Home Cerpen Seram/Misteri Kisah Seram Malam Jumaat - PT2 TERLARANG!
Kisah Seram Malam Jumaat - PT2 TERLARANG!
Noorfadzillah Omar
12/1/2017 11:07:50
6,301
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

DUNIA yang kita huni ini bukan hanya buat manusia semata-mata. Sesiapa pun sedia maklum ada alam lain di antara celah dan ceruk atas dunia ini yang berkongsi hidup dengan manusia. Walau di langit, darat dan laut sekali pun ada kerajaan, negeri mahu pun kampung yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar manusia.

Lalu dalam kisah nyata ini ia adalah hasil perkongsian insan terpilih melihat kejadian kewujudannya. Pada awal sejarahnya, tapak ini hanya ladang getah dan hutan yang belum diterokai lagi sehinggalah berdirinya sebuah pusat komplek beli belah di negeriSelangor Darul Ehsan. Imago Mall, namanya diubah begitu juga dengan tempat dan nama watak dalam cerita ini demi mengelak sebarang masalah.

2 hari sebelum masuk bulan baru kalendar islam.

BILIK Kawalan bahagian sekuriti, ada dua pekerjanya sedang memeriksa panel dan siaran CCTV yang menyala dengan baiknya. Sistem transmisi, seni bina sistem dan infrastruktur, spesifikasi peralatan dan sokongan berjalan dengan baik.Bagi pusat beli-belah yang bersaiz lebih besar, sudah tentu ia mempunyai lebih daripada 100 kakitangan serta bantuan polis tambahan.

Bayangkan sebuah pusat beli-belah mempunyai puluhan ribu pengunjung pada satu-satu masa dalam tempoh penghujung tahun itu. Musim perayaan dan cuti sekolah menjadikan pusat paling aktif , jadi sudah tentu anggota keselamatan amat diperlukan

Jojo, Ketua Pegawai Keselamatan di pusat beli-belah itu memantau sebanyak 20 puluh buah paparan CCTV dari bilik pusat kawalan. Pelbagai ragam pengunjung komplek dapat diperhatikan. Macam-macam karenah dan sikap dapat dilihat menerusi paparan CCTV itu.

CCTV adalah alat yang paling penting dan dapat membantu pengawasan dilakukan dengan lebih baik. Bahkan ia dijadikan bukti kepada pihak berkuasa mengikut keperluan semasa.

“Pusat ni mewakili kepada mata untuk mengawasi persekitaran dalam kompleks tu. Pentingnya CCTV bukan sekadar untuk mengenal pasti suspek jenayah kecil yang berlaku di pusat beli belah. Tapi hal-hal lain yang lebih kompleks,” ujar Jojo kepada penyelia baru itu.

Nasser adalah pekerja baru memulaikan pekerjaan di bahagian itu. Baginya, Nasser mempunyai keperluan dan sikap yang diperlukan untuk mengisi kekosongan jawatan itu. Bercakap tentang penyelia yang lepas bila meletakkan jawatan dalam masa sebulan. Dan Nasser adalah penyelia di bawahnya yang ke lapan. Tujuh penyelia bergantian dan keluar masuk sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Masih lagi kena banyak belajar daripadasenior lama seperti Jojo. Usia keduanya tidak jauh beza hanya selisih tiga tahun tua dari pekerja baru itu sebelum mencecah usia 27 tahun.

“Ada masalah?” soal Jojo, sambil mencatat sesuatu pada buku rekod sebagai rutin harian yang perlu dilakukan.

Jari Nasser menuding dan sentuh ke salah satu paparan CCTV dengan riak ragu ingin memberitahu sesuatu. “Aku perhati dari tadi, budak remaja perempuan tu berjalan seorang dari satu kedai ke kedai lain. Tapi cuba abang perhati ni betul-betul. Gaya dia macam bercakap dengan orang lain. Macam ada orang di sebelahnya. Abang Jo perasan tak? Atau aku ni..” Ayatnya tergantung.

Jojo menghala tatapannya ke paparan yang dimaksudkan oleh Nasser. Pada pengamatannya memang gadis remaja berusia dalam 18 tahun, bergaya itu seolah bersama seseorang. Sekejap ketawa sendiri. Kemudian menoleh ke kiri lagi dan bercakap-cakap. Imej itu dibesarkannya dengan satu fungsizoom pada bebola di panel tersedia. Jojo tersenyum. Hal begitu sudah menjadi kebiasaan padanya.

“Biarkanlah. Manusia banyak ragamnya. Selagi tiada kekacauan dan masalah dia buat itu dah cukup. Masa shif kau dah habiskan. Kau pergilah, kejap lagi datanglah budak-budak ganti shif tu. Tadi aku dah nampak Chai dan Acun di loker.”

“Aku balik dulu ya. Besok macam biasa.” Nasser keluar dari bilik pusat kawalan itu. Setakat ini dia suka dengan cara kerja pekerja baru itu.

Bunyi Walkie talkie memecahkan keheningan dalam bilik sentiasa menjadi latar suasana mereka. Dia kembali mengamati remaja yang dimaksudkan Nasser. Awal bangunnya pusat beli-belah itu, dia juga seperti Nasser dilanda musykil dan ragu yang menggali rasa ingin tahu.

“Nasser.. Nasser.. aku juga pernah alami situasi macam kau. Kau masih baru lagi dan akan nampak lebih dari itu tak lama lagi. Masanya akan tiba. Semua yang pernah bekerja di sini akan tahu apa yang berlaku setiap 1 hari bulan ikut kalendar islam nanti.”

Dan kerana itulah dia satu-satunya pegawai yang sekian lama bekerja di bahagian itu cukup tahu apa yang telah terjadi di tapak PT2 sehingga ke hari ini. Setiap waktu itu juga tiada siapa yang berani menjejak kaki ke situ sehinggalah waktu subuh.

Sebelum dia mengalihkan perhatian dari paparan CCTV itu ada satu kelibat manusia yang berdiri tegak di tengah-tengah laluan dalam mall itu sedang memandang ke bawah. Pakaiannya serba putih tetapi tidak ada yang menyedari kewujudannya di situ.

Semua pengunjung yang lalu ke arah jasad manusia itu mampu dilalui bersifat halimunan. Kadang ada satu dua pengunjung berpaling ke belakang kembali seolah merasai sesuai. Dan dia sudah sekian lama menjadi saksi mata apa yang ada di pusat beli-belah itu. Sudah berpuluh pekerja pengawal keselamatan danmaintenance yang berhenti hanya kerana perkara demikian.


Masuk Bulan kalendar Islam.

Semua bekerja mengikut shif yang dijadualkan. Pergantian shif dan rondaan berjalan dengan baik. Hari sudah semakin senja dan pada saat ini Jojo dan Benjy sekadar membuat pemantauan di pusat bilik kawalan.

Bekas air diteguk sekali sekadar menghilangkan dahaga. Tugas mereka sentiasa peka dan mengamati segala macam kejadian menerusi paparan CCTV. Ada tiga orang pengawal keselamatan lain membuat rutin rondaan di dalam pusat beli-belah.

“Kiranya Abang Jojo tu memang lama sangatlah kerja di sini banding kita semua ni?” soal Nasser kepada pekerjamaintenance, Benjy. Dua bahagian ini saling berkait dan sentiasa bersedia bila-bila masa sekiranya diperlukan.

“Tapi kau janganlah terkejut atau panik kalau nanti-nanti ternampak ada yang pelik di tempat ini pula.” Benjy adalah pekerja teknikal sudah dua tahun di bahagian itu.

Nasser memandang senyum kemudian berkerut dahi. “Terkejut apahal pula, Ben?”

“Biasalah, kadang-kadang ternampak sesuatu yang bersifat ghaib atau mistik.”

“Hantu?” Ikhlas benar jawapannya.

Gelak pula Benjy mendengarnya.

“Semacam begitulah tapi kadang ada yang lebih luas dari tu.”

“Alaa.. aku biasalah hal-hal begitu. Aku dulu pernah ikut tau kru-kru paranormal ni buat uji nyali di tempat-tempat angker. Setakat nampak kepala terjulur, lembaga besar hitam atau pocong melompat-lompat ni aku dah biasa.Relax Ben.. Jangan risaulah.” Ada nada riak berbaur dalam ucapannya.

Gelak Benjy mendengarnya. “Ooo begitu. Baguslah kalau biasa. Shif aku dah habis ni. Kejap lagi adastaff lain datang tu temankan kau sini. Tak silap Pak Cik Zulkifli dan Acun overnight shiftkan? Sebelum malam nanti aku nasihatkan kau jangan ke mana-mana seorang. Aku cakap serius ni.” Benjy senyum lalu keluar dari bilik kawalan itu.

Nasser tersengih. “ Nasihatkan aku jangan ke mana-mana seorang? Apahal pula dengan dia tu.”

Nasser duduk di kerusi itu sambil mengunyah gula-gula Hacks menyamankan anak tekaknya gatal akibat batuk. Salah satu paparan CCTV memaparkan tempat letak kereta di aras bawah tanah sebelah barat, PT2. Kelihatan seorang wanita Cina bergaya memimpin anak berusia 5 tahun menghala ke kenderaan. Bukan wanita itu yang menjadi tumpuannya. Badannya semakin dekat ke panel alat kawalan lalu bebola pada panel ditekan dan besarkan imej.

“Kenapa ramai sangat budak-budak dengan amoi tu?” Nasser melihat ada dalam enam budak perempuan berjubah panjang warna krim dengan seledang menutup kepala mengikut dua insan itu. Budak kecil di sebelah ibu wanita cina itu kelihatan bercakap sesuatu kepada anaknya. Seolah dalam keadaan keliru dan marah.

Bila anak kecil itu masuk ke dalam kereta di hadapan dan wanita itu juga masuk ke bahagian kerudi pemandu. Sementara enam budak yang sama pakaian seolah boria sahaja berada di luar kenderaan melambai-lambai ke arah budak cina itu juga membalasnya.

Namun dua di antara budak itu pula berada di belakang kenderaan membuat Nasser membuntang mata hampir sahaja menjerit. “Astagfirulahalazim! Dia langgarke dua budak tu?” Spontan dia bangkit dari kerusinya.

Dalam sekelip mata sahaja budak-budak itu hilang dari paparan CCTV. Nasser memisat-misat matanya. “Mana budak-budak tu?” Dia terduduk kembali. Lama memeriksa lokasi itu menerusi paparan CCTV

Muncul Pak Cik Zulkifli yang sama banyak tahun bekerja dengan Jojo sudah berusia dalam awal 50 an masuk bekerja shif tengah malam dengannya. “Pak cik, boleh tunggu sini. Aku nak ketoilet.”

Nasser bergegas ke bilik air pekerja. Semasa dia berada di dalam bilik air melepaskan hajat, ada dua pekerjamaintenance juga masuk ke dalam. Dia sekadar diam mendengar perbualan keduanya.

“Kau dah lupake yang sekarang ni dah masuk 1 hari bulan ikut kalendar islam. Macam biasalah kita tengok pasar ghaib nanti. Tapi aku kesian budak baru bawah Jojo tu mesti belum tahu lagi. Ben citer aku tadi masa katlocker, cakap besar betul budak tu. Kita bagi dia rasa apa jadi kalau tengok di CCTV nanti.” Gelak kedua rakan itu bercakap tentangnya. Tanpa menyedari pula dia mendengar semua perbualan itu sehingga keduanya keluar dari tandas.

Barulah Nasser keluar dari bilik air itu dan berjalan ke singki. Sambil membasuh tangan dia cuba mentafsirkan apa yang dimaksudkan oleh kedua pekerja itu.

“Pasar ghaib? 1 hari bulan kalendar islam. Merepek saja dia orang ni.”

Masa terus berjalan. Jam dinding menunjukkan angka menghampiri tengah malam. Tanpa disedari Nasser dan Pak Cik Zulkifli bersembang banyak hal sehinggalah paparan CCTV itu berlaku sesuatu. Tempat letak kereta aras bawah tanah, PT2 kelihatan ada banyak kereta yang baru memasuki parkir secara tiba-tiba. Datangnya tidak diketahui dari mana. Bukankah sudah sejam yang lalu tempat itu memang kosong kecuali ada beberapa kenderaan sengaja ditinggalkan dengan makluman lebih awal.

“Eh! Pak cik, apasal pula tiba-tiba banyak kereta muncul. Siapa yang bagi masuk ni? Ni dah jam 11.45 malam bukanke patut akses pintu masuk parking tu dah tutup? Macam mana tiba-tiba jadi begini?” Nasser kebingungan.

Pak Cik Zulkifli juga ternganga melihat situasi itu. “Biarkanlah. Kita pantau aras lain saja kecuali aras bawah tanah tu.”

“Eh! Mana boleh begitu pak cik. Nanti kita kena marah. Aku ni baru saja dapat kerja.” Nasser mencapaiwalkie talkie di meja memanggil petugas lain berada di aras 1 untuk memeriksa di aras bawah tanah di PT2.

“Kau gila. PT2 tu abaikan saja.” Jawapan dari petugas menerusi corong walkie talkie itu menyentapkannya.

“Abaikan saja Nasser. PT2 tu memang begitu setiap 1 hari bulan ikut kalendar islam. Kau masih baru di sini. Kalau kau nak kerja lama di sini kena biasakan dengan hal-hal begitu. PT2 tu keras. Setiap kali 1 hari bulan saja memang akan berlaku hal-hal mistik. Lama-lama kau akan faham juga”

Nasser menggeleng tidak faham. Arus paparan CCTV aras bawah tanah itu pasang surut seolah rangkaian dan arus elektrik terganggu. Tiba-tiba sahaja paparan gelap hanya di lokasi itu sahaja terputus rangkaian. Sementara paparan CCTV di aras dan sudut lain baik-baik sahaja.

“Rosakke ni?” Dia cuba memeriksa dari meja panel pelbagai fungsi tu.

“Tu perkara biasa. Tak usahlah buat apa-apa. Nanti beberapa jam dah ok tu.”

“Senang saja pak cik cakap. Kena menjawabnya aku ni,” ujarnya tidak berpuas hati.


JAM sudah menunjukkan angka 12.30 tengah malam, Jojo yang baru sahaja menonton siaran pertandingan bola sepak baru teringatkan sesuatu. “Allah! Aku lupa.”

Cepat-cepat dia mencapai telefon bimbitnya. Memeriksa aplikasi kalendar islam hari itu jatuh 1 hari bulan. Bingkas dia hubungi nombor bahagian Pusat Bilik Kawalan.

Talian berjawab. Salam berbalas.

“Pak Cik Zul keovernight shift ni?”

“Pak cik dengan Nasser tu. Kenapa, Jo?”

Dia tergaru-garu kepala. “Ada masalahke pak cik? Inikan 1 hari bulan dah. Ada apa-apa berlaku?”

“Macam biasalah. Kita yang orang lama di sini faham tapi Nasser tu bunyi macam mencabar benda tu. Pak cik tak tahulah nak kata apa. Biarkan dia alami sendiri.”

“Nasser mana?”

“Dia dah ke aras bawah tanah tu. Kalau berani cabarlah!”

“PT2?” Terkejut dia mendengar.

“Ke mana lagi kalau bukan ke sana. Pak cik dah larang. Budaknya degil. Haa! Biarkan.”

“Aku lupa betul nak ceritakan dia kalau PT2 tu jangan masuk kalau 1 hari bulan ikut kalendar islam.”

“Kadang manusia macam Nasser ni biar kena alami sendiri baru sedar. Cakap panjang lebar tidak guna. Biarkan. Kita tengok saja. Kami semua pantau dari sini. Janganlah risau sangat. Setakat ni belum ada yang mati sebab hal begini paling tidak trauma dan demam panas.”

Talian dimatikannya. Jojo terdiam sendiri. “Macam mana aku boleh lupa ceritakan hal ini pada Nasser.”


NASSER dan Kamal berjalan menuruni anak-anak tangga kecemasan menuju ke aras bawah tanah, PT2. Pintu ditarik dan terbentang luas tempat letak kereta. Dari tatapannya hanya ada beberapa buah kenderaan sahaja terparkir. “Bukanke tadi aku nampak banyak sangat kereta yang masuk. Takkan dah hilang semula.”

“Pak Zul ada cerita tak pasal PT2 ni?” soal Kamal.

“Aku tak percayalah!” Nasser menggeleng serius.

“Kau yakin ke nak ke PT2 tu? Aku.. aku ni.” Kamal ragu-ragu dengan langkah perlahan.

Nasser menoleh ke arahnya. “Kau takutke?”

Kamal menarik nafas dalam-dalam. “Bukan begitu bro. Aku ni selalu dengar juga budak-budak tu crita setiap 1 hari bulan kalendar islam PT2 jadi kawasan larangan.”

“Kau pernah nampak? Apa rupanya?”

“Memanglah tak pernah lagi tapi cerita mereka tu begitu. Bukan semua orang alami hal-hal begini.”

“Maknanya belum pernah nampak dengan mata kepala sendiri tapi prcaya bulat-bulat? Kau pun tertipu sama?” Nasser mengejeknya.

“Baik! Aku periksa alat tu sebab memang rosak.” Kamal benar-benar tercabar dengan sikapnya.

“Aku bukan jenis suka rumitkan keadaan. Ini kewajipan kita,” tegasnya sudah berjalan berani ke tengah PT2.

Mereka berdua berjalan sepanjang aras itu hanya kedengaran bunyi dengung dari segenap ceruk. Semakin mereka menghampiri lokasi litar kamera tertutup seolah dicengkam kesunyian yang mencemaskan diri. Bahkan kawasan yang dilihat dalam paparan banyak kenderaan baru masuk pula tidak pula kelihatan. Sunyi sepi PT2 dilatari dengan gaung angin menelusuri segenap bawah tanah itu.

“Mana kereta banyak-banyak yang aku nampak tadi? Bukan di sinike?” Nasser bercekak pinggang. Memandang sekeliling.

“Aku tak sedap hatilah. Kau sendiri nampakkan?” Kamal bercakap separuh berbisik danmemujuknya balik.

“Kau kena periksa dulu kamera tu apasal tiba-tiba gelap. Akukan ada temankan kau.”

Kamal mendengus. Tidak jauh dari tempat mereka ada sebuah stor yang dikhas untuk meletakkan barang-barang keperluan pekerja teknikal. Kamal yang sedia ada kunci stor bersebelahan lif bawah tanah itu mengusung tangga lipat ke tembok itu. Disandarkannya lalu menaiki anak-anak tangga untuk memeriksa kamera pada penjuru PT2.

Sementara Nasser sekadar memandang sekeliling dengan cota danwalkie talkie tersangkut pada pinggang, ada lampu picit di tangan. Dari ekor mata dia seolah melihat ada lintasan bergerak pantas. Bingkas dia menoleh namun tiada apa di sana. Telinganya mulai mendengar sekumpulan budak-budak berlari dan bergelak riang. Pantas dia menoleh lagi.

Kali iniscrewdriver dari tangan Kamal terjatuh. Nasser meneguk air liur bingung. Dia cepat-cepat berjalan mencapai alat itu dan hulur kembali kepada pekerjamaintenance itu.

“Kau dengar tu?” soal Kamal separuh berbisik.

“Nanti aku pergi periksa.”

“Jangan! Tunggu aku di sini. Jangan sesekali tinggalkan aku. Aku cakap serius ni.” Kamal memasang riak tegas.

Kali ini bunyi seruling sayup-sayup kedengaran di aras itu. Nasser bercekak pinggang tanpa mampu memberikan perhatian kepada Kamal kini terpancing dengan macam-macam bunyi yang ada. Kamal langsung tidak endahkannya. Cepat selesaikan tugas maka cepatlah beredar dari situ.

“Hoi! Siapa tu!” jerit Nasser.

“Nasser! Kau gilake?” Kamal masih berada pada atas tangga tingkat itu.

SEMENTARA Pak Cik Zulkifli dan Acun pula masih memantau di hadapan dua puluh buah paparan skrin CCTV. Salah satunya skrin masih gelap menanti Kamal memperbaikinya.

“Degil Nasser tu. Aku dah cakap jangan pergi. Tunggu esok lepas subuh baikilah. Tak makan nasihat.” Pak Cik Zulkifli bergumam kesal.

“Harap-harap dia orang okay saja.” Acun yang terlambat masuk shif baru sampai mengetahuinya.

Tiba-tiba suarawalkie talkie dari corong atas meja panel milik pak Cik Zulkifli berbunyi. Bunyi kresek.. kresek itu dilatari dengan alunan seruling dan hingar bingar yang bising. Suara Kamal di corongwalkie talkie bertanyakan sesuatu.

Tiba-tiba paparan CCTV gelap tadi pasang surut tandanya rangkaian bila-bila masa akan pulih. Namun sebaik sahaja rangkaian kembali seperti biasa Pak Cik Zulkifli dan Acun terkejut melihat paparan itu.

Kelihatan Nasser di hadapan CCTV sedang bercakap diwalkie talkie.

“CCTV aras bawah tanah, PT2 sudah pulih ke?” Nasser bertanya menerusi walkie talkienya.

Acun memandang ke arah Pak Cik Zulkifli dengan riak ketakutan. “Suruh.. suruh Kamal dan Nasser balik.” Suara Acun bagaikan separuh berbisik.

Pak Cik Zulkifli menelan air liur. Dari sudut paparan CCTV itu bukan Kamal dan Nasser sahaja ada di sana. Ada ramai penghuni halus berdiri sedang memandang Kamal dan Nasser di situ. Semua berpakaian sama serba krim susu. Berbusana ala melayu zaman dulu. Namun yang kecut perut ialah wajah mereka rata. Tiada muka. Hanya berdiri tegak dan dekat sedang memandang Nasser dan Kamal.

“Pak cik!” Acun menyedarkannya.

Tergugup-gagap Pak Cik Zulkifli sudah mencapatwalkie Talkie itu. “Kamal. CCTV PT2 dah pulih. Kamu berdua balik segera.”


KALAU dah okay kita baliklah,” ujar Nasser. Dia sekadar memerhati Kamal sudah turun dari tangga tingkat.

“Peliklah, sambungan pada kabel elok saja.Connector pada kabel tak pula berkarat, okay pun. Aku periksa pakaimultitester pun baik-baik. Tiba-tiba dah pulih.” Kamal turun dari anak tangga itu.

Tiba-tiba Nasser terbau harum macam kasturi tapi bukan juga kasturi. 'Harum!'

Dengung enjin kenderaan dari di sebelah lorong itu bagaikan ada berpuluh kenderaan yang baru datang. Suara kanak-kanak gelak dan berlarian kembali muncul. Alunan seruling selang seli kedengaran. Dari tempatnya berdiri ada satu susuk berdiri tidak jauh dari tembok dalam jarak 100 meter sahaja. Betul-betul di tengah laluan kereta. Tubuh yang tingginya dalam lebih enam kaki itu berjubah serba krim susu denganburdah(syal) usang yg melilit di lehernya. Ada kain serban menutup kepala. Tertunduk ke bawah.

“Hoi! Siapa tu?” tegur Nasser kasar.

“Jangan tegur. Tolong dengar nasihat aku.” Kamal mengelap keringat pada dahi.

“Eh! Kau tak nampak tu. Tiba-tiba ada ulamak mana pula berdiri tengah parking ni.”

Kamal berundur setapak. Nasser baru melangkah ke hadapan setapak.

Bila susuk itu mulai bergerak ke sebalik tiang dan hilang serta-merta. Bingkas tercegat mati keduanya menyaksikannya. Kali ini tatapannya dengan Kamal seolah sedang bertelepati. Tubuh masing-masing kaku dan ketakutan. Namun Kamal terlebih dahulu mengangkat kaki dan berlari meninggalkannya. “Lari!”

Nasser juga tidak berfikir panjang terus mengejar larian Kamal. Berdebar-debar dengan keliru situasi yang baru dialaminya. Namun sampai di pintu masuk tangga kecemasan pula Kamal seolah tiada daya menolaknya.

“Mari aku bantu.” Dengan sekuat tenaga akhirnya pintu itu mampu ditolak. Bagaikan lompat kijang keduanya menaiki anak-anak tangga sampailah ke pintu masuk menghala tingkat pengurusan.

Keduanya berlari-lari anak dengan batuk-batuk yang terus diluahkan. Merah padam muka masing-masing. Akhirnya tombol pintu dipulas dan bergabung dengan Pak Cik Zulkifli dan Acun.

“Syukurlah kau berdua selamat.” Pak Cik Zulkifli pula naik takut.

“Kenapa pula pak cik?” Sampai ke tahap ini dia masih keliru dengan situasi di bawah tanah tadi.

Acun terketar-ketar menuding jari ke paparan CCTV. “Kau tengok sendiri dan fahamkan apasal PT2 tu keras setiap 1 hari bulan islam.”

Bila dia mengamatinya lebih dekat, matanya membuntang luas. Pemandangan di lokasi kamera bermasalah tadi tidak seperti yang dilihat dengan mata kepalanya. Tetapi sekarang ini dia melihat begitu ramai manusia yang berpakaian serba sama dan sibuk dengan satu sama lain. Seolah satu pertemuan atau keraian yang sedang dilakukannya. Ada sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan berkopiah putih dan selendang bermain dengan riang. Lelaki pula berjubah dan serban serba putih susu. Namun wajah-wajah mereka tidak kelihatan.

“Mana datangnya mereka ni? Apa ni?” Dia keliru.

“Tu dari tempat yang kau dan Kamal pergi tadi. Sejak kau berdua di sana lagi mereka semua ada di sana juga. Perhati kau berdua. Buat kerja”

“Gila! Apasal tak cakap?” Kamal terkejut.

“Kalau aku cakap masa tu juga pengsan nanti di sana. Kau nak mereka angkat kau bawa balik ke alam mereka?”

Kamal menggeleng. Beristighfar berkali-kali. “Sumpah! Lepas ni aku tidak ke sana lagi bila 1 hari bulan.”

Nasser masih kaku di hadapan paparan CCTV itu. Ada yang membawa kenderaan mewah. Ada yang datang keluar masuk melalui pintu masuk utama dalam komplek. Lalu barulah dia melihat pada paparan CCTV lain begitu ramai manusia yang sama begitu sedang mengunjungi dalam komplek itu dari satu kedai ke kedai lain. Seolah tiada satu kedai yang dikunci dan sesuka hati keluar masuk.

“Siapa mereka ni, pak cik?”

“Mungkin kau pernah dengar apa tu orang bunian. Mereka kelihatan serupa macam kita walau tidak serupa. Dan setiap 1 hari bulan ikut kalendar islam saja kami akan biarkan aktviti orang bunian ini begitu sampailah subuh esok.”

“Bu.. bu.. bunian?” Nasser hampir tersedak. Seumur hidup inilah pengalaman luar biasa dia mampu lihat. Bukankah dengarnya mereka terpilih sahaja mampu melihat makhluk-makhluk halus ini.

“Sejak bila?” soalnya.

“Sejak komplek ini dibangunkan. Dan ada kisah di sebalik sejarah penubuhan kompleks ini yang bukan semua orang tahu.”

“Macam mana tu?”

“Kalau kau mahu kerja lama di sini. Kau kena tahu pantang larang di tempat ini. Satu-satu orang yang banyak tahu sejarah dan kisah tempat ini adalah Jojo. Kau boleh tanya dia.”

Nasser terpempan. Tubuhnya tiba-tiba berasa longlai bila mengetahui kenyataan itu. Patutlah tengkuknya seram sejuk sahaja. Rupanya di sekelilingnya tadi pagaikan satu kampung bersamanya. Dengan orang bunian.

 P/S : Kisah ini akan dicetak versi penuh lebih padat dan akan datang. Terima kasih kerana sudi membaca.













Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.