenyap daripada pandangan.

“Tak nak sewa hotel kat sini ke?” tanya Faiz.

Matanya memerhati bangunan-bangunan hotel yang tersergam di sekitar kawasan itu.

“Macam tak best aje hotel kawasan ni. Kalau boleh aku nak cari hotel yang dekat dengan keindahan alam semula jadi. Baru ada feeling,” jawabku.

Lagi pula tiba-tiba aku teringatkan pesanan yang dititipkan pemilik kafe itu siang tadi.

“Ikut kaulah,” akur Faiz.

“Biar aku memandupulak. Dari petang tadi kau memandu mesti letih,” pelawaku.

“Boleh jugak. Lagipun aku dah mula rasa mengantuk,” balas Faiz lalu menguap kecil.

Lantas kami berdua keluar dari kereta dan bertukar tempat duduk. Pintu kereta ditutup rapat. Aku memasukkan gear dan meneruskan semula perjalanan. Matlamat aku kini adalah bagi mencari hotel atau tempat penginapan yang menepati idaman hati. Tubuh terasa letih dan badan agak melekit lantaran seharian tidak membasahkan tubuh. Peluh telah mengering dan membentuk hablur garam yang halus sifatnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.