Home Novel Komedi/Romantik Komedi Dia... Lelaki Misteri (tajuk sementara)
Dia... Lelaki Misteri (tajuk sementara)
butterflyfliestothesky
21/4/2019 22:34:28
7,147
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
Bab 1

BAB 1

“SETIAP orang di dunia ini mempunyai ceritanya yang tersendiri. Dan seperti aku, aku juga mempunyai ceritaku sendiri. Angan-angan aku sendiri yang aku akan gapai suatu hari nanti. Pernah dengar cerita tentang burung helang? Burung helang yang terbang tinggi di udara. Setiap pagi dia akan mengembara sehingga sejauh sepuluh kilometer demi meneruskan kelangsungan hidup sebelum kembali semula ke sarangnya menjelang waktu petang? Hebat kan? Dan kalau boleh, aku pun ingin menjadi kuat seperti burung itu. Bersemangat serta senantiasa berusaha untuk mencapai matlamat dan cita-cita di dalam hidup. Kata orang, hidup itu hanya sementara sahaja. Jadi, lakukan segalanya yang kita inginkan sebelum segala-galanya terlambat. Oh ya, aku juga ingin menceritakan tentang…” 

“Bunga!!” 

Terkejut, pen tertekan kuat. Membuatkan mata pen mencoret panjang helaian muka surat putih miliknya. 

“Bunga! Ohhh.. Bunga! Kamu dengar ke tak mak panggil kamu ni?”

Mengeluh, buku ditutup. Pandangan dihalakan ke arah pintu masuk. 

“Ya, mak! Bunga dengar!” 

“Kamu ni, mengkhayal lagi ke? Dah berapa kali mak panggil kamu, takkan kamu tak dengar kot? Ni… abah kamu mana?” 

“Dengar mak. Cuma, belum sempat Bunga nak jawab, mak dah menjerit panggil nama orang. Abah pergi ke bandar kejap. Beli barang-barang tambahan untuk kedai.” 

“Haa… Menjawab aje kerja kamu kan? Tak pandai nak diam langsung mulut tu!” Puan Laila membalas. Sempat lagi dijeling tajam si anak gadis yang sudah menarik muka sepuluh sen di sebelahnya itu. 

“Ni, mak ada bawakan makanan untuk kamu. Belum makan lagi kan?” Dan seperti yang dijangka, wajah cemberut itu berubah ceria. Bersinar-sinar wajahnya, mengangkat beg plastik yang tergantung di tangan ibunya. 

“Wah! Mak bawa makanan untuk Bunga? Terima kasih, mak! Sayang mak sangat-sangat! Ingat juga mak kat Bunga ya? Mak masak apa hari ni?” 

“Apa pula tak ingatnya. Dah mak yang kandungkan kamu. Bawa perut besar dengan kamu yang berat melebihi empat kilo tu. Dah tu, bila dah tiba masanya, tak nak keluar pulak. Dok merenyam dalam perut tu sampai…” 

“Sampai mak terpaksa masuk hospital kan? Ala… Macam tu lah best kan, mak? Nampak sangat yang Bunga ni budak istimewa sejak dari dalam kandungan lagi. Bukan macam akak tu. Dia lah manusia yang paling pelik, paling menakutkan, paling memeningkan kepala yang Bunga pernah jumpat kat dunia ni. Pokoknya, semua yang paling-paling tu boleh bagi kat akak ajelah.” 

“Haa… Ada-ada aje ayat kamu ni kan? Ingat, walau apa pun, dia tetap kakak kamu. Sebagai adik dan orang yang muda, kamu wajib menghormati dia. Mentaati dia.” Bibir dicebikkan. Terasa nak muntah hijau pula dia dengar. Tapi, memandangkan aroma ayam masak merah yang sudah memenuhi rongga hidung, dilupakan sahaja niatnya itu. 

“Tengoklah macam mana…” 

“Tengok macam m..a? Ya ALLAH.. Budak ni! Saje aje nak sakitkan kepala aku kan? Tak boleh ke kamu dua beradik tu cuba berbaik sikit? Sekurang-kurangnya, cubalah fikirkan untuk mak ni. Ni tak, asyik nak bertengkar aje kerjanya.” 

“Nak buat macam mana, mak? Dah akak yang suka sangat cari pasal dengan orang. Orang pun balas ajelah!” 

“Ka..kau.. Hesy! Malas nak bercakap dengan kau ni! Ada aje modal kau nak membalas kan?” 

“Heee… Sayang mak!” Tubuh didekatkan. Dicium pipi wanita kesayangannya itu berkali-kali. 

“Macam mana hari ni? Banyak pelanggan ke? Boleh juga ke kamu jaga kedai ni?” 

“Setakat ni, bolehlah mak. Macam yang mak tengok sekarang. Kadang ada, kadang tak ada. Tengok waktulah jugak. Selalunya kalau tengah hari baru ramai sikit orang.” 

“Kamu tak penat ke?” 

“Penat?” 

Gadis itu tergelak kecil. 

“Orang masih mudalah, mak. Mana ada penatnya.” 

“Jangan nak berlagak sangat. Ingat orang muda ni pun tak tahu penat ke? Ni, bila kamu nak pergi apa dia latihan.. praktis.. apa dia yang kamu kata nak pergi hari tu?” 

“Praktikal, mak!” 

“Haa.. Ya.. Praktikal. Bila nak perginya? Dah tahu kat mana kamu dapat?” Isi ayam dicuit sikit sebelum dimasukkan ke dalam mulutnya. Nikmat sungguh terasa apabila rasa rempah dan isi ayam yang pedas manis itu berada di mulutnya. 

“Tak tahu lagi, mak! Mungkin dua tiga hari lagi tahulah tu.” 

“Eloklah kalau tak lama lagi. Sekurang-kurangnya tak adalah juga kamu terperuk kat sini. Entah apa aje orang-orang kampung ni cakap bila nampak kamu kat sini lagi.” 

“Cakap? Cakap apa mak?” Kening dikerutkan. 

“Ya lah… Cakap yang anak mak ni tak guna belajar tinggi. Akhirnya, kerja jaga kedai aje. Sakit hati mak dengar tahu!” 

“Ala.. Mulut orang! Biarkan ajelah diorang tu mak! Diorang pun bukannya tahu apa yang Bunga buat. Lagipun, best apa jaga kedai ni. Aman damai. Tenang semacam aje. Inspirasi pun senang datang.” 

“Inspirasi?” Tergelak sinis, wajah anak bongsunya itu dipandang tajam. 

“Banyaklah inspirasi kau tu kan? Dah, pokoknya mak nak kamu cepat-cepat keluar dari kedai ni. Tak larat mak nak dengar mulut-mulut orang kampung ni bercerita tentang kamu lagi. Dahlah cerita kamu dengan si Wan tu pun tak habis-habis lagi.” 

“Apa pula cerita dengan Abang Wan pulak ni mak?” Puan Laila menarik nafasnya dalam-dalam.

“Ni, mak nak tanya. Kamu dengan si Wan tu macam mana? Baik lagi ke tak?” Kening dikerutkan. Badan diundurkan belakang. Takut dan gerun melihatkan wajah si sang bonda yang mulai mendekati dirinya. 

“Bai..k.. macam ma..na tu, m..ak?” 

“Ala… Macam dululah. Ni, kamu masih ada bercakap lagi dengan dia ke? Masih ada berhubung dengan dia?” Lambat-lambat, kepala dianggukkan. 

“Bila?” 

“Bila.. Mmmm.. Dalam bulan lepas…” 

“Bulan lepas? Kali terakhir kamu bercakap dengan dia bulan lepas?!” Terkejut, telinga ditutup. Tak menjangka apabila si sang ibu tiba-tiba menaikkan suaranya. “Kamu ni biar betul, Bunga! Sanggup kamu biarkan hubungan kamu dengan si Zakwan tu macam tu? Tunang jenis macam mana bersembang sebulan sekali aje macam tu?” 

“Aduh! Sakitlah mak! Yang mak tetiba aje pukul orang ni, kenapa?” 

“Elok ajelah dipukul. Supaya kamu sedar sikit! Ni, mak nak tanya sikit. Kamu tak bimbang ke biar si Wan tu berjauhan dengan kamu? Takkan kamu nak biarkan hubungan kamu macam ni aje? Berhubung sekali sebulan macam tu?” 

“Laa.. Orang nak buat apa lagi, mak! Dah kerja abang Wan tu macam tu! Dah namanya engineer, kerja pelantar minyak. Kena redha ajelah. Takkan nak berhubung setiap masa. Lagipun, kadang-kadang tempat abang Wan tu tak eloklah mak. Line tak bagus.” 

“Line tak bagus jadi kamu nak tinggal macam tu? Ni, kamu tak bimbang ke? Tak takut kalau-kalaulah si Wan tu ada perempuan lain di belakang kamu?” Terdiam, badan diluruskan. Dipandang tepat muka si sang ibu sebelum perlahan-lahan melepaskan tawanya. 

“Abang Wan? Perempuan lain? Tak mungkinlah, mak!” 

“Eh.. Kamu jangan macam tu, Bunga. Si Wan tu bukannya tak ada rupa. Kerja elok pulak tu. Mesti banyak perempuan yang terkejar-kejarkan dia di sana.” Diam, air liur ditelan kesat. 

“Tak mungkinlah, mak. Lagipun abang Wan tu kerja kat pelantar minyak. Kat tengah laut tu haaa… Manalah ada perempuan kat situ. Kot ya pun, boleh dibilang dengan jari aje.” 

“Hesy… Tak tahulah mak nak nasihat kamu ni! Cakap ini salah. Cakap itu salah. Semua nak dipandang ringan aje. Sudahlah hati aku ni tak tenang dengar khabar angin hubungan kamu berdua ni!” 

“Ala.. Tu khabar angin aje. Khabar yang dikhabarkan melalui angin. Takkan betul punya. Lagipun, mak sendiri kenal Abang Wan tu macam mana kan? Mak sendiri yang berkenan kat dia, jadikan dia salah seorang calon menantu yang susah untuk dilepasi dalam keluarga  Haji Hakim ni. Takkanlah mak tak percayakan dia kan? Lagipun…” Bahu si ibu dipeluk. 

“Bunga kenallah abang Wan Bunga tu. Dia takkan sia-siakan Bunga macam tu aje.” Puan Laila sekadar mendiamkan diri. Dihela nafas berat, belenggu berat yang membebani dirinya. 

“Kalau mak masih bimbang jugak, mak jangan risau. Mulai hari ni, Bunga akan hari-hari call abang Wan. Biar dia sampai bosan dengar suara Bunga ni! Kalau nak, sekarang pun Bunga boleh call dia!” Telefon bimbit dikeluarkan. 

“Tak payahlah. Kan tengah waktu kerja ni. Jangan ganggu dia.” 

“Hah? Betul ni? Mak tak menyesal? Mak tak nak bercakap dengan bakal menantu mak tu ke?” Kepala digeleng. 

“Cuma kalau hubungan kamu berdua tak jadi, mak takkan teragak-agak nak kahwinkan kamu dengan si Farid tu!” 

“Mak!!” 

“Ya lah! Dah kamu yang tak pandai nak jaga hubungan! Sekurang-kurangnya dengan si Farid tu, mak tahu dan pasti yang dia takkan sia-siakan kamu. Kalau tak, tak adalah dia sanggup menunggu kamu sampai bertahun-tahun. Sampaikan kamu dah bertunang ni pun, dia masih sanggup tunggu kamu.” 

“Hesy… Mak ni! Apa pula tiba-tiba sebut nama mamat skema tu! Tak payahlah sebut! Alergik tahu!” Botol minuman diambil. Dituangkan separuh isinya ke dalam cawan kertas sebelum… 

“Bunga! Ohh Bungaku sayang..” 

Burrr!! Air yang diminum tersembur keluar. Kelam-kabut dia berdiri, mencapai tisu melap bibir dan bajunya yang sudah basah. 

“Ni semua mak punya pasallah! Sebut nama dia lagi! Kan tak pasal-pasal dia dah datang! Sekarang kat mana orang nak lari ni!” 

“Laa… Apa pulak nak salahkan mak? Macamlah mak yang panggil dia datang. Dah dia nak datang, dia datang ajelah. Mana tahulah dia nak beli barang ke.. apa ke..” 

“Mak!” 

“Ohh… Bungaku sayang… Kat sini rupanya Bungaku yang mekar mengharum di taman hati ni? Apa khabar Bunga hari ni? Sihat? Eh, mak pun ada ya? Assalamualaikum mak. Mak apa khabar? Sihat?” 

“Alhamdullilah. Sihat. Sama seperti yang kamu nampak? Kamu pulak, sihat ke?” 

“Sihat aje mak. Lebih-lebih lagi lepas nampak muka Bunga yang indah ni. Nasib ajelah Bunga kerja kat sini kan? Senang juga nak tengok muka dia. Melunaskan rindu di hati. Kalau dia belajar, jangankan siang, malam pun susah nak jumpa. Oh ya, sebelum Rid lupa…” Jambangan bunga yang disorokkan di belakang dikeluarkan. Diambil sekuntum sebelum… 

“Yang ni untuk mak. Buat wanita terpenting yang telah melahirkan wanita yang paling cantik dan indah di dunia ni. Dan ni pulak untuk…” 

“Hac.. Hachooo! Farid!! Aku tak nak bunga tu.. Aku.. Hac.. Alergik bungalah! Hacho!!” 

“Haa?? Alergik bunga? Macam mana pulak Bunga boleh alergik dengan bunga ni? Tapi, Rid memang belikan bunga ni khas untuk Bunga..!!” 

“Farid!!” 

Buat seketika, kawasan kedai yang selalunya sunyi sepi itu kecoh. Gamat dengan suara jeritan si sang gadis yang berselang seli dengan bersinnya yang tak kebah-kebah semenjak jambangan bunga itu muncul di dalam kedai…


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh butterflyfliestothesky