3,723
Kategori:
Genre:
Senarai Bab
Bab 1

LENA Fasha terganggu apabila telefon bimbitnya berdering tanda ada panggilan masuk. Dengan mata yang kabur, dia meraba-raba meja di sebelah katil. Terasa tengah pegang sesuatu, dia segera ambil. Dia mencelik mata. Melihat nama siapa yang tunak di skrin. Nama mak, Puan Watie. Dia terus bangun. Hilang terus rasa kantuknya.

“Assalamualaikum, mak.” Sebenarnya, Fasha tidak sebulu dengan Puan Watie. Tetapi dia sebolehnya berusaha jaga hubungan kekeluargaan ini.

“Aku nak duit. RM1000.” Puan Watie tidak jawab salam Fasha.

Fasha tergamam. 

“Mak telefon Fasha semata-mata untuk minta duit? Mak nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” soal Fasha.

“Bayar hutang,” balas Puan Watie.

“Mak beli barang kemas lagi ke?” Fasha penat kerja siang dan malam. Puan Watie pula tahu habiskan duit saja. Dia bukan berkira dengan Puan Watie. Tapi kalau dah selalu minta duit, kayaplah dia!

Puan Watie mendengus.

“Aku ni mak kandung kau. Dah jadi tanggungjawab kau sara hidup aku. Kau dah lupa dengan amanat ayah kau yang suruh jaga aku dulu? Aku ni tak ada anak lain. Kau seorang saja anak aku,” bentak Puan Watie.

“Fasha bukan tak nak bagi, tapi…” Fasha serba salah. Puan Watie memang pandai guna ayat yang boleh lenturkan kekerasan hatinya.

“Tak payah bagilah! Kau memang anak tak guna satu sen pun. Dari dulu lagi. Sia-sia kami bela kau, dasar anak tak kenang budi!” tengking Puan Watie.

Mak!” marah Fasha.

Puan Watie ketawa di hujung talian.

“Tak betul ke cakap aku ni?” sindir Puan Watie.

Fasha melepaskan keluhan.

“Okey, Fasha bank in RM1000 pada mak pagi esok. Tapi mak jimat-cermatlah guna duit tu. Fasha kerja keras untuk kesenangan kita. Fasha pun ada cita-cita dan impian Fasha. Fasha harap mak faham.” Fasha akhirnya mengalah. Kalau apa isu yang berkaitan dengan mak, dia memang tidak mampu menolak.

“Bagus… bagus…” Lain pula yang terbit daripada bibir Puan Watie.

Fasha tersenyum hambar. Seperti biasa, Puan Watie hanya buat pekak telinga saja. Biarlah, dia sanggup buat apa saja demi kebahagian mak. Talian diputuskan. Dia sambung tidur balik.


----------------------------------------------------------


KOMPUTER RIBA dihidupkan. Video The Phonics Song yang baru dimuat turun semalam dibuka. Butang pause ditekan. Lalu dia bangun dan pergi ke ruang mengajar.

“Okey, line up!” arah Shahir.

Shahir berdiri di hadapan sambil memerhati anak-anak muridnya mengambil tempat masing-masing di dalam barisan. Setelah memastikan tiada yang berbual atau bergerak, Shahir menyuruh mereka duduk dan meletakkan satu jari di bibir. Shahir duduk di atas kerusi lalu memusingkan laptop ke arah kanak-kanak itu.

“Siapa nak cikgu ajar sampai jadi pandai? Angkat tangan!” Shahir menceriakan rona wajahnya lalu tersenyum manis. Hendak menarik perhatian mereka di dalam pelajaran.

Berebut-rebut kanak-kanak itu mengangkat tangan.

Shahir menepuk tangan sebanyak sekali, lalu menegakkan tubuhnya.

“Hari ni cikgu nak ajar sesuatu yang sangat seronok. Siap ada lagu lagi tau. Kamu semua mesti suka! Haa nak dengar tak?” Shahir mendekatkan tubuhnya ke tubuh mereka.

“Nak, Cikgu Shahir!” Serentak mereka membalas.

“Today, we will learn about sound of alphabet in English. Maksudnya, cikgu akan ajar sebut bunyi yang betul untuk huruf ABC sehingga Z.” Shahir menekan punat play. Lagu kanak-kanak mula memenuhi suasana.

“Cikgu nak kamu dengar bunyinya betul-betul. Sebut sama-sama. Ikut cikgu ya?” arah Shahir.

“A is for apple. ‘Ei’ ‘Ei’ ‘Ei’ apple. B is for ball. ‘Be’ ‘Be’ ‘Be’ ball. C is for cake. ‘Ke’ ‘Ke’ ‘Ke’ cake. D is for dance. ‘De’ ‘De’ ‘De’ dance.”

Shahir dan anak-anak muridnya menyanyi mengikut rentak alunan dan menyebut bunyi fonik, sambil menghayun kepala ke kiri dan kanan, serta bertepuk tangan. Begitu kuat nada suara kanak-kanak itu yang bersemangat mempraktik apa yang diajari oleh Shahir.

“Y is for yellow. ‘Wai’ ‘Wai’ ‘Wai’ yellow. Z is for zebra. ‘Zi’ ‘Zi’ ‘Zi’ zebra.”

Mereka saling bertepuk tangan setelah lagu itu tamat. Lekas Shahir tekan punat pause.

“Hmm, kita main satu permainan, nak? Permainannya senang saja. Cikgu sebut huruf, kamu semua bunyikan sebutannya. Boleh?” Shahir memerhati seorang demi seorang anak-anak muridnya itu.

Laju kanak-kanak itu angguk.

“M.” Shahir sebut huruf secara random.

“M is for monkey. ‘Em’ ‘Em’ ‘Em’ monkey,” jawab anak-anak muridnya.

“F.”

“F is for fish. ‘Feh’ ‘Feh’ ‘Feh’ fish.”

“Bagus,” puji Shahir. Lalu memberi lembaran kerja yang memerlukan murid-murid mengisi huruf di ruang kosong berdasarkan gambar yang diberikan itu. Setelah menerangkan apa yang perlu mereka lakukan, dia mengarahkan mereka duduk di tempat masing-masing dan menyiapkan kerja.

Shahir pandang skrin laptop. Terpamer huruf F di laman sesawang YouTube. Bayangan Fasha menerkam ingatannya. Dia mula tersenyum. Mula mendapat idea daripada dua puluh enam huruf ABC itu. Aduh, mengapa daripada dahulu lagi tidak terfikirkan cara itu? Laptop ditutup lalu bangun. Sempat dia menitipkan pesanan buat mereka supaya menjaga tingkah laku sebelum bergegas ke dapur prasekolah.


------------------------------------------------------------------


SEPERTI yang dijanjikan, Fasha ke CIMB Bank untuk bank in duit ke dalam akaun mak. Selagi dia tak bank in, selagi tulah mak akan WhatsApp dia tanpa henti. Jenuh dia nak balas satu per satu. Mak fikir, rumah dia berdekatan dengan pekan kot. Mujurlah ada motor kapcai. Dapatlah dia merempit ke pekan. Selesai urusan, Fasha bonceng motor pergi ke kedai dobi. Sempat dia singgah di kedai mamak. Beli roti sardin, milo ais dan teh O ais.

Fasha masuk ke dalam lalu menghampiri Kak Leen.

“Akak?” jerkah Fasha.

Tegak tubuh Kak Leen. Apabila melihat Fasha yang sudah tertawa di hadapannya itu, Kak Leen mendengus geram. Dia cekak pinggang.

“Tak reti bagi salam dulu ke?” marah Kak Leen.

Fasha sengih.

Kak Leen hanya mampu menggeleng melihat tingkah nakal Fasha.

“Nah.” Fasha meletak bungkusan makanan di atas meja.

“Jom makan. Fasha laparlah,” Fasha mengusap perutnya yang sudah dendang lagu lapar.

Kak Leen tersenyum, lalu mengangguk.

Mereka bangun lalu beredar ke pantri. Sambil makan sarapan, mereka berbual.

“Fasha, akak nak tanya sesuatu. Akak harap Fasha tak marah.” Kak Leen memohon keizinan sebelum menyatakan soalannya.

Fasha yang tengah sedut milo ais itu angkat muka memandang Kak Leen.

“Apa dia, kak?” soal Fasha ingin tahu.

“Akak ada terdengar bebelan Fasha pagi tadi. Tentang Kak Watie yang minta duit pada Fasha lagi. Fasha bank in duit dekat dia ke?” Kak Leen bukan berniat hendak mencampuri urusan Fasha. Cuma dia berasa kasihan. Kerja penat-penat cari duit. Puan Watie pula tahu minta duit saja. Langsung tidak fikir tentang anaknya.

Fasha berubah wajah.

“Akak minta maaf kalau buat Fasha tersinggung.” Lekas Kak Leen bersuara.

Fasha tersenyum hambar. Lama-lama barulah dia angguk sebagai jawapan pada soalan Kak Leen.

“Berapa banyak?” soal Kak Leen lagi.

“RM1000,” jawab Fasha.

Kak Leen menjegil mata.

“Banyaknya. Dia nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” balas Kak Leen. Terkejut.

“Bayar hutang, katanya,” balas Fasha.

“Sampai RM1000? Hutang apa?” balas Kak Leen.

Fasha jongket bahu. Dia tiada jawapan untuk soalan itu.

“Fasha terpaksa bagi duit tu pada mak. Abah dah amanahkan mak di bawah tanggungjawab Fasha. Sebagai seorang anak, Fasha wajib tunaikan apa yang mak mahukan,” balas Fasha lemah.

Kak Leen melepaskan keluhan.

“Tapi, akak…”

“Dah. Jom kita makan. Fasha lapar ni,” Fasha sambung makan balik. Fikir masalah mak, sampai bila-bila pun tidak akan habis. Lebih baik dia mengisi perut sehingga kenyang.

Kak Leen terdiam apabila mendengar kata Fasha. Dia hanya tenung wajah Fasha bersama rasa prihatin. Kasihan Fasha. Pelbagai dugaan yang menimpa hidup dia. Namun, dia tetap tabah mengharunginya.


---------------------------------------------------


“MASAK apa tu, Kak Leha?” Shahir berjalan ke peti ais. Lalu mengambil plastik berisi buah epal hijau dan diletakkan di atas meja. Pisau dan tempat pemotong diambil. Dia mula memotong buah. Kemudian meletak ke dalam bekas bersegi empat berwarna biru.

“Nasi goreng cina. Shahir, biarlah akak saja yang potong. Tu kan kerja akak.” Kak Leha mula segan dengan tingkah Shahir.

“Ala, setakat potong buah saja. Kerja senang. Akak kan kelam kabut masak untuk budak-budak. Dahlah hari ni ada perhimpunan. Jenuh akak terkejar-kejar.” Shahir tetap meneruskan kerjanya.

“Tapi…”

“Tak salah kalau Shahir tolong kan?” potong Shahir.

Kak Leha tidak terkata. Siap masak, dia cedok nasi goreng ke dalam bekas. Lalu bawa ke tempat penyediaan makanan.

“Terima kasih tolong akak, Shahir.” Terharu rasanya Kak Leha dengan pertolongan Shahir.

“Sama-sama.” Siap potong, Shahir membasuh tangan di sinki. Lalu duduk di tempatnya semula.

“Akak, macam mana cara nak pikat hati Fasha?” Direct soalan Shahir.

“Shahir dan Fasha orang muda. Akak dah tua. Zaman kita lain. Jodoh akak dengan Abang Man ditentukan oleh famili. Jadi kami bercinta lepas kahwin,” cerita Kak Leha.

Shahir betulkan duduk. Agak berminat hendak mendengar kisah Kak Leha.

“Cuba akak bagi tips Abang Man goda akak dulu. Boleh Shahir praktikkan dekat Fasha,” balas Shahir beriya-iya.

“Haipp! Orang kahwin dengan bujang lain. Anak dara kenalah jual mahal. Si teruna kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menangi hati si dara. Macam kes akak, kami berdua tinggal sebumbung. Kalau hari-hari asyik pandang muka yang sama, mustahil tak terbit rasa cinta di hati kami,” balas Kak Leha.

Shahir garu kepala.

“Hari-hari Fasha tengok muka Shahir. Tapi kenapa dia susah nak sukakan Shahir?” soal Shahir.

Kak Leha cuit hujung hidung mancung Shahir.

“Tu tandanya usaha Shahir masih belum cukup lagi. Tadi semasa di perhimpunan, Shahir ada cakap yang Fasha dah curi hati Shahir kan? Jadi Shahir kena usaha lebih untuk curi hati Fasha pula. Tak adillah hati Shahir ada pada dia seorang saja. Tamak Fasha tu. Hati dia tak nak serah pada Shahir. Hati Shahir pula yang dia curi,” tukas Kak Leen.

Shahir ketawa.

“Sebab dia tamaklah, Shahir nak rampas hati dia,” tegas Shahir.

Kak Leha mendekatkan mukanya ke muka Shahir.

“Macam mana Shahir nak buat?” cabar Kak Leha.

Shahir menarik muncung.

“Shahir tanya pendapat akak. Akak tanya Shahir balik. Tak boleh tolong tau,” bebel Shahir.

“Dah akak tak tahu nak tolong macam mana.” Kak Leha mula menyenduk nasi goreng ke dalam manguk. Lalu susun di atas tempat penyedian makanan.

Tatkala teringat aktiviti yang dilakukan bersama anak-anak muridnya tadi, Shahir semerta menghentak meja.

“Akak?” jerkah Shahir.

Terlepas senduk dari tangan Kak Leha. Dia angkat muka lalu merenung geram Shahir.

“Buat akak terkejut saja,” marah Kak Leha.

“Sebenarnya, Shahir dah ada idea nak pikat hati Fasha.” Shahir tidak peduli bebelan Kak Leha.

“Cara apa?” Kak Leha tercengang.

“Adalah.” Shahir tersenyum lalu kenyit mata.

“Hisy, baik tak payah bagitahu!” bebel Kak Leen.

Shahir bangun.

“Okeylah, Shahir nak masuk kelas. Dah lama Shahir di sini. Nanti ada pula yang jadi Ultraman dan Superman.” Bimbang pula meninggalkan anak-anak murid tanpa pengawasan dia. Lebih baik dia ambil langkah berjaga-jaga sebelum perkara tidak dingini berlaku.

“Beranilah? Akak jadi Naruto nanti,” sambung Kak Leha.

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.