Home Novel Islamik Menanti Fajar Sidik.
Menanti Fajar Sidik.
Raihan Zaffya
9/1/2014 16:57:35
28,092
Kategori: Novel
Genre: Islamik
Beli Sekarang
Bab 7



Troli yang penuh muatan ditolak perlahan-lahan. Mia Sakinah setia mengekori Mak Jah yang sedang sibuk memilih barang-barang yang diperlu kan. Hari itu dia meluangkan masa untuk menamani Mak Jah ekoran rasa bosannya menjadi penunggu rumah agam yang selalu sepi.

“Ummi nak masak apa hari ni?” 

Ulas bibir Mia Sakinah laju bertanya sedangkan lirik matanya menyelusuri segenap ruang pasaraya. Terhibur hati kecilnya melihat pelbagai telatah pelanggan yang sibuk dengan hal masing- masing. Tanpa Mia Sakinah sedar Mak Jah sudah jauh meninggalkannya.

“Hoii!!! Jalan pandang-pandanglah sikit! Sakit kaki aku!” Jerit seorang gadis genit tanpa malu-malu.

“Sorry! Sakit ke? Saya betul-betul tak sengaja.” Dengan nada gugup Mia Sakinah mengakui kesalahannya. Entah bagaimana kaki gadis itu boleh ter gilis oleh roda troli yang sedang ditolaknya.

“Mau tak sakit! Ada mata simpan kat lutut!” Bola mata gadis genit itu melotot. Amarahnya berpanjangan sehingga mengundang perhatian pelanggan pasaraya yang lain.

Wajah lembut Mia Sakinah merah padam menahan malu. Ekor matanya melingas ke kiri kanan mencari-cari Mak Jah. Sayangnya Mak Jah tiada di situ. Dari celahan orang ramai yang memerhati, kelihatan susup-sasap se orang pemuda mencari laluan. Pemuda yang bercermin mata gelap itu akhir nya berjaya juga menghampiri tempat itu.

“Apa ni Emily? Nak buat free show kat sini ke?” Soalnya pada gadis yang sedang memarahi Mia Sakinah.

“Budak nilah, dia langgar aku dengan troli. Sakit tau! Engkau pun satu Danny, lama-lama sangat cari underware tu kenapa? Menyesal ikut!” Gerutu Emily tanpa malu.

Kata-kata Emily yang tidak bertapis membuat Danny jadi tersipu. Sepantas kilat dia menyembunyikan barang itu dengan memusing tangannya ke belakang. Mia Sakinah yang masih membatu juga turut malu. Dia hanya mampu menundukkan wajah yang kian celaru. Gembira yang diharapkan, sebaliknya pula menimpa. Mia Sakinah telah terperangkap dalam situasi yang menjengkelkan hatinya.

‘Ya Allah! Mana ummi ni? Ummi tak nampak aku ke?’ Resah hatinya tidak dapat disembunyikan.

Beberapa orang pemerhati akhirnya meninggalkan tempat itu. Babak yang menjadi tontonan itu terpaksa ditinggalkan. Masa dan keperluan lebih penting untuk diutamakan.

Danny menarik nafas lega. Namun sumpah seranah pada dua gadis di hadapannya masih bersarang di hati. Bebanan yang menghempap di dada Mia Sakinah juga beransur surut. Tidak sabar rasa hatinya mahu melangkah pergi meninggalkan tempat yang mencalar cerianya. Sedangkan Emily masih memandang tajam ke arah Mia Sakinah. Sakit di hati terus membengkak. Mungkin sahaja akan menanah sebentar lagi.

“Budak kecil! Lain kali kalau nak jalan, mata tu pandang ke depan.” Ucap Danny dengan niat mahu memihak pada Emily.

‘Kurang ajar! Aku dah sembilan belas tahunlah.’ Bentak Mia Sakinah dalam hati.

“Saya dah minta maaf tadi.” Ujar Mia Sakinah tegas sambil mendongak memandang Danny.

“Maaf engkau boleh hilangkan sakit aku ke?” Herdik Emily.

“Apa yang awak nak saya buat lagi? Awak nak saya melutut pada awak?” 

Keberanian tiba-tiba meresap dalam sanubari Mia Sakinah. Pantang bagi dirinya tunduk melulu tanpa alasan. Kesilapannya telah diakui. Kemaafan juga telah dipinta malangnya masih tiada kesudahannya. Bukankah malang itu selalu terjadi dan kesilapan itu kelemahan manusia.

“Memang engkau yang salah.” Tambah Danny memanaskan keadaan.

“Bukan ke saya dah mengaku? Tak faham ke Bahasa Melayu?” Mia Sakinah enggan tunduk melulu.

“Tak padan dengan kecil, garang bukan main.” Balas Danny geram.

“Kalau harap badan je besar tapi otak kosong pun tak guna juga.” Sindir Mia Sakinah dengan berani.

“Apa awak cakap?” Danny pula tidak puas hati.

“Mia!” 

Dari jauh Mak Jah melambai ke arah Mia Sakinah. Mia Sakinah membalas lambaian itu. Hatinya gembira bukan kepalang. Lega sekali. Sebentar lagi kisah yang menyakitkan hati itu akan ditinggalkan. Mungkin ia akan berakhir di situ. Mungkin juga akan ada kesinambungan. Mia Sakinah memilih untuk terus melupakan kejadian itu. Marahnya sebentar tadi bukan kerana nafsu. Marahnya kerana dia masih punya harga diri.

“Ha, tu ummi saya dah panggil. Tolong ke tepi sikit, kalau tak saya langgar lagi kaki awak yang sakit tu!” sindir Mia Sakinah sambil terus menolak troli itu.

“Amboi! Beraninya dia!” gumam Emily yang masih tidak puas hati.

“Tak padan kecil!” Danny mengulangi kata-kata yang sama.

“Ala bebel je lebih, dengan budak kecil pun kalah.” Emily menjuihkan bibir.

“Adalah pulak yang nak kena tangan ni. Budak tu tak kena nanti engkau yang kena.” Bentak Danny lalu mengatur langkah menuju ke kaunter.

Emily berlari anak mendapatkan Danny. Di kaunter bayaran, ramai yang sudah berbaris. Pada hujung minggu seperti itu memang ramai pelanggan yang datang membeli-belah. Bagi mereka yang bekerja, hari itulah sahaja mereka dapat meluangkan masa mencari barang-barang keperluan. Emily menyelit di antara barisan untuk pergi ke tempat Danny.

‘Mana budak kecil tadi?’ Dalam diam Emily tercari-cari Mia Sakinah.

Hanya tubuhnya di situ. Sedang mindanya tidak bertumpu. Amarahnya masih belum surut. Sakit di kaki sudah mula hilang tapi sakit di hati masih terasa. Kadang-kadang sifat manusia memang sukar diteka. 

Hanya perkara kecil yang terjadi namun dendam sengaja disimpan dalam hati. Akhirnya apa yang dicari telah ditemui oleh pandangan mata. Emily menarik-narik tangan Danny yang sedang menunggu giliran.

“Apa ni?” Rungut Danny.

“Tengok kaunter hujung sana tu!” Muncung bibir Emily mengarah kepada Mia Sakinah.

“Alah, sini jelah. Sana lagi ramai yang que.” Danny acuh tak acuh dan tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Emily.

“Bodoh! Tengok sana tu!” Begitulah kata-kata seorang anak gadis yang lepas laku. Wajah yang manis tidak bermakna jika tidak tahu berbudi bahasa.

“Hormat sikit boleh tak? Aku abang engkau tau!” Danny separuh berbisik. Enggan untuk menjadi tontonan untuk kali ke dua.

“Aku suruh tengok sana tu. Budak tadi tu.” Emily masih tidak senang hati.

Danny menoleh. Memang benar kata Emily. Gadis itu masih lagi di situ. Kali ini Emily hanya dapat melihatnya dari sisi. Mia Sakinah berdiri di sebelah seorang perempuan tua yang tidak dapat dilihat wajahnya. 

Terasa lucu bila membandingkan Mia Sakinah dan ibu tuanya. Dalam diam Danny ketawa di dalam hati. Jarak umur Mia Sakinah dan ibunya begitu jauh sekali. Hati Danny bagai digaru hingga akhirnya sengihan terzahir di wajahnya.

‘Mesti kahwin tua sebab tu anak tak boleh membesar. Hahaha.’ Ejek Danny di dalam hati.

“Biarlah!” Terpacul kata-kata yang membuat Emily hampa.

Tiba-tiba Mia Sakinah mengilas wajah. Tanpa direncana pandangan Danny dan Mia Sakinah bersatu. Tanpa sengaja mata saling bertatapan. Mia Sakinah tidak menentu. Danny pula serba-salah. Untuk beberapa detik belum ada yang mengalah.

‘Alahai mata ni, kenapalah terpandang dia.’ Marah Mia Sakinah pada mata yang tidak seiring dengan hati.

‘Perasan pulak aku pandang dia.’ Danny tidak mahu lagi memandang namun hatinya tidak mengizinkan.

‘Dia memang renung aku ke?’ Mia Sakinah kurang pasti.

‘Bila pandang lama-lama, comel juga budak ni!’ Bisik Danny sehingga sengihan terpamer di wajahnya.

‘Astaghfirullah…gatalnya dia! Aku pulak kenapa pandang dia? Kenapa aku ni?’ Desis Mia Sakinah lalu cepat-cepat melarikan pandangan dari wajah Danny.

“Dahlah tu! Ke depan lagi, orang tu dah habis bayar.” 

Suara parau Emily mengejutkan Danny dari khayalan. Emily bersungut-sungut perlahan namun cukup untuk sampai ke pendengaran Danny. Danny membiarkan sahaja tingkah adik tunggalnya itu. Emily memang begitu. Dia tidak mudah untuk melupakan jika ada orang yang menyakiti hatinya.

“Engkau tak nak buat apa-apa ke?” Emily masih mahu memanjangkan cerita.

Pertanyaannya tidak bersambut. Danny hanya diam. Malas dia mahu melayan kerenah Emily yang keanak-anakan. Cukup sudah dengan apa yang terjadi sebentar tadi. Campur tangannya telah menjadikan dia juga seperti budak hingusan. 

Bila dikenang kembali, terasa juga kebodohannya. Anak Datuk Zahid yang cukup disegani bergaduh di tempat terbuka. Agak menyesal juga kerana tersalah pilih. Pasaraya golongan sederhana itu memang tidak layak untuk anak-anak Datuk Zahid.

“Danny!” Emily masih tidak memahami suara hati Danny.

“Stop it! Ok? Sahut Danny pendek dan tegas.

Sebuah keluhan berat dilepaskan oleh Emily. Wajahnya keruh tiba-tiba. Dengan berat hati Emily terpaksa akur. Sakit hatinya yang mendalam tidak terbalas. Lebih sakit lagi apabila dari jauh dia melihat Mia Sakinah meninggal kan tempat itu dengan aman.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.