Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
24,715
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 20


"Abang, betul-betul dah sihat?"

Perlahan sahaja pertanyaan yang terpacul dari mulutnya. Suasana di dalam gerabak yang tenang dengan bilangan penumpang yang tidak terlalu ramai dilirik sekilas. Meskipun terdapat tempat duduk kosong, dia lebih selesa berdiri di situ. Agar, pemandangannya lebih luas dan lebih bermakna.

Melihatkan lelaki itu diam satu cuitan pada lengan lelaki yang berdiri tidak jauh darinya itu diberikan. Dia, inginkan pengakuan rasmi supaya rasa serba salah yang tertinggal terusir. Selepas terbangun dari lelap tadi, keadaan suaminya itu menjadi tumpuan utamanya. Tiada tanda-tanda sakit atau menahan sakit kelihatan. Begitu juga ketika mereka menikmati makan tengah hari tadi. Lelaki itu tampak berselera sekali ketika menjamu makanan.

"Oh?.. Dah sihat dah." tutur Alex seakan baru tersedar dari khayalan.

Uzma mengangguk kecil. Kedua tangannya kuat berpaut pada batang besi tatkala kenderaan itu seakan-akan membelok di atas rel. Bergoyang tubuhnya mengikuti kelajuan kereta api yang sedang bergerak itu. Tidak dia berasa cemas. Malah, situasi itu mendatangkan rasa teruja pula.

Sepanjang perjalanan, kepalanya tertumpu ke luar gerabak. Pertama kali menaiki kenderaan itu tentulah dia tidak melepaskan peluang menyaksikan panorama bandaraya yang sedang dijelajahi.

Ketika kereta api itu berhenti di sebuah hentian, lebih ramai penumpang yang masuk berbanding keluar. Keadaan itu memaksa Alex merapatkan jarak di antara mereka. Spontan Uzma menundukkan kepala ketika para penumpang itu menyerbu masuk.

Setelah kereta api kembali bergerak dan suasana tidak lagi hiruk-pikuk seperti tadi, barulah dia berani mengintai suasana yang padat itu. Panorama yang diperhati sebentar tadi tidak dapat dilihat lagi. Dengan kedudukan itu, tidak mungkin dia dapat melihat ke luar lagi. Ditundukkan kembali kepalanya sebelum merasai tangannya yang bebas diraih.

Alex, menetapkan sorotan. Tepat pada wajah yang sedang menunduk itu. Lega hatinya dengan reaksi malu-malu itu dari bebas memerhati keadaan sekeliling. Sebenarnya, dia, nampak apa yang Uzma tidak nampak. Sepasang mata milik seorang remaja lelaki yang baru memasuki gerabak itu kerap terarah kepada Uzma. Perasaannya tidak senang. Hatinya juga tidak tenang.


"Berkahwin tu, wajib ke? Saya fikir saya tak mau berkahwin. Saya nak jalani hidup macam Tok Ayah. Mencari ilmu dan beribadah."

Pertuturan itu berjaya membuatkan Tok Ayah membuka mulut yang sedari tadi membisu. Orang tua itu sedang mengetam sebatang kayu getah yang panjang di bawah rumah. Pondok usang yang didiami pula terletak dekat dengan tebing sungai. Tiang pondok itu dibina sedikit tinggi kerana bimbangkan banjir. Namun, menurut Tok Ayah, belum pernah lagi dia mengalami peristiwa banjir selama menetap di situ.

Di bawah pondok itulah tempat Tok Ayah bertukang. Timbunan kayu-kayan diletakkan di suatu tempat. Yang telah siap, disimpan di dalam satu pondok kecil tak ubah seperti sebuah reban ayam. Alat bertukang bergantungan di sana sini. Juga di dalam satu bekas raga yang besar. Walaupun nampak semak ianya sebenarnya kemas tersusun.

"Siapa kata Tok tak bernikah? Tok dulu ada bini. Tapi, bila dapat seru, Tok berpisah sebab Tok tak tahu berapa lama masa Tok akan ambil untuk mengaji. Tok ke Patani. Sebelum berpisah, Tok ada pesan pada bini Tok. Kalau ada jodoh lagi kita balik macam dulu. Tapi, belum Tok habis mengaji, bini Tok dah meninggal dulu."

"Jadi, dalam Islam, kahwin tu wajib?" soalnya dengan buaian diayun perlahan. Buaian itu diikat pada tiang rumah. Buaian dari pukat yang baru dibinanya itu menjadi tempat dia bersantai sambil memerhati Tok Ayah berkerja.

Tok Ayah dilihat terus mengetam. Membiarkan soalan itu sepi tanpa jawapan buat berberapa ketika.

"Wajib bila kamu mampu dan tak boleh tahan nafsu."

"Saya puasa."

"Kamu jangan gopoh... Orang perempuan ni istimewa. Makhluk unik ciptaan DIA khas untuk orang lelaki,"

Dia, menggeleng beberapa kali. Soalannya mudah. Mahu mengetahui tentang hukum. Tetapi, jauh pula Tok Ayah membawanya berhujah.

"Belum bersua kata tak suka. Bila bertemu terus terpaku." bisik Tok Ayah kemudian.


Tangannya, terasa digoyang-goyangkan. Lamunan serta merta menghilang. Alex menundukkan wajah. Terkaku ketika mata bertentang mata. Perasaan pada kali pertama bertemu itu dirasakan makin kuat memaku diri.

"Kita, tak turun?" soal Uzma tanpa menghiraukan perhatian daripada beberapa penumpang berdekatan. Meskipun terselit perasaan segan, dia perlukan penjelasan dari lelaki itu. Alex, tidak pula memberitahu arah tuju. Cuma mempelawa untuk bersiar-siar di kota dengan menaiki kereta api. Matanya kembali tertancap pada lelaki itu. Gelengan yang diberikan tidak memuaskan hati.

"Kenapa?" soalnya.

"Saje. Pusing-pusing tengok bandar dalam tren."

Diam.

"Err, Juma nak turun ke?" tanya Alex lagi seperti baru tersedar perancangannya itu mungkin tidak digemari oleh gadis itu.

Uzma terdiam lagi. Memikir.

"Kalau turun nak pergi ke mana?" soalnya pula.

"Ikutlah. Juma nak ke mana?"

"Entah. Ju tak tahu KL ni. Tapi, kalau dapat jalan-jalan dekat Bukit Bintang best jugak. Selalu dengar nama aje." katanya separuh segan dengan kekampungan dirinya itu. Malah, bertambah segan tatkala menyedari pengakuan itu didengari segelintir orang. Tetapi, itulah fakta. Dia terpaksa menyatakan meskipun ianya pahit.

Alex, menunduk merenung wajahnya.

" Sorry. Saya tak dapat bawa Juma ke sana. Mungkin, lain kali. Tapi, kalau Juma nak ke Menara KL bolehlah. Macam mana?"

Uzma menarik segaris senyuman. Satu anggukan diberikan. Dia tidak kisah andai permintaannya itu tidak dapat ditunaikan. Dibawa berjalan-jalan begitu pun jiwanya sudah senang.

Perjalanan untuk tiba di stesen Dang Wangi amatlah singkat. Dia menuruti ketika tangannya ditarik untuk keluar dari koc yang padat dengan penumpang itu. Tanpa berlengah, Alex terus melangkah. Dari kompleks stesen itu mereka berada pula di dalam perut sebuah teksi yang tersedia menanti di bahu jalan.

Tidak sampai sepuluh minit bergerak, kenderaan itu berhenti. Dia mencuit lengan lelaki itu. Menanyakan destinasi. Belum sempat Alex menjawab, pemandu teksi terlebih dahulu memberi jawapan. Satu senyuman tipis dipamerkan ke arah lelaki yang gemar memakai topi baseball berwarna hitam dengan simbol segi empat kecil berwarna merah dan putih itu apabila keluar berjalan-jalan.

"Kenapa tak jalan kaki je?" soalnya sebaik turun dari teksi.

"Penat." ucap Alex ringkas sebelum meraih tangannya.

Beberapa anak tangga dipanjat dan mereka berjalan di atas laluan bertar sebelum jari telunjuk Alex menunjukkan ke arah sesuatu. Terpancing, Uzma mendongakkan kepalanya. Silau terbias namun, biji matanya terbuka luas apabila fokusnya dikecilkan.

Wah!! Menara Kuala Lumpur!

Senyuman, memekar di wajah. Terpamer barisan gigi yang cantik dan satu garisan lesung pipit di pipi kanan. Sambil mengecilkan kelopak mata dia terus melihat ke atas. Setelah puas, lirikan dijatuhkan. Terus berlabuh ke arah Alex di sisi. Tersipu-sipu dia apabila menyedari lelaki itu sedang memerhati tingkahnya. Senyuman melupus. Dilarikan pandangan. Menilik pula keadaan sekeliling yang sedikit lengang.

"Panas dekat luar ni. Nak masuk dalam?" tegur lelaki itu.

Dia menggeleng.

"Kenapa?"

"Bosan jalan-jalan dekat dalam. Ju nak tengok menara bukan tengok benda lain." ujarnya berterus-terang.

"Tapi, dekat dalam tu kita boleh naik sampai ke puncak. Boleh tengok pemandangan bandaraya." Alex berkata seakan memujuk.

Uzma menggeleng lagi. Lelaki itu baru saja kembali sihat. Meski tertarik dengan pelawaan itu, dia rela memendamkan ia kerana bimbang kesihatan lelaki itu kembali melarat.

"Tapi, Ju nak duduk dekat sini aje." dalihnya bersungguh-sungguh.

Alex, diam membisu. Tidak lagi cuba membuat tawaran.

"OK. Lepas ni kita sambung jalan-jalan dalam tren kemudian, balik ke hotel." ujar Alex meluahkan rencana pada petang itu.

Uzma mengangguk bersetuju sambil melihat bibir lelaki itu mengukirkan satu senyuman.

Tanpa Uzma sedar, selain menghantar tempahan kepada pelanggan, tujuan Alex ke ibu kota adalah untuk membawa gadis itu berjalan-jalan. Tujuannya tiada lain sebagai terapi buat Uzma menenangkan fikiran selepas kejadian amukan kecil dahulu. Dia sedar emosi gadis itu tentu terganggu. Siapa tidak tertekan apabila tiba-tiba disuruh berkahwin. Dengan orang yang tidak dikenali pula tu.

"Juma nampak penat." tegur Alex ketika mereka duduk di sebuah kawasan parkir. Pemandangan rumah terbalik menjadi santapan mata.

Uzma menoleh ke arah lelaki itu dengan kepala tergeleng-geleng.

"Ada bawak air?" tanya Alex lagi.

Uzma segera mengangguk. Beg yang digalas dilepaskan. Sebotol kecil air mineral dikeluarkan. Penutup botol itu dibuka dan disuakan kepada lelaki itu. Alex lantas menggelengkan kepala.

"Minum." arah lelaki itu.

Terkebil-kebil Uzma memandang. Memang dia sengaja menafikan perasaan penat itu sebentar tadi tetapi kalau dia penat tak kan lelaki itu tidak penat? Diteguk air botol itu beberapa kali. Lega. Belum sempat mahu menutupnya, ia disambar terlebih dahulu. Dengan selamba lelaki itu pula minum. Dia melirik. Lama.

"Abang..." serunya sebaik penutup botol pada tangannya diambil oleh lelaki itu.

Alex menoleh.

"Kenapa abang layan Ju macam ni?" soalnya. Mungkin, dia pernah menyoal perkara yang sama sebelum ini. Tetapi dia belum pernah berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya dahulu. Terlalu umum. Alasan tanggungjawab tidak lepas dari mulut itu. Terlalu ringkas dan terlalu mudah sedangkan jalan perkahwinan mereka tidak seperti orang lain. Mudah benar lelaki itu menerimanya sebagai isteri lantas bersedia untuk bertanggungjawab sepenuhnya ke atas dirinya. Padahal, mereka tidak saling mengenali. Bukankah kebencian atau kekosongan yang sepatutnya mewarnai kehidupan harian mereka. Tetapi, berlawanan pula. Dengan senang lelaki itu memanjai dirinya dan dengan rela pula dia melayani. Apakah ini?

"Layan macam mana?" tanya Alex tidak memahami.

"Macam nilah. Apa saja kata Ju abang ikutkan. Apa saja Ju mahu abang bagi. Abang tak macam orang terpaksa kahwin. Kalau Ju tengok drama kahwin paksa dekat TV, pasangan tu mesti bergaduh aje kerjanya. Tapi, kita tak. Kenapa?"

"Juma suka tengok kita bergaduh?"

Uzma mengerutkan dahinya.

"Bukanlah. Maksud Ju, abang langsung tak marah ke kita kena kahwin?"

"Juma marah?"

Hisy! Orang tanya dia, dia tanya orang pulak. Uzma menarik muka.

"Ju yang tanya dulu. Abang jawablah dulu." katanya dengan wajah yang serius.

Alex merenung wajah masam itu lama. Ah, lebih dari satu minggu berkahwin makin banyak sikap isterinya itu dipelajari. Manja orangnya tetapi agak keras kepala.

"Dah jodoh saya sampai macam ni."

"Tapi boleh tolak, kan? Sekali pun kena tangkap basah kalau kita dapat beri alasan yang kukuh tak mungkin kita berkahwin. Kenapa abang tak tolak??"

Lagi satu sikap yang paling terserlah. Isterinya itu jenis berterus-terang. Tak mampu berahsia akan apa yang dirasakan tidak kena pada pandangannya.

"Kalau dah ditakdirkan kahwin buatlah macam mana sekalipun tetap berkahwin juga." sahut Alex tenang sebelum dia mendengar satu keluhan kecil dilepaskan.

"Abang dengan Atuk sama aje cara bercakap. Tak pahamlah fikiran orang tua-tua ni." omel Uzma seraya mengalihkan pandangan melihat ke arah rumah terbalik itu. Dia tidak menyedari sejuring senyuman sedang terukir sebaik mendengar keluhannya itu.

"Juma tak suka kahwin dengan saya?"

Nafas Uzma seakan terhenti. Baru terfikir jikalau tidak ditanyakan kepadanya. Dia menoleh. Lirikan yang bertembung berlangsung agak lama. Terasa panas pipinya akibat ditenung sebegitu dalam oleh lelaki itu. Betul juga. Sebenarnya dia suka atau tidak berkahwin dengan lelaki itu?

"Ju tak pasti. Sebab, Ju cuma fikirkan Atuk aje masa tu. Lagipun, selama ni Atuk yang jaga dan besarkan Ju jadi, Ju tak sampai hati nak bantah cakap Atuk." luahnya jujur.

"Kenapa? Abang nak jawapan yang macam mana?" Uzma bertanya.

"Suka atau tak? Salah satu."

Dengan selamba Alex berkata. Uzma menarik panjang. Alahai, kena pilih ke? Kalau ditanya sebelum ikatan itu bersatu, memang dia tak suka. Bukan tahap tak suka lagi. Tapi, tahap benci untuk dikahwinkan. Sebab itulah idea bodoh dahulu muncul. Jikalau ditanyakan ketika ini pula, dia berada di dalam dilema.

"Eh, Ju lupa... Kad bank abang Ju masih pegang lagi." ujarnya cuba mengalih topik perbualan itu dengan membuka zip beg galas yang berada di atas ribaan.

"Kad tu Juma pegang."

Tangannya tidak jadi meraba dompet yang disimpan di situ. Dilemparkan satu pandangan berupa hairan kepada lelaki itu.

"Eh, itukan kad bank abang. Kenapa Ju pulak pegang? Nanti macam mana abang nak guna?" soalnya.

Alex menggeleng.

"Takpe. Peganglah. Kad tu memang untuk Juma. Gunalah bila-bila masa nak digunakan. Rasanya mencukupi jumlah dalam tu. Nanti setiap bulan saya top up."

Uzma membulatkan biji matanya.

"Abang!.. Tengok! Baru je Ju cakap tadi. Kenapa abang layan Ju macam ni? Abang tak sepatutnya buat Ju macam nilah!" katanya tidak berpuas hati. Baru saja berjaya menukar topik, akhirnya pusingan U pula yang diambil.

"Kenapa?" Alex pula bertanya dengan perasaan hairan.

"Lama-lama macam ni Ju boleh suka dekat abang tau, tak?.."

Opss! Uzma menarik rapat kedua bibirnya. Lirikan dilarikan ke hadapan. Banyak berkata banyaklah silapnya. Tapi, silap ke kalau suka pada suami sendiri? Melalui ekor mata dapat dilihat lelaki itu sedang merenung wajahnya. Uzma memejamkan kelopak mata. Lalu, menarik satu nafas yang dalam sebelum berpaling membalas tatapan suaminya itu.

"OK. Ju sebenarnya tak nak suka dekat abang. Tak nak jatuh cinta pada abang. Sebab, Ju fikir perkahwinan macam ni tak mungkin kekal atau berbahagia. Sebab tu Ju tahan perasaan Ju pada abang." luahnya tanpa berselindung lagi. Biarlah. Biar lelaki itu tahu dari awal supaya seandainya sesuatu berlaku di dalam perkahwinan mereka ini maka, tidaklah rumit untuk diselesaikan. Ketika itu, masing-masing sudah maklum akan perasaan dan pendirian sendiri.

"Baguslah."

Erk?

"Apa maksud abang?"

"Juma kenal perasaan Juma sendiri."

"Ju tak fahamlah. Betul-betul tak faham dengan sikap abang terhadap Ju. Abang betul-betul ikhlas ke layan Ju macam ni? Abang tak pura-pura?"

Kali ini persoalan itu berjaya membuatkan lelaki itu pula terdiam. Dia pula yang dipagut perasaan ingin tahu. Dah kenapa? Ikhlas ke tak? Jujur ke sikapnya atau cuma berpura-pura? Isy, berteka-teki pula.

"Mari. Kata nak pusing-pusing tengok bandar. Kita naik monorel ke Bukit Bintang. Nanti kalau petang sangat dah tak sesuai. Waktu tu orang tengah balik kerja." ujar Alex lantas bangun dari duduk di atas batu konkrit itu.

Uzma dibiarkan terpinga-pinga sebentar. Perbualan yang terhenti di tengah jalan menimbulkan rasa tidak puas hati padahal awal tadi dia sendiri yang mahu mengelak. Namun, melihat pendirian itu, dia akur. Mungkin, masih terlalu awal untuk mereka membincangkan soal hati dan perasaan. Lalu, ruang dan waktu dijadikan sandaran.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.