Terkelip-kelip matanya memandang laluan yang amat dikenali itu. Suraya mengarahkan van jenazah yang dinaiki membelok masuk ke halaman melihatkan pintu pagar yang terbuka luas. Jiran tetangga sedang berkumpul sama ada di laman mahupun di bahu jalan. Mungkin telah dimaklumkan oleh Hanis kepada kedua orang tuanya akan ketibaan mereka pada jam itu.
Hari sudah hampir ke tengah hari. Suasana yang terik terkadang mendung itu tidak terasa bahangnya tatkala angin Tenggara berhembus. Tibanya dia disambut dengan satu pelukan dan esakan dari Mak Long. Dia tersenyum sedikit lalu membalas pelukan itu. Tubuhnya diraih lagi ke dalam satu pelukan yang lain. Dia melirik. Maksu Azah rupanya. Kemudian, dipaut tubuhnya oleh tangan yang lain. Bertentang mata dengan Aunty Lela dan Kak Ipah. Masing-masing menatapnya dengan mata yang merah tanda mereka juga sedang bersedih.
"Yaya, Mak Uji datang nak..." tutur seorang wanita yang sebaya umurnya dengan mummy.
Suraya berpaling. Melihat Mak Cik Fauziah, rakan baik arwah mummy menghampiri dengan linangan air mata. Tanpa berlengah tubuhnya termasuk dalam pelukan wanita itu pula. Dibalas kemas pelukan sambil membayangkan arwah mummy yang sedang mendakapnya ketika ini.
"Terima kasih Mak Uji susah payah datang." ujarnya dalam kesedihan.
"Tak susah, Yaya. Ingat, Yaya. Mak Uji ada kalau Yaya perlukan apa-apa. Ingat tu..."
Berkali-kali Mak Cik Fauziah mengingatkan. Diangguk dan dibalas genggaman wanita itu dengan rasa kesyukuran memenuhi dadanya dengan keprihatinan yang diterima.
Tiba-tiba, seorang lelaki hampir sebaya usia dengan abah mendekati memaksa jarak antara dirinya dan kumpulan wanita itu diregangkan. Dia kenal akan lelaki itu tetapi sudah lupa namanya. Rakan sekerja abah di pejabat.
"Yaya, pak cik datang sebagai wakil dari jabatan." ucap lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Pak cik Shamsul itu.
Kedengaran mesra. Barangkali nama manjanya itu sering dituturkan oleh abah kepada rakan-rakan di pejabat. Kemudian, lelaki itu bertanyakan keadaan abah ketika ini. Menurut Pak cik Shamsul, beberapa orang kakitangan dari jabatan akan datang melawat abah di hospital pada keesokan hari.
"Jenazah ni bawa ke rumahnya untuk solat sahaja. Selepas tu terus ke kubur untuk dikebumi."
Suraya terdengar Haji Din berkata. Tiada lagi Haji Omar kerana untuk urusan berlainan negeri, ianya di bawah seliaan Haji Din yang juga ahli jawatan kuasa kebajikan Masjid Jamek.
"Baiklah. Mari sama-sama angkat bawak masuk ke dalam. Siapa-siapa nak solat tu silalah masuk. Diorang ni dari Klang. Jauh lagi tu nak kena patah balik." ujar Pak Long agak kuat.
Sebelum beredar, sempat Pak cik Shamsul menyerahkan sekeping sampul surat berwarna putih sama seperti yang diterima daripada Mr. Lee tadi.
Melihatkan beberapa orang tetamu yang mulai bergerak masuk ke dalam rumah, dia dipimpin oleh Mak Long masuk mengikut anjung rumah. Ruang tamu kelihatan lapang. Pasti Pak Long dan Mak Long yang membantu mengemaskan ruang itu supaya mudah untuk dijadikan sebagai ruang solat. Dia tidak langsung terkejut dengan keadaan itu. Kunci pendua rumah memang telah lama diserahkan kepada orang tua Hanis. Begitu juga dengan kunci pendua rumah mereka yang berada dalam pegangan abah. Masing-masing mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya sedang berpergian.
"Yaya nak ikut ke kubur?" tanya Mak Long.
Suraya geleng. Dia pernah mendengar abah membacakan sepotong hadis yang melarang wanita dari mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.
"Eloklah macam tu. Orang perempuan seeloknya tunggu saja di rumah. Kemudian nanti barulah Yaya pergi, ye." titip Mak Long lagi.
Dia mengangguk.
Selesai solat jenazah yang kebanyakan jemaah terdiri daripada jiran tetangga dan kenalan orang tuanya maka, sekali lagi jenazah diusung untuk dibawa masuk ke dalam van. Dia memerhati dari balik pintu. Bibir dikatup rapat. Dada menjadi sebu.
'Selamat jalan, mummy.'
Tanpa sedar tangan diangkat dan dia melambai perlahan ke arah van jenazah yang mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah. Satu elusan lembut di tubuh membuatkan dia berpaling. Maksu Azah memandang penuh simpati.
"Yaya, Maksu ada, Mak Long ada... Aunty Lela pun ada. Kami semua sayangkan Yaya dan anggap Yaya macam anak kami sendiri."
Dia tersenyum pendek.
"Yaya mesti penat, kan? Pergilah rehat dulu. Kalau nak makan nanti Mak Long suruh Dani hantarkan." ujar Mak Long pula.
Suraya angguk lagi lalu berpaling untuk masuk ke biliknya.
Baru semalam dia berada di rumah ini. Bersama kedua orang tuanya. Hari ini dia kembali. Tetapi bersendiri. Dia menolak pintu bilik yang tidak berkunci. Beg galas yang sentiasa melekap di tubuh dicampak ke katil. Begitu juga dengan tudung dan baju panas yang dikenakan. Dia mahu ke bilik air untuk membersihkan diri namun, tubuh merayu untuk berbaring sebentar. Terus direbahkan badan ke tilam. Tidak tersedar bila masa dirinya dibawa pergi oleh kantuk yang mencengkam.
"Yaya... Bangun! Dah pukul 2.00 ni." seru satu suara.
Terpisat dia menggosok mata. Menutup mulut yang menguap besar dan kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Hanis.
"Erm..."
"Bangun. Pergi mandi... Lepas tu makan."
"Erm. OK." sahutnya lemah tetapi tetap digagahkan tubuhnya untuk bangun.
Dicapai sehelai tuala sebelum menuju ke bilik air. Usai mandi yang agak lama masanya diambil dari kebiasaan, barulah dia mengingati kembali situasi yang sedang berlaku. Sempat air mata berjuraian ketika bilasan terakhir mengenai tubuh. Usai keluar dari bilik air, baru terasa keadaan rumah terasa sunyi. Ketika masuk ke dalam bilik, dilihat Hanis sedang duduk di birai katil sambil bermain telefon.
"Aku bawakan makanan. Ada dekat dapur." maklum Hanis sambil memerhatikan dirinya.
Hanya anggukkan diberikan ketika tangannya sibuk mencari persalinan. Sehelai jubah hitam yang dibelikan oleh arwah mummy dua tahun yang lalu ditarik keluar. Begitu juga sehelai tudung sarung yang agak labuh pemberian arwah mummy yang terakhir kali diterima. Setelah lengkap disarungkan, sejadah dicapai.
Usai solat yang dilaksanakan secara jama' terus dia melangkah ke dapur. Mangkuk tingkat satu-satunya benda yang ada di atas meja makan. Dia mengambil pinggan dan sudu. Hanis pula senyap mengekor dari belakang.
"Makan?" pelawanya.
Hanis geleng. Dia mencedok nasi putih dan lauk ke pinggan.
"Eh, kau balik dengan apa? Aku tak perasanlah pulak." soalnya tidak jadi mahu memulakan makan.
Hanis, merenungnya dalam.
"Nanti jap, Yaya. Aku nak tanya dulu. Kau, okay tak?" soal Hanis serius.
Selamba sahaja lagak rakannya itu. Hairan pula dia. Buat seketika Suraya diam. Kemudian ditarik satu nafas yang panjang.
"Han, siapa tak sedih ibu sendiri meninggal. Tapi, aku cuba untuk tak hanyut dalam perasaan tu. Bila aku tengok officemate, mama kau, Maksu, jiran-jiran dan orang-orang yang datang yang turut bersedih aku tahu aku tak seorang. Korang semua ada. Korang semua baik sangat layan aku,"
Sekali lagi nafas dihela.
"Aku nak kuat demi abah aku." ucapnya.
Hanis mengangguk beberapa kali.
"Aku dan Irfan pun ada, Yaya. Jangan lupa tu." Hanis mengingatkan.
Dilirik kepada rakan akrab di hadapan. Senyuman nipis dilakarkan.
"Eh, ada sorang lagi!" ujar Hanis.
Suapan yang pertama dan kening Suraya sedikit terangkat.
"Bos kau."
Dia mengangguk mengiyakan.
"Mr. Lee memang baik."
"Bukanlah. Adrian tu kau nak campak mana? Aku balik ni naik dengan dia tau, tak? Kau tak tau ke dia paling banyak membantu. Kerja-kerja kambus tanah dekat kubur pun dia tolong tau? Macam mana aku tahu? Ayah aku yang bagitahu. Tu... Dia ada dekat luar tu. Aku ajak makan tak nak. Rehat pun tak nak. Bimbang pulak aku kalau-kalau dia pengsan. Cuba kau pergi tengok. Dari tadi dia duduk bawah pokok mempelam tu."
Tiba-tiba Hanis membebel panjang. Tidak lagi mengunyah, Suraya bingkas bangun. Macam manalah dia boleh terlupakan lelaki itu. Lelaki yang banyak menghulurkan bantuan tanpa perlu dia membuka mulut.
"Han, ajak adik-adik kau datang makan dekat sini." arahnya sambil mencuci tangan di sinki.
Hanis memandang hairan namun diikut sahaja suruhan itu. Nombor Ehsan adik lelakinya didail. Menggunakan kuasa veto yang dipunyai dia menyuruh kedua orang adiknya datang dengan kadar segera.
Sebaik menjejakkan kaki di muka pintu utama, Suraya terpempan. Seperti dikatakan, memang benar Dr. Adrian sedang duduk di pangkin di bawah pohon mempelam. Baru perasan pakaian yang dikenakan oleh lelaki itu adalah tshirt putih dan berseluar jeans biru lusuh. Seluar itu nampak comot dengan kesan coklat seperti debu tanah. Dia, benar-benar kecewa dengan dirinya sendiri yang mudah melupakan perihal lelaki itu. Perlahan-lahan, dia melangkah ke laman.
"Bos, kenapa duduk sini?" sapaannya mengejutkan lelaki itu.
Jauh agaknya mengelamun. Tingkah itu ditutupi dengan satu senyuman.
"Dr. Adrian, saya tengah bercakap ni." katanya separuh geram kerana soalannya sebentar tadi dibiarkan sepi.
"Yes, Suraya. Saya dengar."
"Masuklah ke dalam. Makan dan bersihkan diri."
Dr. Adrian menggeleng.
"Tu, adik-adik Hanis datang. Tengok tu... Maksu Azah pun ada dengan anak bongsunya. Marilah, masuk." kata Suraya lagi sambil jari telunjuk menunjuk ke arah jalanan.
Dr. Adrian menoleh. Dan, lama pandangan terpaku ke arah rombongan kecil itu. Perlahan-lahan Dr. Adrian berdiri.
"Okay. Saya nak mandi. Boleh tumpang bilik air?"
Suraya angguk. Lelaki itu beredar menuju ke kereta yang diparkir di bahu jalan. Dia tercegat menanti di situ menunggu rombongan kecil itu dan Dr. Adrian sama-sama melangkah ke halaman.
"Dah bangun, Yaya?" tegur Maksu Azah.
Suraya tersipu sebelum menganggukkan kepala.
"Maksu, kenalkan bos Yaya. Dr. Adrian. Bos, ni ibu saudara Hanis, Maksu Azah."
Maksu Azah senyum. Memandang Dr. Adrian sambil menganggukkan kepala.
"Tadi Hanis ada bagitau sebab Maksu tanya siapa lelaki handsome yang balik dengan dia tu. Nak kata Irfan jauh beza." cerita Maksu Azah.
Suraya senyum tipis. Dr. Adrian pula diam. Bukan dia tak perasan akan lirikan lelaki itu kepada Maksu Azah. Tak berkelip memandang.
Isy, kalau dah dasar lelaki!
"Marilah masuk." kata Suraya sambil melangkah terlebih dahulu.
Maksu Azah dan adik-adik Hanis yang sudah terbiasa dengan keadaan rumah itu terus ke dapur. Seperti rombongan kecil itu, Suraya langsung tidak berpaling. Terus menonong mengikuti yang lain.
"Suraya, awak terlupa sesuatu ni." panggil Dr. Adrian yang masih tercegat di muka pintu.
Suraya berpaling. Kedua bahu dijungkitkan.
"Saya. Boleh awak tunjuk mana bilik air?"
Senyap. Tetapi arah gadis itu tidak lagi mengikuti arah mereka yang lain. Suraya berpatah ke arah laluan di bahagian hadapan yang berdindingkan casement window yang dipasangkan sehingga ke penjuru dinding lagi satu. Langkahnya ke kanan pula dan gadis itu berhenti di antara tiga daun pintu di hadapan mereka ketika ini.
"Ini bilik tetamu."
Bilik yang berada di sebelah kanan ditunjukkan.
"Awak boleh guna untuk rehat. Yang tengah ni bilik air. Enjoy." ujar Suraya lantas beredar mengikuti laluan itu yang berpenghujung ke dapur.
Geleng kepala Dr. Adrian melihat gelagat gadis itu. Tetapi, tidak di simpan dalam hati. Daun pintu ditolak. Sebuah bilik tamu yang kemas dengan kelengkapan asas disediakan. Beg galas yang disandang berisi pakaian diletakkan di atas sebuah bangku. Dia ingin membersihkan diri dahulu sebelum kembali menemui Suraya. Selesai solat Dr. Adrian berbaring sebentar di atas katil sambil melihat telefon. Email dan aplikasi WhatsApp berkelip dengan notifikasi. Pandangannya berbalam sebelum menjadi kelam dan hitam.
"Bang, abang... Bangun. Kakak Yaya suruh bangun."
Mendengarkan suara itu Dr. Adrian membuka mata. Terus bangun terduduk di katil. Oh, adik Hanis. Tetapi tidak tahu namanya. Wajah keanak-anakan seperti masih di menengah rendah. Dr. Adrian angguk dan tersenyum kepada budak lelaki yang sedang malu-malu kucing itu.
"Kak Yaya suruh pergi ke dapur."
Dr. Adrian angguk lagi. Dia bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Dicuci muka bagi menghilangkan sisa mengantuk yang masih berbekas. Laluan yang diambil oleh Suraya tadi dijelajahi. Cantik kediaman orang tua gadis itu. Di sebelah kirinya terdapat pintu gelongsor untuk ke anjung. Hiasan yang minimal dilewati di sepanjang laluan. Tiba di dapur yang agak luas dan selesa, tiga pasang mata memandangnya. Dr. Adrian melemparkan satu senyuman.
"Adrian, mari makan. Nanti nak bertolak balik, kan?" kata Maksu Azah.
Langkah Dr. Adrian terhenti buat seketika. Terpana.
"Err, Adrian?.." seru Hanis pula.
Dr. Adrian tersentak lalu dengan selamba mendekati meja makan segi empat tepat itu dan duduk di salah satu kerusi. Jauh dari semua yang ada. Wajah Suraya dijeling sekilas. Masam.
"Eh, biar Maksu aje yang buat." ujar Maksu Azah secara tiba-tiba sebaik menyedari kelakuan pelik Suraya itu.
Tetamu itu bukan sebarangan orang. Bos sendiri. Tetapi dingin sahaja reaksi gadis itu. Dari membiarkan masalah kecil menjadi besar lebih baik dia menyelamatkan keadaan. Boleh jadi, Suraya sedang bersedih hiba ketika ini.
Diambilkan pinggan lalu dicedokkan nasi dari salah satu mangkuk tingkat yang ada. Kemudian, disudukan lauk sebelum dihidangkan kepada bos Suraya itu.
Dr. Adrian, melawan rawan hati yang tiba-tiba menyapa. Sepatah ucapan terima kasih diberikan kepada wanita itu. Dr. Adrian makan dalam debaran. Telinga mendengar perbualan yang berlangsung di antara mereka bertiga. Cuma, Suraya paling banyak mendiamkan diri.
"Okay, Anis dah bincang dengan ayah dan mama. Esok pagi kami akan ke JPN dahulu. Daftarkan kematian. Lepas tu baru bertolak ke Klang. Adrian boleh hantarkan Yaya?" tanya Hanis.
"Tak payah. Aku tumpang Maksu." sahut Suraya terlebih dahulu.
Tidak menyedari kata-kata itu meninggalkan kesan kepada hati seseorang.
"Oh, Maksu lupa nak cakap. Maaflah Yaya...Maksu sebenarnya dalam perjalanan ke JB. Hantar Ilman ke U. Kebetulan dapat panggilan dari Mak Long teruslah Maksu singgah ke sini. Maksu tak dapat nak tolong melainkan Yaya nak balik ke Klang esok hari." jelas Maksu Azah.
Suraya bungkam. Hati Dr. Adrian lega.
"OK. Nak tak nak Yaya, kau balik dengan Adrian."
Dia menoleh ke arah bertentangan. Hujung kuku digigit. Pilihan yang sedang difikirkan kesemuanya terbatas. Terhad.
"Erm." sahutnya pendek.
Bagi Maksu Azah dan Hanis mungkin mood swing Suraya itu ada kaitan dengan situasi ketika ini. Tidak bagi Dr. Adrian. Dia pasti ada sesuatu yang lain yang mengganggu fikiran gadis itu. Ketika di halaman tadi, elok sahaja kelakuan gadis itu. Dalam sekelip mata tiba-tiba sahaja berubah. Pelik. Apa yang dia dah buat?
Usai makan dan kembali ke bilik tamu, Dr. Adrian duduk sebentar memeriksa kembali telefon pintar dan mengemaskan barangan sebelum keluar. Ketika itu juga Suraya keluar dari bilik yang bertentangan. Gadis itu juga sedang menggalas beg sepertinya. Dr. Adrian senyum. Masam mencuka yang menjadi balasan. Sekali lagi dia tertanya-tanya apa yang telah dia lakukan sehingga reaksi itu menjadi tatapan matanya.
"Hati-hati memandu. Maksu tengok Adrian macam penat aje. Boleh ke drive ni?" tanya Maksu Azah mengambil berat.
Kepalanya dijengul mengikut tingkap kereta yang dijatuhkan.
"Inshaallah boleh. Lagipun taklah jauh sangat." ucap Dr. Adrian berbasa-basi.
Getaran di dada yang berombak disembunyikan buat dirinya seorang. Maksu Azah senyum. Suraya pula belum masuk ke dalam kenderaan. Masih tercegat dikelilingi oleh Pak Long, Mak Long, Aunty Lela dan Hanis serta adik-adiknya. Anak Maksu Azah yang bernama Ilman juga ada.
"Tentang majlis, Yaya jangan bimbang. Pak Long dah uruskan dengan sekolah tahfiz tu. Segala urusan di kampung Yaya tak perlu fikir, ye." pesan Pak Long meletakkan tangan di atas bahunya.
Sebentar sahaja sebelum dijatuhkan. Suraya angguk. Terhutang budi dengan keikhlasan seluruh ahli keluarga Hanis.
"Jaga diri... Inshaallah esok kami datang." kata Mak Long pula seraya merangkul tubuhnya.
Dia senyum sedikit.
"Yaya, kalau ada apa-apa jangan segan bagitau Aunty, tau."
Ingatan dari Aunty Lela itu juga disambut dengan senyuman dan anggukan. Selesai bersalaman dia masuk ke dalam kenderaan dengan perasaan yang berat.
Kereta yang dipandu mula bergerak perlahan meninggalkan halaman dan kawasan perumahan itu. Memerhati lambaian dari jiran tetangga yang baik hati dia diam melayani perasaan. Antara sedih, sayu, terharu, rindu dan tidak sabar untuk menemui abah di hospital. Tidak berapa lama kemudian kereta yang dipandu berhenti. Dia memandang Dr. Adrian dengan hairan.
"Mari ke kubur dulu." kata Dr. Adrian lantas mematikan enjin kereta.
Suraya menarik nafas yang panjang. Memang dia tengah geram dengan lelaki itu. Tetapi, perasaan yang dibina mahu dikawal mengenangkan bukan sedikit jasa lelaki itu telah dinikmati.
Setelah melewati denai kecil berjarak tiga puluh meter mereka berhenti. Tanah yang masih merah ditandai dengan batu nisan daripada kayu buat sementara waktu ditenung. Itulah kubur arwah mummy. Dia duduk mencangkung berdekatan batu nisan kayu itu. Diucapkan salam sebelum tangan ditadahkan. Dimulai dengan puji-pujian dan selawat serta doa untuk ibu bapa. Kemudian, dibacakan tiga Qul dan Suratul Fatihah dengan niat pahalanya dihadiahkan kepada arwah mummy. Bergenang air mata. Makin penuh hinggalah kolam matanya pecah. Lima belas minit di situ akhirnya dia bersuara untuk beredar. Dr. Adrian yang menanti tidak jauh dari kedudukannya di kawasan kubur lama itu mengangguk.
'I love you, mummy.'
Ucapan yang sering bermain di bibirnya sejak dari kecil dilafazkan di dalam hati.
Perjalanan ke Klang mengambil masa kira-kira dua jam itu ditelusuri dalam kesunyian. Baik Suraya mahupun Dr. Adrian masing-masing langsung tidak bersuara. Ketika tiba di perkarangan hospital, kereta yang dipandu oleh Dr. Adrian berhenti di hadapan pintu utama.
"Terima kasih." ucapnya lalu pintu kereta dibuka.
"Esok pagi saya datang." kata Dr. Adrian sebelum dia turun.
Suraya tidak mengendahkan. Tidak juga memandang. Terlalu banyak perkara yang perlu dihadam dan separuh darinya ingin dipadam.