Home Novel Seram/Misteri PEMBANTU DARI NERAKA
PEMBANTU DARI NERAKA
Noorfadzillah Omar
1/6/2016 09:57:09
129,267
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 17
Kampung Long Nira

Sempadan Sabah-Sarawak

TOK Pawang Itam tidak suka bila mendapat tahu cerita dari Jubli. Cerita yang baru disampaikan oleh Jubli baginya tidak boleh dipandang remeh.

“Sudah besar rupanya Suraya tu? Dulu aku tengok budak tu masih budak sekolah berhingus mentah. Rupanya selama ni belajar di luar negara mahu jadi doktor.” tuturnya lalu tersengih sinis.

Jubli menghabiskan makan minum paginya itu. Berselera menikmati sarapan pagi. Terjilat-jilat tapak tangan tanpa hiraukan lelaki itu mual melihat aksinya.

“Apa lagi yang kau tau?”

Seperti biasa Jubli menggesel-gesel cuping telingan dengan bahunya. Terdiam sekejap. Dahi berkerut berfikir lagi.

“Cerita yang sama sudah aku bagitau tu. Pasal Haji Husin bincang sama Darimoh suruh jadi tukang kayu mahu bina tempat ubat. Aku lupa nama ubat tu tapi bukan klinik. Namanya satu macam juga. Ada fa.. fa.. aku lupalah nama tu,” cerita Jubli dengan penuh semangat.

“Fa? Apa yang fa?” Dia juga menggali teluk akalnya apa yang mahu dimaksudkan oleh Jubli.

Jubli menggeleng tidak tahu.

“Bukannya lepas belajar tu pergilah bekerja di hospital. Tidak perlulah berlagak pandai mahu membuka tempat perubatan di kampung itu pula. Aku ni yang layak dan berhak. Bukan mudah tau aku cuba yakinkan dan capai sampai ke tahap ini.” Baru dia berangan bakal mendapat banyak wang hasil perubatan yang dilakukannya. Muncul pula batu penghalang atas semua impiannya. Memang cari penyakit mautlah jawabnya.

“Kononnya ubat anak dia tu pakai ayat-ayat Al Quran,” tambah Jubli lagi.

“Bapa dengan anak sama saja. Kau anak beranak belum kenal aku sebenar-benarnya lagi. Sebelum ni kau datang selalu cakap aku macam-macam. Sekarang ni kau guna anak kau suruh buka tempat berubat pula? Kau cabar aku Husin? Kau belum tahu apa yang aku ada.” Tok Pawang Itam tersengih sinis.

“Tok.. Tok.. aku ada. Biar aku saja takut-takutkan anaknya, Suraya. Dia takut aku, Tok.” Jubli menawar diri. Ada sebutir dua nasi atas bibir. Makanannya juga sudah habis dijamah.

Dia menjeling sinis ke arah pembantu satu ini tiada kelebihan yang mahu dibanggakan. Selain suka menggertak dan takutkan anak-anak kecil di kampung yang selalu tidak sukakan kehadiran lelaki itu.

“Aku tahu apa yang patut aku buat. Biar aku bagi amaran kecil saja dulu. Sikit-sikit dan kecil-kecil tapi berkesan. Kau tunggu saja Husin. Aku tidak main-main dalam hal ini. Kau datang kutuk apa aku buat selama ini. Suka hati nasihat aku macamlah kau tu wali Tuhan. Kau ingat ada tiket masuk syurga. Kau tengok kalau neraka yang aku miliki mampu bagi kau hidup macam dalam syurga.”

Batinnya cukup sakit namun ditahan-tahan selama ini. Tetapi kalau sudah masuk bab kacau periuk nasinya memang dia tidak boleh berkompromi. Kau rasakan perlahan-lahan aku heret kau ke neraka.

Tiba-tiba terdengar suara seseorang memanggil-manggil dia dari luar halaman. Jubli segera bangkit dan berjalan ke serambi. Kemudian kembali berlari masuk ke dalam.

“Tok.. Lan datang.”

Dia berjalan keluar ke serambi rumah usang itu. Halaman sahaja terlihat penuh dengan dedaunan kering tidak bersapu. Semak samun banyak yang tumbuh meninggi. Barulah dia melihat keadaan sekeliling rumah yang memang di tengah hutan. Bekalan elektrik dan air tidak sampai ke kediaman itu.

“Kenapa, Lan?”

Razlan adalah anak lelaki kepada abangnya, Hambali. Dia yakin tentu soal sakit abangnya yang sengaja dijadikan lebih parah lagi. Ada benda yang dihantar olehnya agar keadaan abangnya dalam keadaan pasang surut. Dia mahu membuat keluarga itu percaya kepadanya bahawa cara pengubatannya sangat berkesan dan akhirnya sembuh. Bukan bagi sakit sampai mati pun. Memang abangnya ada darah tinggi dan sakit-sakit tertentu tetapi bila dia menanam sesuatu pada aliran darah abangnya agar organ dalaman menjadi lebih rosak.

“Tok, aku mahu bagitau yang ayah tu sudah masuk hospital. Jadi aku tidak datang lagi ambil ubat macam biasa.”

Terkejut dia mendengarnya. “Bawa ke hospital buat apa? Sudah aku cakap bapa kau tu boleh dirawat. Kau semua degil ni kenapa? Tidak percaya aku boleh sembuhkan?”

Razlan tertunduk dengan menarik nafas dalam-dalam. “Bukan begitu, Tok. Ayah tu doktor cakap memang kena kanser tahap empat sudah. Parah sudah tu. Macam mana Tok mahu rawat. Lagipun bukan aku yang bawa ayah ke KK tu tapi si Ramlah tu.”

Seolah hatinya diterajang marah. Cukup pantang kalau dia mengubat seseorang separuh-separuh. “Ah! Bukan boleh percaya doktor di hospital tu. Dia orang tu mahu duit kau saja. Macam-macamlah dia cakap. Kanserlah. Nazaklah. Biar dia boleh dapat duit kau semua tapi hasilnya ayah kau masuk ke dalam kubur juga. Kau ingat ilmu yang aku ada doktor di hospital tu boleh lawan? Kau tengoklah Lan, apa yang aku boleh buat. Kau semua tidak tahu apa kelebihan yang aku ada.”

Jubli mengangguk-angguk sokong.

“Maaf Tok. Aku balik dulu.” Razlan beredar dari situ dengan wajah monyok.

Tangannya menghempas pada pemegang serambi rumah itu. Sakit hatinya bila perkhidmatannya diremehkan begitu. Fikirnya baru sahaja mahu merancang untuk memperdaya dan bodohkan lagi keluarga abangnya. Rupanya sudah pula dibawa ke hospital Kota Kinabalu.

“Aku yakin ni mesti kerja anak Husin tu. Kerja anak bujangnya tu.” Sakit hatinya.

Ini kalau dibiarkan Suraya meneruskan niat mahu membuka pusat perubatan seperti yang dikatakan Jubli. Boleh susah hidupnya mahu cari makan. Baginya periuk nasinya selama ini kerana kepintarannya dan ilmu ketingkatan yang dia ada. Bagus kalau Suraya diberi sedikit pelajaran.

**

Kampung Long Nira

Sempadan Sabah-Sarawak

SAUDARA mara dan jiran kampung ramai yang datang bergotong royong menyiapkan juadah majlis kesyukuran itu. Suraya juga tidak putus-putus menerima ucapan tahniah dan doa dari tetamu yang berdatangan. Ucapan terima kasih terus terluah dari mulut dengan senyuman menenangkan jiwa mencernanya.

Kini dia melangkah ke fasa kerjaya yang bakal ditempuhi sebaik saja menamatkan dunia pengajiannya. Betapa dia bersyukur akhirnya mampu menggapai puncak kecemerlangan meskipun belum tentu membahagiakan hidup sepenuhnya. Terlalu banyak liku-liku hidup yang tidak terduga. Antara keinginan dan keperluan bersatu di saat muncul satu ujian di dunia ini adalah satu pengalaman yang mendewasakannya.

Seharusnya dia sudah ke Kota Kinabalu bersama dengan Hidayahtul atas tawaran yang harus dibincang bersama. Namun bapa memohon agar menanti beberapa hari lagi di kampung demi menunaikan hajat mensyukuri setiap kejayaan dengan izin Allah.

Suraya berjalan dengan membongkokkan badan cukup sopan ketika lalu di hadapan tetamu wanita yang duduk di ruang belakang dapur itu. Dia sekadar mengenakan sepasang baju kurung kain kapas kuning cair berbunga dengan tudunginstant yang sekali dikenakan tanpa dipin dan lilit tetapi sedikit labuh di dada agak sedondon warna pakaiannya.

Sentiasa memasang roman wajah manis dengan senyuman tipis tidak lekang dari garis bibir ranumnya. Sepasang mata jernih sering dipandang curi oleh hadirin kagum dengan pencapaiannya. Dia sedia maklum kalau dirinya satu-satu anak gadis dari kampung itu berjaya menjejak kaki ke menara gading di luar negara. Tidak pernah dia berasa riak atas kenyataan itu. Sikap peramahnya juga tidak lokek menyapa lembut dan bertanyakan khabar setiap tetamu yang dilihatnya sedang duduk bertimpuh di atas hamparan alas permaidani itu.

Akhirnya tertunai juga hajat bapa tatkala melihat undangan memenuhi ruang tamu itu. Matanya tidak lekang memerhati orang-orang kampung duduk bersila sambil membaca Surah Yassin, membilang zikir-zikir suci dilantunkan oleh jemaah ahli dari surau kampung itu. Sayangnya Laban Jerais tidak dapat hadir atas hal tertentu.

Menyulam untaian aksara seindah hamdalah. Memuji Sang Khalik atas nikmat yang diterima. Amal ibadah menjadi kewajipan bersama. Agar dianugerahkan kekuatan dan kesihatan biar limpahan rahmat terus mengalir. Memudahkan segala urusan dan keperluan
Meneguhkan hati dan menguatkan iman.

Hidayahtul juga duduk bertimpuh di sebelahnya sesekali memeriksa telefon bimbit di tangan. Gurau senda kadangkala kedengaran antara tetamu wanita di ruang dalam. Seketika kelihatan masing-masing mengangkat tangan bersama-sama memanjatkan doa yang diketuai oleh ketua ahli jemaah surau kampung itu.

“Amin..” Masing-masing menyapu muka. Doa selesai dibacakan. Bapa mulai bangkit dari situ diiringi adiknya Salim sudah meminta kaum wanita di dapur menyiapkan hidangan buat para tetamu lelaki itu.

“Kita bantu dekat dapur apa yang patut, Dayah.” Suraya menarik lengan Hidayahtul ke dapur sambil berjalan membongkok hormat di hadapan saudara mara yang duduk bertimpuh di ruangan itu. Ada keluarga Mak Usu yang ikut membantunya di dapur itu.

“Su, lauk-lauk semua ni aku hantar di depan sajakan?” soal Hidayahtul mengangkat dulang yang sudah diletakkan lauk pauk.

“Nanti suruh orang-orang lelaki sambut. Tidak perlu jalan masuk ke tengah-tengah jemaah surau tu.”

Kerja di dapur itu menjadi sangat mudah dan lancar tatkala keluarga Mak Cik Tijah juga ikut masuk ke dapur itu membantunya sekadar yang mampu. Bunyi hingar bingar tetamu berbicara tidak mampu didengar jelas menjadi gaung-gaung halus hingga ke ruang dapur itu. Adatlah ada para ibu sibuk mengurus ragam anak-anak kecil mereka. Anak-anak kecil yang ikut sama juga ada yang tertumpah air minuman dengan keletah mencuit hati

“Nanti Su ambil kain pengelap. Jangan dimarah budak tu. Biasalah budak-budak kecil ni,” ujar Suraya melihat anak kecil itu dimarah ibu budak itu pula.

“Kenapa tidak makan lagi Su? Semua orang di luar kita dah hidang. Tinggal kita saja ni. Ajak Dayah kamu ni juga makan,” ujar Mak Cik Bungsu merupakan adik bungsu kepada arwah emak. Biasanya sebelah keluarganya memanggil Mak Usu. Ada anak-anak menantu wanita itu juga datang membantu sama. Hanya merekalah paling dekat mampu memenuhi pelawaan itu.

“Mak Usu dan lain sekalilah jemput makan,” ajak Suraya. Mak Cik Tijah sekeluarga pun disuruh berhenti membantu. Menjamah lauk pauk majlis kesyukuran itu dahulu. Dia tidak mahu tetamu yang datang dibelakangkan.

“Makan dulu ya, kejap lagi Su datang. Dayah ambillah lauk pauk. Kita duduk sekali. Su nak ambil kain pengelap di bawah tangga ni saja.” Dia berjalan ke muka pintu dapur. Malam kelam menyambutnya sangat pekat ditemani cengkerik yang saling bersimfoni.

Ketika menuruni anak-anak tangga terasa hujan rintik tipis mungkin akan lebat bila-bila masa. “Gerimis pula ni,” detik hatinya.

Namun cepat-cepat dia berjalan ke bawah kolong mengambil kain pengelap kering dijemur bawah rumah itu. Ada tiga helai dicapainya. Mendengar derap kaki berlari tentu anak-anak kecil berkejaran di atas rumah. Suara tetamu di atas hingar bingar.

Namun sebaik sahaja dia ingin menaiki anak-anak tangga terdengar sesuatu. Bingkas dia berpaling. Terdengar ada anak kecil menangis. Suraya tersentak. Mencari punca suara itu di belakang rumah. Dia berpatah kembali. Perlahan kakinya menapak kembali tidak jadi menaiki anak-anak tangga.

Semakin dia mengintai dan mencari arah suara anak kecil menangis debaran tidak senada. Akhirnya muncul juga kelibat itu. Suraya terkejut melihat seorang wanita memangku anak kecil yang menangis bersembunyi di belakang sebatang pokok. Sebaik sahaja melihat kehadirannya jelas kelihatan wanita takut-takut ingin lari.

“Tunggu! Jangan takut.” Rintik-rintik hujan sudah tidak diendahkannya.

Mendengarnya berkata demikian sahaja wanita dalam lingkungan tiga puluhan itu, berpakaian lusuh, berselipar Jepun, mengenakan sepasang baju terusan berbunga-bunga lusuh dengan rambut keriting rambut mencecah bahu.

Suraya yakin wanita itu bukan asal dari kampung itu. Wanita itu mempunyai ciri wajah dan perwatakan seolah datang dari perkampungan sebelah. Hatinya terus menduga dan dengan tatapan terus mengamati. Tentu wanita ini dari suku Lun Bawang. Kalau di Sarawak biasa memanggilnya orang ulu sama seperti di kampung itu.

“Jangan takut. Aku ni Suraya. Kamu siapa?” Dia cuba bertutur bahasa orang ulu yang tidak berapa tahu dituturkan. Dahulu ketika dia masih bersekolah rendah lagi ada satu dua teman dari perkampungan orang ulu itu menjadi teman. Sedikit-sebanyak dia belajar bahasa mereka tetapi tidak mampu menguasainya. Hanya sekadar beberapa patah perkataan sahaja masih dingatnya.

Ui pian papu' nemu (Saya ingin bertemu kamu),” katanya agar wanita itu keluar dari belakang hutan itu.

“Jangan takut. Nama saya Suraya.Ide ye'neh? (Siapa itu)?”

“Umai,” jawab wanita itu.

Tatkala dia bersikap lembut dan cuba membuat wanita itu selesa dan selamat dengannya malah terus menapak ke arahnya. Perlahan-lahan dia menarik lengan wanita itu berteduh di bawah kolong rumah.

Anak kecil wanita dalam gendungan terus menangis seolah meluahkan rasa tidak selesa akan sesuatu. Perlahan dia mendemah dahi anak kecil yang sudah lencun dengan keringat dan dan air liur membasahi baju anak itu.

'Panas!' Dia memegang kaki anak berusia dalam lingkungan dua tahun ke bawah itu sangat sejuk.

Ngudeh iko nangi? (Kenapa kamu nangis?) Anak kakak?”

Wanita itu mengangguk. “Demam panas.” Nada suara berbaur ketakutan dan tidak yakin kepadanya.

Kemudian terdengar derap kaki menuruni anak-anak tangga ke bawah. “Su! Su!” Suara Hidayahtul memanggilnya.

Sebaik sahaja melihat Hidayatul di situ wanita tersebut cuba berundur dan menyembunyikan diri.

Bingkas Suraya menahannya. “Jangan takut. Itu teman saya.”

Riak wajah wanita itu memang jelas ketakutan. Selalunya hubungan orang-orang kampung di situ dan orang ulu hanya biasa-biasa sahaja. Meskipun ada yang masih bersikap prejudis. Dia akui masih ada di kalangan orang ulu yang berasa rendah diri bila berhadapan dengan masyarakat moden. Namun dia akui ada sebaya dengannya jauh sudah berjaya mempunyai kerjaya yang bagus.

“Su, kau buat apa tu? Lama kami tunggu di atas. Siapa tu?” soal Hidayahtul sekadar berbongkok hanya mengintainya dari anak tangga itu.

“Kejap Dayah.”

Dia berpaling kepada wanita itu.Aleg migu (Tolong jangan malu).”

Wanita itu sekadar membuai-buai tubuh anak kecilnya yang menangis. Firasatnya kuat mengatakan wanita itu sebenarnya dalam masalah. Mungkin anak kecil itu memerlukan rawatan sebaiknya.

**

Kampung Long Nira

Sempadan Sabah-Sarawak

SANAK saudara sudah beredar balik. Tinggallah mereka sahaja melakukan beberapa pekerjaan terakhir sebelum menutup pintu dapur itu. Hidayahtul mendapatkannya bertanyakan sesuatu.

“Umai tu tidur sini malam ini?” soal gadis itu.

“Hari dah lewat pun kan. Ini dah jam berapa pula dia nak berjalan seorang balik rumah. Kampung Umai tu dari sini saja ambil masa berjam lebih tu. Masakan malam-malam begini mahu reda hutan belantara yang banyak bahayanya,” ujarnya berjalan ke ruang hadapan sekadar mengintai wanita itu memberi makan anaknya. Ketara benar wanita itu memang kelaparan. Pakaian bersih pun sudah ditukar. Mujur juga Mak Cik Tijah punya pakaian kecil cucunya itu diserahkan kepada anak wanita itu.

Haji Husin sudah berjalan mendapatkannya. Dia dan Hidayahtul tidak jadi ke hadapan.

“Umai tu sebenarnya anak Laban Jerais. Bapa risau nanti keluarganya datang mencari mereka pula. Kasihan pula kalau semalaman risau menunggu Umai dan anaknya tidak balik ke rumah,” kata bapa.

“Bapa cuba telefon lagi,” cadang Suraya.

“Puas bapa telefon tidak masuk. Mungkin tiada liputan ni. Biasalah kadang ada kadang tak ada. Risau juga bapa kalau mereka semua mencari.”

Dia berfikir-fikir sejenak. “Tapi ni dah lewat bapa. Anak Umai tu demam panas. Su ingat nak bantu ubatkan anaknya tu. Sebenarnya apa yang berlaku bapa?”

Mujur salah seorang jemaah surau, menantu ketua kampung yang hadir tadi tahu berbahasa Lun Bawang bertanyakan perihal Umai membawa anaknya hingga ke situ. Bukan dekat sampai mampu jejak kaki ke belakang rumah itu. Sudahlah hujan rintik-rintik di luar bertukar kasar. Atap zink rumah seolah ditabur dengan batu-batu kelikir membingitkan suasana. Hawanya pula sangat sejuk.

“Tadi Ayob tu ada bertanya pada Umai tu. Tanya punya punya rupanya Umai tu dari rumah Pak Cik Itam kamu. Anaknya demam panas. Tapi bila sampai sana Itam pula minta pengeras yang tinggi kononnya anak Umai itu terkena teguran makhluk halus. Jadi untuk mengusir bisa badan anaknya kenalah bayar harga tertentu baru boleh berubat. Umai bawa duit tidak cukup. Bila jadi hal begitu disuruhnya balik dan datang bawa duit cukup baru boleh berubat,” cerita Haji Husin.

“Tiada duit cukup tidak boleh berubat? Mengalahkan dia tu doktor pakar,” sampuk Hidayahtul agak geram mendengarnya.

“Lepas tu Umai ke sini terus?” teka Suraya. Mereka bertiga berdiri di penjuru ruang dapur itu sesekali dia mengintai dari situ kalau-kalau Umai sudah selesai makan.

“Tidak juga. Kata Ayob dia sempat juga tahan kereta sapu kampung ni nak ke hospital pekan. Tapi duit tambang pun tidak cukup. Su kan tahu penduduk kampung bukan semua hidup senang. Laban Jerais tu pun hidup serba makan kais secukup yang ada. Sekadar alas perut dan ikat perut saja. Jadi dia berjalan kaki dan susah hati dengan keadaan anaknya. Bila dia ke kedai runcit Uncle Lee tadi beli ubat panadol untuk anaknya. Dari situlah Uncle Lee cerita tentang Su yang mungkin tahu ubatkan sakit anaknya. Terserempak pula Jubli beli ubat nyamuk di kedai tu terdengar lagi Uncle Lee memuji-muji pasal Su. Marah Jubli tu suruh Umai balik rumah bawa duit cukup datang berubat pada Itam saja,” sambung Haji Husin panjang lebar.

“Habis tu Pak Cik Rais dan isterinya sepatutnya tahukan kalau cucu mereka sakit. Buatlah sesuatu. Masakan dibiarkan pula sejak awal.” Dia tetap ingin tahu pokok pangkal cerita itu. Sikapnya satu ini mesti serba logik dan kena dengan sesuatu tindakan.

“Manalah kita tahu apa yang berlaku sebenarnya, Su. Mungkin juga Umai ni bawa keluar tanpa sepengetahuan mereka juga. Lagipun dengarnya mereka tu bukan duduk serumah. Tinggal dekat-dekat. Atau Umai tu tidak mahu menyusahkan orang tuanya.”

Suraya mengangguk faham gambaran cerita itu.

Semakin lebat hujan yang mengguyur turun membasahi bumi. Tangisan anak kecil Umai kedengaran kembali.. Kilat memancar diselangi bunyi guruh memecahkan langit. Tidak semena-mena bekalan elektrik terputus. Hidayahtul menjerit terkejut terus memegang erat kepada Suraya. Mujur majlis kesyukuran sudah berakhir.

“Tiada lektrik pula.” Haji Husin meraba-raba pada dinding rumah itu.

“Su cari lilin. Dayah janganlah begini. Penakut benar kau ni.”

“Memanglah. Dahlah berkilat guruh. Ni gelap pula,” balas Hidayahtul terus berpaut erat pada lengannya.

Suara tangisan anak kecil Umai terus kedengaran. Hatinya menjadi tidak sedap dan kehairanan dengan anak kecil itu seolah tidak dipujuk. Tidak juga mendengar suara Umai memujuk anak itu.

Suraya berjalan perlahan dan berhati-hati dipaut dan diekori Hidayahtul meraba-raba atas almari lauk itu. Ada sekotak lilin yang ditemuinya. Ada mancis di atas para juga digores pada pencucuh samping kotak mancis itu. Dua tin buah kosong digunakan meletakkan lilin itu.

Haji Husin sudah mendapatkan salah satunya. Dan Suraya memegang satu lilin itu sambil berjalan ke hadapan.

“Umai.. kamu di mana?” Dia bertanya dan memanggil wanita itu. Hanya tangisan anak kecil itu membingitkan lagi suasana dalam rumah. Hujan, kilat dan guruh saling bersatu menawan langit dan bumi namun itulah rezeki dan aturan yang ditentukanNya.

Bila dia sampai di luar itu. Hanya anak kecil wanita itu duduk menangis sambil merangkak mencari ibunya. Dia dan Hidayahtul saling berpandangan.

“Mana Umai?” soalnya kehairanan.

“Entah. Tadi bukan dia duduk makan di sinikah bagi anaknya makan? Dia ke dapur agaknya,” duga Hidayahtul.

Anak kecil itu sudah diraih oleh Hidayahtul pula. Menenangkan anak kecil itu bertingkah memberontak tidak mahu digendong oleh orang lain. Tercari-cari ibunya dengan tangisan yang meruntun hati.

“Umai! Umai!” jeritnya sudah berjalan ke serambi rumah pula. Hanya hujan di luar yang masih belum reda lagi. Tidak juga kelihatan wanita itu di sana.

Tidak semena-mena terasa satu hembusan angin asing melintas pada tengkuknya. Serta merta dia naik seram dengan keadaan itu. Meremang bulu romanya. Hatinya dipagut tidak sedap. Sesuatu asing yang tidak diundang sedang berlaku. Dia memejam mata lalu berdoa dalam hati. Membaca ayat-ayat suci Al Quran dan mencelikkan mata kembali.

Berderau darahnya tatkala melihat Umai tepat di sebelahnya. Sepasang mata galak garang merenung tajam kepadanya. Mata hitam yang sama pernah dilihatnya. Jantungnya berdegup kencang melihat wajah itu menyeringai seram. Namun sesuatu bertenggek pada atas bahu wanita itu yang membuat jantungnya hampir luruh.

Ada lembaga serba hitam besar bertenggek di atas bahu wanita itu. Suraya menekup mulut menenangkan diri namun tetap sahaja tidak mampu mengawal diri. Otaknya bekerja cepat seiring mencari kekuatan diri. Lantas dia membaca surah-surah pelindung diri.

“Kau berambus dari kampung ini! Aku benci kau! Kau kacau kawasan aku cari makan! Pergi! Pergi!” jerit Umai bersuara parau begitu lancar berbahasa melayu.

“Astagfirulahalazim!” Haji Husin berada di belakang Umai menyedari hal mistik itu hadir di waktu yang tidak tepat.

Sah! Umai dirasuk iblis laknatullah. Memaki hamun dan memarahi dirinya. Bahkan sudah bertindak melampau batas terus mencengkam bahunya. Kekuatan Umai bagaikan sepuluh orang lelaki dewasa.

“Allah!” Suraya mengerang kesakitan. Salim muncul dan melerai Umai cuba mencederakannya. Haji Husin juga terkumat-kamit membaca lalu memegang bahu wanita itu.

“Jangan ganggu periuk nasi aku! Berambus kau dari kampung ini!” Suara parau itu bagaikan diucap oleh beberapa orang dengan kasar dan garang lagi berdengung. Lehernya dicekik tidak mampu dileraikan serta merta. Matanya naik ke atas hanya memandang lembaga menyeringai dan menghilai itu terus bertenggek atas bahu Umai.

Sebaik sahaja Haji Husin melaungkan Allahu Akbar tiga kali ke telinga Umai. Bingkas Umai jatuh tidak sedarkan diri disambut oleh Salim dan membaringkannya di lantai. Hidayahtul mendukung anak kecil itu yang terus melayan tangisan mendapatkan Suraya meraih oksigen dek cekikan Umai yang mah luar biasa.

“Kau tak apa-apa?” soal Hidayahtul cemas.

Dia mengangguk ketakutan. Belum pernah lagi selama ini entiti halus yang dilihat menyerangnya secara fizikal. Ini benar-benar melampau baginya. Lembaga tadi hilang serta merta.

“Su, kamu tidak cedera?” soal bapanya risau. Mengarah Salim mengambilkan dua gelas air dari dapur.

“Jangan risau bapa. Su. Su.. baik-baik saja ni.” Dia cuba berlagak tenang walhal jiwanya bagai dilambung ombak besar.

Salim muncul segera dengan sebotol air mineral dan dua gelas cawan. Dihulur kepada Haji Husin lalu menuang pada cawan. Dibaca kalimat ayat-ayat suci pada air itu sebelum dihembus dan meminta Suraya meminumnya.

“Minum dulu. Nanti bapa uruskan Umai tu.”

Suraya membaca Bismillah.. sebelum meneguk perlahan air itu. Sementara anak kecil itu didudukkan hampir dengan Umai terus mendapatkan ibunya yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Dia yakin bukan salah Umai yang bertindak demikian. Ada seseorang yang menghantarnya kerana apa yang diucapkan Umai adalah satu amaran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.