Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,748
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 14

MALAM itu, Raja Madisar mempersilakan Bayu duduk bersama di atas singgahsananya berserta ratu. Di sebelah kiri singgahsana terdapat sekumpulan orang bersedia dengan alat-alat bunyian. Gong, serunai, seruling, rebana, gendang kecil dan besar dan beberapa alat lain yang Bayu tidak tahu namanya sudah tersedia di tangan pemainnya. Di ruang hadapan pula dipenuhi oleh hadirin penduduk kampung itu. Anehnya, pintu hadapan tertutup.

Ada keraiankah malam ini? fikir Bayu. Raja Madisar tersenyum memandangnya sambil menepuk-nepuk bahunya.

Jangan dibebankan fikiranmu dengan bermacam-macam persoalan. Berhiburlah malam ini. Kesenian kaum Bunian khas untuk menyambut anakanda Bayu. Fikiran yang lapang akan dapat bekerja dengan lebih bijak,” bisik Raja Madisar ke telinganya.

Tetapi tuanku, hamba perlu mencari rahsia Indera Bumi. Hamba tiada masa untuk berhibur.” Bayu berbisik kembali. Matanya meliar-liar mencari Puteri Ariasha. Apakah puterinya tidak dibenarkan bersama dalam keraian ini?

Telah hamba katakan tadi, lapangkan fikiranmu. Bergembiralah. Mungkin ia akan membantu.” Lantas, Raja Madisar menepuk tangan dua kali.

Alatan bunyian dimainkan. Paluan gong dan pukulan gendang saling bertingkah mengikut rentak dengan alunan tiupan serunai dan seruling menjadi halwa telinga. Irama yang indah merdu berkumandang mengisi ruang.

Seketika kemudian, pintu di hadapan mereka terbuka. Tujuh orang gadis berpakaian serba hijau berhias cantik bak puteri kayangan tujuh bersaudara berbaris melangkah masuk perlahan mengikut irama lagu. Kemunculan gadis yang berada di belakang sekali mengejutkan Bayu. Puteri Ariasha! Jadi, inilah kejutan yang dikatakannya petang tadi.

Puteri Ariasha melangkah terus ke hadapan enam gadis yang beratur beriringan. Mereka menari penuh gemalai mengikut irama yang mendayu. Kelancaran dan kelembutan gerak tari yang mengasyikkan. Bagaikan langkah yang diatur terawang-awang di udara. Sesekali Puteri Ariasha menjeling pada Bayu apabila ada kesempatan.

Bayu merasakan dirinya di kayangan, dihiburkan bidadari-bidadari jelita. Lama-kelamaan, lagu menjadi rancak. Begitu juga dengan gerak tari yang dipersembahkan. Bayu sungguh terpesona. Ini kali pertama dirinya menyaksikan persembahan tarian. Persoalan yang menghantui fikirannya turut dilupakan. Tanpa disedari, kakinya terhentak-hentak perlahan-lahan mengikut irama gendang.

Ratu Falsiha pula menepuk-nepuk tangannya. Terhibur menyaksikan persembahan puteri dan sahabat-sahabatnya. Raja Madisar menjeling Bayu sambil tersenyum.

Tarian ini dinamakan Tari Rimbunan Hijau. Gerak tari yang diilhamkan daripada pergerakan pohon-pohon yang ditiup angin. Sekarang menggambarkan hutan semasa ribut,” bisik raja itu ke telinga Bayu.

Patutlah pergerakan tangan mereka bagaikan dahan-dahan yang ditiup angin,” bisiknya kembali. Tiba-tiba, Bayu seakan-akan terkejut. Matanya bulat terbuka luas. Perlahan-lahan dia menoleh memandang Raja Madisar.

Jadi, itulah jawapannya! Itulah rahsia yang tersirat!” Bayu separuh menjerit.

Raja Madisar mengangguk perlahan-lahan. Serentak itu, paluan gong penamat berkumandang menandakan lagu sudah habis dimainkan. Persembahan telah tamat. Gadis-gadis lain beratur keluar dari dewan penghadapan, manakala Puteri Ariasha mendekatkan diri mendapatkan Bayu.

Kenapa perlu tuan hamba menjerit? Apa yang terjadi? Sumbangkah tarian hamba?” tanya Puteri Ariasha kehairanan melihat sikap Bayu.

Tidak! Tarian tuan hamba memang sempurna! Mengasyikkan dan memberi ilham! Tiada yang lebih sempurna daripada ini! Mari ikut hamba!” Lantas, Bayu bangun menarik lengan baju Puteri Ariasha dan berlari turun ke belakang istana.

Kanda...” Permaisuri Falsiha Rindu Gemawan tersenyum memandang suaminya. Tetapi, senyumannya itu ada garis-garis resah yang merekah.

Kita sama-sama tahu, mereka sudah tidak dapat dipisahkan. Keadaan sudah berubah. Kejadian yang lepas tidak akan berulang lagi, Insya-ALLAH!” Raja Madisar cuba menenangkan ratunya. Mengulangi perkara yang sentiasa disebutnya semenjak kedatangan Bayu Adi Jata ke Kampung Kaswana.

Tidak kanda! Ancaman keris itu masih ada, sama seperti dahulu!” Senyum Permaisuri Falsiha terus hilang bagai diragut.

Tetapi, keris itu sekarang sudah ada penunggunya. Ada pengawalnya, penghalang kebangkitannya! Pasti ia bukan janji kosong!”

Jika begitu, kenapa mereka bertiga masih bernyawa? Malah, semakin jauh keris itu dilarikan?”

Kita perlu menunggu dan bersabar. Kita perlu bersabar.” Raja Madisar merenung jauh ke hadapan. Ingin dirinya memberi sinar harapan kepada permaisurinya dan juga kaumnya. Tetapi, dirasakan hatinya begitu kelam. Mungkin ada sinar baru yang akan menerangi hatinya dan memayungi kaum Bunian dengan izin Azzawajalla. Mungkin pada dia, waris baru Takluk Jagat dan Indera Bumi.

***


TERNYATA kejutan yang tuan hamba berikan tidak sia-sia!” jerit Bayu kegirangan.

Tuan hamba sudah memahaminya.” Puteri Ariasha senyum membalas. Jari-jemari runcingnya memintal-mintal hujung selendang.

Benar! Pucuk-pucuk yang menghala ke atas melambangkan pergerakan tangan, manakala sebaliknya adalah pergerakan kaki! Pucuk yang berbunga diibaratkan tangan yang mempertahan, manakala pucuk yang dua lapisan adalah tangan yang menyerang. Pasti lapisan itu bermaksud serangan yang dikuatkan Indera Bumi.”

Lalu, Bayu mula berlatih berpandukan ukiran pada Indera Bumi. Walaupun sumbang pada mulanya, tetapi lama-kelamaan dia dapat bersatu rentak Seni Permainan Indera Bumi. Dengan bersemangat, Bayu Adi Jata berlatih sehingga dinihari. Dan di sisinya, Puteri Ariasha setia menunggu tanpa berganjak walaupun seinci. Biarpun disuruh naik ke istana untuk berehat, namun dia tetap di situ. Setianya tidak akan membiarkan Bayu basah ditimpa embunan pagi sendirian.

***


BAGUS, anakanda sudah dapat menjiwai Seni Permainan Indera Bumi,” puji Raja Madisar selepas melihat Bayu mempersembahkannya. Mereka bersama-sama turun ke taman istana setelah pulang daripada masjid.

Tetapi jauh dari sempurna. Cuba tuan uji keupayaannya pada batang kayu itu.” Raja bunian itu menunjukkan setongkol kayu sebesar setengah pemeluk yang telah disediakannya sebelum ini.

Tanpa berlengah, Bayu terus mengatur nafas demi mengalirkan tenaga dalamannya dan terus menyerang kayu itu dengan Seni Permainan Indera Bumi yang baru dipelajarinya. Dia dapat merasakan Indera Bumi seakan-akan bergetar dan tangan kanannya menetak-netak bagaikan pedang, tetapi tiada sebarang kesakitan yang dirasai. Darah dalam tubuhnya membuak-buak. Semangatnya menjulang. Tetapi, kawalan bukan lagi dalam tangannya. Seakan-akan ada desakan halus dalam jiwanya.

Hancurkan segala halangan!’

Jangan ada belas. Hapuskan segala yang merentangimu!’

Bayu Adi Jata sudah tidak dapat mengawal dirinya lagi dan serangannya menjadi semakin pantas dan buas. Tumbukannya bagai guntur menggegarkan bumi. Tetakan tangan kosongnya tajam bagaikan golok baru diasah. Keadaannya seperti orang yang mengamuk; menggila pada halangan di hadapannya. Tetapi langkahnya masih teratur, ada penyusunan dalam geraknya walaupun kelihatan menggila. Bagaikan taufan yang tanpa belas kasihan menghancurkan apa sahaja dalam laluannya. Sehinggalah akhirnya, tongkol kayu itu hancur menjadi serpihan-serpihan kecil barulah ‘keganasan’ dapat dihentikan.

Bayu tercungap-cungap. Urat-urat merah bagaikan akar menjalar pada mata putihnya. Peluh mencurah-curah membasahi tubuh. Sukar untuk percaya apa yang baru dialaminya. Indera Bumi bagaikan telah ‘mengambil alih’ tubuhnya. Itu adalah Seni Permainan Indera Bumi yang sebenar. Pengalaman itu amat menakutkannya.

Beberapa orang yang yang menyaksikannya membisu. Keluarga diraja bunian turut diam terpaku. Raja Madisar sudah menemui sinar yang dicarinya. Sinar yang sepatutnya menggembirakannya. Tetapi sebaliknya, dia berasa sedih dan takut. Pendekar muda yang begitu lembut ini mungkin akan berubah kerananya! Lebih menyedihkan apabila melihat wajah puterinya, terkaku diam, pucat ketakutan. Apakah tindakannya ini benar? Apakah dia terlalu mementingkan diri mendedahkan rahsia Indera Bumi kepada pendekar muda ini?

Hamba bagaikan dirasuk. Hamba dapat rasakan hati hamba menjadi zalim. Kezaliman yang akan menentang kekejaman! Api melawan api! Syaitan akan menentang syaitan!” Bayu bertempik bagai orang yang hilang akal, tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya. “Indera Bumi ini ibarat Penzalim yang Sunyi!”

Bayu, campaklah saja Indera Bumi itu! Ia akan membawa tuan hamba ke jalan sesat nanti!” rayu Puteri Ariasha. Air matanya mula mengalir bak mutiara terurai ke bumi.

Melihatnya, hati Bayu tersentuh. Membawanya kembali semula ke ‘dunia’ sebenar. Dunia ‘khayalan’ Bunian. Dia sedar ada tanggungjawab yang harus dipikul sebagai waris Indera Bumi. “Demi kesejahteraan semua, bunian dan manusia di luar, hamba rela tenggelam dalam kegelapan!”

Mendengar kata-kata itu, sang puteri bunian menjadi hiba dan segera berlari kepadanya. Lengan baju pendekar muda itu ditarik. Sang puteri lantas merebahkan kepalanya ke lengan yang masih menggeletar itu.

...kerana hamba percaya, puteri pasti akan datang mencari jika hamba tersesat jalan, meraba-raba dalam kegelapan.” Perlahan-lahan Bayu berbisik ke telinga sang puteri.

Puteri Ariasha mengangkat wajahnya memandang pendekar muda itu. Dia memaksa dirinya untuk senyum, tetapi terasa begitu berat dan payah sekali. Dirinya dirasakan tersepit di antara perasaannya dan keamanan kaumnya serta manusia di luar. Dia tidak sanggup kehilangan pendekar muda itu dan dia juga tidak sanggup melihat kemusnahan yang bakal berlaku.

Jawapan ada pada Bayu. Jika Bayu mengabaikan Indera Bumi, kasihnya pasti tidak akan terputus, tetapi kaumnya dan manusia pasti akan berdepan dengan malapetaka yang dibawa Takluk Jagat. Jika Bayu memilih terus berjuang bersama Indera Bumi, harapan semua orang pasti ada tetapi pengakhirannya, Bayu mungkin bukan lagi insan seperti yang dikenalinya.

Kerana cinta... segala rasa,

Tiada kurnia sehebat ia,

Biar lemas dilambung gelora,

Biar hangus dibakar pawaka,

Terus kekal ke hujung dunia,

Selagi adanya cinta...”

Puteri Ariasha merenung ke dalam mata Bayu. Begitu jernih dan bersinar-sinar. Urat merah yang mengakari mata putihnya sudah hilang. Pendekar muda itu sudah membuat keputusannya, jadi biarlah dia menemaninya. Biar ke jurang yang paling dalam sekalipun. Seperti kata bisikan yang dihembus ke telinganya, dia pasti mencarinya jika tersesat, akan dibawanya pulang dari jurang kegelapan dengan sinar cahaya kasihnya yang menerangi jiwa lelaki ini, Pendekar Bayu Adi Jata!

***


MENTARI sudah menampakkan dirinya, umpama tersenyum mengintai dari belakang bukit bukau kehijauan. Burung-burung berterbangan berkicauan bernyanyi-nyanyi memuji kebesaran sang Pencipta. Manusia-manusia kaum bunian mula bertebaran ke segenap pelosok kampung, meraih rezeki yang dijanjikan ALLAH.

Namun, kemeriahan permulaan hari bagaikan tidak mengusik hati Bayu Adi Jata. Semenjak selepas subuh, dia menyendiri, termenung di kaki tangga istana Raja Madisar. Indera Bumi terletak elok di celah kakinya. Dan matanya terus-terusan merenung pelindung lengan itu.

Anakanda Pendekar Bayu Adi Jata...” Raja Madisar perlahan-lahan menghampiri Bayu setelah lama memerhatikannya. “...pilihan masih di tanganmu. Maafkan kami kerana tanpa disedari, telah meletakkan beban yang sebegini berat di pundakmu.”

Tuanku.” Bayu berpaling kepadanya. “Hamba tidak pernah bermaksud untuk meninggalkan amanat datuk hamba. Juga tidak boleh membiarkan kaum yang aman damai ini diancam bahaya. Cuma yang hamba bimbangkan, keupayaan hamba,” jelasnya.

Raja Madisar tersenyum sedikit. Dia menepuk bahu Bayu, tanda mengerti apa yang bersarang dalam hati pendekar muda itu. “Sejak semalam, hamba juga ligat berfikir. Dan akhirnya hamba sedar...”

Bulat mata Bayu merenung ke anak mata raja bunian itu. Seakan-akan tidak sabar mendengar patah bicaranya.

... segalanya atas niat. Anakanda memperjuangkan jalan yang baik. Indera Bumi ini bukanlah hasil daripada ilmu syaitan mahupun sihir. Ia ada kelebihannya. Mungkin layak dipanggil sakti. Walaupun anakanda menggelarnya Penzalim yang Sunyi, namun ia bergantung kepada cara ia digunakan.” Raja Madisar menunduk mengambil Indera Bumi dan diletakkan di atas riba Bayu.

Anakanda adalah tuannya. Jangan biarkan ia mengawal anakanda. Perjalanan mendatang adalah ujian bagi anakanda. Lepasinya dan tiada apa lagi yang perlu anakanda takutkan. Tawakkal dan serahlah seluruh hati nurani kepada Yang Maha Berkuasa. Ada bicara sang Pencipta dalam kitab-NYA yang mengatakan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada TUHAN semasa berusaha membuat kebaikan. Maka, dia akan beroleh pahala dan dijauhi kebimbangan daripada berlaku kejadian yang tidak baik. Mereka pula tidak akan berduka cita,” sambung raja itu lagi dengan panjang lebar.

Bayu tersenyum dan wajahnya beransur cerah. Bicara Raja Madisar bagaikan hembusan angin yang membawa kegusaran hatinya berlalu pergi. Dalam hatinya bertekad, dirinya perlu diteguhkan, beban yang dipikul perlu dijunjung, setiap janji perlu dikota dan Ariasha, dia tidak akan membiarkan ada lagi air matanya mengalir.

***


HAMBA tidak tahu apa yang bakal melintang di hadapan, setinggi mana gunung terpaksa didaki, sederas mana jeram yang terpaksa diseberangi.” Raja Madisar berhenti berbicara dan merenung mata Bayu Adi Jata dalam-dalam sebelum menyambung, “Tetapi hamba tahu, setinggi-tinggi gunung, tinggi lagi semangat anakanda, sekeras-keras waja, keras lagi tekad anakanda. Kami sekalian mendoakan kejayaanmu.” Raja Madisar menepuk-nepuk bahu Bayu dan bersalam dengannya.

Bayu mencium tangan Raja Madisar dan seterusnya bersalaman dengan semua penduduk Kampung Kaswana yang mengerumuninya di pintu gerbang.

Pergilah anakandaku, Bayu. Hari sudah semakin tinggi, nanti terlewat sampai,” ucap Ratu Falsiha Rindu Gemawan ketika Bayu mencium tangannya. Walaupun ratu bunian itu kurang berbicara dengannya, namun dirinya dapat merasai kehangatan kasih sayang daripadanya. Dari sinar matanya yang merenungnya lembut, mengalir panas turun ke hati, perasaan cinta dan kasih selesa bagaikan renungan seorang ibu kepada anaknya.

Bayu menjeling kepada Puteri Ariasha. Sang puteri tenang menunggu. “Apakah boleh kita berangkat sekarang?” soalnya kepada sang puteri. Puteri Ariasha menunduk perlahan sebagai membalas pertanyaan.

Si pungguk tiba-tiba muncul dan terbang mendahului mereka dan hilang di celah-celah pohon. Bayu tersenyum melihat kelibat burung itu. Dirasakan burung itu bagaikan pengiringnya; sentiasa bersama ketika dirinya menempuhi perjalanan. Sekarang dia sedar, si burung pungguk adalah teman kepada sang puteri bunian. Menjadi mata dan telinga sang puteri di rimba. Lambang kesaktian Puteri Ariasha Cinta Castra yang dikurniakan ILAHI.

Adinda bersedia! Caranya adalah sama seperti pertemuan pertama kita di pinggir hutan,” kata si puteri lantas menghulurkan hujung selendangnya untuk dipegang Bayu dan membimbingnya. Angin mula menderu, dirinya terasa bagaikan diangkat ke awanan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.