3,718
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 2

PUAN WATIE terus bersiap untuk ke pekan apabila menerima panggilan telefon daripada Fasha. Anaknya sudah bank in duit ke dalam akaunnya. Bergegas dia ke kereta. Dia memandu menuju ke pekan. Setelah mengeluarkan kesemua duit itu, dia pandu kereta menuju ke pusat beli-belah. Mahu berbelanja barang yang dia impikan.

Masuk bangunan pusat beli-belah itu, Puan Watie tersenyum lebar. Satu demi satu kedai dimasuki. Ada saja yang dibeli daripada kedai itu. Pakaian, beg tangan, minyak wangi dan sebagainya. Membeli-belah tidak ingat dunia. Pesanan yang dititipkan oleh Fasha semalam juga sudah dilupakan. Dia hanyut di syurga dunia itu.

Telefon berdering. Langkah Puan Watie terus mati. Lekas dia menyeluk beg tangannya. Telefon bimbit ditarik keluar. Terpamer nama Fasha di layar skrin. Dia serta-merta mendengus.

“Dia nak apa?” bentak Puan Watie.

Namun dia tetap jawab panggilan itu. Bukan apa, dia haruslah berlakon di hadapan anaknya itu. Konon-konon tidak akan menghabiskan wang yang baru sahaja dibank in Fasha. Manusia kan penuh dengan tipu helah.

“Hmm… kau nak apa?” soal Puan Watie seusai menjawab panggilan itu. Kasar suaranya.

“Mak sihat?” soal Fasha.

“Sihat,” jawab Puan Watie sepatah.

“Fasha ada bank in duit dalam akaun bank mak pagi tadi. Mak dah dapat?” balas Fasha.

“Kau ingat aku ni mata duitan ke? Ada ke patut tanya aku soalan sebodoh tu? Pagi-pagi buta nak pergi bank semata-mata nak cek sama ada aku dah dapat atau belum. Kau yang bank in ke akaun aku kan? Takkanlah keluar nama orang lain pula?” Padahal sudah hampir separuh Puan Watie guna duit itu.

“Fasha tanya saja, mak. Salah ke?” Fasha bela diri.

“Salah! Sebab tanya soalan bebal macam tu, buat apa?” tengking Puan Watie garang.

Fasha diam. Tidak mahu memanjangkan pergaduhan mereka.

“Kau dah habis cakap?” Puan Watie serta-merta bersuara.

Fasha melepaskan keluhan.

“Sebenarnya, Fasha…”

“Dah? Okey, aku matikan talian. Aku nak pergi masak. Aku lapar. Daripada aku melayan anak tak guna macam kau ni, lebih baik aku pergi mencekik.” Puan Watie memotong percakapan Fasha.

“Mak!” marah Fasha.

Tutt, talian terus dimatikan. Telefon bimbit disumbat ke dalam beg tangan. Puan Watie tergelak. Fasha mudah ditipu hidup-hidup oleh dia. Ah, buang masa saja dia fikir perihal Fasha. Lantas, dia mengorak masuk di dalam sebuah gedung pakaian. Tidak puas shopping lagi.


---------------------------------------------------------


PUKUL 11.40, SHAHIR melepaskan anak-anak muridnya untuk pulang. Kanak-kanak itu jalan di dalam keadaan berbaris melalui laluan kaki lima bangunan dewan makan menuju ke pondok di belakang dapur prasekolah. Shahir mengetuai di bahagian hadapan. Manakala Kak Leha pula membuntuti daripada belakang.

Tiba di pondok, Kak Leha mengarah kanak-kanak itu untuk duduk dan menunggu kedatangan ibu bapa, van sekolah dan pengasuh taska. Mula-mula mereka tidak mahu dengar kata. Dek takut jelingan tajam Shahir, mereka pun duduk di kerusi yang tersedia di pondok itu. Shahir dan Kak Leha mengambil tempat duduk berhadapan dengan laluan keluar masuk pagar kecil. Raihal, anak murid Shahir mendekatinya untuk belajar kad suku kata. Shahir terus melayan anak muridnya itu.

Suasana hiruk-pikuk kedengaran memenuhi suasana. Tidak kurang juga dengan kehadiran murid arus perdana sesi petang yang baru tiba di sekolah. Bahkan ada yang bermain kejar-kejar di sekeliling pondok. Sesekali Shahir menegur apabila melihat mereka bergaduh. Setelah ditegur Shahir, mereka pun bersurai dan bermain di tempat lain pula.

“Shahir?” panggil Kak Leha.

Shahir yang sedang ralit melayan anak muridnya membaca kad suku kata yang diberi sewaktu di dalam kelas, tersentak mendengar teguran Kak Leha. Sempat dia mengarah kanak-kanak lelaki itu untuk baca sendiri sebelum memandang Kak Leha.

“Ya, kak?” balas Shahir.

“Tu…” Bibir Kak Leha terjuih ke arah pagar.

“Apa?” Berkerut dahi Shahir.

“Wanie, peminat Shahir tengah jalan ke arah kita,” beritahu Kak Leha.

Shahir kalih pandangan ke pintu pagar. Buntang matanya melihat seorang gadis gempal berkulit cerah yang sedang mendekati mereka. Gulp, dia teguk liur. Aduh. Lain yang dia kejar, lain pula yang mengejar dia.  

“Alamak akak, Shahir nak lari, boleh?” pinta Shahir.

“Tak sempat, Shahir,” perli Kak Leha.

“Hai, Cikgu Shahir?” Wanie tersengih-sengih dan tersipu malu memandang Shahir.

“Hai.” Terpaksa Shahir melayan walaupun hati tidak rela.

Kak Leha di sebelahnya hanya memerhati gelagat Wanie yang terliuk-liuk manja di hadapan Shahir. Susah juga jadi orang kacak ni, fikirnya.

Kelihatan Raihal memasukkan kad suku kata itu ke dalam beg sekolah. Lalu bangun dan menghampiri Wanie. Tangan Wanie dipegang. Wanie tidak peduli kehadiran adiknya itu. Dia lebih tertarik dengan Shahir sebenarnya.

“Err… Nah, bekal untuk Cikgu Shahir. Wanie masak lebih masak lemak pucuk paku tadi. Wanie bekalkan nasi sekali di dalam bekal tu. Nanti Cikgu Shahir makan tau.” Wanie menyua plastik berisi bekal makanan kepada Shahir.

Shahir mengukirkan senyuman sinis. Dia tenung bekal yang masih di tangan Wanie.

“Saya tak makan rasuah, Wanie,” sindir Shahir.

Mujur tawa Kak Leha tidak lepas. Dia pandang muka Wanie. Terus kelat muka bulat itu. Terasa hati dengan kata-kata Shahir kot.

“Wanie tak ada niat nak rasuah Cikgu Shahir. Wanie suka Cikgu Shahir. Wanie buat semua ni sebab Wanie ikhlas mahukan Cikgu Shahir,” bentak Wanie.

Shahir pandang ke arah lain.

“Saya tak pernah suruh awak buat benda gila ni untuk saya. Saya dah cakap dulu. Saya tak ada apa-apa perasaan pada awak. Awak kakak kepada Raihal, anak murid saya. Setakat itu saja hubungan kita.” Penjelasan macam mana lagi yang Shahir harus beri pada Wanie supaya mengerti? Bebal betul.

“Tak boleh ke kalau Cikgu Shahir beri peluang pada saya?” Wanie raih perhatian Shahir.

“Saya tak sukakan awak. Macam mana saya nak beri peluang tu pada awak?” bidas Shahir. Lurus dan tidak belok. Berkata benar mengenai perasaannya.

Wanie terkesima. Dia seperti hendak mahu menangis saja.

“Cikgu Shahir, saya…”

“Awak bagi bekal tu pada Kak Leha saja. Saya bukan tolak rezeki, cuma tak nak termakan budi. Maaf, saya tak terima,” potong Shahir tanpa memandang muka Wanie.

“Argh!” Wanie hentak kaki lalu mengheret Raihal keluar dari kawasan sekolah. Bekal yang mahu diberi kepada Shahir turut dibawa bersamanya.

Sebaik Wanie dan Raihal hilang daripada pandangan mata, Shahir picit dahi. Kak Leha jadi kasihan apabila melihat Shahir.

“Shahir okey ke?” tegur Kak Leha.

Shahir angkat muka memandang Kak Leha. Dia angguk sebagai jawapan.

Kak Leha tepuk bahu Shahir.

“Sabarlah, Shahir. Anggap ni semua dugaan Shahir.” Hanya itu yang mampu Kak Leha kata.

Shahir tersenyum hambar.

“Biarlah, kak. Malas Shahir nak fikir. Dia yang jatuh cinta pada Shahir. Shahir bukan ada magik yang boleh padam perasaan dia. Suatu hari dia akan faham keputusan Shahir,” balas Shahir dengan positif.

“Pandai adik akak,” puji Kak Leha.


--------------------------------------------------------


BALIK dari sekolah, Shahir singgah di kedai dobi untuk berjumpa Fasha. Dia segera menghampiri Fasha yang sedang baca surat khabar di kaunter. Tiba di situ, dia tekan loceng. Fasha bangun lalu ukir senyuman di bibir. Bila melihat Shahir, senyumannya mati. Dia fikirkan pelanggan tadi, rupa-rupanya mamat langau ini. 

“Hai Fasha, buah hati pengarang jantung Shahir.” Shahir mempamer senyuman manis. 

“Hee geli saya dengar.” Fasha mencemik.

Shahir tarik kerusi lalu letak di sebelah Fasha. Dia duduk di situ lalu tenung muka Fasha dengan penuh minat. Fasha jadi tidak senang duduk bila melihat tingkah Shahir. Lekas dia jarakkan bangkunya daripada Shahir.

 “Semalam saya cari awak di kedai. Awak tak ada. Awak pergi mana?” soal Shahir. 

“Pergi cari pak we.” Dengan harapan, jawapan itu akan buat Shahir mengundurkan diri dan tidak mengganggu hidup Fasha lagi. 

Terkedu Shahir. Namun dia tidak cepat melatah. Dia bagaikan terbau sesuatu di sebalik ayat itu. 

“Siapa lebih kacak, saya atau dia?” serkap Shahir. 

“Err…” Fasha garu kepala. Tulah. Tipu dia lagi. 

“Ala, saya tahu awak bohong. Awak belum ada boyfriend lagi. Orang yang gila kejar duit macam awak mana pernah fikir tentang cinta. Awak sengaja cakap macam itu sebab nak elak daripada saya kan?” sindir Shahir apabila Fasha gagal memberikan jawapan pada soalannya itu. 

Fasha mendengus. Aduh, terkena dia! 

“Hisy! Kenapa datang sini? Menyibuk saja.” Dia mengerling ke arah tangan Shahir. 

“Nak kata hantar baju, tapi tak nampak apa-apa plastik di tangan awak,” tambahnya. 

Shahir tersenyum. 

“Saya datang bukan untuk hantar baju. Tapi untuk mengorat awak.” Shahir kenyit mata ke arah Fasha. 

Bulat mata Fasha. 

“Gila! Dahlah, saya nak pergi belakang. Ada kerja. Tunggulah seoang diri di sini ya? Siapa suruh tayang muka di kedai dobi saya ni?”

Fasha bangun, bersedia untuk melangkah meninggalkan Shahir. 

“Eh, sekejaplah!” Shahir lekas menghalang. 

Fasha mendengus. 

“Awak faham bahasa tak? Saya nak buat kerjalah!” marah Fasha. 

“Awak dah baca surat yang saya kirim melalui Kak Leen semalam?” Shahir buat tidak tahu dengan amarah Fasha. 

“Surat apa?” Serius, Fasha langsung tidak tahu apa yang Shahir maksudkan itu. Maklumlah, kehadiran Shahir bukan penting bagi dia. Jadi, dia rasa tidak perlu untuk mengingat semua perkara yang melibatkan Shahir. 

“Lupalah tu,” bentak Shahir. 

“Memang pun.” Fasha tambah sakit di hati Shahir. 

“Saya nak ajak awak pergi dating. Untuk sempurnakan hajat saya yang satu itu, apa kata kalau kita pergi makan tengah hari?” ajak Shahir beriya-iya. 

“Saya kenyang.” Padahal, perut Fasha sudah berkeroncong lapar. Saja dia beri alasan itu. 

“Saya tahu awak belum makan lagi,” tebak Shahir. 

Fasha berdecit. 

“Kalau rasa nak melantak sampai pecah perut, pergi sajalah! Tak perlu ajak saya! Pandailah saya cari makanan sendiri nanti,” bebel Fasha. 

Dalam pada masa yang sama, Kak Leen yang baru sahaja keluar dari belakang terus menerkam ke arah mereka. 

“Kenapa bising-bising ni? Suara kamu berdua boleh dengar sampai dalam tau,” soal Kak Leen hairan. 

“Fasha ni haa. Tadi cakap lapar. Bila Shahir ajak dia pergi lunch, dia terus tolak. Shahir bukan apa, Shahir takut Fasha diserang apa-apa penyakit. Tapi degil dan tak nak dengar kata orang. Tidak endah kesihatan diri.” Bijak Shahir memainkan peranan sebelum sempat Fasha reka ayat tipu helah.

Terjegil mata Fasha. 

“Eh, main wayang pulak?” bidas Fasha. 

“Main wayang apa?” sindir Shahir pula. 

“Kan saya dah cakap yang saya tak nak ikut!” bentak Fasha. 

“Kalau awak jatuh sakit, macam mana?” Shahir pusing ayat Fasha. 

“Eh, awak susah apa? Pandailah saya jaga diri!” tengking Fasha. 

“Mestilah saya risau! Awak kan buah hati saya.” Ada sahaja jawapan Shahir. 

“Awak…” 

“Sudah!” celah Kak Leen tiba-tiba. 

Mereka termati kata. 

Kak Leen toleh memandang muka Fasha. 

“Pergilah ikut Shahir. Fasha kan belum jamah apa-apa lagi,” pujuk Kak Leen. 

Shahir tersenyum menang bila Kak Leen berpihak padanya. 

“Akak, Fasha…” 

“Jangan bantah arahan akak!” tegas Kak Leen. 

Mahu tidak mahu, Fasha terpaksa mengalah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.